SERBA salah juga mahu memberitahu kepada sanak saudara mengenai anak gadisnya Jemiyah masih juga belum mahu kalau didesak kahwin. Hampir masuk usianya 30 tahun sudah beberapa kali Jemiyah putus tunang menyebabkan segala harapan yang disimpan kukuh di dalam hati berkecai. Kalau tidak pihak lelaki yang menimbulkan masalah, Jemiyah pula sengaja berubah hati.
Bimbang sangat Mak Tua Tiamah apabila kenangkan dirinya
semakin tua, sedangkan anak gadisnya yang bongsu masih belum berkahwin. Kakak
dan abang Jemiyah semuanya sudah berkahwin, malah sudah mempunyai anak gadis
juga. Tetapi Jemiyah tidak bimbang apa-apa pun sama ada akan berkahwin atau
tidak. Kalau didesak oleh emaknya, dia sekadar tersengih-sengih sahaja menjelaskan,
"Takkan perigi nak cari timba, mak."
Perkara perigi mahu mencari timba tidak penting pada Mak
Tua Tiamah. Bukannya tidak ada lelaki yang masuk meminang, tetapi ada sahaja
yang tidak sesuai di hati Jemiyah. Dia lebih rela tidak berkahwin sampai
bila-bila pun sekira-nya mahu dijodohkan dengan lelaki yang tidak berkenan pada
hatinya.
Mahu dikatakan Jemiyah memilih sangat pun tidak pula dia
mahukan lelaki berkedudukan tinggi sahaja. Tatkala Manan masuk meminang, dia
sendiri bersetuju. Apa sangat mahu dikira kedudukan Manan, hanya kerani di
sekolah sahaja.
Tidak sampai dua bulan bertunang Manan pula kemalangan
apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh kereta tengah laju. Tiga hari
Manan terkejang di hospital tidak sedar diri. Semenjak Manan meninggal dunia akibat
kemalangan, Jemiyah semacam takut mahu menerima pinangan siapa pun.
"Cuba-cubalah tengokkan adik ni, angah," ujar
Mak Tua Tiamah sewaktu saya berkunjung ke rumahnya. "Risau aje mak tua,
ada orang hendak dia tak hendak, kalau dia hendak orang pula tak hendak,"
dia menambah dalam keluhan pendek.
"Agaknya kena pelalau tu, mak tua," isteri saya
terus sahaja menyampuk sebelum sempat saya menyahut.
"Entahlah, kalau iya kena pelalau, cubalah angah
buangkan," tegas Mak Tua Tiamah dengan penuh harapan.
"Pelalau tu apa?" soal saya perlahan mengerling
isteri saya.
"Ah, pelalau pun tak tahu," gerutu isteri saya
mencemik muka. "Pelalau tu samalah macam sial, boleh jadi sial badan,
boleh jadi sial kerana bencana orang," jelas isteri saya selanjutnya.
Saya mengangguk-angguk. Manalah saya tahu mengenai pelalau
yang mengganggu Jemiyah hingga dia masih belum lagi menemui jodoh. Kalau ikutkan
ayah saya perkara jodoh pertemuan, ajal dan maut hanya ditentukan oleh Allah
Subhanahu Wata'ala. Tentulah jodoh Jemiyah belum lagi ditentukan hingga dia
masih belum menemui jodohnya yang sesuai.
Tetapi Tok Aji seringkali ingatkan saya, Allah Subhanahu
Wata'ala tidak akan mengubah nasib seseorang kecuali orang itu mengubah
nasibnya sendiri. Memang apa pun yang dicakapkan kalau berpandu kepada al-Quran
dan sunah Rasul adalah benar belaka, hanya manusia sahaja perlu menggunakan
akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Sebab itulah saya tidak dapat memutuskan bagaimana mahu
membantu Mak Tua Tiamah setelah dia mengadukan halnya. Semenjak kematian Pak
Tua Mahat memang semakin bimbang, apabila kenangkan anaknya Jemiyah yang
semakin berumur.
Macam-macam yang terlintas di kepalanya mengenai diri Jemiyah
sekiranya dia meninggal dunia. Memanglah ajal maut dirinya dan jodoh pertemuan
Jemiyah hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa-ta'ala, tetapi dia wajib juga
berikhtiar supaya jodoh pertemuan anaknya biarlah sebelum dia menutup matanya
rapat-rapat.
"Mak tua ni risaukan Jemiyah," ulangi Mak Tua
Tiamah mencebik bibir. "Kalaulah pendek umur mak tua, takkan mahu adik beradik
uruskan dia," lantas dia meluahkan rasa gelisah yang terbendung di hatinya
sekian lama.
Memang dia tahu bukan Jemiyah sahaja gadis yang belum
berkahwin dalam usia kian meningkat. Tetapi perkara gadis lain tidak berkahwin
bukan urusan dia. Biarlah beberapa ramai pun gadis tidak berkahwin akibat
diganggu pelalau memang Mak Tua Tiamah tidak peduli. Tetapi Jemiyah
satu-satunya anak gadis kesayangannya yang masih belum berkahwin sekalipun sudah
menjangkau usia hampir 30 tahun.
Ke manalah Jemiyah akan mengadu untung nasib sekiranya
dia sudah menutup mata sama macam arwah suaminya. Lainlah Pak Tua Mahat masih
hidup, memang dia boleh bergantung harapan kepada suaminya. Tahu sangat
orang-orang kampung mengenai keistimewaan Pak Tua Mahat tatkala berburu
binatang liar ke tengah hutan.
Sudah beberapa kali Pak Tua Mahat diuji sewaktu berburu
dia dapat melepaskan diri juga. Bukan sahaja tatkala anak kecilnya Safar
tiba-tiba terkejang bagaikan mayat terbujur sewaktu dia mernbawa balik ayam
hutan, malah Manap Sepet yang mengikutnya ke hutan juga pernah melihat rusa
yang ditembak tiba-tiba berubah menjadi Cina apek tua.
Ketika balik daripada menembak ayam hutan, dia tidak
terkejut apabila jiran-jiran berkumpul di rumahnya. Emak mertuanya Ngah Embin
juga membebel marahkan dia disebabkan asyik berburu sampai anak sendiri menjadi
mangsa. Terpaksalah nenek saya Bidan Ibah nasihatkan Ngah Embin supaya bersabar
sampai Pak Tua Mahat sendiri naik ke rumah.
"Safar dah meninggal, bang Mahat," beritahu Mak
Tua Tiamah tersengguk-sengguk menangis.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak menyahut apa-apa. Dia juga
tidak naik ke rumah menjengah anaknya Safar yang dikatakan sudah meninggal
dunia. Sewaktu turun menggalas senapang pagi-pagi lagi ke pinggir hutan, dia
tahu Safar masih nyenyak tidur.
Ketika dia nampak ayam hutan bertenggek di atas akar
pokok ara, hati Pak Tua Mahat sudah mula berdetak. Sebaik sahaja dia menembak
hingga ayam tersebut terpelanting jatuh ke perdu pokok ara, segera dia berkejar
dengan parang terhunus di tangan.
Berdebar hatinya apa-bila melihat seekor ular hitam
tergolek di tengah-tengah longgokan bulu-bulu ayam yang bertaburan. Tetapi Pak
Tua Mahat tidak berputus asa, tidak bertangguh dia cacakkan mata parang ke
tanah lantas menyeru:
Assalammualaikum ya rijal ghaib, assalamu-alikum ya ruhul
kudus, lindung aku siang hari ini, pelihara aku malam hari, masuk aku dalam
kalimat la-illahha
Sedikit demi sedikit gelungan ular hitam yang tergolek
itu berkabus putih seperti asap puntung, hingga bertukar semula menjadi ayam
hutan. Cepat-cepat dia menyembelih ayam tersebut tatkala masih menggelepar
lemah.
Ketika itulah pula Safar yang turun ke telaga untuk
membasuh muka tiba-tiba sahaja terjerit memegang kepalanya bagaikan ditembusi
peluru senapang. Belum sempat dipapah naik ke rumah anak kecil berusia tiga
tahun ketika itu, terkejang kaku tidak bernyawa lagi.
Memang Imam Resat sudah sahkan Safar tidak bernyawa lagi,
setelah Mak Tua Tiamah memberitahu jiran-jiran. Disebabkan mereka semua
menyangka Safar sudah meninggal dunia, masing-masing bersiap sedia untuk
kebumikan mayat anak kecil itu.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak sedih apa-apa, sekalipun
jiran-jiran memberitahu mengenai kematian Safar. Dia tidak bercakap apa-apa
terus membersihkan ayam hutan yang ditembaknya. Biarlah jiran-jiran yang
uruskan perkara kematian anaknya Safar.
Sewaktu orang ramai sibuk ke kubur, Pak Tua Mahat
habiskan masanya di dapur sahaja. Dia bertanak nasi, mengukur kelapa dan menumbuk
lada. Sampai semuanya masak dia hidangkan di dalam dulang. Pak Tua Mahat tidak
hiraukan emak mertuanya Ngah Embin becok meleteri kelakuannya yang tidak peduli
fasal anaknya Safar sudah meninggal dunia.
Setelah hidangan
disiapkan di dalam dulang, Pak Tua Mahat terus membawanya ke sisi Safar yang
sudah dibujurkan di tengah rumah. Sebaik sahaja hidangan diletakkan, terus
sahaja Pak Tua Mahat menepuk paha anaknya yang sudah dibujurkan itu.
"Safar, bangun, boleh kita makan bersama,"
tutur Pak Tua Mahat perlahan menyebabkan jiran-jiran yang membaca Quran di sisi
mayat terkejut.
Tidak sampai satu minit selepas Pak Tua Mahat memanggil
anaknya, tiba-tiba sahaja Safar bangun laksana baru tersedar daripada tidur.
Dia terus makan nasi berlaukkan ayam hutan yang dihidangkan oleh ayahnya.
Tercengang-cengang jiran yang datang apabila diberitahu
mengenai kejadian berkenaan. Seisi kampung heboh dengan cerita Safar yang telah
sah meninggal dunia tiba-tiba hidup semula. Tetapi Pak Tua Mahat sekadar
menjelaskan hanya pada penglihatan mata biasa sahaja Safar meninggal dunia.
"Itulah cara syaitan nak kelirukan manusia,"
ujar Pak Tua Mahat perlahan, tetapi terus merahsiakan kejadian yang
menyelubungi keluarganya itu.
Terpaksa pula orang-orang kampung tanamkan batang pisang
disebabkan kubur sudah digali. Menjadi pantang larang orang tua-tua kubur yang
sudah digali tidak boleh dikambus semula kalau tidak ditanamkan apa-apa.
Setelah bercucu pun Safar tidak tahu mengenai kejadian
dia dikatakan sudah meninggal dunia itu ketika berumur 3 tahun. Masakan orang
mahu mempercayai kalau tidak melihat sendiri kejadian tersebut macam emaknya
Mak Tua Tiamah. Siapa pun tidak boleh berbohong dengan Mak Tua Tiamah kerana
dia sendiri tersengguk-sengguk tatkala tubuh Safar dibujurkan oleh Imam Resat.
Manap Sepet yang galikan kubur juga tidak boleh
dibohongkan fasal kejadian Safar yang dilihat sudah terbujur menjadi mayat itu.
Tetapi rahsia di sisi Allah siapa pun tidak mengetahuinya. Sebab itulah arwah
Pak Tua Mahat tidak mahu bercakap apa-apa kalau diungkit mengenai kejadian yang
menimpa Safar.
Bukan kejadian Safar disangka mati itu sahaja orang-orang
kampung kenang Pak Tua Mahat, malah Manap Sepet juga tahu mengenai kejadian dia
dihambat hantu tinggi di tengah hutan. Tegak bulu roma Manap Sepet sewaktu rusa
yang ditembak bertukar menjadi Cina apek tua berpakaian serba hitam terbaring
mengerang-erang.
Tentu mereka dituduh membunuh akibat tertembak Cina apek
tua di tengah hutan. Manap Sepet bersama Sahak Jongang yang ikut sama berburu ke
hutan dengan Pak Tua Mahat memang tidak dapat berselindung lagi sekiranya seisi
kampung tahu dia tertembak Cina apek tua itu.
Puas juga dia memikirkan bagaimana pula Cina apek tua itu
tiba-tiba sahaja berada di tengah hutan? Lainlah kalau di pinggir kampung
tentulah Cina apek tua itu tengah berkebun sayur. Tetapi mereka tertembak Cina
apek tua di tengah hutan jauh dari kampung mereka.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak cemas apa-apa. Dia memangkas
anak kayu sebesar lengan budak lantas dicancangkan di keliling Cina apek tua
terbaring mengerang-erang. Kemudian dia mencapai kain hitam lilitan kepalanya
lantas dikibaskan tiga kali ke tubuh Cina apek tua itu.
Sewaktu Pak Tua Mahat mengkibaskan kain hitam lilit
kepala itu jelas didengar oleh Manap Sepet Sahak Jongang dia menyebut
Ah badi mah badi, ba embun badi
seratus sembilan puluh, itulah asal jadi badi, air setitik asal engkau jadi
badi, tanah segenggam asal engkau jadi badi, datang engkau dirimba raya balik
kau ke rimba raya, datang engkau di gaung guntung balik kau ke gaung guntung,
tak balik engkau berdosa pada pawang berempat, kabul la illahha illallah hu...
Lama Pak Tua Maha tercegat di sisi Cina apek tua yang
mengerang-erang, tiba-tiba sahaja mereka berdua nampak lembaga hitam tinggi
seperti pokok tersergam hingga kepalanya seolah-olah tercecah ke awan. Jauh di
udara mereka nampak matanya yang berapi di tengah kegelapan malam.
Tidak tahu apa yang dicakapkan oleh Pak Tua Mahat dengan
lembaga tinggi itu, kecuali mereka mendengar Pak Tua Mahat sekadar merungut-rungut.
Sekali-sekala lembaga tinggi itu terbatuk-batuk laksana dan guruh berdentum di
udara.
Selepas itulah
sedikit di demi sedikit Cina apek tua bertukar semula menjadi rusa dengan
bulunya tegak seperti ijuk enau. Setelah dikibas-kibas tujuh kali lagi di
dengan kain hitam di tangan oleh Pak Tua Mahat, barulah keadaan rusa yang ditembak
pulih seperti sediakala.Tidak bertangguh pula Pak Tua Mahat menyembelihnya sebaik
sahaja rusa yang ditembak menendang-nendang kaki lemah tidak bertenaga.
"Susah benar hati mak tua, sejak pak tua kau dah tak
ada," perlahan sahaja Mak Tua Tiamah menuturkan.
"Apa yang susahnya, kalau ada pak tua pun dia bukan
boleh buat apa," ujar saya memintas cakapnya.
"Taklah risau sangat kalau adik kamu belum temu
jodoh," tegas Mak Tua Tiamah seolah-olah bergantung harapan kepada Pak Tua
Mahat. Disebabkan terlalu bergantung harapan kepada sesama makhluk itulah dia
merasa kehilangan setelah Pak Tua Mahat meninggal dunia.
Tidak tahu kenapa Mak Tua Tiamah risau sangat Jemiyah
masih tidak berkahwin sekalipun usianya hampir 30 tahun. Kalau mahu
dibimbangkan Jemiyah tidak boleh hidup sendiri, dia sudah bekerja menjadi guru.
Lainlah dia tidak bekerja menyebabkan tidak ada siapa akan ambil tahu mengenai
dirinya.
Untuk memenuhi desakan Mak Tua Tiamah saya bertuju
mendoakan sahaja.
Doa pun sekadar ikhtiar setiap insan yang memohon
pertolongan dan perlindungan Allah semata-mata. Takat membaca doa sahaja, tidak
akan membawa perubahan apa-apa sekiranya tidak diusahakan.
Terpulang pada Jemiyah mengubah sikapnya. Kalau selama
ini dia tidak mahu sangat bergaul mesra dengan kawan-kawan, sepatutnya dia
bersikap ramah. Biarlah merendah diri daripada memilih kawan yang sesuai sahaja
untuk didampingi dengan mesra.
Disebabkan Mak Tua Tiamah yang mendesak, saya meminta
carikan tujuh kuntum bunga yang berbau harum. Tujuannya semata-mata keharuman
itu amat baik dijadikan bau-bauan kepada sesiapa sahaja. Tidak ada apa-apa
muslihat yang mengandungi sebarang tujuan untuk memikat orang lain.
Setelah tujuh kuntum bunga yang harum itu saya ramas di
dalam air penuh satu besen, lantas saya bacakan doa:
Yuhibbu nahum kahubbillahhi
wallazina amanu asyaddu hubban lillahhi, zui-yina linnasi hubbusy syahawati
minan-nisa-i walbanina wal-qa-nathiril mugantharah.
Tidak ada apa-apa boleh mendatangkan keistimewaan dengan
doa tersebut, kecuali dengan seizin Allah Subhanahu Wata'ala sahaja. Saya
bacakan doa itu pun hanya dengan rasa gementar sekiranya tidak dapat memberi
apa-apa manfaat, sedangkan Mak Tua Tiamah sudah terlalu berharap.
Setelah didoakan air yang sudah diramaskan dengan tujuh
kuntum bunga berbau harum itu, saya suruh Mak Tua mandikan pada Jemiyah.
Bagaimanapun saya sendiri gelisah, sekiranya doa itu tidak dimakbulkan Allah.
Tentulah Mak Tua Tiamah akan menuduh saya tidak bersungguh-sungguh mahu membantu
Jemiyah.
Kegelisahan demikianlah yang menyebabkan saya seringkali
mengelaki sekiranya diminta mendoakan sesiapa sahaja yang terlalu berharap.
Hampir seminggu saya tidak dapat melelapkan mata sangat apabila kenangkan
harapan Mak Tua Tiamah yang terlalu tinggi itu.
Perkara Jemiyah masih tidak bertemu jodoh dalam usia
hampir 30 tahun tentulah tidak sama dengan nasib malang yang menimpa Naemah di
Kampung Hulu. Siapa sahaja tidak berani masuk meminangnya semenjak putus tunang
dengan Usup Ceding.
Kejadian lebih 20 tahun ulu masih segar dalam ingatan
Alang Sarit sebelum ia berkahwin dengan Naemah. Siapa pun tidak sanggup masuk
meminang Naemah disebabkan ada sahaja aral mengganggu. Sampai enam orang pemuda
meminang Naemah, semuanya terpaksa memutuskan pertunangan serta merta.
Selepas sahaja Talib Lekeh meminang, tiba-tiba sahaja dia
terjatuh pokok petai di tengah hutan. Berbulan-bulan dia terlantar akibat
tulang rusuknya patah. Sebaik sahaja dia putuskan tali pertunangan, hanya dalam
masa beberapa minggu sahaja Talib Lekeh sudah boleh berjalan sekalipun
terdengkot-dengkot.
Bukan Talib Lekeh sahaja mengalami kejadian ganjil itu,
Lamat Sendol juga menghidap tokak seluruh badan sebaik sahaja bertunang dengan
Naemah. Puas berubat di mana-manapun tokak di badan Lamat Sendol tidak boleh
sembuh. Cuma satu-satunya yang boleh sembuhkan tokak di seluruh badannya hanya
dengan memutuskan tali pertunangan dengan Naemah.
Mereka di Kampung Hulu cam benar mudarat sekiranya
bertunang dengan Naemah. Selepas Talib Lekeh dengan Lamat Sendol menerima nasib
malang, Latip Begar pula tidak mempercayai perkara tahyul demikian. Sekalipun
Pak Masar nasihatkan dia supaya tidak meminang anaknya, tetapi Latip Begar
tetap berkeras.
Latip Begar mahu buktikan kepada orang-orang kampung
semua kemalangan yang menimpa sesiapa sahaja lelaki yang menjadi tunang Naemah
bukanlah menumpang sial gadis itu. Tetapi hampir sahaja mereka akan bernikah,
Latip Begar tiba-tiba menghidap buasir. Disebabkan tidak dapat menahan rasa
malu akibat buasir yang terjulur panjang sampai ke pelipat, terpaksalah dia
menurut kemahuan Dukun Samah yang mengubatinya.
Memang Dukun Samah sudah menilik melalui asap kemenyan
yang dibakar, Latip Begar mesti putuskan pertunangan dengan Naemah sekiranya
mahu sembuh. Seminggu sahaja selepas dia memutuskan tali pertunangan dengan Naemah,
penyakit buasir Latip Begar tiba-tiba sahaja sembuh.
Mereka di kampung lain yang tidak tahu pun cuba masuk
meminang Naemah. Berat juga hati Pak Masar apabila Jubir dari Jerantut masuk
meminang. Mahu diterangkan sebab-sebabnya bimbang juga dia wakil Jubir tidak
percaya dengan petaka tersebut.
Setelah diterima sahaja peminangan tidak semena-mena
Jubir Jubir mengidap beguk di leher sampai membengkak sebesar tombong kelapa.
Hanya selepas diputuskan sahaja pertunangan, beguk di leher Jubir semakin
sembuh macam dia tidak pernah mengidapnya.
Kalau Jubir mengidap beguk, Kasim Tembe pula
terkengkang-kengkang mengampu burut. Sementara Mat Noh pula menderita sakit mata
hingga tumbuh bisul di pelupuknya. Memang siapa pun tidak percaya dengan
kejadian demikian, kerana penyakit mereka semuanya sembuh sebaik sahaja
memutuskan tali pertunangan dengan Naemah.
Selepas Mat Noh memutuskan tali pertunangan dengan
anaknya, memang Pak Masar sudah serik mahu menerima lelaki yang masuk meminang.
Biarlah anaknya Naemah tidak bertemu jodoh, asal sahaja keluarganya tidak
menjadi buah mulut seisi kampung. Pak Masar tidak mahu sial yang menyelubungi
anak gadisnya menyebabkan orang lain menanggung mudarat.
Sebab itulah tatkala Alang Sarit masuk meminang, lantas
sahaja Pak Masar menolak. Sekalipun didesak oleh Alang Sarit dia tetap berkeras
tidak mahu menerima peminangan anak muda. Tetapi Alang Sarit tidak puas hati
dengan keputusan Pak Masar yang tidak memberikan sebab munasabah, setelah dia
sendiri mendapat tahu ramai pemuda yang terpaksa memutuskan pertunangan.
"Sarit tak berniat jahat, Pak Masar," ujar saya
memujuk lelaki itu semasa datang rnenemuinya bersama Cikgu Kasah. Memang Alang
Sarit mengharapkan saya memujuknya, kerana dia tahu saya sahaja satu-satunya
yang disegani oleh Pak Masar di kampung itu.
Bergenang air mata di pelupuk Pak Masar sebaik sahaja
mendengar pujukan saya yang amat mengharukan hatinya. Serba salah dia mahu membuat
keputusan apabila saya sanggup mewakili Alang Sarit.
"Tak menyesalkan dia nanti, ustaz?" keluh Pak
Masar menuturkan perlahan sambil mengesat pelupuk matanya.
"Menyesal macam mana pula, Pak Masar?" hairan
juga Cikgu Kasah dengan penjelasan lelaki berkenaan. Memang sebak dada Pak
Masar mahu menceritakan kesulitan yang dialami oleh Talip Lekeh, Lama Sendol,
Latip Begar, Jubir Kasim Tembe dan Mat Noh Kasihan benar dia dengan kejadian
yang menimpa anak-anak muda yang ingin sangat ditemukan jodoh dengan Naemah.
Kalau dia menerima juga Alang Sarit, tentulah dia yang
menyebabkan anak muda itu menderita. Tentu Alang Sarit juga akan mengalami
petala sama seperti mereka yang pernah menjadi tunangan Naemah. Lainlah dengan
Usup Ceding, memang Pak Masar sendiri mahu diputuskan setelah mendapat tahu
lelaki itu mempunyai dua orang isteri.
Merayu benar isteri Usup Ceding di depan Pak Masar
meminta diputuskan sahaja pertunangan dengan Naemah. Dia tidak mahu Naemah
menjadi mangsa Usup Ceding hingga sanggup dimadukan. Memang d Naemah sendiri
tidak sanggup bermadu setelah mendapat tahu Usup Ceding sudah mempunyai dua
orang isteri.
"Ah, biarlah Sarit cuba, dulu," lantas sahaja
Cikgu Kasah mendesak setelah diberi penjelasan oleh Pak Masar.
Dalam keadaan serba salah terpaksa juga Pak Masar
menerima pinangan Alang Sarit. Gembira benar Alang Sarit dengan keputusan Pak
Masar setelah saya bersama Cikgu Kasah memujuknya. Sekalipun Cikgu Kasah sudah
memberitahu kejadian yang menimpa semua lelaki yang bertunang dengan Naemah, namun
Alang Sarit rela menerima apa sahaja geruh yang akan menimpanya.
Tetapi saya tahu Alang Sarit lama mengaji madrasah di
Sumatera selepas belajar di madrasah Tok Aji. Sebab itulah dia kenal rapat
dengan saya, kerana saya sendiri pernah memberi panduan kepadanya semasa di
madrasah Tok Aji, sebelum dia dihantar oleh keluarganya ke Sumatera.
Tiga bulan selepas bertunang dengan Naemah, beristighfar
panjang Alang Sarit apabila mendapati celah
dinding rumahnya berbara seperti dijilat api. Tidak bertangguh dia memberitahu
saya dengan Cikgu Kasah mengenai celah dinding rumahnya yang berbara di
mana-mana.
"Narnpaknya tiba geruh kau Sarit,” ujar Cikgu Kasah
bergurau sekali pun jauh disudut hatinya memang terasa bimbang yang menggusarkan.
“Kalau dengan geruh ni saya mati dan masuk syurga, apa
salahnya!” sahut Alang Sarit ketawa dengan usikan Cik Gu Kasah itu.
“Macam mana nak
buat sekarang ustaz?,” soal Cikgu Kasah setelah keadaan dinding rumah Alang
Sarit reput sedikit demi sedikit. Bara merah celah dinding jatuh berserak ke
lantai sekali pun rumah berkenaan tidak terbakar dengan api menjulang.
Saya hanya mencuit bahu Alang Sarit menuruhnya berdoa
sendiri menghadapi ujian demikian. Dia terus sahaja melompat ke tengah rumah
sambil melekapkan dua tangan ke dada. Kemudian Alang Sarit terus membacakan
doa.
“ Bismillahhi masya Allah layasuqul
hairu illallah, bismillahhi masya-Allah layasriful su-i illalallah, bismillahhi
masya-Allah makana min-nikmatin faminallah, bismillahhi masya-Allah layati bil
hasnata illallah, bismillahhi masya-Allah la-haulawala qauwata illa-billah,”
Sebaik sahaja Alang Sarit memusingkan badan nya, seluruh
dinding rumah basah diperciki air. Bara yang merah di celah dinding serta merta
padam dengan asapnya berbau hangit. Keesokan harinya terkejut jiran-jiran
melihat keadaan rumah Alang Sarit bagaikan bekas terbakar, tetapi mereka tidak
pun melihat api menjulang naik.
Hanya tiga hari selepas kejadian itu, Alang Sarit
tiba-tiba jatuh tersungkur disebabkan kakinya lemah tidak boleh berdiri tegak.
Terpaksa merangkak dia berpaut pada dinding sebelum dapat melaung Cikgu Kasah
yang tinggal berdekatan.
Terkejut juga Cikgu Kasah tatkala melihat Alang Sarit
terketar-ketar berpaut di tingkat rumah. Isterinya Meliah juga hairan dengan keadaan
Alang Sarit seperti kesakitan memanggil mereka. Cepat-cepat Cikgu Kasah
menyuruh isterinya memberitahu saya, lantas dia sendiri menjengah Alang Sarit.
Disebabkan malang menimpa Alang Sarit itu, saya juga
memberitahu Pak Masar. Dia suami isteri datang menjengah ke rumah Alang Sarit
bersama Naemah. Tersengguk-sengguk juga Naemah menangis hiba, apakala melihat
Alang Sarit terbaring dengan memercik peluh darah.
"Kalau jodoh kita Naemah, tak usahlah berputus
asa," Alang Sarit memberi jaminan dia tidak akan memutuskan tali pertunangan
semata-mata bimbang dengan geruh yang mengancamnya. Naemah tunduk tidak
menyahut. Kemudian perlahan-lahan dia berpaling memandang saya.
"Gangguan
syaitan macam ni, mesti tabah menghadapinya," bisik saya memberi keyakinan
supaya tidak menyerah kalah menghadapi ujian. Memang saya tahu Alang Sarit
tidak mudah berputus asa kalau takat berdepan dengan ujian demikian.
Saat ini seluruh badannya memercik darah yang keluar dari
bulu roma laksana peluh mengalir. Pak Masar sendiri mengelap darah yang
memercik itu sambil dibantu oleh isteri-nya Mak Siah.
"Sabarlah Sarit," bisik Pak Masar terharu
melihat geruh yang menimpa anak muda itu.
"Ustaz, bantulah doakan saya," lantas sahaja
Alang Sarit menatap muka saya disebabkan peluhnya memercik darah. Asal sahaja
dilap semakin banyak pula darahnya memercik di celah bulu roma.
"Tak apalah, awak tidur aje," ujar saya
menyuruh dia merenung tapak tangan saya. Lama Alang Sarit merenung tidak
berkedip mata ke tapak tangan saya, tubuhnya menjadi lemah hingga tertidur.
Cepat-cepat saya memegang pergelangan tangannya sehingga terasa dia keluar
meninggalkan rumah sekalipun tubuhnya terbaring di situ.
Beberapa minit selepas Alang Sarit terbaring seperti
orang tidur, darah yang memercik di celah bulu romanya beransur hilang. Hanya
peluh biasa sahaja mengalir. Setelah dilap oleh Pak Masar dan Mak Siah peluhnya
juga kering tidak bersisa.
Saya membiarkan sahaja Alang Sarit terkejang tidur di
tengah rumah, kerana saya tahu dia sudah jauh menyusup mencari punca
gangguannya. Beberapa kali dia mengeluh sambil menggeleng-geleng kepala,
sekalipun mereka yang terconggok di situ sekadar melihat Alang Sarit terkejang
tidur.
"Dah jumpa, ustaz," ujarnya perlahan dengan
mata terpejam, tetapi pergelangan tangannya masih saya genggam.
"Apa yang Sarit jumpa tu, ustaz?" Meliah
tercengang dengan pertuturan Alang Sarit yang dirasanya pelik sangat.
"His, awak tu diamlah!" lantas sahaja Cikgu
Kasah menegahnya disebabkan dia memang tahu tatkala itu Alang Sarit sudah melepasi
kepungan dinding rumah.
Kemudian Alang Sarit tersenyum mencebik bibir dengan
jarinya menuding ke bumbung atap. Matanya tetap terpejam sekalipun tangannya
bertenaga seolah-olah mahu bingkas bangun.
"Tak ada sebab aku nak putuskan tunang!" tegas
Alang Sarit seolah-olah memberi amaran apabila jarinya menuding ke bumbung
atap.
Disebabkan pergelangan tangannya tidak saya lepaskan,
saya membiarkan sahaja Alang Sarit mengubati dirinya. Hanya sekali sekala saya
terasa dia menggenjur-genjur tangannya sehingga saya dapat melihat dia tercegat
berhadapan dengan lelaki tua bongkok memegang tongkat bengkang bengkok.
Terlalu marah lelaki tua bongkok itu dengan keputusan
Alang Sarit tidak mahu menerpa datang, tubuhnya terpelanting bagaikan merempuh
tembok batu keras yang tidak boleh ditembusi.
Lelaki tua bongkok itu bertambah berang tatkala melihat
saya tercegat di sisi Alang Sarit. Dia berjalan mundar mandir untuk mencari
helah supaya dapat menyerbu rapat.
"Wah, sampai berdua sekali awak datang nak
berlawan!" lelaki tua bongkok itu mengejek sambil menghentak-hentakkan
tongkatnya yang bengkang bengkok.
Saya menepuk bahu Alang Sarit memberi isyarat supaya
tidak melayani lelaki tua bongkok itu bercakap. Lantas saya bisikkan ke
telinganya supaya membacakan Fatihah tiga kali dan hembuskan ke arah lelaki
berkenaan. Sebaik sahaja Alang Sarit hembuskan dengan tiga kali Fatihah, lelaki
tua bongkok itu berpusing seperti gasing tengah ligat uri.
Lama dia berpusing barulah jatuh terhumban ke penjuru
rumah termengah-mengah mengurut dadanya. Apabila dia mahu bangun cepat-cepat
saya menyuruh Alang Sarit bacakan surah al-Ikhlas 11 kali. Sekaligus pula
lelaki tua bongkok itu tersungkur jatuh seolah-olah betisnya dibelantan dengan
kayu sebesar paha.
Terketar-ketar lelaki tua bongkok itu mahu bertindak
balas, tetapi dia menjadi gementar apabila saya menyuruh Alang Sarit serukan
azan tujuh kali sehingga kelilingnya bergegar kuat. Tercengang-cengang lelaki
tua bongkok itu disebabkan kelilingnya bergegar laksana dirempuh sekawan gajah
liar dari segenap penjuru.
"Awak berdua ni nak bunuh aku ke?" bentak orang
tua bongkok itu dalam suara terketar-ketar. Apabila dia menggosok-gosok kepala
tongkatnya sehelai kain hitam jatuh menyerkupnya. Dia merasa-kan dirinya hilang
di sebalik serkupan kain hitam itu.
Lantas saya bisikkan ke telinga Alang Sarit supaya
membacakan:
Kaf ha ya a'in sad, ha min a'in sim
qaf, iyya kana'budu wa-iyya kanasta'in ya haiyun ya qaiyun ya zaljalali
wal-ikram.
Sebaik sahaja dihembuskan dengan doa berkenaan, kain
hitam yang menyelubungi lelaki tua bongkok itu cair seperti ketul ais dibakar
ke api. Tercengang-cengang orang tua bongkok itu tidak dapat bersembunyi,
sekalipun dia telah mencubakan amalannya.
Apabila saya goncangkan tangan Alang Sarit di dalam
genggaman, lelaki tua bongkok itu terjerit-jerit disebabkan semua penyakit yang
dideritai oleh semua anak muda yang meminang Naemah terpaksa ditanggungnya
pula. Tulang rusuknya tersembul patah sama macam Talib Lekeh, badannya
dihinggapi tokak seperti Lamat Sendol dan buasirnya menjulur sampai ke pelipat
bagaikan dialami oleh Latip Begar.
Selepas Alang Sarit bangun daripada tertidur, dia
beristighfar beberapa kali. Hinggalah dia nikah dengan Naemah tidak ada apa-apa
gangguan lagi dialami. Hanya selepas dia menikah dengan Naemah, seisi kampung
menyedari Usup Ceding mengidap patah tulang rusuk, tokak seluruh badan dan
buasir menjulur sampai ke pelipat.
Usup Ceding juga menderita beguk di leher, burut hingga
terkengkang-kengkang berjalan dan bisul membengkak di mata tidak sembuh-sembuh
sekalipun puas berubat. Lama juga Usup Ceding menderita hingga membawa maut
dalam keadaan menanggung beban penyakit yang tidak kunjung sembuh.
"Jangan-jangan adik kau ni kena macam Naemah tu
agaknya, angah?" Mak Tua Tiamah mengusik saya.
Saya tersenyum dengan usikan Mak Tua Tiamah yang mahu
menyembunyikan keresahannya. Tetapi tiga bulan selepas saya berkunjung ke
rumahnya itu, Mak Tua Tiamah berpesan sangat mahu menemui saya. Dia mahu
memberitahu mengenai Jemiyah yang sudah dipinang anak muda dari Perak.
No comments:
Post a Comment