Sunday, February 14, 2016

163 HARUAN KELUAR DARI BETIS



SELESAI sahaja membaca al-Quran selepas solat Asar, sengaja saya keluar ke belakang rumah melihat batas petola dua tiga baris, batas kacang panjang dan terung.  Cukuplah dua tiga baris sahaja kerana kawasan di belakang rumah bukanlah luas sangat.  Setidak-tidaknya dapat juga buat rencah sayur-sayur lain dengan hasil sayur di batas belakang rumah dua tiga baris itu.
Bukan batas petola, kacang panjang dan terung sahaja malah di hadapan rumah pun saya tanam cili dua tiga pokok di dalam pasu. Tiga empat rumpun serai di penjuru pagar.  Apabila petang di situlah saya leka memupuk perdunya biar keluar juga peluh di seluruh badan.
Sewaktu menyiram batas terung di belakang rumah inilah isteri saya memanggil dari dalam rumah.  Dia beri tahu mengenai Kadir Misai yang menelefon dari Temerloh.  Apabila saya masuk ke rumah mencapai telefon kadir Misai memberi tahu mengenai anak saudaranya dari Jerantut akan datang menemui saya.
Disebabkan saya tidak bercadang ke mana-mana apalah salahnya anak saudara Kadir Misai itu datang menjengah.  Sengaja Kadir Misai menelefon terlebih dahulu kerana bimbang saya akan terkejut dengan kunjungan anak saudaranya yang tidak pernah saya temui sebelum itu.  Malah anak saudara Kadir Misai itu mendesak bapa saudaranya memberi tahu saya terlebih dahulu.
Memang dia serba salah juga mahu mengunjungi ke rumah saya kerana tidak mengenali langsung saya.  Kalaulah tidak disebabkan ayahnya mendesak memang dia bimbang mahu menemui saya,  maklumlah dia tidak pernah bertemu.  Bimbang benar dia sekiranya saya tidak mahu menemui sesiapa yang belum dikenali.
Sebab itu dia meminta Kadir Misai perkenalkan dirinya terlebih dahulu sebelum dia jejak kaki ke rumah saya.  Memang saya tidak peduli sangat dengan anak saudara Kadir Misai di Jerantut,  disebabkan sesiapa sahaja dari Pahang mahu menemui saya akan mengaku dirinya anak saudara Kadir Misai.  Mereka tahu kalau sebut sahaja nama Kadir Misai di depan saya mudah sangat cam bahawa mereka memang dari Pahang.
Kadangkala mereka yang datang dari Chenor pun mengakui saudara Kadir Misai,  sedangkan Kadir Misai sendiri tidak mengenalinya. Tetapi apa sangat mereka mahu sebut nama Kadir Misai kalau sekadar mahu menemui saya.  Bila-bila pun mereka boleh datang berkunjung asal sahaja bertujuan ikhlas untuk pereratkan silatul-rahim
Hingga maghrib saya menunggu tidak juga anak saudara Kadir Misai itu menjengah datang.Sebab itu saya tidak peduli sangat sama ada dia mahu datang atau pun tidak.  Tetapi selepas isya Kadir Misai menelefon lagi bertanyakan sama ada anak saudaranya sudah sampai atau belum ke rumah saya.
Sebaik sahaja saya beri tahu anak saudaranya belum menjengah tiba, gelisah juga Kadir Misai disebabkan anak saudaranya sudah meninggalkan Temerloh sejak selepas asar.  Sebab itu dia meminta saya tunggu juga sekali pun terlewat, kerana anak saudaranya itu tidak ada tempat mahu bertumpu.
“Dia tak dapat cari rumah saya agaknya,”   ujar saya mendengar Kadir Misai mengeluh melalui telefon.
“Midin ada sama, tak mungkin mereka sesat!”  sahut Kadir Misai memberi tahu mengenai Midin sepupunya ikut sama menemani anak saudaranya itu. Masakan Midin tidak dapat mencari rumah saya di sebabkan sudah beberapa kali dia jejak kaki mengunjungi saya.
“Kalau Midin ada, tak apalah,”  saya ingatkan Kadir Misai supaya tidak bimbang apa-apa.  Tentu Midin boleh tunjukkan jalan apabila dia ikut sama dengan anak saudara Kadir Misai itu.
“Heh, ke mana pula Deraman ni?”  rungut Kadir Misai semacam kesal seolah-olah mengganggu saya disebabkan anak saudaranya tidak juga menjengah datang setelah habis isya.
Hampir jam sebelas malam baru saya mendengar kereta berhenti di hadapan rumah.  Kemudian saya mendengar Midin memberi salam.  Tatkala saya membuka pintu memang Midin segera bersalaman dengan saya sambil meminta maaf kerana terlambat dalam perjalanan.
Sebaik melihat saya terus sahaja Deraman mencium tangan lantas memberi tahu mengenai ayahnya Malim Bilin di Jerantut yang mendesak supaya menemui saya.  Berkali-kali Malim Bilin ingatkan anaknya Deraman menemui saya apabila terluang masa.
“Ayah juga ingin berjumpa dengan ustaz,”  jelas Deraman sebaik sahaja duduk.
“Saya yang beri tahu Pak Malim fasal ustaz,”  Midin pula menambah dengan mengusap-usap muka.
Hampir juga saya terlupa mengenai Malim Bilin yang sudah bertahun-tahun tidak bersua.  Semenjak saya belajar lagi lama juga tidak menemui kawan-kawan.  Apa lagi Haji Maarit di Jerantut yang sudah meninggal dunia tidak sempat saya ziarahi.  Hanya Kadir Misai yang beri tahu mengenai Haji Maarit meninggal dunia lebih tiga tahun sebelum saya habis belajar.
Manalah saya ingat sangat dengan Malim Bilin disebabkan hanya beberapa kali sahaja bersua tatkala saya mengunjungi Haji Maarit bertahun-tahun dulu sebelum saya lanjutkan belajar.  Apabila sebut namanya lantas dapat saya ingatkan kejadian isterinya Uda Siah menanggung bengkak betis hingga sakit berdenyut-denyut.
Sebaik sahaja dilurut oleh Haji Maarit betisnya, saya melihat lumpur selut berlonggok di dalam besen.  Tiga kali Haji Maarit melurut beits Uda Siah yang membengkak itulah tiba-tiba melompat seekor haruan seolah-olah keluar dari betisnya yang membengkak.
Tersenyum Haji Maarit apabila melihat ikan haruan berkenaan menggelepar di dalam besen.  Serta merta pula bengkak di betis Uda Siah susut macam tidak mengalami apa-apa perubahan.  Menghela nafas panjang Malim Bilin melihat kejadian yang menimpa isterinya.  Dia sendiri hampir berputus asa setelah tidak dapat memulihkan penyakit isterinya yang bengkak betis tidak bersebab.
Puas juga dipupuk dengan daun inai, tetapi bengkak di betis Uda Siah tidak juga seruh.  Harapkan Embah Soyah membantu memang emak mertuanya tidak percaya Uda Siah mengidap sakit demikian.  Dia tetap menuduh Malim Bilin sengaja mahu memperdayakan dia.
Saat ini Malim Bilin merasakan kebolehannya selama ini sia-sia tidak berguna apa-apa.  Takat boleh kelirukan orang dengan berpura-pura menanggung sakit tenat,  tentulah menghadapi kesukaran apabila benar-benar terkejang sakit setelah tembelang dapat diketahui.  Berkali-kali dia ingatkan emak mertuanya mengenai Uda Siah benar-benar sakit, tetapi Embah Soyah tidak mempercayainya lagi.
Kalaulah Haji Maarit tidak datang menjengah sudah tentu Uda Siah akan terus menanggung kesakitan berterusan.  Setelah di ubati oleh Haji Maaarit barulah Embah Soyah menyedari penyakit yang dideritai oleh anaknya bukan lagi permainan ilmu amalan Malim Bilin.
“Apa bendanya tu,  Abang Aji?”  Embah Soyah mula gelisah tatkala melihat lumpur selut keluar dari betis Uda Siah yang membengkak.
“Kau tengoklah sendiri,”  ujar Haji Maarit sebaik sahaja ikan haruan menggelepar di dalam besen.  Memang Malim Bilin juga melihat ikan haruan sebesar lengan itu bagaikan keluar dari betis isterinya,
“Takkan lumpur selut dalam betis Siah!”  mengeluh panjang Embah Soyah memerhati ke dalam besen yang terendam kaki Uda Siah.
“Mana aku tahu,” sahut Haji Maarit memberi isyarat menyuruh Uda Siah keluarkan kakinya dari besen.
“Macam mana rasa kaki, awak?”  segera Malim bilin mengusap betis isterinya.
“Tak sakit lagi, Cuma lutut aje sengal-sengal,”  beritahu Uda Siah dapat mengagak ikan haruan yang menggelepar di dalam besen bagaikan sama dengan ikan haruan yang dicekak tengkuknya tengah lopak sawah.
“Kalau nak tahu dari mana ikan haruan ni,  tanyalah ustaz,”  lantas Haji Maarit memuncung bibir kearah saya dengan tersengih-sengih.
“Dari mana datangnya ikan haruan tu, ustaz?”  tidak bertangguh Embah Soyah mendesak saya supaya menjelaskannya.
Saya menggeleng kepala.  Manalah saya tahu dari mana ikan haruan tersebut melompat ke tengah besen dipenuhi selut lumpur yang luruh dari betis Uda Siah.  Siapa sahaja yang terconggok di situ melihat ikan haruan berkenaan seolah-olah keluar dari betis Uda Siah yang membengkak sampai sebesar paha.
Tentu Embah Soyak tidak memahami Haji Maarit hanya bergurau apabila dia mengusik saya dengan menuduh saya tahu punca ikan haruan itu menjelma.  Tetapi Embah Soyah terus mendesak kerana percaya sangat dengan usikan Haji Maarit itu.
“Beritahulah kami, ustaz,” Embah Soyah tidak berpuas hati selagi saya tidak mahu menjelaskan.
“Uda Siah tentu tahu,” sahut saya perlahan kerana tidak mahu menyinggung perasaan Embah Soyah.
“Macam ikan haruan yang saya tangkap tengah lopak sawah,”  ujar Uda Siah kenangkan kejadian dia cekak kepala ikan haruan yang menyerbu ke celah kangkangnya sewaktu dia mencabut rumput di celah baris rumpun anak padi.
Memang saya tidak beri tahu apa-apa kepada Embah Soyah, kerana tidak ada apa-apa manfaatnya.  Ketika Haji Maarit melurut betis Uda Siah beberapa kali dia mengerling kearah saya.  Serba salah juga dia apabila saya memerhatikan dia tercegat di tengah lopak sawah menghambat ikan haruan sebesar lengan yang menyusup di lumpur selut bawah rumpun padi.
Dia menyedari saya cam ke mana saja kakinya berjejak.  Disebabkan saya terus juga mengekorinya,  Haji Maarit tidak dapat berselindung apa-apa lagi.  Lantas dia menggamit saya supaya ikut sama ke tengah lopak sawah tempat ikan haruan menyusup.
Setelah menghentakkan tumitnya tiga kali kebumi Haji Maarit mengisar tapak tangannya lantas membacakan:
Summum bukmum umyun fahum layar-ji’un, summum bukmum umyun fahum laya’qilun, summum bukmum umyun fahum layatakallamun, summum bukmum umyun fahum layubsirun.
Sebaik sahaja dipusar oleh Haji Maarit tumitnya ke bumi, tiba-tiba sahaja air di tengah lopak sawah menjadi keruh pekat berkeladak.  Lama dia memerhatikan ikan haruan sebesar lengan itu menerjah ke tengah ke tepi mencari ruang mahu melepaskan diri.
“Saya tahu ustaz ikut sama, mari jangan tangguh!”  Haji Maarit memberi isyarat apabila berpaling kearah saya tunduk dengan berzikir menhadap Uda Siah merendam kaki ke dalam besen air di depannya.
Saya mengangguk perlahan bersetuju menerima pelawaan Haji Maarit.  Memang Embah Soyah dan Malim Bilin yang terconggok di tengah serambi tidak menyedari saya bersama Haji Maarit tercegat di atas permatang di tepi lopak sawah.  Setiap kali tangan Haji melurut betis Uda Siah memang tangannya mengocak lopak sawah menghambat ikan haruan yang cuba bersembunyi.
Di sebabkan puas Haji Maarit mengocak lumpur selut di tengah lopak sawah,  masih juga tidak dapat mencekak kepala ikan haruan berkenaan lantas saya pula membacakan:
Innahu minas-Sulaimani wa-innahu bismillahhir rahmannir Rahim, inna fikh tilafil laili wannahari wama kholaqollahhu fis-samawati wal-ardthi la-ayatinliqaumi yattaqun.
Apabila saya meramas-ramas tangan sekali gus ikan haruan itu melompat tinggi,  kemudian jatuh semula ke lumpur selut menggelepar berpusing-pusing.  Tersenyum Haji Maarit mengerling kearah saya, lantas memberi isyarat supaya saya meneruskan sahaja usaha mencekak kepala ikan haruan berkenaan.
Tetapi saat ini ikan haruan itu sekadar menjelma di depan Uda Siah menyusup di celah rumpun anak padi.  Memang Uda Siah tidak menyedari jelmaan ikan haruan berkenaan tercegat seorang anak muda berambut pirang dengan kulitnya lembut bagaikan gadis ayu.  Terkebil-kebil mata dia merenung kearah saya dengan pandangan liar.  Apabila dia mahu melarikan diri tiba-tiba sahaja tembok batu berkeliling mengepungnya menyebabkan dia terkurung tidak lepas ke mana.
“Siapa ni Haji Maarit?”  gerutu pemuda yang terkurung di keliling tembok batu itu.
“Awak tanyalah sendiri!”  sahut Haji Maarit sengaja mahu menyakiti hati anak muda itu.
“Tak pernah aku tengok dia di sini,” beri tahu anak muda itu cemas sebaik sahaja berhadapan dengan saya.
“Kalau tak pernah tengok, awak takut ke?”  semakin galak Haji Maarit menyindirnya setelah menyedari pemuda itu terkurung di situ.
“Kawan awak ni nak menyusahkan aku,  Haji Maarit,”  bertambah resah anak muda terkial-kial mencari ruang mahu melepaskan diri.
“Sekarang beri tahu kami,  siapa awak?”  bentak Haji Maarit masih juga melurut betis Uda Siah hingga semakin banyak lumpur selut masuk ke dalam besen air.
“Aku ni Putera Ali,  aku nak kahwin dengan Siah,”  lantas sahaja dia membukakan rahsianya.
Tahulah Haji Maarit di depannya memang bunian yang menjelma seperti ikan haruan.  Apabila jelmaan bunian mengganggu sama juga dengan golongan syaitan yang mahu mengelirukan manusia. Sebab itu Haji Maarit mencebek bibir memberi amaran tidak akan membiarkan bunian mengganggu sesiapa pun keluarganya.
Tetapi bunian itu merayu mahu mengambil Uda Siah disebabkan kesihan dengan perempuan itu terpaksa bersusah payah di tengah sawah,  dalam masa suaminya bersenang-senang di rumah.  Tahu sangat dia mengenai amalan Malim Bilin yang gunakan bunian hingga boleh menukarkan dirinya seolah-olah terkejang sakit tenat.
Tatkala Malim Bilin terketar-ketar sakit dengan kulit mukanya ditumbuhi roma berbintat-bintat merah, memang amalan bunian itu yang menyebabkan orang terpedaya.  Siapa sahaja yang melihat Malim Bilin tentu menyangka lelaki itu terkejang sakit memerlukan rawatan dan belas kasihan.
Namun Haji Maarit satu-satunya yang tahu mengenai muslihat amalan Malim Bilin setiap kali dia terkejang sakit.  Sengaja Malim Bilin menjelmakan dirinya dalam keadaan sakit tenat biar isterinya tidak mendesak sangat dia membuat kerja berlebihan.  Memang Haji Maarit tidak senang juga dengan sikap Malim Bilin menperdayakan Uda Siah, tetapi dia tidak boleh campur tangan sangat dengan urusan keluarga berkenaan.
“Kau tahu Siah ada suami, kenapa nak goda?”  jerkah Haji Maarit mengisar tumit ke bumi menyebabkan anak muda itu membongkok menahan perutnya tiba-tiba senak hingga sukar bernafas.
“Aku nak tolong Siah,” sahut anak muda itu terkial-kial apabila Haji Maarit terus mengisar tumit ke bumi.
“Kau nak pecah belahkan rumah tangga orang!”  Haji Maarit bersuara keras terus menghentakkan tumitnya kebumi.
Anak muda itu terguling ke tengah lumpur selut menggelupur menahan kesakitan akibat perut senak dihentak Haji Maarit.  Kemudian dia bingkas melompat bangun dengan tubuhnya memanjang laksana ular tedung selar berdiri dengan ekor cecah ke tanah.
Tersenyum Haji Maarit dengan ancaman anak muda itu, lantas dia membacakan surah al-Ikhlas tiga kali dihembuskan kearah ular tedung selar melenggok-lenggok kepala.  Sekali gus pula jelmaan ular tedung selar berdepap jatuh ke tengah selut laksana tali tidak bertahan.
Apabila anak muda itu melompat dengan marah lantas dia memegang busar panah mahu melepaskan anak panah kearah Haji Maarit.  Belum pun sempat dia melepaskan anak panahnya, segera Haji Maarit membacakan tujuh kali:
Lanar jumannakum walayamassannakum minna ‘azabun alim.
Sebaik sahaja Haji Maarit menampar tangannya, bertalu-talu anak panah berapi menerjah ke dada anak muda itu menyebabkan dia terpelanting. Menggelepar anak muda itu di dalam selut lumpur dengan dadanya tercacak anak-anak panah bercerancang.
Ketika ini angin bertiup kencang hingga air di dalam lopak sawah berpusar kuat.  Sebaik sahaja angin kencang berhenti di tengah pusaran air selut itu tercegat lelaki tua berjubah kuning memegang tongkat akar bengkang bengkok.  Marah benar lelaki tua itu sambil mengurut-urut janggut putihnya merenung kearah anak muda yang terkial-kial di tengah lopak sawah.
“Maaflah Haji Maarit,  budak-budak tak tahu dia membezakan yang batil dengan yang tak batil,”  lembut sahaja suara lelaki berjubah kuning tiu lantas memukulkan tongkatnya ke belakang anak muda berkenaan.
“Aku nak kahwin dengan Siah, Tok Syeikh!”  rintih anak muda itu setiap kali lelaki tua berjubah kuning itu membelasahnya dengan tongkat akar bengkang bengkok.
“Siapa yang kamu nak uji ni?”  bentak Tok Syeikh berterusan memukul anakmuda itu menyebabkan lopak sawah bertambah keruh airnya.
“Aku kesihankan Siah!”  ujar anak muda itu berkeras tidak mahu mengalah.
“Kamu jangan malukan aku pada Haji Maarit dengan ustaz ni!”  Tok Syeikh keraskan suara lantas sendiri di awang-awangan memerhati anak muda itu terkial-kial menahan kesakitan.
Tok Syeikh berjubah kuning itu melayang ke udara sebaik sahaja saya laungkan azan tujuh kali.  Dia kemudian hilang bersama gumpalan awan seolah-olah menyedutnya dari udara sebaik sahaja laungan azan bergema.  Menggeleng-geleng kepala anak muda itu hingga tubuhnya menjadi retak akibat gema azan yang menggegar kuat.
Termengah-mengah dia menggapai tangan memberi isyarat supaya saya tidak meneruskan azan.  Tetapi gema azan itu berterusan setelah saya ulangi tujuh kali dan diikuti denan al-Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali dan Ayatul Kursi 17 kali.
“Minta ampun ustaz!”  laung anak muda itu menggeletar di sebabkan tubuhnya yang retak bagaikan tanah liat kering akibat kemarau panjang.  Di celah rekahan retak tubuhnya itu memercik darah bersama nanah yang diikuti ulat berenga merayap-rayap.
Saya tdak peduli apa pun rayuannya, tetapi terus membacakan 11 ayat terawal surah as-Saff, ayat 22, 23 dan 24 surah al-Hasyr dan surah at-Tariq.  Serentak dengan itu guruh berdentam kuat diikuti kilat menyambar dari udara.
Ditengah api kilat memancar menyambar tubuh anak muda itu, dia mengerekot laksana udang dibakar rentong.  Apabila tubuhnya mendap ke dalam lumpur selut menggelepar menjadi ikan haruan sebesar lengan,  tidak bertangguh dicekak kepalanya oleh Haji Maarit.
Ketika inilah Embah Soyah dan Malim Bilin melihat ikan haruan melompat ke dalam besen air setelah membolos dari celah betis Uda Siah yang membengkak.  Mengeluh pendek Malim Bilin melihat kejadian tersebut hingga menyedari, kebolehannya selama ini amat kecil kalau di bandingkan dengan ilmu Allah.
Lantas sahaja Malim Bilin tersengguk-sengguk menahan rasa terharu dengan kejadian yang menimpa isterinya.  Dia merasa bersalah kerana memperdayakan isterinya dengan amalan bunian semata-mata mahu mengelakkan daripada turun ke sawah.  Memang siapa pun boleh berpura-pura sakit,  tetapi Malim Bilin bukan takat menukar suhu badannya hingga panas bahang malah kulitnya boleh pecah-pecah memercik darah.
Hati isteri mana yang dapat menahan kesedihan kalau keadaan suami terlantar sakit tenat?  Setelah Uda Siah membengkak betis,  Malim Bilin menyedari amalan ilmunya tidak mampu memulihkan isterinya.  Dia tidak dapat menggunakan amalan ilmunya untuk mengubati penyakit yang dideritai oleh Uda Siah.
Apalah gunanya dia amalkan ilmu demikian kalau isteri sendiri mengidap penyakit bengkak betis tidak dapat diubati?  Dia sendiri gementar tatkala melihat ikan haruan seolah-olah membolos keluar dari betis Uda Siah yang membengkak.  Bagaimana ikan haruan berkenaan boleh bersarang di dalam betis isterinya?
Setelah diberi tahu oleh Uda Siah ikan haruan di dalam besen itu sama dengan ikan haruan yang dicekak kepalanya di tengah lopak sawah,  lantas sahaja Malim Bilin mahu menghempaskan ke lantai.  Tetapi Haji Maarit ingatkan dia perkara zahir tidak sama dengan yang tidak zahir.  Sebab itu Haji Maarit sendiri mahu lepaskan ikan haruan yang masih hidup di dalam besen tersebut ke lubuk di hujung sawah.
Semenjak kejadian yang menimpa isterinya Malim Bilin tidak lagi mahu berpura-pura dengan Uda Siah.  Dia akan bantu Uda Siah turun ke sawah bila-bila masa pun.  Selagi Uda Siah tidak balik ke rumah, dia tetap sama-sama tidak berganjak dari tengah lopak sawah.
“Dah lama kahwin,  tapi kami tak juga dapat anak,”  keluh Malim Bilin tatkala menemui saya di rumah Haji Maarit tidak lama selepas kejadian menimpa isterinya itu.
“Buat apa anak, kalau amalan ilmu kau tu tak berguna?”  sengaja Haji Maarit menyindir.
“Memang amalan saya ni tak berguna,  Pak Utih,”  tutur Malim Bilin penuh kesal.
“Jadi, kenapa kau amalkan?”  tersengih-sengih Haji Maarit merenung muka menantu sepupunya itu.
Malim Bilin menggeleng lemah.  Tidak patut Haji Maarit ungkit lagi perkara dia amalkan ilmu demikian,  setelah hatinya menyesali segala kejadian sebelum itu.  Dia sendiri sudah mula mengubah sikap sekali pun terasa tubuhnya sakit-sakit setiap kali turun ke sawah membantu isterinya.  Dia tahu bahana yang ditanggungnya setelah mendampingi bunian semata-mata mahu kelihatan sentiasa berperawakan muda.
Apabila kenangkan pantang larang yang diturunkan oleh Pak Mulung di kampungnya sebelum berpindah ke Jerantut, memang kecut juga perasaan Malim Bilin.  Dia beri tahu mengenai Pak Mulung yang sentiasa kelihatan muda sekali pun sudah berusia tujuh puluh tahun,  hingga ramai anak gadis terpikat.
Bila-bila Pak Mulung sedia turunkan amalannya asal sahaja Malim Bilin sanggup amalkan jampi pemanis.  Kalau amalkan jampi pemanis mesti sanggup pula menerima pantang larang yang perlu dipatuhi.  Tatkala usia muda belasan tahun apa sangat Malim Bilin hiraukan dengan pantang larang.
Dia tidak peduli apa pun mengenai pantang larang sekiranya boleh mengikuti jejak Pak Mulung.  Tentu dia mudah memikat gadis cantik sekiranya sentiasa kelihatan segak.  Apabila Pak Mulung meminta dia minum air yang dicurahkan ke dalam pinggan selepas habis makan, Malim Bilin pun sanggup lakukan.
Asal sahaja habis makan dia akan curahkan air ke dalam pinggan lantas membasuh tangan di situ.  Kemudian dia akan hirup air tersebut dengan membacakan jampi pemanis yang diturunkan oleh Pak Mulung.  Selepas di turunkan amalan itu Pak Mulung dia tidak dibenarkan membuat kerja-kerja berat.
Sebab itu Pak Mulung turunkan pula amalan hingga boleh menukarkan dirinya menjadi terkejang sakit, biar emak atau ayahnya tidak memaksa dia bekerja kuat.  Setelah emak dan ayahnya meninggal dunia, adik beradik Malim Bilin tidak benarkan lagi dia menetap di kampung halaman disebabkan sikap pemalasnya.
Dia terpaksa tinggalkan kampung halamannya di Pariaman menumpang kapal barang menyeberangi Selat Melaka sebelum sampai ke Jerantut.  Memang sudah nekad dalam hatinya tidak akan jejak lagi kampung halamannya setelah di halau oleh kaum keluarga sendiri.
Tetapi setiap kali dia mahu tinggalkan amalannya Malim Bilin akan diganggu bayangan Pak Mulung yang menjelma di depannya.  Sebelum sampai ke Jerantut dia menetap juga di Singapura hingga banyak berhutang di kedai makan.  Apabila dipaksa membayar hutang lantas sahaja Malim Bilin merayu meminta tangguh.  Disebabkan taukeh kedai tidak dapat menahan sabar tidak bertangguh ditariknya tangan Malim Bilin  mahu diheret ke balai polis.
Tiba-tiba sahaja tangan Malim Bilin yang ditarik tercabut di pangkal bahu menyebabkan taukeh kedai ketakutan.  Semenjak itu pula Malim Bilin menyedari amalan Pak Mulung itu boleh menyelamatkan dirinya.
Hinggalah berpindah ke Jerantut dia tetap amalkan juga sekali pun terpaksa menempuh pantang larangnya.  Setelah berkahwin dengan Uda Siah dia menyedari mereka tidak akan mempunyai anak.  Beberapa kali Malim Bilin terserempak jelmaan Pak Mulung yang membawakan dia perempuan cantik dengan pakaian sutera jarang mendampinginya asal sahaja malam bulan mengambang penuh.
Tatkala ini Pak Mulung tidak benarkan dia mendampingi Uda Siah, tetapi mesti tidur berasingan di hujung serambi dengan pelita dipadamkan.  Sebaik sahaja rumah menjadi gelap gelita jelmaan Pak Mulung akan terconggok di depannya bersama perempuan cantik di sisinya.  Perempuan itu akan mematuhi apa sahaja perintah Pak Mulung sekali pun terpaksa melayani Malim Bilin di depannya.
“Aku tak mahu lagi amalan ni, Pak Mulung,”  bisik Malim Bilin apabila dipaksa melayani perempuan cantik itu di depan Pak Mulung.  Malu benar dia diperlakukan demikian olah Pak Mulung seolah-olah barang mainan tidak berguna.
“Kau akan menanggung padahnya!”  gerutu bayangan Pak Mujlung ingatkan dia supaya tidak membantah.
Malim Bidin dapat mengagak tentu tenaganya akan menjadi sia-sia kalau berdegil mahu membantah.  Dia akan kecewa seumur hidup kerana tidak boleh menjadi suami sesiapapun sekiranya berkeras tidak mematuhi kemahuan jelmaan Pak Mulung.  Tentu Uda Siah sendiri hampa menjadi isterinya apabila dia menerima padah demikian.
Sebab itulah dia bimbang mahu berkeras sangat melanggar pantang larang Pak Mulung.  Tatkala Uda Siah turun ke sawah pun,  Malim Bilin akan dilayani perempuan muda berpakaian sutera nipis itu sepanjang hari sekali pun jelmaan Pak Mulung memerhatikan sahaja dari pangkal serambi.
Dia tidak perlu bersusah payah bekerja keras di tengah sawah atau mencari rotan di hutan.  Asal sahaja kesempitan wang bila-bila jelmaan Pak Mulung akan membantu.  Siapa sahaja berani berkasar dengannya sudah tentu jelmaan Pak Mulung akan kelirukan mereka.  Asal sahaja disentuh tubuh Malim Bilin nescaya semuanya akan tertanggal luruh macam kayu reput di tengah belukar.
“Kalau boleh saya nak buangkan amalan ni, Pak Utih,”  Malim Bidin merayu dengan penuh harapan.  “Cubalah ustaz bantu saya,”  dia menambah meluahkan rasa kesal yang terpendam lama di hati.
“Kalau kau dah tak mahu amalkan, mudah saja,”  sahut Haji Maarit tersenyum penuh makna.
“Tak boleh nak buang begitu aje,” Malim Bilin memberi tahu penuh jujur.  Bila-bila jelmaan Pak Mulung akan memerangkapnya kalau cuba melanggar pantang larang yang mesti dipatuhi.
“Tak ada jalan lain, kecuali kembali kepada jalan Allah!”  ujar Haji Maarit ingatkan dia, kemudian berpaling kearah saya.  “Macam mana ustaz, tentu ustaz lebih maklum?”  dia menepuk bahu saya dengan senyum lebar.
Perlahan-lahan saya menghela nafas.  Serba salah juga saya apabila Haji Maarit sengaja mengalihkan pandangan kepada  saya.  Manalah saya tahu bagaimana mahu memberi tahu Malim Bilin mengenai amalan tersebut.  Memang saya sendiri tidak pernah mengetahui amalan Malim Bilin itu dengan membacakan jampi pemanis yang di turunkan Pak Mulung.
Perkara jampi mentera ini memang di luar pengetahuan saya.  Apa lagi amalannya hingga Malim Bilin dikongkong oleh pantang larang. Sekiranya saya tidak tahu bagaimana pula mahu membangunkan amalan tersebut dari jiwa Malim Bilin?  Tetapi Haji Maarit terus juga mendesak seolah-olah saya berpengalaman sangat.
Di sebabkan Haji Maarit mendesak saya sekadar ingatkan Malim Bilin supaya amalkan sahaja solat tahajud tengah malam diikuti dengan membaca Ayatul Kursi hingga 313 kali.  Biarlah amalkan berturut-turut sampai 100 malam sekiranya gangguan jelmaan Pak Mulung itu terus juga mengancam.
Setelah Malim Bilin bersetuju mengikuti nasihat saya, segera saya menyuruh dia duduk berhadapan dengan meletakkan tangan kanannya ke dada sebelah kiri.  Kemudian saya duduk di atas dua tumit dengan tangan ke kepala lutut sambil membacakan al-Fatihah diikuti lima ayat terawal surah al-baqarah dan ayat 163 serta 164.
Apabila saya membava Ayatul Kursi diulangi 100 kali bacaan :
Wala ya uduhu hafzuhuma wahuwal ‘alilyul ‘azim.
Tiba-tiba sahaja tangan kiri Malim Bilin merentap-rentap rambutnya.  Beberapa kali dia sendawa hingga tersedu macam mahu terjeluih muntah.
Tapi saya teruskan juga membaca ayat 284, 285 dan 286 surah al-Baqarah diikuti dengan ayat 18,19 dan 20 surah Ali Imran.  Semakin diteruskan membaca bertambah kuat Malim Bilin merentap-rentap rambutnya.  Tubuhnya juga menggeletar hingga memercik peluh merenik-renik,  tetapi dia tahu apa yang berlaku ke atas dirinya ketika itu.
Setelahmembacakan pula ayat 54, 55 dan 56 surah al-Araaf saya terus bacakan ayat 117 dan 118 surah al-Mukminun dan 11ayat terawal surah as-Saffa.  Kemudian saya ulangi hingga 11 kali bacaan:  Wahifzam min kulli syaitonim marid,  menyebabkan beberapa kali Malim Bilin menjerit sekuat hati.
Tetapi saya teruskan juga membaca ayat 33, 34 dan 35 surah ar-Rahman diikuti dengan ayat 21, 22, 23 dan 24 surah as-Saffa.  Semasa saya bacakan 4 ayat terawal surah al-Jin, sekali gus Malim Bilin termuntah lumut bercampur lumpur selut di atas lantai.  Tidak sempat Haji Maarit mahu hulurkan baldi supaya muntah Malim Bilin tidak melambak di atas lantai.
Disebabkan muntah yang banyak Malim Bilin tergolek di lantai dalam kedaan letih tidak bermaya.  Apabila saya menepuk-nepuk bahunya dia mengakui masih sedar apa pun berlaku,  tetapi tidak dapat mengawal dirinya.  Lama dia terbaring akibat terlalu letih barulah Malim Bilin dapat duduk sandarkan belakang ke dinding.
Ketika ini isteri Haji Maarit sudah simbahkan muntah di lantai biar bersih semula.  Hairan  juga dia melihat lumut dan lumpur selut yang dimuntahkan oleh Malim Bilin.
“Saya sedar apa yang berlaku, ustaz,”  beri tahu Malim Bilin masih dalam keadaan lemah semasa isteri Haji Maarit hidangkan kipi o bersama rebus keladi tengah panas.  “Tapi, saya tak dapat kawal tangan kiri saya mahu merentap-rentap rambut,”  serba salah dia mahu menerangkan kejadian yang menimpa dirinya itu.
“Cukuplah yang sudah-sudah tu,” lantas Haji Maarit ingatkan dia mengenai amalan jampi mentera yang diturunkan oleh Pak Mulung.  Apalah gunanya mahu kelihatan sentiasa muda kalau sanggup minum air basuh tangan sendiri di dalam pinggan setiap kali habis makan.  “Benda tu kotor sama macam lumpur selut,” geli geleman Haji Maarit apabila kenang minum air basuh tangan di dalam pinggan habis makan yang dicurahkan air.
Malim Bilin menunduk.  Dia dapat merasakan usia tidak boleh disembunyikan sekali pun wajah kelihatan sentiasa muda.  Tenaga yang lemah akan tetap perlihatkan usia semakin tua,  sekali pun boleh disembunyikan dengan rupa paras yang muda.
Tetapi saya ingatkan juga Malim Bilin supaya amalkan juga solat tahajud tengah malam berterusan.  Perkara bangun tengah malam tatkala nyenyak tidur memang sukar mahu dilakukan.  Apa sangat dengan bangun solat tahajud tengah malam,  kalau bandingkan dengan minum basuh tangan di dalam pinggan yang dicurahkan air setelah habis makan?  Sekiranya Malim Bilin sanggup minum air basuh tangan demikian, apa salahnya bangun tengah malam amalkan solat sunat tahajud?
Beberapa bulan selepas kejadian itu, saya ke Jerantut semula menemui Haji Maarit sebelum sambung belajar lagi.  Ketika ini Malim Bilin datang menjengah sebaik sahaja mendapat tahu saya ke rumah Haji Maarit.  Kulitnya bertambah hitam akibat terjemur di sawah tetapi tubuhnya gemuk sedikit.
Tersengih-sengih dia memberi tahu mengenai Uda Siah sudah mengandung dalam usia sudah meningkat.  Tetapi apalah salahnya mengandung sebelum usia empat puluh, sekali pun anak yang sulung.  Memang Malim Bilin mengakui dia gagahi juga bangun tengah malam untuk amalkan solat tahajud.  Seluruh badannya sakit-sakit apabila membaca Ayatul Kursi hinga 313 kali setiap malam.
Dalam keadaan demam hingga terasa sengal-sengal seluruh badan,  Malim Bilin tetap teruskan juga bangun tengah malam.  Biarlah hidungnya tersumbat akibat selsema dia tetap berkeras.  Hingga 44 malam dia teruskan solat tahajud,  beberapa kali dia termuntah dengan lumut dan selut lumpur melambak ditadah dalam baldi.
Sampai tidak ada lagi gangguan yang ditanggungnya.  Malim Bilin teruskan juga hingga sampai 100 malam.  Dia merasa tenang dan lapang setiap kali bangun di pagi hari.  Apabila mendapat tahu saya berkunjung ke rumah Haji Maarit tidak bertangguh dia menyerbu kesitu.  Dia mahu sampaikan segala perubahan pada dirinya untuk luahkan perasaan gembira yang memuncak dalam  jiwanya.
“Semua itu urusan Allah,”  bisik saya ingatkan Malim Bilin disebabkan dia berulang kali berterima kasih kepada saya. Apa sangat yang saya bantu dia, selain daripada menyuruhnya melakukan solat tahajud berterusan.
Mungkin disebabkan kenangan lama itulah, dia desak juga anaknya Deraman menemui saya setelah bertahun-tahun berlalu.  Itu pun Kadir Misai yang memberi tahu dia mengenai diri saya setelah kami berkawan rapat.  Memang Deraman itulah anaknya yang sulung apabila dia memberi tahu Uda Siah mengandung ketika bertemu di rumah arwah Haji Maarit.
“Ayah saya sekarang ni sakit lumpuh, ustaz,”  jelas Deraman memberi tahu khabar mengenai ayahnya Malim Bilin.

SELESAI




No comments:

Post a Comment