BEBERAPA bulan selepas kenduri arwah dengan bertahlil,
membaca doa selamat dan Yassin di rumah Lebai Bahamit, tidak lagi orang-orang
kampung bercakap fasal jelmaan Lamat Tebong di rumah peninggalan itu. Tidak
pernah lagi mereka melihat dapur rumah berasap seperti orang tengah bertanak
nasi di situ.
Bukan sahaja jiran-jiran yang berhampiran, malah Kak Tiah
dan Andak Lijah juga tidak pernah terserempak lagi jelmaan Lamat Tebong duduk melangut
di pelantar dapur mendongak sangkar tekukur. Mereka juga tidak nampak bayangan
Birah memasak di dapur hingga kedengaran lesung batu menumbuk lada dengan kukur
bergerut-gerut memarut kelapa.
Mijun juga sudah berani menebas belukar di keliling rumah,
di samping menarah rumput di halaman. Rumah buruk peninggalan Aki Mihin
kelihatan kemas setelah dipelihara baik, sekalipun atap yang tiris dan lantai
yang reput menampakkan rumah tersebut terbiar juga.
Terkejut juga Kak Tiah apabila diberitahu oleh suaminya
mengenai amalan Lamat Tebong semata-mata mahu menjadi lelaki yang diminati oleh
ramai perempuan. Di mana arwah adiknya itu menuntut amalan demikian, Kak Tiah
juga tidak tahu. Tidak pernah dia mendengar fasal Lamat Tebong belajar ilmu
yang tidak diredai Allah ini.
Kalau mahu dituduh arwah datuknya Aki Mihin, tidak pernah
pula orang tua itu tahu fasal ilmu kebatinan. Dia sekadar bertukang kayu sahaja
untuk menyara keluarga. Selepas kematian isterinya Itam Nimah, dia terus
menduda sampai ke tua.
Sama juga macam Lamat Tebong yang menduda selepas
kematian isterinya Birah. Tetapi jiran-jiran tidak pula melihat jelmaan Aki
Mihin selepas kematiannya seperti Lamat Tebong yang kerapkali terlangut di
pelantar rumah mendongak sangkar tekukur.
Kak Tiah juga tidak tahu mengenai arwah adiknya
seringkali menampar Birah menyebabkan hidup perempuan itu terseksa. Semenjak
gadis lagi Birah rela menjadi isteri Lamat Tebong sekalipun keluarganya tidak
menyukai. Dia tetap berkeras mahu berkahwin dengan Lamat Tebong setelah
beberapa kali bertemu semasa menumbuk emping.
Kalaulah Lebai Bahamit tidak memberitahu pengakuan Lamat
Tebong mengenai serbuk cacing gelang itu, memang Kak Tiah menyangka adiknya
terlalu mesra melayani Birah. Sebab itulah Birah terus bersabar sekalipun makan
minumnya seringkali diabaikan.
"Tak tahu pula kakak amalan arwah ni," ujar Kak
Tiah menghidangkan minuman sewaktu saya berkunjung ke rumahnya selepas solat
asar di surau Lebai Bahamit. "Kakak lihat dia baik melayani arwah Birah,
lemah lembut orangnya," dia menjelaskan sambil mengerling suaminya yang
menyandar belakang kukuh-kukuh ke dinding tengah.
"Sebab tu kita jangan nilai yang zahir aje,"
sahut Lebai Bahamit lantas menghulurkan cawan minuman ke hadapan saya.
Kak Tiah mengeluh pendek. Memang dia tidak menyangka
Lamat Tebong bersikap garang sampai sanggup menampar isteri. Hairan juga dia
kenapa arwah adiknya itu menduda sahaja selepas kematian Birah? Kalau dia
mempunyai ilmu memikat perempuan, tentu bila-bila sahaja dia boleh berkahwin
lain. Sekiranya mana-mana perempuan cuba berdalih, Lamat Tebong boleh gunakan
serbuk cacing gelang itu biar mereka tersungkur datang menyerah diri.
Apalah ertinya Lamat Tebong memiliki ilmu pengasih kalau
tidak boleh berkahwin selepas kematian isteri? Lebih baik tidak menuntut
apa-apa amalan kalau terpaksa menduda demikian. Tetapi Kak Tiah juga tahu
bukanlah menjadi pantang larang berkahwin lain sekiranya seseorang itu amalkan
ilmu pengasih.
"Kalau dia amalkan ilmu pengasih, kenapa tak kahwin
aje selepas mati isteri?" Cikgu Bidin pula semacam tidak percaya arwah
Lamat Tebong gunakan ilmu pengasih memikat Birah.
"Kahwin pun buat apa, bukan boleh beranak,"
lantas sahaja Utih Berahim men-celah. Tahu sangat dia rahsia kawannya itu
enggan berkahwin lagi selepas kematian Birah.
Memang dia tahu Lamat Tebong sejak muda lagi sudah
amalkan ilmu pengasih yang diturunkan oleh Aki Mihin, tetapi tidak pula Utih
Berahim duga boleh membawa padah buruk. Kalau Aki Mihin tidak mengalami apa-apa
padah buruk, kenapa pula Lamat Tebong terpaksa melalui jalan yang demikian
menyedihkan.
Selepas kematian Birah, tahu sangat Utih Berahim
perubahan kawannya itu. Seringkali dia terserempak Lamat Tebong bercakap
sendirian menyebut-nyebut Birah seolah-olah berhadapan dengan arwah isterinya
itu. Apabila dia tanyakan mengenai kelakuannya, Lamat Tebong tetap berdalih
bagaikan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
Ketika sama-sama memikat tekukur di tepi belukar sewaktu
isterinya masih hidup, memang kerapkali Lamat Tebong mengeluh tidak mempunyai anak.
Berkali-kali dia memberitahu fasal Birah tidak akan mengandung sampai
bila-bila.
Hanya takat itu sahaja Utih Berahim tahu mengenai diri
Lamat Tebong. Dia tidak perlu bertanyakan punca kenapa kawannya itu mengeluh
fasal Birah tidak boleh mengandung. Perkara menentukan seseorang itu boleh
mengandung atau tidak bukannya urusan manusia.
Dia pun tahu bagaimana Nabi Zakaria tersengguk-sengguk
menahan rasa terharu kerana bersyukur setelah menerima wahyu mengenai isterinya
yang telah berusia tua mengandung. Kalau nabi Allah sendiri tidak dapat
menentukan perkara isterinya boleh mengandung ataupun tidak, apa sangat manusia
biasa.
Tetapi Utih Berahim sekadar mendengar syarahan Lebai
Bahamit selepas solat maghrib di surau sementara menunggu masuk waktu isyak.
Manalah Utih Berahim tahu sangat mengenai ayat 7, 8 dan 9 dalam surah Mariam
itu, kalau Lebai Bahamit tidak menjelaskan.
"Dah diberi makan kotor, macam mana nak
beranak," keluh Lebai Bahamit sewaktu berdua sahaja dengan saya di surau
berteduh daripada hujan selepas menunaikan solat asar. Mungkin disebabkan
langit gelap sebelum masuk asar, tidak ramai yang datang berjemaah di surau.
Entah kenapa mahu sahaja Lebai Bahamit menyebut fasal
Lamat Tebong apabila berhadapan dengan saya. Biasanya dia sentiasa berahsia sekiranya beberapa orang
terconggok sama berbual, kalau sebut mengenai kejadian yang menimpa Lamat
Tebong selepas kematiannya.
"Kalau ustaz tak terserempak, memang orang kampung
anggap perkara tu kejadian aneh," tutur Lebai Bahamit memerhati titis
hujan yang jatuh di cucur atap surau.
Disebabkan aneh itulah mereka semua menjadi takut,
sehingga mereka tidak berusaha mahu membantu. Sekiranya mereka menyedari akan
ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala, tentulah mereka sama-sama berdoa biar roh
sesiapa sahaja yang sudah meninggal dunia dicucuri rahmat Allah.
Kalau Lamat Tebong tidak memberitahu mengenai amalan yang
diturunkan oleh Aki Mihin itu, memang Lebai Bahamit tahu tentu orang tua itu
yang memberi petua. Masakan dia membiarkan cucu kesayangannya tidak dilayani
oleh perempuan yang terasa berkenan di hati.
Aki Mihin menduda selepas kematian isterinya bukan
disebabkan dia bimbang apa-apa, tetapi dia merasa keinsafan yang mendalam di
dalam jiwanya. Memang dia mengaku di hadapan cucu menantunya Lebai Bahamit
mengenai perbuatan kejinya semasa usia masih muda. Kadang-kala dia sengaja
membawa perempuan balik ke rumah seolah-olah memperaga di hadapan isterinya.
Keinsafan itulah menyebabkan dia tidak mahu lagi
berkahwin semata-mata mahu mengganti isterinya. Setelah keinsafan menular dalam
jiwanya Aki Mihin juga melayani isterinya dengan baik. Tidak lagi bersikap
kasar macam tidak menghargai langsung isterinya.
Dia juga mengaku di hadapan Lebai Bahamit menurunkan
amalan cacing gelang kepada Lamat Tebong, sampai cucunya itu mengikut jejak
langkahnya tidak hiraukan langsung isterinya Birah. Aki Mihin tahu memang Birah
sudah diberi makan serbuk cacing gelang yang keluar dari najis Lamat Tebong.
Sebab itulah perempuan itu tidak terdaya lagi mahu berenggang, sekalipun Lamat
Tebong tidak pedulikan dirinya.
"Bimbinglah adik kau tu, Bahamit," pesan Aki
Mihin tatkala seluruh tubuhnya semakin lemah.
"Insya-Allah, aki," sahut Lebai Bahamit memberi
jaminan untuk memenuhi pesanan orang tua tersebut. Terbayang di matanya
keinsafan yang amat menusuk ke dalam jiwanya begitu bergelora mahu meluahkan
segala isi hatinya, tetapi suara Aki Mihin semakin tersekat-sekat di
kerongkong.
Siapa yang berani mengganggu Lasiah anak gadis Wak Sikim
yang baru berusia 18 tahun hingga ramai pemuda yang berangan-angan mahu
memikatnya. Setiap kali Lasiah melintasi permatang sawah menjinjing benih,
anak-anak muda cepat-cepat berpaling untuk mengerling. Masing-masing mengharapkan
Lasiah akan memberikan senyuman kepada mereka.
Apabila Wak Sikim mendehem masing-masing menunduk kecut
perut kerana bimbang orang tua berkenaan sedar akan perbuatan mereka. Anak-anak
muda di dalam kampung tahu benar sekiranya Wak Sikim naik berang. Mudah sahaja
dia menghunus parang mengajak lawan.
Masakan mereka boleh mengelak tatkala mata parang dikibas
ke dada sampai terasa elusan anginnya berdesup. Jangan cuba mahu mengganggu
Lasiah kalau tidak cukup syarat ilmu di dada. Junus Kemek sampai terselit celah
rumpun rembia diserbu Wak Sikim, semata-mata disebabkan kambingnya masuk
menceroboh ke tapak semaian.
Marah sangat Wak Sikim apabila Junus Kemek berdalih tidak
mengakui kambingnya menceroboh masuk ke tapak semaian dia. Masakan kambing
orang lain berkeliaran, tiba-tiba sahaja Wak Sikim menuduh kambingnya yang
menceroboh masuk. Disebabkan Junus Kemek berdalih itulah, Wak Sikim menerkam
tidak bertangguh.
Ditamparnya muka Junus Kemek hingga tertumus ke tanah.
Tidak cukup dengan tamparan keras hinggap ke muka Junus Kemek, dia menghunus
parang mahu disendalkan ke dada biar lelaki itu mengaku salah. Kalau tidak mahu
membayar ganti rugi benih semaiannya diragut kambing pun dia tidak peduli, asal
sahaja Junus Kemek tidak berdalih apa-apa.
"Wak nak bunuh orang ke?" jerkah adik iparya
Mat Delit sebaik sahaja diberitahu fasal Wak Sikim mahu menetak Junus Kemek.
"Orang macam ni mesti diajar!" sahut Wak Sikim
tercegat memerhati Junus Kemek ketakutan bersembunyi di sebalik rumpun rembia.
"Tapi, kenapa sampai nak bunuh orang?" soal Mat
Delit tidak suka dengan sikap abang iparnya mahu tunjuk keras kepala tidak
bertempat.
"Kau juga nak kurang ajar dengan aku!"
tersinggung juga Wak Sikim apabila Mat Delit cuba menghalang tindakannya.
"Jangan wak ingat parang tu boleh takutkan orang,
Mat Delit ingatkan dia supaya tidak takbur hingga mahu mencabar sesiapa sahaja.
"Kau Delit, jangan campur hal aku!" ujar Wak
Sikim menudingkan hujung mata parang ke arah dada Mat Delit.
"Saya tak campur, tapi saya nasihatkan wak jangan
buat macam tu," tegas Mat Delit tidak berganjak menentang muka Wak Sikim.
"Buat macam mana?" jerkah Wak Sikim semakin
berang dengan sikap adik iparnya.
"Kita hidup sekampung, buat apa tunjuk keras
kepala?" perlahan sahaja Mat Delit menyabarkan abang iparnya yang sekian
lama tidak boleh dilarang oleh sesiapa pun.
Disebabkan marah dengan teguran adik iparnya, lantas
sahaja Wak Sikim melompat menyerbu ke arah Mat Delit. Tetapi lelaki itu tidak
berundur sekalipun Wak Sikim mengancam dengan mata parang terhunus. Dia percaya
Wak Sikim tidak akan tergamak mahu menetak dia tatkala bertahan di situ
menunggu serbuan.
Terjerit juga Uda Biyah sebaik sahaja melihat suaminya
Wak Sikim menghayun mata parang mahu menetak adiknya Mat Delit. Mahu juga dia
menghambur menyelamatkan adiknya, tetapi Uda Biyah merasa pandangannya
berbinar-binar. Hampir juga dia pitam sebaik melihat Wak Sikim menyerbu mahu
melepaskan marah.
Belum pun sempat Wak Sikim menghampiri Mat Delit
tiba-tiba sahaja dia tergelincir hingga jatuh tersungkur ke dalam lopak sawah.
Parang di tangannya juga terlepas sampai terpelanting jatuh di hadapan Mat
Delit. Tetapi Mat Delit sekadar tercegat sahaja tidak berganjak sedikit pun
memerhatikan abang iparnya di dalam lopak sawah.
Saat ini Mat Delit memang mengisarkan tumitnya ke tanah
dengan berdoa:
Kaf ha ya a'in sad, Ha mim a'in sim
kaf, wa-imma yanza ghannaka minasy syaitanni nazghun fas-ta'iz billahhi in-nahu
sami-'un 'alim.
Semenjak itu satu-satunya orang yang disegani oleh Wak
Sikim di kampung, memang adik iparnya Mat Delit. Di sebalik sikap lemah lembut
Mat Delit itu, Wak Sikim tidak berupaya mahu berkeras. Dia akan mengalah
sekiranya Mat Delit sudah tercegat menghalangnya.
Tetapi selain daripada Mat Delit di kampung itu jangan
cuba mahu angkat muka di depan Wak Sikim. Bila-bila sahaja dia sanggup cekak
leher mengibas mata parang tidak bertangguh. Masakan anak-anak muda di tengah
sawah berani mengganggu Lasiah tatkala berjengket-jengket kaki melangkah di
permatang.
Dalam kebimbangan anak-anak muda berdepan dengan Wak
Sikim inilah Aki Mihin cuba mengujinya. Tiga malam berturut-turut dia hayunkan
limau berbungkus kain putih diikat dengan benang tujuh warna sambil menyanyikan
jampi serapahnya:
Batu luak batu nani, dititik nila
menila, di mana aku mandi, si anu sudah gila, dalam nasi beras pulut, sapu
tenggang dibawa jati lalu, di mulut si anu sudah renggang, air diminum tidak
lalu, aur ditendang pembetung tumbuh, pucuk mengilai lalu seberang, cari kain
warna tujuh, buat pelimbai semangat si anu, bawa kepada aku, kalau kau tak
pandang muka aku, kau gila tak makan gila tak minum, berkat la-illahha illallah
hu
Setelah tiga malam dia nyanyikan jampi serapahnya tidak
juga memberi kesan, lantas Aki Mihin meniup seruling buluh di perdu pokok
dedali di permatang sawah. Sayup-sayup bunyi tiupannya hingga mengimbau jauh ke
pelosok kampung.
Sebaik sahaja tiupan seruling buluh itu menyusup masuk ke
jiwa Lasiah, tidak bertangguh dia berkejar ke sawah menjinjing bakul bekalan
untuk emak dan ayahnya. Sengaja dia meniti permatang melintasi di hadapan Aki
Mihin sekalipun terpaksa melencong jauh dari sempadan sawahnya.
Sampai seminggu Aki Mihin mengulangi meniup seruling
buluhnya, sedar juga Wak Sikim perbuatan lelaki itu. Kalau sekadar meniup
seruling buluh sahaja, masakan anak gadisnya gelisah sekalipun dia melarang
Lasiah supaya tidak turun ke sawah.
Tetapi dia tidak boleh menuduh kalau sekadar mendengar
Aki Mihin meniup seruling buluh. Lagipun Aki Mihin sudah beristeri sudah
mempunyai anak, tentulah dia sendiri berasa malu kalau menuduh lelaki itu cuba
memikat anak gadisnya.
"Ah, buat apa kau tiup seruling lagi, Mihin?"
sengaja Wak Sikim menegur apabila mendekati Aki Mihin tersandar di perdu pokok
dedali.
"Saja nak seronok, wak," sahut Aki Mihin
tersenyum mengerling Lasiah berlari di seberang sawah meniti permatang.
"Anak-anak muda bolehlah main seruling lagi,"
Wak Sikim menyindir sambil mencebek bibir. Memang hatinya geram setiap kali Aki
Mihin meniup seruling buluh tentu anak gadisnya gelisah tidak menentu.
"Apa salahnya wak, untuk hibur-hibur hati,"
tersengih-sengih Aki Mihin kerana disindir oleh Wak Sikim.
Dia tahu Wak Sikim tidak boleh menuduh, sekiranya dia
tidak melakukan perbuatan sumbang dengan Lasiah. Memang dia tidak akan
memulakan sekiranya Lasiah sendiri sekadar berlari melintas di hadapannya
sahaja.
Tetapi apabila Mat Delit sendiri menemui dia, memujuknya
supaya tidak gunakan ilmu pengasih memikat Lasiah, terasa juga malu di hati Aki
Mihin. Mat Delit tidak berkeras setelah menyedari Lasiah tidak boleh melupakan
Aki Mihin walaupun sesaat. Hampir sahaja Wak Sikim menyerbu menghunus parang
menetak kepala Aki Mihin.
Dia tidak dapat menahan sabar, apabila Lasiah berterus
terang mahukan Aki Mihin menjadi suaminya sedangkan lelaki itu tidak pernah membuka
mulut.
Tentulah Lasiah sudah dipengaruhi ilmu pengasih
menyebabkan dia tidak dapat lagi memikirkan masa hadapannya sekiranya berkahwin
dengan Aki Mihin yang sudah berkeluarga.
Mat Delit tidak benarkan abang iparnya berkeras tidak
menentu. Kalau Aki Mihin gunakan ilmu pengasih, apa salahnya berunding cara
baik supaya dia lepaskan Lasiah daripada pengaruh amalan berkenaan. Biarlah dia
memujuk Aki Mihin sebelum membuat keputusan terburu-buru.
"Lasiah masih muda, janganlah aniaya dia," ujar
Mat Delit tenang menghadapi suasana yang mendesak demikian.
"Saya tak buat apa-apa pada Lasiah," lantas Aki
Mihin berdalih dalam keadaan serba salah. Tersenyum Mat Delit dengan penjelasan
Aki Mihin yang cuba berdalih, kerana di kampung itu memang orang tahu sangat akan
kebolehannya kalau memikat perempuan. Mereka yang lemah semangat mudah sahaja
terpengaruh hingga menurut sahaja kemahuannya.
Tetapi Mat Delit sekadar menasihati lelaki itu. Semenjak
dia balik dari belajar pondok di Kelantan, memang Mat Delit disegani oleh seisi
kampung. Aki Mihin tidak boleh berdalih untuk menyembunyikan kesalahannya di
hadapan Mat Delit.
"Kalau tak buat apa-apa, tak mengapalah,"
perlahan saja Mat Delit menuturkan dengan ikhlas. "Tapi, Abang Mihin pun
tahu, Allah Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," dia mengingatkan
sebelum meninggalkan rumah Aki Mihin.
Kelembutan suara Mat Delit itulah menyebabkan Aki Mihin
tidak berani mahu meneruskan memikat Lasiah dengan ilmu pengasihnya. Dia sedar
maksudnya sekadar mahu melepaskan geram terhadap Wak Sikim yang bersikap keras
tidak menentu. Melalui permatang sawahnya menyebabkan terpokah pun Wak Sikim
mudah sahaja menyergah.
Apalagi kalau anak-anak muda bersiul tatkala Lasiah
melintasi permatang menjinjing benih. Memang Aki Mihin tidak bimbang apa-apa
sekiranya Wak Sikim cuba menerkam dengan parang terhunus. Tidak sia-sia lama
dia belajar bersilat sampai diturunkan selempang hitam oleh Malim Timin. Dia
tidak akan berundur sekiranya Wak Sikim berkeras mahu tunjuk garang.
Bila-bila Aki Mihin sanggup bertahan apabila Wak Sikim
menerpa bagaikan harimau terlepas kurungan. Dia tahu bagaimana gurunya Malim
Timin membuka langkah tatkala Jahid Gila mengamuk hingga memukul kepala
neneknya dengan antan pengemping. Siapa lagi berani menghalang Jahid Gila
bertubuh besar tegap itu, kalau bukan Malim Timin?
Terkial-kial adiknya Jahid Gila tengah penyakitnya naik
pasang itu, apabila dipegang jari oleh Malim Timin. Jahid Gila tersentak
laksana disambar karan elektrik sebaik sahaja jarinya tersentuh tangan Malim
Timin yang menunggunya tidak berganjak sedikit pun.
Cubalah siapa pun menerkam tatkala Malim Timin sudah
membiarkan dirinya berada di dalam bayang alif lantas membacakan :
Asyha-du tegak aku seperti alif,
berdiri aku seperti zat, le-nyap aku dalam kandang, kandung kalimah la-illahha
illallah, berkat hu Allah
Tetapi Aki Mihin bukan berniat mahu memperagakan amalan
Malim Timin kecuali apabila dia terdesak sahaja. Selagi Wak Sikim tidak
berkeras, dia juga tidak akan menunjukkan belang. Hanya berdepan dengan Mat
Delit sahaja dia merasa tidak sanggup mahu berkeras. Hatinya menjadi lemah
tidak bertenaga sebaik sahaja mendengar tutur kata Mat Delit yang amat lembut
menusuk ke jiwanya.
Dia menjadi belas setiap kali kenangkan Lasiah yang baru
berusia 18 tahun itu dianiaya dengan amalan ilmu pengasihnya. Kalau hatinya
tersinggung dengan Wak Sikim, kenapa pula Lasiah yang mesti dianiaya? Memang
disebabkan Mat Delit menemuinya itulah, Aki Mihin terpaksa mengalah.
Tiga malam berturut-turut dia membakar kemenyan membuka
semula bungkusan limau diikat benang tujuh warna itu lantas membacakan surah
an-Nas didahulukan dengan diikuti surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas. Kemudian
dia memohon kepada Allah Sub-hanahu Wata'ala supaya Lasiah lupakan sahaja
dirinya.
Seminggu selepas itu Mat Delit datang menemuinya lantas
menepuk-nepuk bahunya sambil menuturkan, "Terima kasih Abang Mihin, saya
hormati amalan Abang Mihin, tapi yang Maha Berilmu hanya Allah Subhanahu
Wata'ala."
Aki Mihin mengangguk perlahan. Dia tahu Mat Delit tidak
sama dengan Wak Sikim yang keras kepala disebabkan pengalamannya mengajar
pencak silat pada anak-anak muda. Siapa pun tidak dihiraukan apabila dia mula
mengarut mencabar lawan. Tetapi belum pernah pula dia berdepan dengan Malim
Timin setiap kali mengarut menunjukkan garang.
Masakan guru mengaji Quran yang lemah lembut seperti Mat
Delit mahu berkeras tidak menentu. Dia sendiri menjadi serba salah apabila
lelaki itu menemuinya meminta lepaskan Lasiah. Bagaimana Mat Delit boleh
menuduh dia gunakan amalam ilmu pengasih untuk memikat anak gadis berusia 18
tahun itu?
Tetapi memang dua
malam berturut-turut Aki Mihin bermimpi seolah-olah kalau Mat Delit melangkah
kepalanya. Setiap kali dia cuba mengelak, Mat Delit bagaikan duduk di
awan-awangan melangkahi kepalanya menyebabkan dia gelisah tidak menentu. Sebab
itulah dia terpaksa juga bangun di tengah malam membuka bungkusan limau berikat
benang tujuh warna..
"Saya minta maaflah, Delit," tidak disedari
lagi Aki Mihin dia menjelaskan demikian di hadapan Mat Delit.
Lama juga selepas pertemuan dengan Mat Delit itu, Aki
Mihin sentiasa melarikan diri kalau terserempak keluarga Lasiah. Jauh di sudut
hatinya memang dia sudah melupakan anak gadis tersebut. Dia tidak akan
menganiaya Lasiah yang hanya baru berusia 18 tahun sahaja, kalau dibandingkan
dengan usianya yang melebihi 40 tahun ketika itu.
Tentulah tidak manis dia mempermainkan anak gadis itu,
sedangkan dia sendiri lebih tua daripada Mat Delit.
Hinggalah kejadian Lasiah tiba-tiba sakit meracau tidak menentu
menyebabkan dia hilang ingatan langsung. Sebulan Lasiah terlantar tubuh
badannya yang gempal menjadi kurus merincing. Marah benar Wak Sikim dengan
kejadian yang menimpa anaknya itu.
"Tentu kerja Mihin,” Wak Sikim mencapai parang di
dinding mahu menyerbu ke rumah Aki Mihin. "Dulu dia yang tergila gila
dengan Lasiah," gerutunya menggertap bibir, tidak dapat lagi menahan sabar
apabila anak gadisnya terlantar sakit.
Lasiah tidak pedulikan siapa pun lagi. Dia membiarkan
rambutnya mengerbang tidak terurus, sambil pakaiannya juga dibiarkan terlondeh.
Terpaksa pula Uda Biyah bergegas-gegas betulkan kain anak gadisnya supaya tidak
terlucut habis.
"Macam mana kalau bukan kerja Mihin?" bimbang
juga Uda Biyah dengan tuduhan suaminya terhadap Aki Mihin.
"Dia fikir dia aje ilmu sihir!" bentak Wak
Sikim menyimpan dendam yang membakar. Dia dapat menduga memang anaknya dikenakan
sihir hingga terlantar hilang ingatan.
"Itulah orang bencikan awak, Lasiah yang menjadi
mangsa," ujar Uda Biyah kesal dengan sikap suaminya yang keras kepala
dengan orang-orang kampung. Kalau mereka tidak berupaya mahu menentang tenaga
Wak Sikim, tentu mereka gunakan ilmu halus untuk membalas dendarn.
"Siapa lagi yang guna sihir, kalau bukan
Mihin?" Wak Sikim menggenggam erat
erat hulu parang di tangan. Dia tahu Aki Mihin berguru memencak silat dengan
Malim Timin. Sebab itu Aka Mihin berani angkat muka dengannya untuk menguji
amalan masing-masing. Tetapi Wak Sikim tidak bimbang siapa pun guru Aki Mihin,
asal sahaja mengganggu keluarganya dia akan cekak leher dengan menyendalkan
mata parang.
“Bukan Abang Mihin sahaja yang pandai, wak," Iantas
Mat Delit mencelah untuk menyabarkan abang ipar nya yang mudah panas
baran. "Malah siapa sapa sahaja
pandai, siapa sahaja yang kuat, Allah Subhanahu Wata'ala lebih pandai dan kuat
“ tegasnya semacam meluat dengan sikap Wak Sikim mudah sahaja mahu menunjukkan garang.
Dia percaya malang menimpa Lasiah, memang disebabkan
orang kecewa dengan sikap Wak Sikim. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, asalkan
puas. Setidak-tidaknya keangkuhan Wak Sikim selama ini patut juga ditundukkan,
biar dia menyedari betapa orang lain juga boleh bertindak balas.
"Awak ni angkuh macam tak takutkan Allah," Uda
Biyah juga tidak sabar lagi dengan kelakuan suaminya mudah sangat mencabut hulu
parang.
"Cuba bertenang, wak," Mat Delit mengingatkan
dalam suara yang perlahan. Lasiah sakit, ikhtiar kita ialah mengubatkan,
bukannya menuduh orang sampai timbulkan syak wasangka," katanya mengejek
sikap abang iparnya yang tidak henti-henti menuduh Aki Mihin.
Setelah diberitahu
mengenai keadaan Lasiah terlantar sakit, Aki Mihin tetap datang menjengah.
Memang dia tahu Wak Sikim menuduhnya gunakan sihir ilmu syaitan biar Lasiah
diserahkan kepadanya. Tetapi perkara serahkan Lasiah kepadanya tidak penting
sangat kalau dibandingkan mahu membersihkan namanya yang kian tercemar.
Terasa sangat pada Aki Mihin, asal sahaja orang –orang
kampung diganggu ilmu syaitan dia lah satu-satunya yang dituduh Seolah-olah dia
satu-satunya yang tahu fasal ilmu pengasih hingga anak-anak gadis
tergila-gila. Sudah berapa ramai anak
gadis di kampung itu yang dirosakkannya, dia sendiri tidak tahu?
Kalau benarlah ilmu pengasihnya sudah merosakkan ramai
anak gadis, bila-bila dia sanggup menyembah gadis yang sudah dirosakkan itu
untuk meminta ampun!
Tetapi tidak seorang pun gadis di kampung itu yang telah
dirosakkan oleh Aki Mihin. Sekiranya hati dia tidak dilukakan, sampai bilapun
Aki Mihin tidak akan hayunkan limau di tengah malam. Dia tidak membacakan jampi
serapah semata-mata untuk memikat anak gadis biar menyerah diri ke pangkuannya.
Sebab itu dia datang jengah Lasiah. Biarlah Wak Sikim
menerkamnya sebaik sahaja dia jejak ke kepala tangga. Sekiranya kedatangan baik
disambut dengan cara jahat, memang Aki Mihin tidak diamkan diri. Dia akan
mengelak juga supaya Wak Sikim tahu di dalam kampung itu masih ada orang yang
mampu menewaskannya.
Tetapi Wak Sikim tidak berganjak daripada tempat duduk
semasa Aki Mihin naik ke rumah bersama isterinya. Dia sendiri tertunduk mengesat
pelupuk mata sebaik sahaja melihat keadaan Lasiah terlantar hingga tulang pipi
cengkung akibat terlalu kurus.
"Nak buat macam mana ni Abang Mihin?" lantar
sahaja Mat Delit menegur sebaik sahaja Aki Mihin duduk.
Aki Mihin tidak menyahut. Dia memandang Wak Sikim yang
berpaling tidak mahu menatap mukanya. Tetapi dia tetap bersabar selagi Mat
Delit melayani dia dengan baik. Dia datang menjengah Lasiah pun bukan
disebabkan Wak Sikim, tetapi kenangkan Mat Delit yang sentiasa merendah diri
setiap kali bertutur.
"Kalau Abang Mihin boleh ubatkan, cubalah,"
ujar Mat Delit perlahan.
"Dah ramai dukun mengubatnya tak termampu," Wak
Sikim tiba-tiba bersuara keras.
"Manalah tahu penyakit sembuh, kalau dapat dicari
puncanya," dia sengaja mengejek untuk melepaskan perasaan geram yang
mendongkol di hati.
"Wak, cuba bertenang dulu," Mat Delit
meninggikan sedikit suaranya kerana
bimbang Aki Mihin akan tersinggung. Tetapi Aki Mihin hanya
tersengih-sengih sahaja.
"Delit pun tahu kita makhluk tak upaya nak mengubat,"
sahut Aki Mihin ikhlas. "Saya serahkan pada, Delit, dan saya akan
membantu, insya-Allah," tegasnya dalam keluhan memanjang.
Mat Delit hanya membuat keputusan untuk membacakan Yassin
sahaja di sebabkan tidak ada ikhtiar lain lagi. Keadaan Lasiah juga sudah
semakin tenat. Kalau Wak Sikim menggunakan akal fikiran, tentu dia dapat
menilai keikhlasan Aki Mihin menjengah Lasiah, memang bukan dia yang tergamak
melakukan perbuatan sihir.
Tiga maghrib Mat Delit mengajak jiran jiran membacakan
Yassin beramai-ramai, Lasiah meninggal dunia juga. Aki Mihin sendiri duduk di
hujung kaki gadis itu membaca Yassin, tatkala Lasiah perlahan-lahan
menghembuskan nafas.
Sebaik sahaja Lasiah meninggal dunia, tiba-tiba sahaja
halaman rumah Wak Sikim gempar disebabkan riuh orang memekik-mekik tidak
menentu. Tatkala disuluh ke tengah halaman Uda Biyah melihat Kusip anak saudara
Sikim berlari-lari di tengah halaman itu
"Aku nak ikut Lasiah aku nak ikut," Kusip
jerit-jerit di tengah halaman. sewaktu orang ramai membujurkan mayat di tengah rumah.
"Kenapa kau ni, Kusip?" jerkah Wak Sikim dari
pintu serambi terkejut dengan kelakuan anak kakaknya itu. Memang dia tahu fasal
kusip seringkali mengusik Lasiah, tetapi anak gadisnya tidak melayani sangat.
Kalau Lasiah tidak membantah, Wak Sikim juga tidak melarang Kusip dijodohkan
dengan anaknya.
Kusip tidak menyahut. Dia terus menjerit-jerit dalam
kegelapan malam hingga terpaksa dileraikan. Wak Sikim sendiri bersama beberapa
orang jiran mengheret Kusip naik ke rumah. Tetapi Kusip tidak mahu masuk ke
dalam menjengah jenazah Lasiah.
"Aku nak kahwin dengan Lasiah," ujar Kusip
mengongoi-ngongoi dalam suara tergigil-gigil.
"Lasiah dah meninggal, Kusip," Uda Biyah
tersengguk-sengguk menahan kesedihan yang menyebak di dada.
"Aku mesti kahwin dengan Lasiah!" rungut Kusip
tidak henti-henti mengongoi-ngongoi.
Semenjak kematian Lasiah itu, Kusip menjadi tidak siuman.
Dia melilau sekeliling kampung memberitahu mahu berkahwin dengan Lasiah.
Kadangkala dia duduk di perdu rumpun pisang memanggil orang lalu lalang
kipaskan dia bersanding dengan Lasiah di situ.
Tahu sangat Wak Sikim, memang Kusip yang tergamak
menyebabkan Lasiah terlantar sakit. Kusip sanggup meminta pertolongan batin
Orang Asli di hutan semata-mata mahu menundukkan hati Lasiah. Tidak disangkanya
pula ilmu pengasih yang dikenakan kepada Lasiah, bertukar menjadi penyakit yang
menyeksa dirinya hingga menemui ajal yang ditentukan Allah Suhhanahu Wataala
demikian.
Kekesalan inilah ditanggung oleh Aki Mihin. Kalau tidak
disebabkan dia juga memuja Lasiah dengan ilmu pengasih, tentulah hati Lasiah
boleh dipujuk mengasihi Kusip. Selepas itulah Aki Mihin mengambil keputusan
membawa keluarganya berpindah ke kampung yang baru.
"Memang aki yang turunkan ilmu pengasih tu pada
Lamat, ustaz," beritahu Lebai Bahamit, mengerling saya yang tertunduk
mengeluh pendek. "Tentu susah nak percaya cerita macam ni, betul tak
ustaz?" dia menambah kerana bimbang saya tidak mempercayai cerita mengenai
Aki Mihin itu.
No comments:
Post a Comment