Monday, January 4, 2016

157. PADAH AMALAN CACING GELANG



SETIAP kali melintas di halaman rumah Lamat Tebong memang terasa seram di hati Mijun, disebabkan ramai orang-orang kampung pernah ternampak dia duduk dipelantar dapur. Sudah lebih tiga tahun Lamat Tebong meninggal dunia pun, orang-orang kampung terserempak dia beberapa kali menjelma di kawasan rumah itu.
Semenjak Lamat Tebong meninggal dunia memang tidak siapa lagi menunggu rumah tersebut. Memang Lamat Tebong meninggal dunia tatkala duda dengan tidak meninggalkan seorang pun anak. Rumah yang didiaminya juga rumah pesaka peninggalan datuknya.
Sayang benar datuknya pada Lamat Tebong sampai apa sahaja kemahuannya diturutinya. Sampai sudah berkahwin dengan Birah, dia masih juga harapkan datuknya menanggung keluarga. Lamat Tebong akan habiskan masa memikat tekukur di pinggir hutan.
Sekali sekala datuknya merungut, Lamat Tebong akan bantu juga datuknya bertukang kayu. Tetapi dia tidak boleh membantu. Kadangkala jarinya terketuk tukul besi sampai bengkak biru lebam; kadangkala kakinya ditusuk selumbar papan masa bertukang, kadangkala lengannya calar diguris paku. Sebab itu Aki Mihin tidak harap sangat bantuan Lamat Tebong kalau bertukang kayu membuat rumah orang.
Apabila Aki Mihin meninggal dunia, terpaksalah Lamat Tebong bekerja kuat menyara keluarga. Tetapi dia tidak boleh tinggalkan kegemarannya memikat tekukur. Asal sahaja matahari tegak di kepala dia akan menjinjing sangkar denaknya ke hujung kampung. Dia terhendap-hendap di tepi belukar senduduk harapkan tekukur turun melayah mencari denak.
Tidak lama selepas Aki Mihin meninggal dunia, Birah pula mati akibat demam kura yang berpanjangan. Tergigil-gigil Birah menahan sejuk ditimpa penyakit demam kura, tidak pernah Lamat Tebong ambil peduli sangat. Dia akan tinggalkan Birah mengerang-erang kesakitan, lantas mencapai sangkar denak terus ke hujung kampung. Biarlah isterinya menderita demam kura, Lamat Tebong hanya harapkan Birah sembuh sendiri sahaja.
"Aku ni sakit bang Lamat," keluh Birah memerhatikan Lamat Tebong menuruni tangga rumah men-jinjing sangkar denak.
"Ah, mintalah Mak Demah tengokkan," sahutnya mendengus apabila dilarang memikat tekukur. "Aku pun pergi sekejap aje, hujung kampung tu hah..." ujar Lamat Tebong memuncungkan hibir ke puncak bukit bukau yang membiru.
"Tak payah memikat tekukur apa salahnya!" ma-rah juga Birah dengan sikap suaminya itu.
Lamat Tebong tidak menyahut. Dia sekadar mem-beritahu Mak Demah supaya menjengah isterinya sewaktu turun memikat tekukur. Tatkala Mak Demah men-jengah memang tidak ada apa-apa pun yang dapat disediakan di rumah Lamat Tebong.
Sewaktu Birah menutup mata rapat-rapat siapa pun tidak dapat memberitahu dia tengah memikat tekukur di pinggir hutan. Hampir senja tatkala dia balik ke rumah, baru Lamat Tebong serba salah melihat ramai jiran berkumpul di rumahnya.
Setelah Birah meninggal dunia, memang Lamat Tebong menduda tidak berkahwin lagi. Orang-orang kampung percaya memang tidak siapa pun perempuan rela menjadi isteri Lamat Tebong, kalau menerima nasib yang sama dengan Birah.
"His, seram saya melintas di halaman rumahnya tu, ustaz," Mijun memberitahu saya semasa saya bertukar ke kampung berkenaan. "Tak tergamak saya nak sewakan rumah peninggalan bapa saudara saya tu pada ustaz," katanya enggan membenarkan saya menyewa rumah tersebut.
Sebelum itu Cikgu Bidin sudah memberitahu saya mengenai rumah peninggalan Lamat Tebong yang dikatakan seringkali jelmaannya ditemui orang di pelantar dapur.
Memang Cikgu Bidin juga tidak galakkan saya menyewa rumah berkenaan. Malah isterinya Kak Misah juga menyuruh saya menyewa di pekan kecil jarak dua batu sahaja dari situ. Apalah salahnya mengayuh basikal jarak dua batu untuk bertugas di kampung ber-kenaan, asalkan tempat tinggal selesa.
"Apa nak diseramkan, Mijun?" sengaja .aya mengusik anak muda itu disebabkan dia teragak-agak mahu melangkah sebaik sahaja sampai di tengah halaman rumah.
Setelah melihat keadaan rumah berkenaan yang atapnya sudah banyak yang tiris, dengan lantai dan dindingnya juga reput, tidaklah jadi saya mahu menyewa rumah peninggalan Lamat Tebong. Tetapi jauh di lubuk hati saya teringin juga mahu mengetahui daripada Mijun mengenai diri arwah Lamat Tebong itu.
Kalau dikatakan dia memelihara hantu raya menyebabkan kerapkali kelihatan menjelma selepas kematiannya, emak Mijun tentu lebih mengetahui mengenai adiknya itu. Tetapi Kak Tiah tahu sangat adiknya Lamat Tebong tidak pernah menuntut amalan memelihara hantu raya.
Datuknya Aki Mihin juga tidak mengamalkan apa-apa, kecuali menjadi tukang kayu sahaja. Masakan datuknya mewariskan hantu raya kepada Lamat Tebong kalau dia sendiri tidak tahu menahu mengenai amalan tersebut. Apalah gunanya Aki Mihin memelihara hantu raya kerana dia tidak mempunyai harta untuk dikawal oleh suruhan demikian?
"Arwah Lamat Tebong dulu nikah dengan bunian," beritahu Utih Berahim tatkala saya bersama Mijun mengunjungi dia di rumahnya. Utih Berahim sama-sama memikat tekukur dengan Lamat Tebong sampai jauh ke pinggir hutan mengendap di tengah belukar.
Beberapa kali Utih Berahim mengintai kawannya dari balik belukar apakala mendengar Lamat Tebong berbual. Dia sekadar melihat Lamat Tebong bercakap seorang diri mengadap ke perdu pokok enau tersergam di tengah belukar. Mahu sa-haja dia menyergah dari belakang, tetapi bimbang pula kawannya itu akan tersinggung.
Kadangkala hampir setengah jam dia melihat Lamat Tebong berbual di situ seorang diri. Hingga santak senja barulah dia meninggalkan belukar mencapai sangkar denak terus balik ke rumah tidak menoleh ke belakang lagi.
"Apa yang kau bualkan di belukar, Lamat?" sengaja Utih Berahim mendesaknya semasa berjalan kaki balik ke rumah.
"Kau gila, aku berbual dengan siapa pula?" tersengih-sengih Lamat Tebong kehairanan dengan soalan kawannya itu.
"Aku nampak kau berbual di perdu pokok enau," kata Utih Berahim tetap mengesyaki sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas diri kawannya itu.
"Masa bila pula aku di perdu pokok enau ni?" sahut Lamat Tebong tidak percaya dengan dakwaan Utih Berahim. "Kau tak nampakkah aku mengendap dekat pokok cenerai," jelasnya seolah-olah cuba. berdalih.
Tetapi Utih Berahim memang melihat kawannya itu tercegat di perdu pokok enau berbual berbisik-bisik laksana berhadapan dengan perempuan. Puas dia memerhati sekeliling, tidak ada siapa pun dilayan berbual dengan Lamat Tebong di situ.
Beberapa kali juga Utih Berahim cuba mengamati perbualan Lamat Tebong, tetapi dia tidak dapat mendengar dengan jelas biji butirnya. Bagaimanapun dia dapat mengagak memang Lamat Tebong bagaikan sedang bercakap dengan isterinya Birah. Kadangkala sewaktu melintas di ha-laman rumahnya tatkala malam pun, Utih Berahim mendengar Lamat Tebong berbisik-bisik dengan perempuan.
Bukan Utih Berahim sahaja menyedari kejadian aneh berlaku terhadap diri Lamat Tebong, malah Kak Tiah juga beberapa kali terserempak dapur rumah adiknya berasap seperti ada orang memasak nasi. Hairan juga dia dengan keadaan dapur rumah adiknya disebabkan Lamat Tebong tidak ada di rumah.
Apabila diintai oleh Kak Tiah dia melihat periuk nasi terjerang di tungku. Setelah Lamat Tebong balik ke rumah tidak bertangguh Kak Tiah memberitahu mengenai periuk nasi terjerang sewaktu dia keluar memikat tekukur. Sewaktu Kak Tiah naik ke rumah bersama Lamat Tebong, tidak ada pula kesan orang memasak. Periuk yang terjerang juga tertangkup di bawah dapur dengan puntung kayu tersusun rapi.
Selepas kematian Lamat Tebong, beberapa kali juga Kak Tiah melihat dapur rumah itu berasap laksana orang memasak. Bukan Kak Tiah sahaja yang melihat kejadian itu, malah jiran-jiran juga tersermpak. Sebab itulah mereka tidak berani melintas di halaman rumah peninggalan arwah Lamat Tebong.
"Masa hidupnya juga banyak kejadian aneh pada dirinya, ustaz," jelas Utih Berahim apabila kenangkan kelakuan kawannya itu.
Lamat Tebong tidak pernah makan sekiranya dia asyik memikat tekukur. Kadangkala berhari-hari dia tidak menjamah nasi, hingga terpaksa dipelawa oleh Kak Tiah datang ke rumahnya untuk makan. Kalau memikat tekukur pun bukannya pernah mengena, selain daripada seharian mengendap di tengah belukar.
Tetapi Lamat Tebong tidak pernah serik. Perkara memikat tekukur bukan perlu dapat memerangkap burung berkenaan, tetapi dia seronok mengendap di tengah belukar habiskan masanya sampai santak senja.
Selepas Utih Berahim beritahu kelakuan Lamat Tebong bercakap seorang diri di perdu pokok enau kepada Dukun Sunap, memang orang tua itu menuduh lelaki itu bercakap-cakap dengan isterinya. Dia percaya Lamat Tebong memang berkahwin dengan orang bunian di belukar berkenaan.
Apalagi kakaknya Kak Tiah sudah beberapa kali melihat dapur rumah Lamat Tebong berasap laksana ada orang sedang memasak. Tetapi Lamat Tebong mengaku dia sendiri tidak tahu me-nahu mengenai dapur ru-mahnya berasap itu tatkala dia keluar memikat tekukur.
Puas juga Utih Berahim mendesak Lamat Tebong supaya berubat pada Dukun Sunap, namun dia enggan menuruti nasihat kawannya itu. Berkeras Lamat Tebong memberitahu dia tidak menghidap apa-apa sakit pun. Bukan takat Utih Berahim sahaja mendesak, salangkan Kak Tiah memujuknya supaya berubat pun dia tidak hiraukan.
Sampailah dia mati tidak seorang pun tahu mengenai punca Lamat Tebong berkelakuan aneh. Hanya Dukun Sunap sahaja agakkan  dia berkahwin dengan orang bunian hingga menyebabkan Lamat Tebong asyik habiskan masa di belukar. Pandangan mata kasar sahaja dia memikat tekukur di situ, tetapi Dukun Sunap dapat mengagak tentu Lamat Tebong menemui kaum keluarga isterinya dari kalangan orang bunian itu.
Kalaulah keluarga Lamat Tebong meminta dia pulihkan semangat lelaki itu, memang Dukun Sunap sanggup lakukan. Dia sendiri akan menyusup masuk ke perkampungan bunian menemui penghulunya. Sekiranya mereka berkeras, Dukun Sunap akan bakar perkampungan itu dengan membacakan Ayatul Kursi. Tetapi dia sedia berlembut, sekiranya penghulu bunian mahu berunding untuk membebaskan Lamat Tebong.
Masakan Dukun Sunap mahu memandai-mandai mengubati Lamat Tebong, selagi keluarganya tidak bersuara. Dia tidak akan melanggar bahasa, kalau tidak mendapat keizinan Kak Tiah. Biarlah Lamat Tebong hanyut dalam dunianya, sehingga dianggap oleh orang-orang kampung berkelakuan aneh.
"Dia tu kesal tak sudah agaknya," Lebai Bahamit menduga apabila isterinya Kak Tiah mendesak supaya Lamat Tebong diubati. Bila-bila sahaja Dukun Sunap sanggup mencuba sekiranya dia sendiri meminta per-tolongan.
"Kesal macam mana pula?" ujar Kak Tiah mendengus lemah.
"Dulu dia tak pedulikan Birah," tegas Lebai Bahamit mencebek bibir semacam mengejek. "Bila mati Birah, dia rasa bersalah," dia menjelaskan perlahan.
"Habis, dapurnya tu berasap macam ada orang memasak, kesal juga?" gerutu Kak Tiah melepaskan geram dengan sikap suaminya. "Nanti awak juga kesal tak sudah sebab tak pedulikan Lamat!" dia menambah sambil mencemik muka mengerling Lebai Bahamit.
Terkebil-kebil mata Lebai Bahamit dimarahi isterinya. Dia sendiri tidak dapat mencari punca. Kalau Lamat Tebong kesal dengan kematian isterinya disebabkan dia tidak ambil berat kesihatan Birah, kenapa pula jiran-jiran terserempak bayangan orang memasak di dapur rumah tatkala Lamat Tebong keluar memikat tekukur?
Bukan sekali dua jiran-jiran terserempak, malah sudah berulang kali semenjak kematian Birah. Sekalipun Lebai Bahamit tidak pernah bersua dengan kejadian berkenaan, tetapi isterinya Kak Tiah mengakui dia pernah mengendap tatkala asap melabun di atap dapur.
 Perlahan-lahan Kak Tiah bersama Andak Lijah merapati bahagian dapur rumah  Lamat Tebong. Terkejut benar mereka apakala melihat bayangan perempuan mememasak. Mereka nampak air beras dicurahkan di pelantar, sekalipun bayangan perempuan itu tidak jelas kelihatan. Apabila mereka menegur dari penjuru dapur, serta merta sahaja bunyi orang memasak tidak kedengaran lagi.
Dapur menjadi lengang. Tidak ada lagi bunyi pinggan mangkuk bergeser di basuh. Batu sengkalan ditumbukkan juga tidak kedengaran. Decir minyak panas menggoreng di kuali juga hilang entah ke mana bersama angin yang bertiup di luar.
"Nak ubat macam mana, Lamat tu tak sakit,” Lebai Bahamit serba salah apakala didesak oleh isterinya.
-"Nampak zahirnya me mang tak sakit," ujar Kak Tiah semakin geram kerana suaminya sukar diajak berunding dalam saat demikian. "Tapi, Lamat tu memang sakit," katanya kian gusar apabila kenangkan nasib menimpa adiknya yang menduda semenjak kematian Birah.
  "Kalau dah sakit, awak ubatlah," mendengus marah Lebai Bahamit apabila didesak sedangkan dia melihat Lamat Tebong tidak mengalami apapun penyakit.
Disebabkan suaminya tidak mahu mencampuri urusan Lamat Tebong, tidak berani juga Kak Tiah mahu memandai-mandai. Masakan dia boleh meminta bantuan Dukun Sunap sekiranya Lebai Bahamit tidak izinkan.
Lama kelamaan keadaan Lamat Tebong terbiar tidak diuruskan. Hanya setelah beberapa hari tidak menjamah nasi dipelawa juga oleh Kak Tiah makan ke rumah. Tetapi Lamat Tebong bukanlah mudah mahu mengajak makan kalau sekadar dipelawa menyuruh datang sahaja. Malu juga dia mahu mengharapkan belas kasihan orang lain sekalipun Kak Tiah itu ka-kaknya sendiri.
Lainlah kalau Lebai Bahamit yang mengajaknya. Cuma Lebai Bahamit satu-satunya yang menyara keluarga kakaknya. Dia tidak berhak menumpang belas kasihan sekiranya tidak diajak oleh Lebai Bahamit. Memang keras hati Lamat Tebong tidak mudah dilentur dengan pujuk rayu sesiapa pun.
Beberapa bulan saya di kampung itu tidak pernah pula terserempak jelmaan Lamat Tebong duduk di pelantar dapur bermain dengan tekukur. Kalau ada pun cuma sangkar tekukur yang sudah tinggal rangka tergantung di alang rumah. Tidak ada siapa pun berani mengusik rangka sangkar yang tergantung di situ.
Bahkan rumah peninggalan Lamat Tebong itu juga tidak siapa pun berani merobohkan. Mijun yang sudah dewasa tidak mahu mendesak emaknya robohkan rumah berkenaan, kerana bangunan buruk itu tidak mengganggu apa-apa. Sekiranya runtuh terjerembap ke bumi bangunan berkenaan tidak akan menimpa siapa pun. Biarlah ia tersergam di situ menjadi kenangan abadi sebagai peninggalan arwah moyangnya Aki Mihin.
Rumah kayu tersergam itu memang dibina oleh Aki Mihin sendiri. Dia mene-bang pokok penak di kaki bukit tengah hutan lantas mengheretnya balik ke kampung. Pokok penak itu ditarah sebelum ditegakkan menjadi tiang dengan tidak dibelah-belah langsung.
Sampai bila pun tiang rumah pokok penak itu tidak akan reput dimakan anai-anai. Bangunan yang ditegakkan oleh Aki Mihin tidak akan runtuh menyembam ke bumi selagi pokok penak tidak reput. Kalau roboh pun cuma dindingnya atau atapnya sahaja. Sesiapa pun boleh gantikan dinding atau atap kalau mahukan rumah peninggalan Aki Mihin terus tertegak megah.
Mijun tidak mahu gan-tikan dinding kulit kepung dengan papan yang lebih kukuh. Biarlah atap rembianya juga tidak diganti dengan zing, sekalipun sudah banyak tiris di semua bahagian. Apalah gunanya diganti sekiranya rumah tersebut tidak ada siapa mahu mendiaminya?
Disebabkan jauh mahu berulang alik ke pekan kecil, Utih Berahim bersetuju sewakan rumahnya RM15.00 sebulan kepada saya, kerana dia bersama isterinya tinggal di rumah emak mertuanya. Lagipun anaknya cuma seorang sahaja tidak perlukan rumah besar.
Rumah tanjak Melayu kepunyaan Utih Berahim itu memang berdekatan dengan rumah peninggalan arwah Lamat Tebong, hanya dipisahkan oleh belukar senduduk sahaja. Kalau berdiri di bahagian dapur memang boleh nampak rumah tersebut, kerana halaman rumah Utih Berahim bertemu dengan rumah emak mentuanya.
Semenjak beberapa bulan saya mendiami rumah Utih Berahim, tidak kedengaran pun sebarang kejadian aneh. Pernah juga emak mentuanya Andak Lijah ingatkan saya fasal jelmaan Lamat Tebong, tetapi saya sekadar mengangguk sahaja.
"Kalau ustaz nampak apa-apa, janganlah tegur," beritahu Andak Lijah sebaik sahaja saya mendiami rumah Utih Berahim. "Biarkanlah dia tubuh halus, tak baik kita ganggu," katanya menasihati saya sekiranya terserempak jelmaan berkenaan di pelantar dapur.
"Jangan takutlah ustaz, dia pun tak kacau kita," Utih Berahim pula mengingatkan kerana bimbang saya tergamam sekiranya jelmaan itu tiba-tiba terconggok di situ.
Memang saya tidak berniat mahu terserempak jelmaan Lamat Tebong di rumah berkenaan, tetapi saya tidak akan berundur sekiranya bayangan itu terconggok di situ. Tidak perlu kita takut kepada sesama makhluk, sekiranya kita tidak mempunyai niat yang tidak baik.
Ketika bangun pagi hendak tunaikan solat subuh saya melihat api pelita di dapur rumah peninggalan Lamat Tebong. Disebabkan saya sudah diberitahu mengenai kejadian di rumah berkenaan, tidaklah terasa bimbang apa-apa lagi.
Dari jendela dapur rumah yang saya sewa itu, jelas dapat dilihat bayangan seorang perempuan sedang memasak. Tubuh perempuan itu lesu tidak bermaya bagaikan tergigil-gigil kesejukan, tetapi digagahi juga untuk bangun menjerang air di tungku.
Sejurus kemudian saya melihat lembaga lelaki bengis menerkam ke arahnya menempeleng beberapa kali menyebabkan perempuan itu tersandar ke dinding Teresak-esak perempuan itu menahan kesakitan, tetapi dia tetap tidak menjerit.
"Sakit Bang Lamat, cukuplah jangan pukul saya lagi," bergetar suara halus perempuan sayup-sayup dalam keheningan subuh itu.
"Berani kau cakap rumah ni tak berberas pada orang!" bentak keras suara lelaki sedang berang melepaskan rasa marah yang memuncak.
"Lain kali saya tak buat Bang Lamat," tutur perempuan itu terketar-ketar.
"Kau fikir kalau mengadu dengan orang, mereka nak beri beras?" lelaki itu bercekak pinggang tercegat di hadapan bayangan perempuan yang tersepuk ke penjuru dapur.
"Ampunkan saya Bang Lamat," semakin sayu suara perempuan itu meminta belas kasihan tidak tertahan dibelasah oleh lelaki berkenaan.
"Kau sengaja nak malukan aku pada orang, ya tak?" serentak dengan itu bayangan lelaki berkenaan menerkam lagi melepaskan tamparan keras berulang kali.
Lama saya memerhatikan dari celah lubang daun jendela dapur kejadian itu, barulah bayangan lelaki itu berdiri di jendela rumahnya terhangak-hangak memanjang leher ke arah saya. Dia seolah-olah syak ada orang melihat kejadian yang berlaku di rumahnya ketika itu.
Sengaja saya tidak gerakkan badan tercegat di situ, biar lembaga berkenaan tidak cam apa-apa. Sebaik sahaja sayup-sayup azan subuh dari arah surau Lebai Bahamit bergerna ke pelusuk kampung, tiba-tiba sahaja api pelita di dapur rumah peninggalan Lamat Tebong padam serta merta. Saya tidak lagi melihat bayangan perempuan dan lelaki itu di situ.
Cepat-cepat saya ke surau Lebai Bahamit setelah mendengar azan berkumandang. Gemersik suara Mijun melaungkan azan di anjung surau memecah keheningan subuh itu. Seringkali memang Mijun diharapkan oleh ayahnya melaungkan azan, kalau Cikgu Bidin terlambat sampai ke surau.
Kejadian yang saya lihat itu tidak diceritakan langsung pada Lebai Bahamit. Manalah tahu tersinggung pula dia sekiranya diungkit kejadian yang menimpa arwah adik iparnya itu. Lagipun apalah gunanya saya ceritakan kepada sesiapa pun, perkara yang sukar mahu dipercayai oleh akal manusia.
"Kalau boleh kita buatkan kenduri arwah untuk arwah Lamat Tebong dan isterinya," bisik saya pada Lebai Bahamit selepas sama-sama tunaikan solat subuh.
"Ustaz juga dah ternampak?" lantas sahaja Lebai Bahamit menuduh dengan melirik senyum.
"Ternampak apa pula?" sengaja saya berpura-pura terkejut dengan tuduhannya itu.
"Orang memasak di dapur rumah Lamat Tebong," ujar Lebai Bahamit mengerling saya.
Serba salah juga saya mahu mengakui. Manalah tahu Lebai Bahamit tidak mempercayai kejadian demiklan sekalipun jiran-jirannya mengaku telah beberapa kali melihatnya. Bukan takat pagi subuh atau rnalam sahaja, malah tengah hari tatkala matahari tegak di kepala pun mereka melihat asap di dapur rumah tersebut bagaikan orang sedang bertanak nasi.
Kadangkala mereka terdengar lesung batu menumbuk lada atau kelapa tengah dikukur. Apabila mereka dekati rumah tersebut, semuanya hilang tidak kedengaran apa-apa lagi.
"Allah Subhanahu Wata'ala Maha Mengetahui," tutur Lebai Bahamit perlahan apabila kenangkan Lamat Tebong. "Dia mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," tegasnya se-bak menahan rasa terharu yang mengombak.
Memang Lebai Bahamit tahu benar penderitaan Birah selama menjadi isteri Lamat Tebong, hingga saban hari ditampar tidak bersisa. Birah tidak berani memberitahu sesiapapun kalau Lamat Tebong memukulnya, sekali pun dia sekadar memberitahu fasal rumahnya tidak berberas.
Kepantangan sangat pada Lamat Tebong kalau perkara rumahnya tidak berberas diberitahu kepada orang lain. Biar dia kebulur sampai mati pun, Lamat Tebong tidak akan meminta-minta. Tetapi Birah tidak dapat menahan rasa lapar sekiranya Lamat Tebong tidak membawa beras balik ke rumah. Sebab itu dia sanggup meminjam segenggam dua pada Mak Demah atau Kak Tiah.
 Asal sahaja Lamat Tebong mendapat tahu Birah meminjam beras nescaya akan ditamparnya melepaskan geram. Birah terpaksa menahan kesakitan dengan tidak berani menjerit kuat. Kalau dia menjerit juga, sudah tentu Lamat Tebong bertambah berang macam harimau terlepas kurungan.
Sebab itulah Lebai Bahamit nasihatkan dia supaya tunaikan solat sahaja memohon perlindungan Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Tengah malam pun Birah sanggup bangun tidur untuk tunaikan solat tahajud untuk mententeramkan hatinya yang tidak dapat melepaskan diri daripada deraan Lamat Tebong. Setiap malam Birah bangun tunaikan solat sunat tahajud air matanya ber-cucuran apabila membac-kan doa yang diajarkan oleh Lebai Bahamit:
Allahhumma yamannuruhu fis-sirrihi wa-sirruhu fi-khalqihi ikhfini 'ana'kyunin nazirina wa-qulubil hasidina wal-bag-hina kama-hafaztarruha fil-jasadi in-naka 'ala kulli-syai-in qadir.
Hampir sebulan dia tunaikan solat tahajud tengah malam itu, dia termuntah-muntah esok paginya bagaikan air perlimbahan jatuh ke longkang. Hitam bukat muntah yang terjeluih dari mulut Birah hingga baunya juga busuk berwap-wap.
"Apa yang kau makan, Birah?" tanya Kak Tiah apa-bila melihat muntah adik iparnya, sebaik sahaja di-beritahu Birah sakit perut memual-mual.
"Agaknya kau tak ma-kan nasi ni," lantas sahaja Lebai Bahamit menuduh disebabkan keadaan Birah semakin lemah setelah muntah seharian.
Birah tidak memberitahu apa-apa. Sekalipun La-mat Tebong tidak duduk di sisinya ketika itu, namun dia tidak berani membuka mulut apa-apa sama ada dia menjamah nasi ataupun tidak. Sejak paginya dia terlantar tidak dapat bangun pun, Lamat Tebong tidak nampak muka hidung langsung setelah turun menjinjing sangkar denak memikat tekukur.
"Kau sudah makan ke, Birah?" Kak Tiah juga tidak sedap hati melihat keadaan adik iparnya muntah tidak henti-henti macam air perlimbah hitam bukat.
Birah mengangguk lemah. Sekali-sekala dia menekan-nekan perutnya menahan senak yang menusuk-nusuk. Lantas Kak Tiah bawakan nasi biar perut Birah diisi juga. Setidak-tidaknya tenaga Birah boleh pulih semula supaya penyakitnya beransur baik.
Berselera juga Birah makan berlaukkan ikan sepat goreng berlada campur belimbing. Tahu benar Kak Tiah memang Birah tidak menjamah nasi sejak beberapa hari kecuali merebus pisang muda untuk mengalas perutnya. Tetapi Birah tidak berani membukakan rahsia tersebut kepada sesiapa pun termasuk juga Kak Tiah.
Dia tahu padahnya kalau memberitahu fasal tidak menjamah nasi atau merebus pisang muda untuk mengalas perut. Tentu Lamat Tebong akan memberang melepaskan marah yang mendongkol di hati. Badannya akan menjadi sasaran tamparan keras apabila Lamat Tebong sudah memberang.
Tengah malamnya, Birah bangun juga tunaikan solat sunat tahajud sekalipun tubuhnya semakin lemah. Hingga dia tertidur di atas tikar sembahyang Birah sendiri tidak sedar langsung. Hanya sudah lama subuh berlalu barulah dia tersentak jaga.
Sewaktu terlena di atas tikar sembahyang itulah Birah seolah-olah bermimpi melihat Lamat Tebong buang air besar selepas memakan pucuk genggang biar cacing gelang di perut keluar ber-sama najis. Cepat-cepat Lamat Tebong mencekup cacing gelang yang keluar bersama najis itu lantas dibasuh bersih.
Cacing itu dijemur sampai kering hingga gemersik macam ikan salai yang garing. Setelah dijemur dia rendang pula di kuali biar cacing tersebut mudah ditumbuk halus menjadi seperti serbuk kopi. Lamat Tebong menyimpan baik-baik serbuk cacing galing itu di botol dengan ditapakan di atas busut jantan sampai tujuh malam.
Serbuk cacing gelang yang sudah ditapakan di atas busut itu dijampi serapah oleh Lamat Tebong dengan membacakan:
Assalam-mualaikum, aku tahu asal  kau jadi, wahni mani mani-kam asal kau jadi, kur semangat kau si anu, mari kau kembali ke lambungan kiri aku, di situ tempat asal kau jadi, berkat la-illahha illallah hu...
Setelah dijampi serapah Lamat Tebong rendamkan pula botol berkenaan di dalam perlimbahan sampai tiga malam. Serbuk cacing gelang di dalam botol itulah dimasukkan oleh Lamat Tebong ke dalam emping yang dimakan Birah sewaktu sama-sama mengemping selepas habis musim menuai.
Mereka sama jiran sekampung memang bermuafakat menumbuk emping selepas habis musim menuai sebaik sahaja selesai maghrib. Anak-anak gadis akan merendang padi muda di kuali, sementara anak-anak muda menyorongkan kayu api ke bawah buntut kuali. Ibu-ibu mereka pula akan menurnbuk padi sudah direndang di dalam lesung pengemping.
Bertingkah-tingkah antan pengemping disebabkan lima enam antan satu lesung ditumbukkan sekali. Memang perempuan di kampung berkenaan mahir kalau menumbuk emping. Setiap tahun mereka akan mengemping bersama-sama sebaik habis sahaja musim menuai, tanda hubungan mesra penduduk di situ sesama jiran.
Peluang berkumpul bersama inilah digunakan sebaik-baiknya oleh Lamat Tebong untuk memikat Birah. Kalau dia berterus terang, memang bimbang juga dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Manalah tahu Birah akan mencemik muka meluat mahu melayani dirinya.
Sebab itulah dia gunakan serbuk cacing gelang yang keluar melalui najisnya itu bagi memikat Birah. Selepas gunakan serbuk cacing gelang tiba-tiba sahaja Birah tidak mahu berenggang lagi dengan Lamat Tebong. Dia rela mengikut ke mana sahaja, sekalipun keluarganya membuang dia sekiranya berkahwin dengan Lamat Tebong yang pemalas.
 "Kau mimpi macam tu?" terkejut juga Lebai Bahamit apabila diberitahu Birah mengenai mimpinya. Dia sendiri bermimpi juga sama seperti dialami oleh perempuan itu.
Birah mengangguk. Apabila kenangkan muntahnya macam perlimbahan sama dengan serbuk cacing di dalam botol, terasa tekaknya loya hingga perut memual-mual.
Tetapi Lebai Bahamit tidak berani mahu menuduh, Lamat Tebong perdayakan Birah dengan serbuk cacing yang dijampi serapah menjadi ilmu pengasih itu. Kalau benarlah Lamat Tebong lakukan demikian, amalannya tetap didorong oleh godaan syaitan semata-mata.
Tidak lama selepas itulah Birah menghidap de-mam kura hingga membawa maut. Sebulan selepas kematian Birah, beransur-ansur Lamat Tebong berubah bagaikan orang tidak siuman. Berulang kali dia menyebut Birah asal sahaja perasaannya terganggu.
Memang Lamat Tebong mengaku di hadapan Lebai Bahamit, setiap hari menemui Birah. Ke mana sahaja dia membawa sangkar denak memikat tekukur Birah sentiasa mengekorinya. Setiap malam Birah akan tidur di sisinya macam sewaktu hayatnya juga.
Puas Lamat Tebong mahu memisahkan dirinya dengan Birah, tetapi perempuan itu tidak peduli langsung. Memang Lamat Te-bong jelmaan Birah di sisinya hanya bayangan sahaja, namun dia tidak berupaya untuk mengelak. Setiap kali Birah memasak di dapur dia akan hidangkan pada Lamat Tebong air perlimbahan yang hitam bukat.
Terketar-ketar Lamat Tebong dipaksa menghirup air perlimbahan yang dihidangkan itu. Bimbang juga dia mahu membantah kerana di sisinya bukan Birah yang boleh ditampar keras apabila dia memberang. Birah di sisinya ketika itu hanya bayang jelmaan yang tidak boleh ditewaskan oleh tenaga kasarnya.
Sampai Lamat Tebong meninggal dunia pun, cuma Lebai Bahamit satu-satunya yang diberitahu fasal jelmaan Birah mengganggu. Tidak sempat Lamat Tebong memberitahu Kak Tiah, dia pula meninggal dunia.
"Tak tahulah kalau mimpi arwah Birah benar-benar berlaku, ustaz?" Lebai Bahamit menggeleng lemah apabila kenangkan Birah diberi makan serbuk cacing gelang yang sudah dijampi serapah itu.
Saya mengangguk lemah, kemudian berjalan beriringan dengan Lebai Bahamit meninggalkan kawasan surau. Jauh di sudut hati saya memang sudah tertanam niat mahu mengadakan kenduri arwah. Biarlah sama-sama seisi kampung mendoakan roh mereka yang sudah pergi dicucui rahmat Allah Sub-hanahu Wata'ala.





No comments:

Post a Comment