Sunday, December 20, 2015

155. BADI BIAWAK ONYENG DUYUNG



     PERCAYA sangat Udin Tinjut fasal ayamnya berkaki tiga itu boleh membawa tuah dalam kehidupan keluarganya. Dipujuk juga oleh Ah Kong tauke kedai di pekan kecil supaya jualkan sahaja ayam tersebut seratus ringgit, tetapi Udin Tinjut tetap berkeras tidak mahu ayam jantannya itu dijual.
Kalau mahu dikatakan ayam berkenaan berkaki tiga tidak nampak pula kakinya yang satu lagi itu berjejak ke tanah. Hanya bergantung sahaja berbuai-buai apabila mengekas di mana-mana. Tidak ada apa pun bezanya dengan ayam-ayam lain yang dipelihara oleh Udin Tinjut.
"Saya percaya ayam ni ada tuah, ustaz," jelas Udin Tinjut memperagakan ayam tersebut kepada saya. Memang ayam jantannya yang satu itu terlalu jinak hingga makan pun memagut di atas tangan Udin Tinjut.
Tidak hairan sangatlah kenapa ayam tersebut terlalu jinak, kalau dididik sejak kecil demikian. Tentulah setiap hari Udin Tinjut bubuh beras di tapak tangan sorongkan pada ayam itu sampai besar sehingga boleh berkokok nyaring.
Memang Udin Tinjut tidak campurkan ayam berkaki tiga itu dengan ayam ternaknya yang lain. Sengaja dibuat serkap asingkan ayam tersebut daripada masukkan ke reban yang sama. Dia perlu khaskan tempat istimewa untuk ayam jantan yang boleh membawa tuah kepada kehidupan keluarganya.
Tetapi isterinya Jibah tidak percaya sebesar hama pun fasal ayam jantan berkaki tiga itu mempunyai tuah. Sudah lebih setahun dia menternak, tidak ada apa-apa perubahan dalam kehidupan mereka sekeluarga. Masih juga hidup terkial-kial mencari nafkah menoreh getah dan berkebun sayur di keliling rumah.
"Jibah mana tahu fasal tuah ayam," tutur Udin Tinjut mencebek. bibir disebabkan tersinggung isterinya tidak mahu mempercayai pendapat dia. "Orang perempuan memang pendek akal," tuduhnya melepaskan geram yang mendongkol di hati. Kecewa sangat dia apabila Jibah tidak mahu memberikan perhatian pada ayam jantan berkaki tiga itu.
Terpekik juga Udin Tinjut melepaskan marah tatkala Jibah membaling ayam berkenaan dengan kayu api apabila menyerbu padi jemuran di hujung halaman. Tidak patut Jibah tunjuk berani mahu memukul ayam kesayangannya yang membawa tuah dalam hidupnya.
Semenjak ayam berkaki tiga itu dipeliharanya, rezekinya banyak mencurah masuk. Habis sahaja menoreh getah, Pak Mursit ketua kampung minta buatkan reban ayam. Timah Juling juga minta sambungkan dapur rumah. Bila-bila pun ada sahaja orang kampung upahkan dia bertukang sampai dia sendiri tidak cukup masa terluang.
Masakan Jibah tidak nampak tuah yang datang setelah memelihara ayam jantan berkaki tiga itu. Memang rezekinya bertambah. Tetapi rezeki bertambah itu tidak macam batu bergolek meluru ke tengah halaman. Dia terpaksa berusaha sama ada ayam jantan berkaki tiga itu terconggok ataupun tidak.
Tetapi Udin Tinjut memang terasa sangat perubahan semenjak dia memelihara ayam itu. Mudah sahaja orang-orang kampung mengupahnya bertukang kayu. Sekalipun pendapatannya tidak seberapa, namun Udin Tinjut lega juga. Dia tidak mengeluh panjang kalau kenangkan dapur tidak berberas. Duitnya sentiasa ada dalam simpanan di bawah lipatan kain di dalam gobok.
"Ayam tu memang bertuah, yang tak bertuahnya awak tu," gerutu Jibah mengejek sikap suaminya yang percaya dengan perkara yang karut marut tidak menentu.
"Awak tahu, rezeki awak selama ni kerana tuah ayam tu!" bentak Udin Tinjut menggertap bibir.
"Rezeki di tangan Tuhan, bukannya pada tuah ayam," ujar Jibah tidak mengalah kalau suaminya terus juga berkeras.
Terdiam Udin Tunjut. Memang kata-kata isterinya benar. Siapa pun tahu rezeki datangnya daripada anugerah Allah, bukannya tuah binatang seperti ayam jantan berkaki tiga itu. Kalau Allah tidak menurunkan rezeki, masakan tuah ayam itu boleh membantunya mendapatkan rezeki?
Tetapi dia tetap percaya memang disebabkan ayam berkaki tiga itulah Allah memberikan banyak rezeki kepadanya. Sebab itulah dia tidak pernah mengelak kalau orang-orang kampung mengupah bertukang. Macam mana letih pun badannya Udin Tinjut tetap gagahi juga bertukang biar orang yang mengupah puas hati.
"Saya takkan jual ayam ni, ustaz," tegas Udin Tinjut ketika saya datang ke rumahnya meminta dia buatkan reban ayam di belakang rumah. Ketika itu duduk di kampung pendalaman demikian memang isteri saya gernar menternak ayam.
Lagipun Cikgu Suhut sudah memberitahu mengenai Udin Tinjut sanggup buatkan reban ayam. Bukanlah besar sangat reban yang hendak dibuat itu, tetapi memang saya tidak tahu bertukang. Sekali sekala diejek juga oleh isteri saya kerana membuat reban ayam hanya buka sedepa sahaja, terpaksa meminta Udin Tinjut buatkan.
Apabila saya membelek-belek ayam Udin Tinjut itu tidak tergamak pula saya mahu memberitahu ayamnya itu cacat. Apa sangat mahu dibanggakan ayam berkaki tiga, kerana Karrupaya yang duduk di estet tidak jauh dari situ pun pernah memelihara lembu berkaki lima.
Sekalipun kawan kawannya percaya lembu itu bertuah, tetapi Karrupaya akan pukul juga apabila lembu tersebut terlepas ikatan. Marah benar dia sekiranya binatang itu merempuh masuk ke kebun pisang jirannya di belakang dapur. Sebelum jirannya melilau marahkan lembu itu menceroboh setelah terlepas ikatan, biarlah dia sendiri memukulnya melepaskan geram.
Karrupaya tidak peduli sama ada lembu berkenaan bertuah ataupun tidak. Tatkala lembu itu mahu dibeli orang, tidak bertangguh sahaja Karrupaya bersetuju. Biarlah lembu itu dibeli orang, dia tidak akan bertahan fasal keganjilannya berkaki lima. Bila-bila induk lembunya akan beranak lagi sampai membiak banyak.
Tatkala membuatkan reban ayam saya, Udin Tinjut beritahu juga isteri saya mengenai ayam berkaki tiga yang dipeliharanya itu. Bangga sangat dia kerana memelihara binatang yang dianggapnya ganjil, hingga tidak siapa pun orang-orang di kampung tersebut memilikinya.
Sewaktu membuat reban ayam di rumah saya inilah, Samah anak lelaki Udin Tinjut berumur baru sepuluh tahun berlari datang memberitahu ayamnya diserbu biawak. Memang terdengar bunyi ayam terbebar di baruh rumahnya dari rumah saya itu.
Tidak bertangguh Udin Tinjut balik ke rumahnya sebaik sahaja diberitahu biawak menyerbu ke perdu pokok dedali di tebing lubuk. Di situ seringkali dia nampak biawak merangkak mengendap ayam tengah galak mengekas. Tetapi biawak akan lari menyusup ke dalam belukar keladi apabila dia memburu dengan besi perejang di tangan.
Sebaik sahaja sampai ke tepi lubuk berdebar sangat Udin Tinjut apakala melihat ayam jantannya berkaki tiga terkial-kial digonggong biawak ke tepi belukar keladi. Jibah hanya tergamam tidak tahu mahu melakukan apa-apa tatkala ayam-ayamnya terbebar di tepi lubuk di baruh rumah. Sebab itu dia menyuruh Samah cepat-cepat memanggil ayahnya.
Lagipun rumah saya tidaklah jauh dari rumah Udin Tinjut, hanya dipisahkan oleh rumah Cikgu Suhut sahaja. Sejak berpindah ke kampung itu memang kami berjiran. Ketika saya tinggal di rumah sewa yang dicarikan oleh Cikgu Suhut, memang Udin Tinjut sudah memelihara ayam jantan berkaki tiga itu.
Ketika dia hampiri tepi lubuk, biawak kekuningan itu tidak berganjak di perdu pokok dedali bertarik-tarikan dengan ayam jantan yang menggelepar dengan kepak terkembang. Pangkal pahanya tersangkut di celah taring biawak yang merenggut ke dalam belukar di pangkal perdu pokok dedali.
Berhati-hati Udin Tinjut mendekati perdu pokok dedali dengan menggenggam perejang besi erat-erat. Kemudian dia menimang-nimang besi perejang itu mahu mencari sasaran untuk dilontarkan. Kalau lontarannya tidak menyinggahi tepat ke sasaran tentulah sia-sia sahaja dia menyerbu ke situ.
Setelah hampir sangat dengan biawak itu Udin Tinjut tidak bertangguh merejamkan besi perejang hingga terhentak ke tengah belakang biawak. Rejaman yang kuat itu menyebabkan besi perejang tembus menujah sampai ke perdu pokok dedali. Sekaligus mulut biawak ternganga menyebabkan ayam di celah taringnya terlepas, tetapi terdengkot-dengkot akibat pangkal pahanya goyah.
"Baru kau tahu, ini Udin tau!" bentak Udin Tinjut bangga setelah biawak berkenaan terlekat ditujah besi perejang menembusi belakang.
Menggelepar biawak berkenaan mahu melepaskan diri dengan ekornya melibas ke kiri ke kanan. Melihatkan biawak itu masih lagi boleh bergerak, Udin Tinjut meliar memandang keliling mencari apa-apa pun untuk memukul kepala binatang itu. Sebaik sahaja ternampak batu sebesar kepala lutut, dia terus mencapainya. Tidak bertangguh dihentaknya kuat ke kepala biawak itu hingga terpenyek sampai lidahnya juga terjelir keluar.
Beberapa minit biawak itu menggelepar akibat kepala dihentak dengan batu sebesar kepala lutut, barulah binatang itu mati terbungkang. Udin Tinjut mencabut besi 'perejang yang tercacak di tengah belakang. Menggeleng kepala dia disebabkan hujung mata besi perejang itu sumbing disebabkan kulit belakang biawak itu keras laksana bertampan besi.
Ketika dia mencari-cari ayam jantan berkaki tiga yang digonggong biawak, Udin Tinjut melihatnya terselit di perdu rumpun pisang. Cepat-cepat dia menyuruh isterinya Jibah gilingkan beras dengan kunyit. Luka di pangkal paha ayam berkenaan mesti dipupuk biar cepat berparut.
Seminggu dia ubati ayam berkaki tiga itu, barulah ayam jantan itu kelihatan segar semula sekalipun jalannya terdengkot-dengkot. Kaki tambahan yang terjuntai berayun-ayun itu pula meleding ke atas hingga menungkat di bawah ekornya.
Sebulan selepas kejadian itu, tiba-tiba sahaja Udin Tinjut meracau di tengah malam. Dia menggelepar seolah-olah belakangnya terlekat di tikar di tempat tidur. Disebabkan keadaan suaminya bertambah tenat hingga sukar mahu bernafas, cepat-cepat dia menyuruh Samah memberitahu Cikgu Suhut. Tengah malam itu juga Samah meranduk kegelapan malam mengetuk pintu rumah Cikgu Suhut. Dia tidak bimbang apa-apa lagi dalam keadaan cemas demikian. Lagipun rumahnya bukanlah jauh sangat dari rumah Cikgu Suhut hanya dilindungi oleh belukar senduduk sahaja.
Sebaik sahaja Samah memberitahu mengenai malang yang menimpa Udin Tinjut ayahnya, tidak bertangguh Cikgu Suhut memanggil saya. Terkejut juga saya apabila dipanggil oleh Cikgu Suhut di tengah kesepian malam demikian.
"Ustaz, mari kita ke rumah Abang Udin," ujarnya mendongak ke muka pintu rumah saya. Samah berdiri di belakangnya memakai seluar pendek tidak berbaju sekalipun dingin malam terasa menusuk ke tulang sum-sum.
"Apa halnya?" perlahan saya bertanya disebabkan terpisat-pisat mata menahan rasa mengantuk.
"Abang Udin kena tak ingat," beritahu Cikgu Suhut dalam keluhan pendek.
Dalam kampung terpencil demikian memang seringkali berlaku kejadian penduduk-penduduk dirasuk. Apalagi ketika negeri masih lagi belum terbuka seperti tahun 60-an itu, memang orang-orang kampung masih lagi dikongkong oleh perasaan mempercayai ilmu syaitan.
Sudah beberapa kali Cikgu Suhut memberitahu mengenai anak-anak gadis dirasuk pelesit di kampung berkenaan. Siapa yang amalkan ilmu demikian, tidak pula diketahui. Dukun Leman juga tidak dapat menentukan siapa yang empunya angkara setiap kali dia dijemput orang untuk mengubati mangsa.
Dukun Leman juga pernah mengidap cirit birit tiga hari hingga berak darah selepas mengubati Usup Pengkar dirasuk pelesit, semata-mata mengambil buah kelapa gugur di sempadan tanah. Marah benar Pak Kacah apabila isteri Usup Pengkar menuduh dia gunakan pelesit kerana buah kelapa gugur di sempadan tanah diambil oleh lelaki itu.
Kalau takat sebiji dua buah kelapa apa sangat dihiraukan oleh Pak Kacah sekiranya diambil oleh Usup Pengkar. Pokok kelapanya masih banyak berbuah lebat di sekeliling rumah. Dia tidak harapkan sangat buah kelapa di sempadan tanah itu, kalau Usup Pengkar teringin sangat mahukan buah kelapa yang gugur.
Tuduh dia simpan pelesit memang terkilan sangat di hati Pak Kacah. Tetapi di sebelah siangnya isteri Usup Pengkar datang menengadah Pak Kacah di tengah halaman, malamnya Dukun Leman merasa perutnya memulas-mulas. Tidak sempat dia berkejar ke sungai mahu buang air besar, di kepala tangga lagi dia sudah cirit birit.
Tiga hari Dukun Leman menanggung sakit perut cirit birit hingga berak darah. Tubuhnya menjadi lemah disebabkan gangguan cirit birit itu. Terpaksa dia minum air halia dicampur garam untuk meredakan keadaan perutnya yang merengat-rengat tidak menentu.
"Cepatlah cikgu, ayah saya entah apa kenanya," desak anak kecil yang gela-bah berdiri di belakang Cikgu Suhut.
Sewaktu saya sampai bersama Cikgu Suhut keadaan Udin Tinjut tidaklah menggelepar sangat. Tubuhnya sahaja sukar digerakkan seolah-olah ter-lekat di lantai. Sekali sekala dia merungut-rungut dengan mulutnya berbuih sambil menjelirkan leher.
Disebabkan emak mentuanya Mak Semijah meminta tunggu Dukun Leman datang, kami berdua mematuhi sahaja. Memarig sebagai jiran kami wajib menziarahi keluarga Udin Tinjut, sekalipun tidak dapat membantu apa-apa. Kalau ramai jiran-jiran datang menjengah tentu kurang juga bimbangnya hati Jibah.
Lama juga baru Dukun Leman tiba setelah dijemput oleh Pak Magan bapa mentua Udin Tinjut. Setelah melihat keadaan Udin Tinjut terkial-kial, cepat-cepat Mak Semijah mendesak suaminya menjemput Dukun Leman. Memang di dalarn kampung itu Dukun Leman satu-satunya yang boleh diharapkan membantu tatkala keluarga mereka dirasuk puaka apapun.
Mak Semijah percaya tentu Udin Tinjut dirasuk puaka menyebabkan menantunya itu terkial-kial bagaikan belakangnya terlekat di lantai. Mahu diangkat duduk Udin Tinjut menjerit-jerit kesakitan seolah-olah kulit belakang tidak boleh direnggangkan lagi dengan tikar.
"Apa puncanya ni?" ujar Dukun Leman sebaik sahaja duduk dalam keadaan termengah-mengah disebabkan berjalan cepat.
"Entahlah Abang Leman, penyakit nak datang..." sahut Mak Semijah mengeluh pendek. Tidak bertangguh Dukun Leman meminta Jibah sediakan tempat membakar kemenyan. Dia mesti mem-bakar kemenyan untuk mengesan puaka mana yang berani mengganggu orang-orang kampung. Tentu puaka yang bersembunyi dalam tubuh Udin Tinjut tidak bertahan akibat bau asap kemenyan yang dijampi serapah hingga memabukkan.
Setelah membakar kemenyan Dukun Leman mengusapkan asap kemenyan tiga kali ke mukanya dan di seluruh badannya mulai dari kepala lutut membawa ke bawah ketiak. Selepas itu dia membacakan jampinya:
Assalammualaikum ya rijal-ghaib, assalammualaikum ya arhal-muqqudus, sati jinurni birasati wahurmati ya nuj iba ya nuquta ya qutub bilasati wahurmati wasahbihi was-salam.
Selepas itu Dukun Leman mengusap pula dua tangannya dengan asap kemenyan sambil merenung Udin Tinjut yang menge-rang-erang tidak menentu. Kemudian dia mengisar dua tapak tangannya lantas meneruskan mambaca jampi:
Songsang tapak songsang hati jantung engkau, patah sendi patah layang patah alih-alih, ambil besi petua akan pemarak hati jantung hempedu rawan engkau, datang menelentang pulang kau menelangkup, jenjang lama engkau balik, aku tahu asal kau jadi, orang berlaki tujuh asal engkau jadi, ka-bul aku menangkal Udin Tinjut dek pelesit, berkat laillahha illallah hu...
Dukun Leman menghembus perlahan ke arah Udin Tinjut. Lama dia menunggu tetapi keadaan Udin Tinjut tidak juga berubah lantas dia mengeluh panjang sambil menggeleng kepala. Biasanya sebaik sahaja Dukun Leman membacakan jampi serapah sudah tentu pelesit yang merasuk tidak dapat bertahan. Mangsa akan tersentak akibat Dukun Leman tahu asal usul pelesit yang mengganggu. Mana-mana jenis syaitan akan berasa malu setelah asal usulnya dapat diketahui oleh siapa sahaja.
Kalau pelesit terus bertahan nescaya tuannya juga akan diketahui orang. Manalah muka tuannya mahu sembunyikan sekiranya seisi kampung mengetahui angkara perbuatannya. Sebab itu pelesit yang mengganggu tidak akan bertahan setelah Dukun Leman membacakan jampi serapah.
"Bukan kena pelesit Udin ni," tutur Dukun Leman mengisar punggung lantas meminta air untuk minum.
"Agaknya kena apa dia ni?" soal Mak Semijah.
Dukun Leman tidak menyahut. Dia menggeleng-geleng semacam kecewa kerana tidak dapat memulihkan Udin Tinjut. Kemudian dia berpaling lemah ke arah saya dan Cikgu Suhut, seolah-olah meminta pandangan bagaimana mahu membantu ikhtiarnya.
"Cubalah ustaz pula, manalah tahu rasi pula dengan ustaz," kata Dukun Leman tersengih-sengih macam bergurau.
"Cubalah ustaz," desak Cikgu Suhut pula menyuruh saya mara ke hadapan.
"Habis, kalau bukan pelesit, bolehkah ustaz ubatkan?" Pak Magan serba salah setelah Dukun Leman mula mengalah.
"Perkara ubatkan makhluk bukan kerja kita," sahut Dukun Leman tersengih-sengih mengusap mukanya dengan tapak tangan. "Kita hanya minta ustaz doakan, insya-Allah," ujarnya penuh harapan.
"Tentu kerja Pak Kacah, dia bukan pelihara pelesit aje," gerutu Mak Semijah apabila kenangkan Usup Pengkar dirasuk pelesit setelah mengambil buah kelapa gugur di tepi sempadan.
"Jangan buat dosa menuduh-nuduh!" cepat sahaja Dukun Leman mengingatkan. Dia sendiri tidak pernah menuduh sesiapa pun sekiranya dijemput mengubati orang-orang kampung yang merapik tidak menentu.
Asal sahaja dijemput mengubati orang, Dukun Leman sekadar membakar kemenyan. Selepas itu dia akan membacakan Fatihah tiga kali diikuti dengan salawat 21 kali. Kemudian dia membacakan surat al-Qadar diikuti dengan bertasbih sehingga merasakan ada lembaga lain duduk di sisinya. Saat ini Dukun Leman hanya mendengarkan sahaja bisikan daripada lembaga berkenaan bagaimana mahu mengubati sesiapa pun.
Apabila lembaga tersebut meninggalkan dia, sekaligus Dukun Leman akan rebah jatuh hingga beberapa minit. Tatkala dia sedar semula, memang Dukun Leman tidak tahu apa-apa pun yang dituturkan semasa lembaga itu duduk mendampingi dia.
Sebab itulah mana dia tahu mengenai Pak Kacah memelihara pelesit. Lainlah sekiranya lembaga yang mendampingi dia itu memberitahu. Memang selamanya Dukun Leman hanya bergantung kepada lembaga yang menjelma sebaik sahaja dia mula bertasbih.
"Abang Leman buat dulu," saya menepuk bahunya, setelah dia terlalu berharapkan saya mendekati Udin Tinjut.
"Sejak tadi, tak mahu dia datang ..." ujar Dukun Leman menggeleng lemah terlalu kecewa. "Agaknya dia malukan ustaz tu," katanya mencebek bibir kerana memahami setiap kali dia menyeru akuannya datang, tidak ada satu pun menjelma di sisinya.
Apabila diserunya Panglima Hitam, dia nampak bayangan lelaki tampan berpakaian serba hitam dengan misai berkeluk hanya berlegar sahaja di kejauhan sambil menggeleng-geleng kepala menuding jari ke arah saya.
Disebabkan Panglima Hitam tidak mahu menjelma, cepat-cepat Dukun Leman menyeru orang lima sahabat yang sanggup melakukan apa sahaja sama ada tujuan baik mahupun tujuan jahat. Tetapi orang lima sahabat juga bertarik-tarikan tidak mahu hampir setelah melihat saya ter-conggok di situ.
Bukan takat Panglima Hitam dan orang lima sahabat sahaja yang diseru tidak mahu menjelma, malah Tok Bongkok Lidah Berbulu yang sering menjelma membantunya juga tetap mengelak. Masing-masing menuding telunjuk ke arah saya seolah-olah memberi isyarat supaya saya berundur.
Tetapi Dukun Leman tidak berkecil hati apa-apa. Sekiranya jelmaan yang diseru mengelak disebabkan saya terconggok di situ, lebih baik dia meminta saya sahaja doakan Udin Tinjut. Dia tidak perlu membakar kemenyan sernata-mata mahu menyeru jelmaan itu datang.
"Silalah ustaz," Cikgu Suhut menolak kepala lutut saya supaya tidak bertangguh apa-apa lagi. Malam pun sudah semakin hening dengan laungan kuang sayup-sayup di kejauhan Leman tidak sabar lagi mahu sekali-sekala.
"Saya ikhlas minta ustaz doakan Udin ni," Dukun Leman pula mendesak setelah melihat saya masih teragak-agak.
Dalam keadaan terkuap-kuap mengantuk saya meletakkan tapak tangan dada Udin. Terasa detak jantungnya mengombak kuat bagaikan berlari kencang sekalipun tidak kelihatan dadanya kencang turun naik. Perlahan-lahan saya kisarkan tapak tangan lantas membacakan:
Qulmai yunajjikum min-zulumatil Jibah barri-wal-bahri tad-'u-nahu tadharru 'au-wa khufyatan lain anjana min-hazihilana- ku nanna minasy syakirin
Tiba-tiba sahaja Udin Tinjut tersenyum bagaikan mengejek. Melihatkan Udin Tinjut tersenyum cepat-cepat Dukun Leman mara mendekati dia. Tetapi keadaan Udin Tinjut tidak juga dapat bergerak disebabkan belakangnya seolah-olah terlekat pada tikar lantai.
"Kenapa kau tersenyum?" jerkah Dukun Leman tidak sabar lagi mahu menguji gangguan yang merasuk dalam diri Udin Tinjut.
Udin Tinjut terlekat di tikar sama macam biawak ditusuk besi perejang di perdu pokok dedali. Tangannya terkapai kapai bagaikan biawak mengelepar mahu melepaskan diri.
"Ah, kena badi Udin ni, agaknya," tuduh Dukun Leman setelah melihat keadaan Udin Tinjut menggeliat-geliat.
"Boleh jadi badi biawak," lantas sahaja Jibah mencelah menahan sebak di dada. "Udin bunuh biawak bulan dulu fasal kerkah ayam jantannya," beritahu sebaik sahaja kenangkan suaminya membunuh biawak di tepi lubuk di baruh rumah.
"Kenapa tak beritahu awal-awal," gerutu Dukun Leman bercampur kesal setelah mengagakan Tinjut diganggu badi biawak. Kalau diganggu badi tentulah tidak rasi apabila ditangkalkan pelesit
Sekiranya dia tahu Udin Tinjut diganggu badi biawak, Dukun Leman akan meminta carikan mulai-lengkuas dengan jerangau. Dia akan bacakan jampi:
Ah badi mah badi, um-but badi seratus sembilan puluh, itulah asal kau jadi badi, air setitik engkau jadi badi, tanah segenggam asal engkau badi, datang engkau di rimba raya balik kau ke rimba raya, datang kau di gaung guntung balik kau ke gaung guntung, tak balik engkau berdosa engkau ke pawang berempat, tak balik engkau ke gaung guntung derhaka engkau kepada Tuhan yang sebenarnya, kabul berkat pengajaran guru aku, berkat la-illahha illallah hu...
Tetapi hairan juga Dukun Lernan kerana jarang berlaku biawak berbadi. Lainlah kalau puyuh atau ayam denak di hutan, memang tahu sangat dia fasal badinya. Apalagi kalau kijang atau rusa diburu tatkala melintasi busut, jangan dicuba ditembak tidak menentu.
"Saya dah kata ayam berkaki tiga tu bukannya bawa tuah!" rungut Jibah melepaskan geram apabila kenangkan punca Udin Tinjut membunuh biawak itu disebabkan mahu selamatkan ayam berkenaan. "Ayam tu bawa bencana, sebab itu Udin kena badi biawak," tuduhnya menyimpan dendam terhadap ayam jantan berkaki tiga yang sudah sembuh luka akibat dikerkah biawak.
"Ayam tu tak salah," sahut Cikgu Suhut mengerling Jibah. "Penyakit dah nak datang, kita cubalah ubat," katanya menyampuk sekalipun dia berdiam diri sebelumnya. Dia perlu ingatkan perempuan itu supaya tidak salah anggap sampai terpesong pula pernahaman mengenai musibah yang diturunkan oleh Allah.
"Betul cakap cikgu tu," lantas Dukun Leman terangguk-angguk setelah melihat saya mengukuhkan duduk sambil mengisar dua tapak tangan.
Saya tidak peduli pun apa yang mereka bualkan tatkala itu, disebabkan melihat bayang biawak yang berligar di keliling perdu pokok dedali.
 Lama bayang baiawak itu berligar sekali gus kulitnya terkoyak hingga dagingnya tersiat merah. Dia mengelepar sama seperti ayam berkaki tiga yang dikerkah taringnya sampai daging paha terkoyak.
Tercangut-cangut biawak itu dengan mulut ternganga apabila besi perejang terlekat di tengah belakang tatkala mengelapar menahan kesakitan akibat kulit terkoyak. Ekornya mengotek sambil memukul lemah ke kiri dan ke kanan.
Saat ini saya merasakan diperdaya oleh bayangan biawak berkenaan yang cuba mengalihkan perhatian kepada perkara lain yang merasuk di dalam tubuh Udin Tinjut. Bagaimanapun sekali-sekala saya mendengar Dukun Leman membentak menyergah biawak yang menggelepar di perdu pokok dedali itu.
Setelah merasakan diri saya diperdaya cepat-cepat saya beristighfar sampai 21 kali, dan berselawat juga 21 kali. Saya terus membacakan
a'uzubillahhi minasy syaitanirrajim, sebanyak tiga kali dan diikuti dengan
subhanallah walhamdulillah wala-illahha illallah Allah-hu-Akbar, juga tiga kali, dengan diteruskan mem-bawa Ayatul Kursi.
Apabila saya membacakan pula:
In-nama-ilahu-kumullahhul lazi-la-ilaha illahuwa, wasi'a kulla syai-in 'ilman,
tubuh biawak itu bergulung bagaikan tenggiling merengkok. Sedikit demi sedikit biawak di perdu pokok dedali bertukar menjadi asap berpusar-pusar hingga menjelma lelaki tua bertubuh kurus dengan ekornya menceceh ke tanah seolah-olah biawak.
"Apa hal awal ni mengganggu kerja kami?" jerkah lelaki tua kurus itu setelah berhadapan dengan saya.
"Awak rupanya Onyeng Duyung!" tiba-tiba sahaja saya mendengar Dukun Leman melaung dari belakang.
"Dukun Leman, awak jangan cuba campur hal kawan," sahut lelaki tua kurus yang berekor seperti biawak itu.
"Kalau kawan campur, awak nak buat apa?" marah benar Dukun Leman apabila dicabar oleh lelaki kurus berekor biawak dengan belakang tangannya.
Cepat-cepat lelaki tua kurus itu melibas Dukun Leman dengan ekornya, tetapi lantas saya tampan dengan tangan menyebabkan dia menjerit kesakitan apabila kulit ekornya me-lurut laksana kain sarung terlucut.
Belum sempat dia mengangkat semula ekor yang tersiat kulit, lelaki tua kurus berekor biawak itu rebah tidak bertahan. Kakinya mulai goyah laksana tiang reput tercabut sendal. Dia mendongak terkebil-kebil mata merenung saya.
"Kalau kau nak lawan ustaz ni, lawanlah!" ejek Dukun Leman mencebek bibir.
"Awak berani, sebab ada ustaz ni?" sahut lelaki tua kurus itu mengerang-erang kesakitan tidak dapat bingkas bangun lagi. Tangannya mengurut-urut pangkal paha mahu mengukuhkan semula kakinya yang goyah.
"Kawan berani bukan kerana ustaz ni!" tegas Dukun Leman mengisar tapak tangannya hingga kelihatan berasap seperti kemenyan dibakar. "Ustaz ni tak boleh menolong, kawan hanya berlindung pada Allah," beritahunya mencemik muka lantas menghembus ke arah lelaki kurus tersebut.
Hembusan Dukun Leman itu menyebabkan beratus-ratus pucuk jarum tersembur keluar terus menerjah ke tubuh lelaki kurus berkenaan. Dia menggeliat-geliat menahan kesakitan akibat tusukan jarum beratus-ratus pucuk itu. Matanya terkebil-kebil merenung saya dalam keadaan takut gementar.
"Bukan salah kawan," ujar lelaki tua kurus berekor biawak itu terketar-ketar suara cuba mencabutkan tusukan jarum yang banyak menembusi kulit tubuhnya. "Tapi, Udin Tinjut ni yang mahukan kawan menolong dia," jelasnya kecewa dengan kejadian yang menimpa dirinya.
"Habis, kenapa kau seksa Udin?" soal Dukun Leman keras. Lelaki tua itu menggeleng-geleng lemah. Dia termengah-mengah menahan ombak dada yang kencang apabila kenangkan Udin Tinjut membakar kemenyan di tepi busut tatkala cancangkan tujuh batang lidi sewaktu bulan mengambang penuh. Hujung bayang busut itu mesti jatuh di tengah-tengah pancang lidi tujuh batang itu, tatkala Udin Tinjut amalkan doa pengasih untuk memikat.
Udin Tinjut perlu menunggu sehingga semua bayang busut itu terkurung dalam pancang lidi tujuh batang itu. Lelaki kurus berekor biawak akan keluar di tengah-tengah busut selepas Udin Tinjut membacakan jampi serapah:
Assalammu 'alaikum ya Jibrail, wa'alai-kummus salam ya Mikail, langit bapaku bumi ibuku, nursani nama engkau, insan terjadi nama aku, Asyhadu-an la-illa haillallah, wa-asyhadu-anna Muhammad-dar Rasulullah.
Tatkala ini lelaki tua kurus itu memberi janji akan membantu Udin Tinjut supaya memudahkan mana-mana perempuan melutut ke kakinya asal sahaja diseru Onyeng Duyung datang menjelma. Setiap kali menjelma Onyeng Duyung akan menitikkan air mata supaya ditadah oleh Udin Tinjut dengan botol kecil.
Cubalah mana-mana perempuan juga tunjukkan keras kepala di hadapan Udin Tinjut, bila-bila dia akan renjiskan air mata Onyeng Duyung. Perempuan itu tidak akan dapat lupakan Udin Tinjut sampai bila pun.
"Aku pantangkan kau jangan bunuh biawak di mana-mana pun!" Onyeng Duyung ingatkan dia sewaktu menjelma di atas busut tatkala dia memancang tujuh batang lidi mengepung bayang busut.
Kalau tidak disebabkan biawak besar mengerkah ayam jantannya berkaki tiga, memang Udin Tinjut ingat sangat pantang larang Onyeng Duyung itu. Tetapi apabila ayam jantan kesayangannya dikerkah biawak, dia terlupa semua pantang larang. Disebabkan kemarahan yang memuncak, Udin Tinjut tidak berdaya menahan perasaan yang menguji kesabarannya. Hanya kesabaran sahaja yang mampu menahan gangguan syaitan setiap kali diuji demikian.
"Amalan syaitan memang mudaratkan diri sendiri," tutur Dukun Leman setelah saya selesai berdoa, dan duduk menghadapi hidangan minuman yang disajikan oleh Mak Semijah.
"Buat apa amalkan perkara yang mudaratkan diri," rungut Pak Magan kesal dengan amalan yang dituntut oleh menantunya selama ini. Dia sendiri tidak menyedari amalan Udin Tinjut yang disebut oleh Dukun Leman itu.
Hanya beberapa tahun selepas itu, sewaktu saya berkunjung semula ke kampungmya Udin Tinjut memberitahu dia tidak lagi menyimpan air rnata Onyeng Duyung. Perkara ilmu pengasih bukan boleh diamalkan untuk tujuan yang tidak baik, kerana Allah sahaja menentukan jodoh pertemuan seseorang itu.

No comments:

Post a Comment