Monday, January 18, 2016

159. TIBA TIBA MAYAT MENJADI BERAT


   KEJADIAN yang menimpa Semiah seakan-akan sama dengan dialami oleh Raonah di kampung saya lebih dua puluh tahun dulu. Tetapi nasib Semiah lebih baik kerana ayahnya Ucu Yasin tidak gelabah macam ayah Raonah, sebaik sahaja mendapat tahu anak gadisnya mengandung. Ucu Yasin tetap tabah menahan kesabaran sekalipun merasa malu tidak terperi dengan kejadian yang mengaibkan itu.
Hati ayah mana dapat menahan sabar apabila anak gadisnya mengandung sebelum sempat dinikahkan. Sebab itulah Leman Bauk tidak bertangguh mencapai rotan sega menyebat Raonah sampai hilang suara tangisnya. Isterinya Ngah Sumi tersandar ke guni padi akibat menahan pitam tidak tergamak melihat Raonah dibelasah teruk.

Kalau tidak disebabkan Tok Aji datang meleraikan tentu Raonah terbujur kerana menahan penderitaan. Termengah-mengah Yusak yang sebaya dengan saya ketika itu berkejar ke madrasah Tok Aji memberitahu fasal Raonah dipukul ayahnya. Yusak juga tidak tergamak melihat kakaknya dipukul sampai berbirat seluruh badan.

"Jangan ikutkan syaitan, Leman!" Tok Aji berdiri gagah di muka pintu menyergah Leman Bauk, sebaik sahaja dia naik ke rumah. Cepat-cepat Leman Bauk berpaling menentang muka Tok Aji, barulah saya dan Yusak naik ke rumah.

Tidak bertangguh Yusak menerkam mendapatkan kakaknya yang tertiarap tidak bersuara apa-apa macam batang pisang terbujur. Saya segera bawakan air sebesen, lantas lapkan kain basah ke muka Raonah. Ketika ini barulah Ngah Sumi terketar- ketar bangun rnembantu memulihkan keadaan Raonah yang separuh tidak sedarkan diri.

"Kenapa kau pukul Raonah teruk macam ni?" soal Tok Aji tidak berkedip mata memerhati Leman Bauk.  

"Dia beri malu saya, dia sapukan arang ke muka saya," sahut Lernan Bauk meluahkan rasa marah yang tidak terkawal.

"Dah kau pukul dia, habiskah malu kau?" suara lembut Tok Aji menyebabkan Leman Bauk terdiam. Tangannya masih terketar-ketar menahan rasa marah yang bergejolak di dada.

"Pukul sampai mati pun, benda dah terjadi nak buat macan mana!" gerutu Ngah Surni terkilan dengan perbuatan suaminya memukul Raonah tidak beragak-agak.

"Saya nak tahu, jantan mana yang lakukan?" tegas Leman Bauk terasa darahnya kian menyirap apabila kenangkan perbuatan anak gadisnya hingga mengandung. Tentu dia berulang kali rnenemui lelaki berkenaan setiap kali berulang alik ke madrasah Tok Aji.

Kalau mahu dituduh Raonah mencari lelaki, Yusak sering kali bersama apabila belajar di madrasah Tok Aji. Belum pernah lagi dia pergi berseorangan sahaja setiap petang.

Tentu Raonah menipu dia hingga sempat bertemu dengan lelaki yang sengaja mencari kesempatan. Setelah Raonah mengandung, lelaki berkenaan melarikan diri entah ke mana. Puas didesak supaya Raonah memberitahu, dia tetap membisu tidak bercakap sepatah apapun. Sebab itulah Leman Bauk tidak dapat menahan sabar lagi hingga tidak menyedari mencapai rotan sega membelasah Raonah.

"Biarlah Raonah di rumah aku buat sementara ni," ujar Tok Aji memujuk supaya anak gadis berkenaan berlindung buat sementara di madrasahnya.

Semenjak Raonah tinggal di rumah Tok Aji, kerap-kali Yusak tidur bersama saya di tengah madrasah. Dia juga tidak mahu berenggang dengan kakaknya yang murung sahaja semenjak mengalami kejadian itu.

"Kak Onah jangan buat kerja kuat-kuat," tutur saya apabila terserempak dia banyak membasuh pakaian di telaga. Pakaian saya juga dibasuhnya sama hingga berlonggok penuh satu besen besar.

"Ah, basuh baju, bukannya kerja berat," sahut Raonah melirik senyum, tetapi terbayang keadaan badannya yang lemah tidak bermaya. Dia hanya gagahi sahaja membasuh semata-mata tidak senang untuk berihat sahaja.

Disebabkan tidak tergamak membiarkan Raonah membasuh pakaian, terpaksalah saya membantunya sama. Kadangkala Yusak juga akan datang membantu membasuh di telaga. Memang kami kasihan melihat keadaan Raonah, tetapi apakan daya apalah yang boleh kami bantu tatkala berusia 12 tahun ketika itu.

Selepas 20 tahun kejadian menimpa Raonah itulah Ucu Yasin pula menanggung malu apabila anak gadisnya Semiah mengandung. Kejadian itu berlaku hanya beberapa bulan sahaja saya berpindah ke kampung berkenaan jauh di kawasan pendalaman.

"Maafkan saya ayah," keluh Semiah dalam tangisan kesal yang tidak terhingga memegang kaki ayahnya yang tercegat di tingkap.

"Seribu kali kau minta maaf pun, malu ni tak dapat juga dibuang," ujar Ucu Yasin terharu menanggung sebab di dada.

"Dengan budak jantan mana, Semiah?" emaknya Kak Binah pula mendesak kerana tidak sabar lagi dengan sikap Semiah cuba menyembunyikan lelaki yang menyebabkan dia mengandung. "Kalau budak jantan tu mahu, kahwin aje," tegasnya tidak dapat mengawal lagi kekesalan yang menusuk ke hatinya.

Memang Kak Binah sendiri tidak akan membantah sekiranya lelaki yang menyebabkan anaknya mengandung itu bersedia mengambil Semiah menjadi isteri. Biarlah Semiah berkahwin sahaja dengan lelaki berkenaan kalau mereka sudah suka sama suka untuk hidup bersama.

Tetapi Semiah hanya membisu tidak memberitau apa-apa. Setiap kali didesak Semiah hanya menggeleng sahaja sambil tersengguk-sengguk mengesat pelupuk matanya. Berat sangat hatinya mahu menerangkan siapakah lelaki yang tidak bertanggungjawab itu hingga menyebabkan dia mengandung masuk lima bulan.

"Cubalah ustaz pujuk, manalah tahu dia mahu beritahu pula," Ucu Yasin berharap sangat apabila mengadukan halnya kepada saya.

Disebabkan Ucu Yasin sudah macam keluarga saya juga, terpaksalah saya bersetuju mahu menyelesaikan masalahnya. Ketika negara baru sahaja mencapai kemerdekaan perhubungan di antara kampung berkenaan dengan pekan kecil yang berhampiran juga masih rumit lagi.

Puas saya memujuk Semiah, lama baru dia menuturkan dalam keadaan terputus-putus suara memberitahu: "Kalau saya beritahu pun takkan ustaz mahu percaya."

"Semiah berilah tahu, manalah tahu ustaz boleh membantu," isteri saya pula memujuknya.

Memang Semiah sudah menganggap isteri saya sama macam emaknya sendiri. Dia tidak segan-segan memberitahu apa sahaja mengenai dirinya kepada isteri saya.

"Mak percaya tak kalau Semiah ceritakan?" Semiah masih ragu-ragu untuk menerangkan sambil mengerling saya yang mendengarkan dengan teliti.

"Ceritalah, mak dengan ustaz percayakan Semiah," isteri saya terus memujuknya. Semakin terdesak Semiah. Hatinya bertambah sebak apabila kenangkan Mat Kerubung yang sudah memutih uban di kepala. Beberapa kali Mat Kerubung mengusiknya, Semiah hanya memasamkan muka sahaja. Tidak diduganya Mat Kerubung yang boleh dipanggil datuk masih mahu mengusik anak gadis sepertinya.

Memang dia bimbang sekiranya berselisih di jalan dengan Mat Kerubung. Matanya yang meliar itu sudah cukup membimbangkan Semiah. Dia tetap akan melarikan diri kalau terserempak Mat Kerubung di mana-mana. Benci sangat dia dengan sikap Mat Kerubung yang sudah banyak kali beristeri. Tidak seorang pun isterinya yang kekal lama hidup bersama.

Paling lama pun hanya dua tahun sahaja isterinya bertahan macam Uda Tihah. Ketika masih bersama dengan Uda Tihah, dia berkahwin lagi dengan Utih Encom. Tidak bertangguh Uda Tihah meminta dilepaskan kerana dia tidak mahu berrnadu dengan sepupunya sendiri.

Tetapi dengan Utih Encom tidak kekal lama dia berkahwin. Dua bulan sahaja hidup bersama lantas Mat Kerubung ceraikan. Selepas itu Mat Kerubung berkahwin pula dengan Ibah Janda, sampai bermadu tiga orang. Disebabkan Ibah Janda seringkali bergaduh dengan dua orang lagi madunya, terus sahaja Mat Kerubung mengambil keputusan menceraikan semuanya sekali.

Siapa yang tidak tahu di kampung tersebut mengenai perangai Mat Kerubung yang berkahwin dan bercerai macam menukar pakaian setiap hari. Semakin tua usianya perangai Mat Kerubung tidak juga berubah. Tatkala sudah dua orang isterinya itulah, dia cuba mengganggu Semiah pula.

Sengaja Semiah tidak memberitahu sesiapa pun mengenai perangai Mat Kerubung cuba mengusiknya setiap kali terserempak. Setiap kali kenangkan lelaki tua itu, benci sangat Semiah. Kalau tidak disebabkan Mat Kerubung sudah memutih uban di kepala, memang tergamak juga Semiah mahu menyindirnya untuk melepaskan geram di hati.

Semiah tidak akan memberi malu lelaki tua macam Mat Kerubung selagi dia masih tidak dikasari. Dia percaya Mat Kerubung tidak akan berani mengganggu sesuka hati. Ke mana Mat Kerubung mahu berlindung sekiranya orang-orang kampung menyerbu ke rumahnya, kalau perempuan tidak rela menjadi isterinya.

Lainlah Uda Tihah, Utih Encom atau Ibah Janda, memang semuanya rela menjadi isteri Mat Kerubung. Siapa pun tidak boleh melarang apakala perempuan rela dijadikan isteri. Biarlah Mat Kerubung sudah ramai isteri, tidak ada hak orang-orang kampung melarang disebabkan perempuan yang dikahwininya rela dimadukan.

Tetapi Semiah tidak rela. Jangan cuba Mat Kerubung mahu mengganggu dia kalau terserempak di mana-mana. Asal sahaja lelaki tua itu rnerapatinya, tidak bertangguh Semiah akan menjerit. Biar seisi kampung datang menyerbu sebaik sahaja jeritannya langsing hingga kedengaran di seluruh pelusuk kampung.

Disebabkan Semiah tetap tidak mahu melayani dia di manapun terserempak, malu juga Mat Kerubung merasakan dirinya seolah-olah tidak berguna lagi. Sia-sia sahaja amalan yang dituntutnya selama ini kalau Semiah tidak dapat ditundukkan. Manalah tahu Semiah akan hebahkan kepada semua penduduk kampung mengenai dirinya cuba mengganggu.

Alangkah malunya dia apabila Semiah memberitahu seisi kampung dirinya macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Mentang-mentang tubuhnya kurus ceding dengan muka cengkung dipenuhi parut jerawat, sengaja Semiah mahu memberi malu.

Setiap kali dia melintas di mana-mana, Mat Kerubung merasakan orang-orang kampung mengejeknya. Dia seolah-olah lelaki tua yang tidak sedar diri mahu memikat anak gadis seperti Semiah. Ejekan itu berterusan hinggakan Mat Kerubung menjadi serba salah, apakala kenangkan Semiah hebahkan kepada orang-orang kampung.

Lainlah kalau Semiah rahsiakan kepada sanak saudara fasal dia cuba mengusiknya. Bagaimana sekiranya Semiah tidak mahu menyimpan rahsia? Sebab itulah Mat Kerubung tidak boleh berdiam diri, setiap kali kenangkan Semiah akan memberitahu semua orang-orang kampung.

Semenjak lebih sebulan Semiah tidak pernah lagi menemui Mat Kerubung, tiba-tiba sahaja dia bermimpi lelaki tua itu mendatanginya. Terlalu mesra lelaki itu memujuknya, hingga dia melihat Mat Kerubung berubah menjadi tampan dan bergaya.

Di dalam mimpinya Semiah merelakan sahaja apapun dilakukan oleh Mat Kerubung terhadap dirinya. Dia benar-benar terpesona dengan Mat Kerubung yang amat pintar memujuk. Segala kemahuan Mat kerubung dilayaninya dengan penuh mesra.

"Abang sudah tua, Semiah," bisik Mat Kerubung hingga terasa bergetar di jiwa Semiah.

"Siapa cakap abang dah tua?" Semiah bagaikan merajuk untuk menguji hati lelaki berkenaan.

"Semiah yang cakap," terkekeh-kekeh Mat Kerubung ketawa lantas memegang dua bahu Semiah. Debar dada Semiah terasa berdegup kencang tatkala membiarkan M'at Kerubung merapatkan dirinya.

"Kalau abang tak sayangkan Semiah, cakaplah tak sayang," ujar Semiah dalam suara lembut yang menggetarkan.

Apabila terjaga di tengah malam, Semiah mengeluh panjang. Hairan juga dia dengan mimpi yang menakutkan hati sanubarinya. Kalaulah tidak kenangkan mimpi, memang mahu juga Semiah memberitahu keluarganya. Tentulah ayahnya akan mentertawakan dia, sekiranya diberitahu mengenai mimpinya dipujuk rayu oleh Mat Kerubung.

Tiba-tiba sahaja dia gembira menerima Mat Kerubung, sedangkan jauh di sudut hatinya memang lelaki itulah yang dibencinya. Manalah dia boleh mempercayai lelaki yang suka beristeri banyak seperti Mat Kerubung. Seisi kampung tahu sangat fasal perangai Mat Kerubung amalkan mu pengasih hingga ramai perempuan yang melutut di kakinya.

Cubalah perempuan sengaja menolak pujuk rayunya kalau hatinya sudah benar-benar terpikat. Mat Kerubung akan menunggu sehingga bulan mengambang penuh, memerhatikan cahayanya bersinar memancar. Dia akan cancangkan tujuh batang lidi di tepi busut sehingga bayang bayang puncak busut terkepung dalam tujuh batang lidi yang dipancang.

Dia akan menyeru sampai tujuh batang lidi yang tercancang itu bergerak seolah-olah memberi isyarat. Ketika ini Mat Kerubung sudah nekad tidak akan menyerah kalah lantas me-nyerukan jampi serapahnya:

"Assalammualaikum ya Jibrail, Waalaikum ya Mikail, langit bapaku bumi ibuku, nursani nama eng-kau si anu, insan terjali nama aku, Asyhaduan la-illahha illallah, wa-asyhadu-anna Muhammaddar rasu-llullah."

Sebab itulah Semiah tahu sangat perangai Mat Kerubung yang suka habiskan masa di kedai majong di pekan kecil. Dia sanggup mengayuh basikal balik tengah malam hingga tiga batu dari pekan kecil berkenaan, semata-mata main majong bersama kawan-kawan Cina. Mat Kerubung tidak peduli fasal isteri-isterinya sama ada cukup beras atau ke-perluan hariannya.

Sekiranya mereka semua sudah tidak tertahan lagi hidup bersamanya Mat Kerubung sanggup ceraikan. Dia tidak perlu lagi hidup bersama, kerana bila-bila dia boleh memikat perempuan lain. Asal sahaja hatinya berkenan memang perempuan itu tidak akan terlepas dari tangannya.

Tetapi mimpi yang dialami oleh Semiah itu dianggapnya macam perkara yang tidak boleh dipercayai sahaja. Semiah tahu apalah sangat mimpi kalau mahu difikirkan sampai menjadi beban pula. Biarlah tiap-tiap malam dia bermimpi dicumbu oleh Mat Kerubung, bukannya rugi apa-apa.

Lebih sebulan dia ber-mimpi didatangi oleh Mat Kerubung itulah Semiah merasakan perubahan pada dirinya. Dia mula merasakan tekaknya loya bagaikan mahu termuntah. Tetapi dia sengaja diamkan diri sahaja kerana menyangka penyakit biasa sahaja. Sehari dua tentulah loya dan pening kepala itu boleh hilang selepas berbaring rehatkan badan.

Sampai tiga bulan menanggung perubahan pada dirinya, Semiah terasa perutnya mula berisi. Terkejut juga emaknya Kak Binah setelah mendapati anaknya berubah sangat. Dia dapat mengagak tentulah Semiah mengandung sekiranya keadaannya letih lesu sampai mukanya pucat lesi akibat termuntah-muntah tidak menentu.

Puas didesak oleh Kak Binah, anak gadisnya tetap terpinga-pinga apa telah berlaku terhadap dirinya. Setelah diminta Bidan Oyah rabakan perut Semiah, memang dia mengakui anak gadis itu sudah mengandung masuk empat bulan. Betapa malunya Kak Binah setelah mendapat tahu Semiah mengandung hingga perutnya sudah nampak memboyot.

Bimbang sangat dia kalau-kalau Bidan Oyah akan hebahkan pula kepada seisi kampung mengenai Semiah sudah mengandung empat bulan. Mana lagi muka hendak diletakkan akibat perbuatan yang terkutuk itu. Setelah perkara Semiah mengandung diberitahu kepada Ucu Yasin, dia sekadar menahan sebak di dada.

Tidak diduganya mala petaka demikian menimpa dirinya. Tergamak sangat anak kesayangannya melukakan hati keluarga. Disebabkan tidak dapat menahan rasa sedihnya itulah Ucu Yasin serahkan anaknya supaya saya suami isteri menjaganya. Biarlah Semiah melahirkan anak jauh dari kampung halamannya. Terpulanglah pada saya suami isteri uruskan nasib anak malang yang tiba-tiba sahaja mengandung sekalipun belum pernah berkahwin.

"Takkan ada orang nak percaya, mak," teresak-esak Semiah memberitahu isteri saya dengan linangan air mata.

Bimbang juga dia sekiranya dituduh berbohong. Masakan dia sekadar bermimpi menemui Mat Kerubung hingga boleh mengandung, kalau tidak bertemu secara sulit. Tentu dia sengaja berpura-pura bencikan Mat Kerubung disebabkan lelaki itu tidak mahu mengambilnya menjadi isteri setelah berbadan dua. Memang Semiah tahu tidak ada siapa pun mahu percaya dengan kejadian yang menimpa dirinya itu.

"Tak apalah Semiah duduk aje di sini, bila dah sihat nanti barulah balik ke kampung," isteri saya memujuk dalam keluhan memanjang. Sama ada Semiah berbohong ataupun tidak, dia terpaksa juga menerimanya setelah keluarga gadis itu menaruh harapan tinggi terhadapnya.

"Tetapi, Semiah tak mahu lagi ke kampung, mak," gerutu Semiah dalam tangisan yang semakin sayu.

"Duduk ajelah di sini," ujar isteri saya untuk mententeramkan hatinya.

"Semiah tak mahu susahkan, Mak," sahut gadis itu terharu disebabkan semakin gelisah dengan keadaan dirinya.

Terkebil-kebil mata juga dia apabila saya ceritakan mengenai diri Raonah beberapa tahun dulu. Bukan dia seorang sahaja yang menerima nasib buruk demikian. Malah Raonah sendiri lebih teruk menanggung derita disebabkan ayahnya tidak dapat menahan sabar.

Selepas dibelasah teruk oleh Leman Bauk, memang di rumah Tok Aji tempat dia berlindung. Tok Aji marahkan ayahnya Leman Bauk sekiranya terus berkeras mahu melepaskan geram. Perkara yang telah berlaku ke atas diri Raonah tidak boleh diselesaikan kalau memukul gadis itu sampai separuh mati pun.

Tetapi Raonah tidak dapat bertahan lama, kerana beberapa minggu sahaja di rumah Tok Aji, dia semakin tidak sihat. Derita yang ditanggungnya memang akibat dipukul teruk oleh ayahnya Leman Bauk. Kalau tidak dileraikan oleh Tok Aji, tentu keadaan Raonah tidak dapat diselamatkan.

Sebaik sahaja Raonah terjerit-jerit menanggung beban dibelasah oleh ayah-nya, tidak bertangguh Yusak berlari ke rumah Tok Aji. Dia memberitahu segala kejadian yang berlaku. Tatkala Tok Aji jejak kaki ke rumah Leman Bauk, keadaan Raonah sudah terlalu lemah. Ngah Sumi hanya teresak-esak sahaja menekup muka tidak tergamak melihat keadaan anaknya.

Setelah dibawa tinggal bersama Tok Aji, dia disuruh bangun setiap tengah malam sama-sama tunaikan solat sunat tahajud. Saya sendiri bersama Yusak sengaja tidur di madrasah, kerana ingin bangun tengah malam bersama Tok Aji.

Selepas solat sunat tahajud, Tok Aji mengajak bersama-sama membaca Yassin. Tetapi Raonah disuruh oleh Tok Aji amalkan membaca sebanyak 70 kali:

Hasbiallahhu wa-nikmal-wakil nikmal-maula wa-nikman-nasir.

Raonah patuhi segala yang diajarkan oleh Tok Aji, supaya dirinya dapat bertaubat sekiranya sudah melakukan kesalahan dan dosa. Tok Aji mahu Raonah benar-benar insaf atas setiap kesalahan yang nyata dan tersembunyi. Disebabkan mahu membuktikan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan itulah Raonah gagahi juga bangun tengah malam tunaikan solat tahajud.

Memang siapa pun tidak mempercayai dirinya, apabila tiba-tiba sahaja merasakan dirinya terjebak di dalam pondok buruk bangsal menunggu durian. Dia menjadi gelisah sekiranya tidak dapat menemui Mat Sulap duda beranak empat di bangsal menunggu durian jauh di hujung kampung.

Mat Sulap duda bergigi jongang itu memang sudah lama inginkan Raonah menjadi isterinya. Tetapi Raonah tidak mahu melayani duda yang hampir sebaya dengan ayahnya itu. Selepas dia beberapa kali melarikan diri dari Mat Sulap tatkala terserempak di tengah jalan, kerapkali dia bermimpi lelaki itu datang memujuknya.

Setiap kali balik dari madrasah, Raonah merasakan langkahnya bagaikan dipimpin oleh angin membelok ke bangsal menunggu durian di hujung kampung. Puas dia mencuba mahu membelok ke simpang rumahnya, tetapi tolakan angin lebih keras mengheretnya. Saat ini dengan hanya mendengar bisikan suara Mat Sulap sahaja memanggilnya sehingga dia lupa keadaan di sekeliling.

Sebaik sahaja bertentang mata dengan Mat Sulap yang menunggu di bangsal, Raonah bagaikan kaku tidak boleh bergerak sendiri. Dia merelakan sahaja Mat Sulap melakukan apa sahaja dengan tidak membantah langsung.

"Raonah jangan bimbang, abang sayangkan Raonah," bisik Mat Sulap bagaikan anak teruna gagah memujuk.

"Raonah bukannya cantik," sahut Raonah terkejang kaku tidak bergerak apa-apa.

"Siapa cakap Raonah tak cantik," Mat Sulap semakin yakin bahawa gadis itu sudah terjebak dalam amalan ilmu pengasihnya.

Raonah terdiam. Air matanya sahaja mengalir apabila kenangkan Mat Sulap dapat memerangkap dirinya. Apabila dia balik ke rumah, terlalu kesal di hati Raonah. Mahu sahaja ketika itu dia menghunus parang menyerbu untuk memenggal leher Mat Sulap.

Tetapi apabila balik sahaja dari madrasah selepas asar, Raonah akan merasakan hatinya berdebar-debar. Lama kelamaan dia tidak tahu apa berlaku kepada dirinya apakala terasa tolakan angin menyebabkan kakinya bagaikan tidak berjejak di bumi. Dia hanya menurut sahaja ke mana ditolak angin bersama bisikan suara Mat Sulap memanggil namanya.

Saat ini memang Mat Sulap menghayun buah limau yang digantungnya dibangsal menunggu durian itu. Siapapun tidak akan menjengah ke situ sekiranya bukan musim durian gugur. Tentu tidak ada orang melintas tatkala dia membakar kemenyan dengan menghayun buah limau itu seperti buaikan bayi dalam bedung-an.

Limau dibungkus kain putih dan diikat dengan benang tujuh warna itu di-buai berulang kali sampai terdengar bisikan Raonah memanggil namanya. Memang Mat Sulap tahu suara Raonah yang memanggil dia bukanlah gadis itu sendiri, tetapi jembalang tanah yang dijadikan suruhan untuk membawa Raonah ke situ.

Apabila dia sudah menyeru:

Hai nenek tujuh petala bumi, sedalam-dalam sampai ke pasak bumi, aku nak minta aku nak menyu-ruh, bawakan si anu kepada aku, berkat kita bersahabat bersaudara, kabul la-illahha illallahhu.

Mat Sulap menyatukan dirinya dengan limau yang ditapakan di rumah kosong tengah belukar itu.

Sampai dia merasakan dirinya benar-benar terperosok ke dalam limau dihayun itu, Mat Sulap tidak bimbang apa-apa lagi. Siapa pun tidak akan melihat dia di situ selain daripada Raonah satu-satunya. Gadis itu juga akan diperosok ke dalam limau dihayun, biar dia tidak tahu apapun ber-laku ke atas dirinya.

Setiap kali kenangkan kejadian yang berlaku seperti dalam mimpi itu, air mata Raonah menitik ke pipi. Hiba benar hatinya kerana tidak dapat mempertahankan diri tatkala terlantar di bangsal buruk menunggu durian. Hanya selepas balik ke rumah sahaja dia merasa benci sebenci-bencinya kepada Mat Sulap.

Tetapi siapa pun tidak akan percaya Mat Sulap melakukan demikian kepadanya. Yusak sendiri tahu kakaknya tidak melencong ke mana-mana setiap kali balik dari madrasah. Cuma Raonah tidak akan bercakap apa-apa pun sewaktu berjalan beriringan dengan adiknya Yusak. Sekali-sekala Yusak hanya mendengar kakaknya merungut-rungut tidak menentu sahaja.

"Kalau kau sakit, tak payahlah bangun tengah malam, Raonah," Tok Aji ingatkan dia setelah keadaan Raonah tidak bertenaga. Kesan dibelasah oleh ayahnya Leman Bauk juga masih belum hilang dari tubuhnya.

Tetapi Raonah tetap berdegil. Dia gagahi juga bangun tunaikan solat sunat tahajud untuk memenuhi hasratnya mahu bertaubat bersungguh-sungguh. Disebabkan keadaannya bertambah tenat, Raonah terlantar juga apabila kandungannya keguguran.

Selepas keguguran itulah Raonah tidak lagi berdaya mahu bangun. Nenek Aji juga tidak benarkan dia bangun lagi. Biarlah Raonah terbaring sahaja supaya segera sembuh. Lama terkejang di rumah Tok Aji, keadaan  Raonah bertambah lemah.

Semenjak berita Raonah terlantar sakit diberitahu, emaknya Ngah Sumi tidak lekang duduk di sisi anaknya itu. Tidak sama dengan Leman Bauk, langsung tidak mahu menjengah datang. Kemarahannya terhadap Raonah masih belum luput dari ingatannya. Dia tetap menyalahkan gadis itu hingga menyebabkan berbadan dua.

Tidak sampai seminggu Raonah benar-benar tenat, dia menutup matanya rapat-rapat. Sempat juga saya ikut sama membacakan Yassin di sisinya bersama Yusak. Terbayang kegembiraan di wajah Raonah tatkala saya bersama Yusak duduk di sisinya membacakan Yassin sekalipun tersengguk-sengguk menahan sebak di dada.

Setelah diberitahu mengenai kematian Raonah, barulah Leman Bauk datang menjengah muka. Sebaik sahaja dia membuka kain tutup jenazah, sekaligus Leman Bauk menangis sepuas hatinya melepaskan rasa kesal yang memuncak. Tetapi segalanya telah berlaku. Dia tidak dapat menyelamatkan anaknya sekalipun kesal berterusan menusuk hatinya.

Apalagi tatkala Tok Aji memberitahu mengenai anak gadisnya itu dianiaya orang. Sekiranya dia dapat bersabar, tentulah perkara Raonah dianiaya itu boleh dibantu juga. Setidak-tidaknya Raonah tidaklah menderita akibat dipukul dengan tidak ada belas kasihan.

"Sudahlah Leman, tak guna kau kesal lagi," pujuk Tok Aji disebabkan Leman Bauk masih tersengguk-sengguk di sisi jenazah anaknya. "Sesal di hilir jeram apa gunanya lagi!" gerutu Ngah Sumi melepaskan geram terhadap suaminya setelah diberitahu oleh Tok Aji kejadian sebenarnya menimpa Raonah.

Leman Bauk tertunduk tidak menjawab sepatah pun. Biarlah isterinya mahu mengutuk dirinya, dia sudah merelakan. Saat demikian dia terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya yang menjadi punca menyebabkan Raonah terus menerus teraniaya. Hanya mereka yang amalkan ilmu hitam sahaja tergamak melihat penderitaan yang dialami oleh keluarga Raonah itu.

Sewaktu jenazah Raonah mahu dimandikan, tiba-tiba sahaja tidak seorang pun mampu mengangkatnya. Sampai dua puluh orang sekaligus mahu mengangkat, sedikitpun jenazah itu tidak bergerak.

"Pergi panggil Mat Sulap," perintah Tok Aji menyuruh tangguhkan dulu memandikan jenazah. Terpaksalah Usin Berot menjemput Mat Sulap.

Tersengih-sengih Mat Sulap datang bersama Usin Berot, kerana dia menyedari tidak siapa pun tahu apa yang berlaku ke atas diri Raonah.

"Masanya dah tiba, dia minta kau Mat Sulap, mandikan!" ujar Tak Aji merenung muka Mat Sulap tidak berkedip mata.

Serba salah juga Mat Sulap mahu membantah disebabkan Tok Aji sendiri menyuruhnya. Bimbang juga dia mahu membantah sekiranya Tok Aji akan membukakan rahsianya di khalayak ramai. Tentulah Raonah sudah memberitahu segala rahsia dirinya kepada Tok Aji.

Terpaksalah Mat Sulap membantu mengangkat jenazah Raonah untuk dimandikan. Sebaik sahaja Mat Sulap sama mengangkat, mudah sahaja mereka mengalihkan jenazah Raonah dibawa ke tempat mandi. Setelah selesai dimandikan, Mat Sulap juga membantu mengangkat untuk dikapankan.

Setelah dikapan dan disembahyangkan, mayat Raonah juga tidak dapat diangkat masuk ke dalam usungan. Tiba-tiba sahaja mayatnya menjadi berat hingga tidak boleh diangkat langsung. Cuma Mat Sulap satu-satunya ikut sama membantu barulah mayat Raonah dapat diangkat ke dalam usungan.

"Kau terpaksa membantu Mat Sulap," tegas Tok Aji mengingatkan lelaki duda itu.

"Tentu kau buat salah dengan Raonah," lantas sahaja Ngah Sumi membentak kerana tidak dapat menahan sabar. Hatinya sudah mula berdetak menuduh tentu perbuatan Mat Sulap menyebabkan anaknya berbadan dua.

"Sumi, kau cuba bertenang dulu," suara Tok Aji keras sedikit marahkan Ngah Sumi. "Selesaikan urusan fardu kifayah ni dulu," dia ingatkan perempuan itu yang mudah sahaja tenggelam punca.

Macam mana marah pun Ngah Sumi dia terpaksa pendamkan dalam hati. Bimbang juga dia mahu membantah Tok Aji yang sudah bersusah payah semenjak beberapa bulan menjaga anaknya. Tentulah tidak baik kalau dia membantah, setelah Tok Aji satu-satunya yang sanggup memikul beban.

Memang sudah diduga oleh mereka yang sama-sama menghantar jenazah ke kubur, usungan mayat tidak dapat bergerak selagi tidak dibantu sama oleh Mat Sulap. Mereka bergilir-gilir memikul usungan, tetapi Mat Sulap tidak boleh digilirkan oleh sesiapa pun. Sekiranya Mat Sulap tidak ikut sama memikul usungan, sekaligus usungan menjadi berat tidak bersebab.

"Tentu Raonah yang mahu kau mengusungnya, Sulap," Tok Aji menepuk-nepuk bahu Mat Sulap meminta dia bersabar menempuh ujian demikian.

Mat Sulap mengangguk. Dia tidak membantah sekalipun terasa bahunya pedih melecet akibat memikul usungan tidak digilirkan oleh sesiapa pun. Jauh disudut hatinya Mat Sulap juga rela menunaikan tanggungjawabnya. Apa sangat dengan bahu melecet, kalau bandingkan dengan penderitaan Raonah mengandung sampai keguguran akibat dibelasah ayahnya.

Ketika jenazah mahu diturunkan ke kubur, masih juga tidak boleh diangkat disebabkan terlalu berat. Terpaksa Mat Sulap turun ke dalam kubur untuk menyambut jenazah. Semasa tanah dikambuskan, tiba-tiba sahaja Mat Sulap tidak dapat melepaskan diri. Kakinya terlekat tidak boleh melompat naik ke atas.

"Kenapa kau Sulap?" Leman Bauk segera menghulur tangan untuk menarik Mat Sulap naik ke atas. Setiap kali tangan Leman Bauk memaut tangan Mat Sulap, lantas sahaja terlucut disebabkan licin tidak dapat digenggam.

"Tok Aji, tolonglah Sulap tu," tidak bertangguh Ngah Sumi merayu disebabkan kasihan dengan lelaki duda itu yang bersusah payah membantu kebumikan jenazah anaknya.

Segera Tok Aji menghirup air talkin di dalam jag bagaikan berkumur-kumur lantas berdoa:

Qul-mai yunajjikum min-zulumatil barri wal-bahri tad-'u-nahu tadharru 'au-wa-khufyatan la-in anjana min-hazihi lanaku-nanna mi-minasy-syakirin.

Kemudian Tok Aji semburkan air di mulutnya ke kepala Mat Sulap sampai tiga kali.

Apabila ditarik ke atas oleh Leman Bauk, keadaan Mat Sulap bagaikan tidak sedar diri. Kakinya calar balar bagaikan dimamah binatang ganas. Semenjak kejadian itu pula, Mat Sulap menjadi tidak siuman. Kakinya yang calar balar itu semakin tenat hingga menjadi pekung tidak sembuh-sembuh, sekalipun puas dipupuk ubat.

"Kesiannya Kak Raonah tu, ustaz," keluh Semiah apabila kenangkan kejadian yang menimpa Raonah.

"Sebab tu, Semiah mesti cekalkan hati," pujuk isteri saya tersenyum menatap muka gadis yang sentiasa murung semenjak dihantar oleh Ucu Yasin ke rumah saya.

No comments:

Post a Comment