Monday, December 28, 2015

156. BAHANA AIR MATA DUYUNG



KALAU tidak dapat dengan jalan baik, hanya cara jalan jahat juga menjadi pilihan manusia apabila hati mereka tersinggung. Sekiranya memilih cara jalan jahat sudah tentu pulalah amalan syaitan yang menggoda sanubari, hingga mereka tidak peduli pun sama ada perbuatan itu diredai Allah Subhanahu Wata'ala.

Puas juga Lasah Tepok menyimpan rasa dendam apabila seisi kampung menganggap dia tidak sama dengan anak-anak muda lain. Sampaikan mahu duduk bertenggong berbual sama pun, anak-anak muda yang lain mengelak. Sebenarnya tidak siapa pun yang menganggap Lasah Tepok demikian, cuma dia sahaja terasa hati.

Malas juga Mail Repol mahu melayani dia disebabkan Lasah Tepok sering bercakap membangga diri.

Tidak sedar dengan keadaan dirinya yang tepok, dia seringkali bercakap besar seolah-olah mampu buat apa sahaja orang lain boleh lakukan.

Kalau Mail Repol mam-pu menarik manau sepuluh kabung, dia juga temberang fasal boleh heret manau sepuluh kabung. Juki Bular boleh pikul seguni damar, dia juga tidak akan mengaku kalah mampu menandingi lelaki bertubuh sasa itu. Baik Mail Repol, baik Juki Bular, baik Mat Jimin, baik siapa sahaja Lasah Tepok tidak pernah mahu mengalah.

Sebab itu seisi kampung tidak mahu melayani sangat lelaki tepok bercakap besar itu. Tidak padan dengan keadaannya yang tepok, tetapi cakapnya macam ge-legar buluh hingga menye-babkan kawan-kawan jadi meluat. Memang tidak ada anak-anak muda sebaya yang mahu berkawan dengannya disebabkan sikap Lasah Te-pok

"Orang tak benci kerana kau tepok, Lasah," tutur emaknya Mak Sunah cuba memujuk disebabkan Lasah Tepok merungut-rungut tidak tentu biji butir. "Tapi, kau cakap besar sangat macam nak jinjing dunia," tegas emaknya menasihati dia.

"Mentang-mentang aku tepok, apa aku cakap semuanya dikatakan temberang!" gerutu Lasah Tepok tetap menyimpan dendam yang mendongkol di hati.

Kalau Mail Repol berbuih mulut bercakap siapa pun tidak menuduh lelaki itu kaki temberang. Juki Bular terserempak pontianak tatkala tengah menjala di sungai waktu senja tidak siapa pun mengejeknya fasal cakap besar. Terseringai pontianak itu dilempar dengan pasir oleh Juki Bular sampai tidak berani menerkam. Bukan Mail Repol atau Juki Bular sahaja yang pandai temberang, Mat Jimin juga sama kalau memperagakan kemampuan diri.

Mat Jimin seringkali bercakap fasal kebolehannya memanjat pokok petai setinggi manapun. Dia akan anggit dahan petai rapat sampai ke batang, biar mudah menetak buahnya di hujung ranting. Kalau hari berangin, Mat Jimin akan berayun-ayun sama macam buah petai di hujung ranting yang terjuntai dipuput.

Seisi kampung akan terangguk-angguk apabila mereka bercakap apapun. Tetapi kenapa dia dituduh sengaja bercakap besar. Tersingung benar Lasah Tepok disebabkan orang-orang kampung menuduhnya demikian. Kalau mereka tidak mahu mendengar temberangnya apa salahnya mereka tutup telinga sahaja?

Sampaikan Siti Dinah anak gadis Pak Kubir pun mengejeknya sewaktu dia menegur di tebing sungai. Tersengih-sengih Lasah Tepok meranduk air semasa balik dari sawah sebaik sahaja ternampak Siti Dinah membasuh kain di perdu pokok kelepung.

"Boleh aku tumpang mandi?" tutur Lasah Tepok lembut untuk memikat hati gadis berkenaan.

Siti Dinah tidak pun menyahut. Malah dia tidak berpaling pun memerhatikan Lasah Tepok menggalas tajak menuruni tebing sungai hingga meranduk ke tengah. Tahu sangat dia perangai Lasah Tepok yang suka mengusik siapa sahaja gadis yang terserempak.

Tetapi Lasah Tepok sekadar mahu menegur. Apa salahnya dia bertegur sapa sewaktu terserempak di mana-mana. Kenapa pula gadis-gadis di kampung meluat sangat dengan dia sekiranya mahu beramah mesra. Tentulah mereka semua bencikan dia disebabkan kakinya yang tepok.

"Memang mereka hina aku, kerana aku tepok!" ujar Lasah Tepok meluahkan rasa terkilan di hadapan emak-nya. Mak Sunah tidaklah ambil peduli sangat rungutan anaknya, kerana dia percaya Lasah Tepok sekadar mampu merungut sahaja. Apalah yang boleh dilakukan oleh anaknya yang tepok sejak dilahirkan itu.

Kalau tidak disebabkan Lasah Tepok dihinggapi demam panas sewaktu usianya dua bulan, Mak Sunah percaya anaknya tidak tepok demikian. Ketika bayi kecil itu terkejang dengan badan meruap panas, Dukun Simek sudah beritahu dia mengenai badi biawak yang mencari geruh.

Memang salah suaminya Malim Geceh membunuh biawak dengan menetak bahagian kaki hingga terkulai tidak dapat merangkak, sewaktu dia tengah sarat mengandungkan Lasah Tepok. Marah benar Malim Geceh disebabkan biawak berkenaan menyusup masuk ke dalam tarang induk ayamnya tengah galak mengeram. Habis telur ayam di dalam tarang digonggong biawak laknat itu.

Masakan dia dapat menahan sabar dalam saat demikian, kecuali mencapai parang panjang. Terhendap-hendap dia di bawah rumah mendekati tarang ayam mengeram biar biawak berkenaan tidak dapat lari ke mana. Tetapi biawak laknat itu mudah sahaja tercium bau manusia. Sempat dia terjun ke tanah sebelum Malim Geceh mendekati tarang tersebut.

Sebab itu Malim Geceh tidak bertangguh menghayun parang panjang yang tergenggam erat di tangan. Dia tidak peduli di mana pun mata parangnya singgah asal sahaja biawak itu tidak dapat melepaskan diri. Kepantasan Malim Geceh juga bukan kepalang, hingga tetakannya tidak sia-sia begitu sahaja. Sekali gus mata parangnya hinggap di bahagian paha biawak menyebabkan binatang itu tidak mampu bergerak pantas setelah pangkal pahanya terkibak.

Dalam saat biawak itu terkial-kial merangkak, Malim Geceh sekali lagi menghayun mata parang mene-tak di bahagian tengkuk biar kepala biawak terpenggal. Tidak sia-sia dia mengasah mata parang panjang penebas itu setiap hari sehingga tajam tidak bersisa. Sekali tetak sahaja kepala biawak tersebut terpenggal sampai terkulai macam batang mengkudu ditebas tengah belukar.

Memang badi biawak itulah yang menjadi geruh bayi kecil baru dua bulan dilahirkan itu. Marah benar emak mertuanya pada Malim Geceh disebabkan mem-bunuh biawak tatkala isteri sendiri sedang sarat mengandung. Sudah dipantangkan oleh orang tua-tua supaya tidak membunuh binatang semasa isteri sarat mengandung kerana bimbang badi akan menimpa bayi dalam kandungan. Disebabkan Malim Geceh melanggar pantang larang orang tua-tua itulah bayinya yang baru lahir dua bulan ditimpa bencana geruh. Terkejang bayi itu dengan air liur meleleh hingga mata terbalik putih. Menggeleng kepala Dukun Simek setelah melihat air di dalam geluk kerana bayi itu ditimpa geruh badi biawak.

Tetapi Malim Geceh tetap percaya anaknya tidak ditimpa badi geruh biawak yang menceroboh tarang ayamnya. Bukan binatang laknat itu sahaja wajar dibunuh, kalau manusia juga menceroboh dia perlu bertindak balas. Tidak ada sebab dia mesti tunduk dengan bencana geruh badi, sekiranya biawak laknat itu menceroboh ternakannya.

Malim Geceh percaya , bayinya itu ditimpa demam panas meruap seluruh badan. Dia sendiri jaramkan kepala anaknya dengan air daun pulasan biar sejuk menusuk ke kulit. Kalau harapkan jampi serapah Dukun Simek sahaja belum tentu demam panas itu boleh sembuh betul.

"Kenapa kau jaram dengan air daun pulasan?" gerutu emak mertuanya Uda Kijah apabila Malim Geceh tidak pedulikan air ubat Dukun Simek siap dijampi. Air di dalam geluknya sudah dicampur dengan bunga raya tujuh kuntum dan mayang pinang muda tujuh urai. Apabila Dukun Simek sudah jampikan bunga raya di dalam geluk air, bermakna dia sudah berubat air tawar besar.

Tentu badi biawak itu sudah semakin pasang menyebabkan Dukun Simek berubat air tawar besar. Sebab itu dia pantangkan tidak boleh memasak barang yang boleh kecut dalam tempoh tiga hari; tidak boleh memanggil dari tengah halaman, dilarang menghalau binatang dengan bersuara! Pantang larang ini mesti dipegang oleh seisi rumah.

Biar apapun pantang larang ditetapkan oleh Dukun Simek, tidak dipedulikan langsung oleh Malim Geceh. Biarlah anaknya cabuh pantang kalau dia jaramkan dengan air daun pulasan untuk membuang wap panas di dalam tubuh anaknya. Tersinggung juga Dukun Simek dengan sikap Malim Geceh seolah-olah tidak menghargai jasa baiknya.

Lama juga bayi itu terkejang baru dapat dipulihkan. Malim Geceh tetap sabar menghadapi dugaan apabila anaknya diserang demam panas yang membahang. Biarlah emak mertuanya Uda Kijah menceceh salahkan dirinya, Malim Geceh tetap jaramkan air daun pulasan itu ke seluruh tubuh anaknya.

Tidak lama selepas bayi itu sembuh daripada terkejang tidak sedarkan diri, Malim Geceh pula ditimpa sakit perut cirit birit sepanjang hari. Tiga hari dia menghidap cirit birit itulah Malim Geceh meninggal dunia setelah berak darah tidak berhenti.

Memang Uda Kijah menuduh menantunya bertukar nyawa akibat badi biawak yang menimpa anak kecilnya, sekalipun Lebai Besar ingatkan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak pernah menukar nyawa sesiapa pun.

Akibat demam panas yang menimpa Lasah Tepok itulah menyebabkan dia tepok apabila membesar hingga sebelah kakinya goyah tatkala melangkah. Uda Kijah percaya sangat malang yang menimpa cucunya itu memang berpunca daripada sikap arwah menantunya Malim Geceh cabuh pantang. Geruh badi biawak yang ditetak paha itulah yang menyebabkan Lasah Tepok terpaksa menanggung padah.

"Sebab aku tepok, orang nak hinakan aku!" Lasah Tepok menggertap bibir sambil mengurut-urut kakinya yang tepok.

"Perasaan kau aje macam tu," sahut Mak Sunah mengerling anaknya yang terlentang di tempat tidur dengan dua tangan terlanggung di kepala.

"Biarlah mereka nak cakap apapun, bukannya kau rugi apa-apa," dia me-nambah dengan tersengih-sengih.

"Aku akan ajar mereka," ujar Lasah Tepok mencemik muka bagai menyimpan dendam yang membara.

"Siapa yang kau marahkan sangat ni?" sengaja Mak Sunah mahu menguji hati anaknya yang bergejolak dengan perasaan marah itu.

"Ah, semua orang kampung pun sama," jelas Lasah Tepok merenung kasau atap rumah lantas meletakkan dua tangannya ke dada pula.

"Agaknya kau marahkan Mail Repol, Juki Bular, Mat Jimin?" Mak Sunah ter-senyum mengusik anaknya.

Tetapi Lasah Tepok tidak menyahut. Dia mencebek bibir menahan perasaan marah yang meluap-luap. Sebesar hama pun dia tidak berdendam dengan Mail Repol, Juki Bular atau Mat Jimin. Tidak ada sebab dia berdendam kalau sekadar Mail Repol mampu menarik kerbau membajak di sawah sampai sejenjang habis, atau Juki Bular gagah mengheret manau sepuluh kabung di lereng bukit, atau Mat Jimin bergayut pantas meniti dahan petai di tengah hutan.

Satu-satunya yang terbuku di hati Lasah Tepok memang Siti Dinah yang tidak mahu berpaling pun menatap mukanya di mana sahaja terserempak. Sombong benar anak gadis Pak Kubir itu, seolah-olah di dalam kampung tidak seorang pun anak muda layak meminangnya.

Hampa juga hati Mail Repol apabila pinangannya ditolak setelah tepak sirih diusung ke rumah Pak Kubir. Tetapi Mail Repol tidak ambil hati sangat apabila peminangan ditolak oleh Pak Kubir. Apa sangat dia mahu harapkan Siti Dinah kalau sudah bukan jodohnya!

Sebab itu Mail Repol meminang Mahawa berkulit hitam manis yang mempunyai hubungan kekeluargaan dua pupu dengannya. Memang sudah jodohnya dengan Mahawa, dia rela menerima Mail Repol menjadi suaminya.

"Buat apa kau jadi pungguk rindukan bulan," ejek Mail Repol nasihatkan Lasah Tepok disebabkan berkeras sangat dia mahu memikat Siti Dinah. Kalau anak muda tampan lagikan Siti Dinah tidak sudi menjeling mata pun, masakan Lasah Tepok boleh diterimanya.

"Kau fikir aku tepok, tak ada perempuan mahu?" gerutu Lasah Tepok geram kerana diejek demikian.

"Sedarlah sikit diri kau tu, tepok!" sengaja Mat Jimin menyakiti hati Lasah Tepok yang tidak mahu mengalah kalau bertegang leher di manapun. "Nak memikat Siti Dinah konon, lembu betina pun belum tentu sukakan kau," katanya keras menyebabkan Lasah Tepok benar-benar tersinggung.

Marah Lasah Tepok tidaklah tertumpu pada Mat Jimin, tetapi dendamnya membara setiap kali kenangkan Siti Dinah meludah ke tanah tatkala dia menegurnya dengan ramah. Tidak patut gadis itu menghina dia, kalau sekadar mahu bertegur sapa apabila terserempak di tengah jalan.

Masakan menjadi kesalahan kalau dia memuji kejelitaan Siti Dinah yang terkedek-kedek menjinjang bakul berisi kain basuhan. Tetapi gadis itu tidak mahu menyahut apabila ditegur ramah oleh Lasah Tepok. Sebab itu tidak bertangguh Lasah Tepok menghadang jalannya biar dia dapat menatap wajah Siti Dinah.

Disebabkan marah benar dihadang oleh Lasah Tepok, lantas Siti Dinah me-ludah ke tanah meluahkan rasa meluat yang terpendam. Biar Lasah Tepok sedar,, selamanya dia tidak sudi didampingi oleh lelaki yang mengada-ngada tidak se-darkan diri sendiri tepok sampai melangkah goyah tidak bertenaga.

Memang tersinggung benar Lasah Tepok diludah Siti Dinah. Meludah ke tanah pun samalah macam meludah ke muka dia juga. Alangkah malunya dia dihina demikian oleh Siti Dinah. Apalagi Mail Repol dan Mat Jimin melihat sendiri dia diludah macam sampah tidak berguna di tepi longkang.

Selepas diludah Siti Dinah itulah Lasah Tepok meninggalkan kampung halamannya terus ke Pahang. Tahu sangat Mak Sunah tentu anaknya ke Telemong membawa diri ke rumah bapa saudaranya di sana. Aki Cubin juga terkilan apabila diberitahu dengan kejadian cucu saudaranya diludah anak gadis di hadapan orang.

"Kau kena cari air mata duyung," tegas Aki Cubin mendesak Lasah Tepok supaya berusaha menebus malu. Pantang datuk nenek moyangnya diludah perempuan kalau tidak bertindak balas biar sampai melutut meminta maaf.

"Sebab itu aku cari aki ni," sahut Lasah Tepok se-olah-olah orang mengantuk disorongkan bantal apabila datuk saudaranya itu sudah memberikan jalan.

"Kau mesti tahan diuji," beritahu Aki Cubin meng-usap muka dengan dua belah tapak tangannya. Kalau dia diludah Siti Dinah, memang gadis itu sengaja mencari nahas. Tidak perlu dia gunakan air mata duyung direnjiskan ke tubuh Siti Dinah, memadai sahaja tepuk bantal di tengah ma-lam.

Di Telemong memang seisi kampung tahu sangat mengenai Aki Cubin tatkala mudanya kalau dicabar perempuan. Limah Janda balik dari bekerja di estet berkali-kali dicubanya tidak juga mahu mengalah apabila ditegur sapa, lantas sahaja dilambungnya bantal di tengah malam.

Tiga kali Aki Cubin menepuk bantal tidurnya dengan membacakan jampi serapah :

Hai insan wandi insan, hai wandi mani manikam, aku tahu asal kau jadi, masuk ke batang tubuh aku, kembali kepada dia, hu Allah.

Setelah itu dilambungnya bantal tersebut tiga kali hingga sampai cecah ke kasau atap.

Ketika dia mahu me-rebahkan kepalanya ke bantal, Aki Cubin menepuk lagi tiga kali dan membaca-kan:

Qul in-quntum tuhib-bunallahha fatab 'uni, ya Limah Janda binti Hawa, yuhibbu qumullah,

dengan diulangi tujuh kali.

Esok paginya sewaktu dia turun ke telaga, tiba-tiba sahaja Limah Janda sudah menunggu di situ. Tersipu-sipu Limah Janda apabila ditegur sapa oleh Aki Cubin sampai dia menyahut dengan ramah mesra. Bila-bila sahaja Limah Janda sanggup menerima Aki Cubin sekalipun keluarganya menentang keputusan dia. Hati Limah Janda sudah bertekad mahu menerima Aki Cubin menjadi suaminya.

Bukan takat Limah Janda sahaja tunduk dengan kemahuan Aki Cubin. Gadis Cina yang sama-sama menoreh getah di estet tiba-tiba sahaja sanggup mematuhi kemahuan Aki Cubin. Bukan calang-calang orang boleh memikat Ah Ying yang putih melepak apabila membuka tutup kepalanya selepas habis menoreh.

Beberapa orang lelaki Cina sudah cuba memikat Ah Ying, tetapi dia tetap melarikan diri macam merpati yang jinak bermain di tengah halaman sahaja. Kalau dilayan berbual memang Ah Ying terlalu ramah dengan senyuman yang men-debarkan hati Aki Cubin.

 "Ah Ying, mari kita kahwinlah," sengaja Aki Cubin luahkan perasaannya kerana bimbang gadis Cina itu terpikat dengan lelaki Cina yang lain.

"Siapa mahu sama lu, Cubin," sahut Ah Ying bergurau dengan melirik senyum manja.

"Apa fasal?" terkejut juga Aki Cubin apabila Ah Ying menolak sekalipun sekian lama melayaninya penuh mesra.

"Lu punya kulit hitam, gua putih, tentu tak padan," ejek Ah Ying bergurau sengaja mahu menyakiti hati Aki Cubin.

Tetapi gurauan Ah Ying itu menyebabkan hati Aki Cubin terguris. Mentang-mentang kulitnya hitam berjemur menarah rumput di estet, Ah Ying hinakan dia di hadapan orang lain yang berkumpul di tempat menyimpan susu getah. Malu benar dia ditertawakan orang apakala diejek demikian oleh Ah Ying.

Perlahan-lahan Aki Cubin mengeluarkan rokok di saku. Tidak bertangguh dia bacakan jampi serapah :

Hak kata tolak telan, lidah eng-kau Ah Ying kepada aku Cubin, kalau mahu jabat tangan ke atas, kalau tak mahu jabat tangan ke bawah, aman yang punya kata, hak yang memberi-tahu, berkat la-illahha illallahhu...

Asap rokok itu sengaja dihembuskannya ke arah Ah Ying sampai gadis Cina itu tersedut bau rokoknya. Sebaik sahaja asap rokok itu berkepul menerjah ke arah-nya, Ah Ying mengusap rambutnya tiga kali. Kemudian dia mengerling ke arah Aki Cubin melemparkan senyumnya.

"Cubin, kasi gua hisap rokok lu," terus sahaja Ah Ying mencapai rokok di bibir Aki Cubin lantas dihisapnya dua tiga kali. Terkejut juga beberapa orang yang berkumpul di situ apabila Ah Ying tidak teragak-agak menghisap rokok yang di-capai dari bibir Aki Cubin.

"Aku hitam Ah Ying, kenapa mahu hisap sisa aku?" Aki Cubin berpura-pura merendahkan diri un-tuk menguji hati gadis Cina itu.

"Apa salah gua sayang sama lu, Cubin," sahut Ah Ying berair-air mata di-singgahi asap rokok.

Memang hubungan Aki Cubin dengan Ah Ying menimbulkan kekecohan juga di kawasan estet. Marah benar keluarga Ah Ying disebabkan memilih lelaki Melayu. Di dalam kawasan estet yang tebal dengan perasaan perbezaan masyarakat memang keluarga Ah Ying tidak suka anaknya berkahwin dengan pemuda Melayu. Lainlah kalau takat berkawan biasa sahaja disebabkan sama-sama di tempat kerja.

Kekecewaan hatinya menyebabkan Aki Cubin berhenti kerja di estet berkenaan. Dia balik ke kampung setelah mengambil keputusan untuk berpisah dengan Ah Ying. Terasa juga kesal di hati Aki Cubin kerana melanggar pantang larang gurunya Pak Mahadan supaya tidak kenakan amalan tersebut kepada perempuan bukan Islam.

Sudah diingatkan oleh Pak Mahadan amalan ilmu pengasih hanya digunakan kepada perempuan yang boleh dikahwini. Kalau terkena isteri orang atau perempuan bukan Islam tentulah mudarat kepada diri apabila hati masing-masing sudah sama-sama terpaut.

Lama juga Aki Cubin mamai tidak menentu se-lepas balik ke kampung akibat berpisah dengan Ah Ying. Kalau dia berkeras mahu meneruskan hubungan tentu keluarga gadis Cina itu akan memukulnya. Mereka percaya tentu Aki Cubin gunakan jampi serapah memikat anak gadisnya.

Tetapi tidak lama selepas itu Aki Cubin mendengar juga khabar mengenai Ah Ying mati meminum cuka getah di estet. Hiba juga hati Aki Cubin dengan kejadian yang menimpa Ah Ying yang mengambil keputusan demikian setelah dihalang oleh keluarganya membuat hubungan dengan Aki Cubin.

"Kau mesti ajar perempuan macam tu, Lasah!" ujar Aki Cubin tidak berkedip mata menatap muka cucu saudaranya itu. Dia mahu biarlah Siti Dinah menerima nasib yang sama dengan Ah Ying sekiranya keluarga perempuan itu berkeras menghalang kemahuan anaknya mengasihi Lasah Tepok.

"Sebab itulah aku jumpa, aki," sahut Lasah Tepok menyimpan harapan yang terlalu tinggi. Sia-sia dia datang jauh ke Telemong di Pahang kalau balik dengan tidak membawa apa-apa hasil. Dia mahu buktikan pada orang-orang kampung setepok-tepok dirinya, Siti Dinah akan tunduk juga melutut.

Tetapi Lasah Tepok ti-dak takat amalkan jampi serapah sahaja. Dia sanggup bertapa di tengah hutan biar dapat air mata duyung. Jangan kata hati manusia yang keras tidak boleh dipujuk, besi tercancang juga akan cair apabila disimbah dengan air mata duyung yang diperolehi tatkala bertapa.

Aki Cubin yang turun-kan amalan supaya dia ber-tapa di atas busut jantan menghadap anak air di pinggir hutan. Lasah Tepok sanggup lakukan apa sahaja asalkan tercapai untuk menemui puaka yang me-nyimpan air mata duyung.

Tiga malam dia bertapa di atas busut jantan, tiba-tiba belukar di kiri kanan bergegar kuat dirempuh orang. Tatkala bulan tengah mengambang penuh, memang Lasah Tepok nampak biawak besar merangkak terhangak-hangak di celah belukar.

Sebaik sahaja biawak itu menjelma di tepi busut tidak bertangguh ekornya dilibas ke tanah hingga terasa bergegar sampai ke isi perut Lasah Tepok. Hampir juga dia termuntah akibat memual-mual perut sewaktu biawak besar melibas ekor ke tanah.

Di dalam kesamaran cahaya bulan itulah Lasah Tepok nampak kepala biawak bergoyang-goyang menakutkan dia. Lama ke-lamaan badan biawak itu bertukar menjadi lelaki tua bertubuh kurus, tetapi ekor biawaknya masih kekal tidak berubah. Lelaki itu memberitahu dia mengenai dirinya Onyeng Duyung yang terkena sumpahan turun temurun menyebabkan ekor biawak tidak dapat dihapuskan dari tubuhnya.

"Sumpahan ini turun temurun," beritahu Onyeng Duyung melibas-libas ekor biawaknya ke kiri dan ke kanan.

Lasah Tepok mengangguk. Dia menerima apa sahaja pantang larang yang ditetapkan asalkan air mata duyung boleh digunakan memikat Siti Dinah. Dia yakin Siti Dinah akan dirundung kesedihan sepanjang masa sekiranya tidak menatap mukanya selepas direnjiskan air mata duyung itu. Bukan Siti Dinah sahaja akan menerima padah, malah siapa sahaja perempuan mahu tunjuk hidung tinggi di hadapannya tidak akan terlepas daripada bahana air mata duyung.

Sudah lama dia mengetahui mengenai air mata duyung menjadi ubat pengasih. Tetapi Lasah Tepok tidak tahu bagaimana amalan mahu mendapatkannya. Memang dia berangan-angan sekiranya air mata duyung itu diperolehinya, dia akan gunakan kepada siapa sahaja perempuan cantik.

Tetapi takat air mata duyung sahaja tidak akan memberi makna apa-apa, sekiranya dia dijerkah lelaki perkasa atau keluarga perempuan. Dia perlu amalan lain yang mampu menentang siapa sahaja kalau berkeras menghalang kemahuannya!

Belum sempat dia membuka mulut meluahkan rasa keinginan yang menyubur dalam jiwanya, Onyeng Duyung sudah menghulurkan ketul putih sebesar kuku kelengkeng. Terketar-ketar Lasah Tepok menyambut pemberian Onyeng Duyung yang berbau bagaikan kemenyan dibakar.

"Ambil tulang duyung tu," ujar Onyeng Duyung tersengih-sengih semacam mengejek Lasah Tepok. "Buatlah batu cincin dan pakai tiap-tiap hari di jari manis kau," katanya memberi tunjuk ajar supaya dituruti oleh anak muda tepok yang berdendam kuat itu.

Sebaik sahaja dia serahkan tulang duyung dan air mata duyung yang diberi jelmaan Onyeng Duyung itu kepada Aki Cubin, tidak bertangguh orang tua itu asapkan dengan kemenyan. Dia sudah menduga memang Lasah Tepok akan mendapat barang-barang tersebut setelah bertapa menempuh banyak dugaan.

Bukan mudah mahu menyeru Onyeng Duyung sampai menjelma memberikan air mata duyung dan tulang duyung yang boleh dijadikan khasiat pengasih. Tatkala balik ke kampung, Lasah Tepok sudah memakai cincin suasa diikatkan tulang duyung itu.

Sampai sahaja di rumah Lasah Tepok bertanyakan kepada emaknya mengenai Siti Dinah. Sebaik sahaja diberitahu oleh Mak Sunah fasal Siti Dinah akan ber-kahwin dengan pemuda di Kampung Hilir, menyirap sahaja darah Lasah Tepok. Dia merasakan dirinya dicabar kalau membiarkan sahaja Siti Dinah berkahwin dengan orang lain.

Seminggu selepas Lasah Tepok balik ke kampungnya, tiba-tiba sahaja Siti Dinah mengambil keputusan tidak mahu berkahwin dengan tunangnya Mat Banat. Gempar juga keluarga Mat Banat dengan keputusan Siti Dinah secara mendadak sahaja tidak mahu berkahwin.

Tetapi keputusan Siti Dinah bukan dipersetujui oleh Pak Kubir. Tidak ada sebab anak gadisnya membantah setelah dia menerima Mat Banat menjadi suami. Hanya beberapa hari kemudian baru Pak Kubir tahu memang angkara Lasah Tepok menyebabkan anaknya berubah fikiran demikian.

Sewaktu diberitahu Siti Dinah bertahan tidak mahu balik di rumah Lasah Tepok, memang Pak Kubir tidak terkejut apa-apa. Dia sudah mengagak tentu anaknya sudah diperangkap dengan ilmu pengasih. Tahu benar Pak Kubir fasal anak gadisnya membenci Lasah Tepok sebelum lelaki itu meninggalkan kampung halaman. Tiba-tiba sahaja Siti Dinah tidak boleh berenggang dengan Lasah Tepok tentulah disebabkan ilmu pengasih. Pak Kubir dapat mengagak beberapa bulan Lasah Tepok menghilang, tentulah mencari amalan yang boleh menundukkan Siti Dinah.

"Panggil aje Dukun Simek biar dia jampikan pembenci," Andak Bibah mendesak suaminya Pak Kubir. Satu-satunya yang boleh diharapkan memang Dukun Simek yang pernah mengubati Lasah Tepok tatkala ditimpa badi biawak semasa bayinya.

"Buat apa panggil Dukun Simek?" gerutu Pak Kubir menggertap bibir menahan perasaan geram. Tidak guna dia menjemput Dukun Simek, kerana puncanya sudah diketahui. Sudah jelas kepadanya memang Lasah Tepok yang melakukan kerja memerangkap anak gadisnya dengan ilmu pengasih.

"Dia guna ilmu pengasih, kita guna ilmu pem-benci!" tegas Andak Bibah kecewa dengan perbuatan Lasah Tepok. Dia tidak mahu berkeras kerana bimbang Siti Dinah akan ditimpa bencana yang lebih teruk. Kalau boleh dia perlu berlembut memujuk Lasah Tepok supaya lepaskan sahaja Siti Dinah daripada perangkap ilmu pengasih itu.

"Tak guna berlembut dengan budak tu!" marah benar Pak Kubir apabila kenangkan anak gadisnya tidak mampu berenggang dengan Lasah Tepok.

Lantas sahaja dia menyerbu ke rumah Mak Sunah mendesak Siti Dinah supaya balik ke rumah. Tetapi Siti Dinah berpaut di bahu Lasah Tepok tidak mahu berenggang kalau ayahnya terus berkeras mendesak.

Pak Kubir sendiri terkaku sebaik sahaja bertentang mata dengan Lasah Tepok. Hatinya yang memberang tiba-tiba sahaja berubah menjadi belas kasihan hingga rela menerima lelaki tepok itu menjadi menantunya. Saat ini memang Lasah Tepok menggosok-gosok tulang duyung yang dijadikan batu cincin sambil tumit dikisarkan ke lantai.

Selepas berkahwin dengan Siti Dinah, sikap Lasah Tepok bertambah angkuh. Siapa sahaja perempuan yang diidamkannya, dia tidak akan lepaskan daripada genggamannya. Sudah beranak dengan Siti Dinah dia tetap tidak mengubah perangainya. Siti Dinah tidak berani membuka mulut untuk menegur sekalipun Lasah Tepok membawa balik perempuan balik ke rumah.

Seisi kampung juga tidak berani menegur perbuatan Lasah Tepok. Bimbang juga mereka sekiranya lelaki itu mengganggu anak-anak gadis mereka pula sekiranya menghalang kelakuannya. Lasah Tepok semakin keras kepala setelah orang-orang kampung terpaksa mematuhi sahaja tingkah lakunya.

Masakan mereka boleh menyergah Lasah Tepok tatkala anak gadis diganggu. Cukuplah dengan menggosok batu cincin sahaja, mereka akan lemah tidak berani angkat muka untuk menatap wajah Lasah Tepok. Mereka akan menyerah apa sahaja menurut kemahuan lelaki berkenaan.

Mail Repol yang menggenggam ulu parang erat-erat menyerbu ke rumah Lasah Tepok tatkala adiknya Raminah menyerah diri ke rumah lelaki tersebut, tidak tergamak mahu menerkam sebaik sahaja menatap wajah Lasah Tepok. Hatinya pilu kalau tidak menyerahkan Raminah kepada Lasah Tepok yang tersenyum menunggu dia menyerbu dengan parang terhunus.

Siapa lagi berani menghalang Lasah Tepok, kalau keluarga mereka datang menyerah diri kepada lelaki berkenaan? Tidak ada perempuan dapat melepaskan diri apabila Lasah Tepok sudah mengasapkan cincin dan air mata duyung pemberian Onyeng Duyung setelah nama mereka diseru.

"Kenapa abang Lasah masih mahu kahwin juga, tak cukupkah?" tersengguk-sengguk Siti Dinah merayu setelah tidak tertahan dengan perbuatan Lasah Tepok yang sudah melampaui batas.

"Bukan aku yang gilakan perempuan, tapi perempuan itu datang menyerah diri pada aku," beritahu Lasah Tepok bangga sambil menepuk-nepuk dadanya.

"Tapi, abang Lasah gunakan air mata duyung," lantas Siti Dinah membuka rahsia suaminya selama itu.

"Mana kau tahu!" jerkah Lasah Tepok tersinggung apabila diungkit mengenai air mata duyung itu.

"Tak payahlah abang Lasah berdalih," sahut Siti Dinah mencebek bibir. Dia tahu sangat rahsia suaminya menggunakan air mata duyung, kalau hatinya dilukai oleh perempuan. Tetapi perempuan berkenaan tidak akan menyinggung hati Lasah Tepok, kalau suaminya tidak mengganggu.

Di mana sahaja Lasah Tepok menemui wanita muda dia segera merapati lantas menegur. Lasah Tepok tidak akan menegur ber-tanyakan khabar, tetapi bertujuan untuk memikat. Tentulah hati perempuan tersinggung apabila lelaki tepok demikian bersikap gatal tidak menentu. Mudah sahaja mereka terlepas cakap mengejek Lasah Tepok.

Sebaik sahaja terlepas cakap mengejek inilah, Lasah Tepok akan gunakan air mata duyung di dalam botol. Dia akan asapkan dengan kemenyan sambil menyeru nama perempuan yang melukai hatinya itu.

"Selama ini kau intip aku ke?" bentak Lasah Tepok marah apabila Siti Dinah ungkit fasal air mata duyung itu.

Siti Dinah mengaku dia tahu sangat mengenai air mata duyung yang disimpan baik-baik di dalam peti kayu. Selepas Siti Dinah mengakui itulah dia jatuh sakit sampai terlantar lebih sebulan. Memang Lasah Tepok tidak dapat membantu apa-apa bila isterinya tahu mengenai rahsia dirinya selama ini.

Selepas Siti Dinah meninggal dunia, setiap senja Lasah Tepok mengulangi kubur isterinya. Dia tidak dapat menahan kekecewaan hingga menyebabkan kematian Siti Dinah. Kalaulah dia tidak mengungkit mengenai air mata duyung itu tentulah Siti Sinah tidak membukakan rahsia dirinya selama ini hingga ramai perempuan tidak mahu berenggang darinya.

Tiga bulan Lasah Tepok mengulangi kubur Siti Dinah, beransur-ansur dia menjadi tidak siuman. Lasah Tepok akan berhenti di mana-mana sahaja terserempak tunggul pokok, lantas bercakap-cakap memanggil Siti Dinah. Bertahun juga Lasah Tepok menghidap tidak siuman sebelum dia meninggal dunia.

"Udin Tinjut ni memang cucu Lasah Tepok, ustaz," ujar bapa mertuanya Pak Magan perlahan sambil menatap muka saya. Udin Tinjut juga mengangguk lemah, tetapi dia sendiri tidak tahu menahu mengenai air mata duyung tersebut.


No comments:

Post a Comment