Sunday, February 7, 2016

162. TANGAN TERCABUT DI PANGKAL BAHU

  PENAT menarah permatang sawah biar anak padi tumbuh subur,  Malim Bilin duduk berihat di bawah pohon dedali berteduh dari silau panas matahari.  Dia tanggalkan kain ikat kepala lantas menyapu peluh yang banyak meleleh di tengkuk dan pipi.  Tetapi isterinya Uda Siah masih juga terbongkok-bongkok di tengah lopak sawah mencabut rumput yang tumbuh di celah anak padi.

Memang Uda Siah tidak senang diam sekiranya rumput memanjang tengah lopak sawah hingga tenggelam anak padi.  Dia sanggup berjemur di bawah terik silau matahari mencabut rumput, asal sahaja anak padi tumbuh subur menghijau.

Tatkala dia mencabut rumput di celah anak padi,  Malim Bilin  akan menarah tepi permatang supaya rumput tidak menjulur tumbuh.  Kalau rumput tumbuh keliling permatang tentu terganggu juga anak padi tengah mengembang rumpun.  Tetapi terasa benar penatnya Malim Bilin sampai dia tidak mampu lagi menarah permatang akibat silau matahari yang memancar kuat.

“Berhentilah dulu, matahari tegak di kepala,”  Malim Bilin memanggil isterinya berteduh sahaja di bawah pokok dedali.  Selepas kering peluh di badan dia mengajak isterinya balik sahaja ke rumah disebabkan matahari sudah tegak di kepala.

“Sikit aje lagi,”  sahut Uda Siah terbongkok-bongkok di tengah lopak sawah.  Biarlah dia habiskan juga satu lopak itu mencabut rumput.  Kalau ditangguh-tangguh tentu banyak lagi lopak sawah yang tidak dikerjakan.

Perkara mencabut rumput bukan mudah laksana mengirik atau menumbuk padi. Habis mencabut rumput sampai ke hujung sawah, rumput di pangkal sawah pula tumbuh meliar.  Anak padi tengah mengembang rumpun akan terbantut kalau dibiarkan rumput memancang tidak dicabut.

Sebab itu dia mesti teruskan juga mencabut rumput.  Lainlah suaminya Malim Bilin, kadangkala setelah turun ke sawah sebelah pagi dia tidak akan jejak kaki lagi pada sebelah petangnya.  Kadangkala sampai berhari-hari pula Malim Bilin tidak turun ke sawah.  Kalau tidak ke hutan mencari manau atau damar pun, dia akan terconggok di kedai kopi Ah Heng hingga santak tengah hari.

Sekali sekala turun ke sawah memanglah Malim Bilin cepat terasa penat.  Dia tidak dapat bertahan dari silau panas matahari sama seperti isterinya Uda Siah.

“Kalau macam tu, biar aku balik dulu,”  ujar Malim Bilin terus bingkas bangun meninggalkan isterinya terbongkok-bongkok di tengah lopak sawah.  Dia tidak peduli sama ada Uda Siah mahu ikut sama balik atau tidak.  Sekiranya Uda Siah mahu bertahan sampai santak petang pun dia tidak peduli apa-apa.

Tatkala Malim Bilin meninggalkan kawasan sawah singgah mandi di sungai sebelum menyeberang balik ke rumah,  Uda Siah masih juga mencabut rumput.  Marah benar hatinya di sebabkan rumput tumbuh memanjang di tengah lopak.

Kalau harapkan Malim Bilin memang sawahnya ditumbuhi rumput hingga tenggelam anak padi.  Puas didesak turun ke sawah hanya sekali sekala sahaja Malim Bilin akan terbaring berhari-hari di rumah disebabkan demam sampai sakit-sakit seluruh badan.

Tahu sangat Uda Siah perangai suaminya yang sengaja mengelak tidak mahu turun ke sawah.  Setiap kali musim ke sawah nescaya Malim Bilin akan terkejang demam berhari-hari.  Tetapi habis sahaja menuai dia akan segar bugar tidak diganggu demam langsung.

Memang Uda Siah tahu suaminya sengaja berbohong dengan berpura-pura demam asal sahaja musim turun ke sawah.  Sekiranya Malim Bilin tidak mahu membantu ditengah sawah pun,  Uda Siah tidak harapkan apa-apa.  Dia sendiri mampu kendalikan kerja-kerja di sawah yang tidak seluas mana itu.

Dia tidak akan merungut apa-apa sekalipun Malim Bilin tidak membantunya  di sawah.  Sejak menjadi isteri Malim Bilin pun jarang suaminya membantu dia di sawah.  Sebab itu tidak hairan sangat pada Uda Siah kalau suaminya balik cepat ke rumah sebaik sahaja jejak kaki ke tengah lopak sawah setelah matahari tegak di kepala.

Tetapi Malim Bilin ingatkan juga isterinya supaya tidak asyik sangat bekerja di tengah sawah tatkala matahari tegak di kepala.  Sudah menjadi pantang larang nenek moyang Malim Bilin sewaktu matahari tegak di kepala itulah puaka jembalang akan melintas.  Siapa pun tidak melihat puaka jembalang berkenaan hingga kadangkala terpijak kepala.  Tentulah puaka jembalang berkenaan marah apabila mereka diganggu tatkala bermain di tengah rembang matahari.

Manalah Uda Siah mahu pendulikan sangat pantang larang suaminya.  Tahu sangat dia Malim Bilin memang malas bekerja,  sebab itu hanya sangat dalihnya.  Sengaja Malim Bilin sebut mengenai puakan jembalang biar mereka cepat-cepat tinggalkan lopak sawah balik ke rumah.

Bukan takat di tengah sawah sahaja Malim Bilin berdalih,  kalau ke hutan mencari rotan pun dia tersandar pada banir pokok apabila matahari tegak di kapala.  Rimbun pokok-pokok di tengah hutan tidak ditembusi cahaya matahari itu pujn Malim Bilin tidak larat mahu gagahkan tenaga.

Apa sangat mahu mencari rezeki sebanyak-banyaknya, kalau dia sekadar dua suami isteri sahaja. Sudah bertahun-tahun berkahwin pun masih belum menimang anak.  Kadang kala merungut juga Malim Bilin  kerana teringinkan anak, tetapi dia terpaksa menelan keluhan sahaja apabila kenangkan tidak memperolehi anak setelah bertahun-tahun berkahwin.

Semasa terbongkok-bongkok mencabut rumput itu,  Uda Siah dikejutkan oleh lompatan haruan sebesar lengan di tepi permatang.  Sebaik sahaja melihat kelibat ikan haruan di tepi permatang mendap kelumpur,  segera Uda Siah menutup salirlan air biar ikan haruan itu tidak lepas lari dari tengah lopak.

Kemudian dia segera mengendap mahu mencekak kepala ikan berkenaan.  Tetapi ikan haruan itu menyusup pantas ke perdu rumpun anak padi di dalam selut lumpur.  Marah juga Uda Siah disebabkan ikan haruan itu cuba melarikan diri di celah rumpun anak padi dengan air tidak seberapa.  Kalau ikan haruan itu berligar di tengah lopak tentu akan tersekat juga pada selut lumpur.

Bila-bila dia akan cekak kepala ikan haruan itu kalau sudah terasak di selut lumpur pada perdu rumpun anak padi.  Biarlah lambat dia percaya nescaya ikan haruan itu tidak dapat lari ke mana.  Puas Uda Siah menghambat sampai beberapa kali ikan haruan itu menyerbu ke bawah kangkangnya,  lama-lama terdampar juga ke tengah selut lumpur.  Tidak bertangguh Uda Siah mencekak kepala ikan haruan sampai tidak dapat melepaskan diri.

Sewaktu dia menggenggam kepala ikan itu berdebar hati Uda Siah apakala melihat mata ikan haruan tersebut berkedip.  Di sebabkan dia terkejut tidak disedarinya ikan itu menggelepar hingga terlepas melompat semula ke tengah lopak sawah.  Setelah mengamat-amati di tengah selut lumpur,  Uda Siah tidak nampak lagi kelibat ikan haruan itu.

Dalam kehampaan tidak dapat menangkap ikan itu semula.  Uda Siah mengambil keputusan balik sahaja ke rumah.  Kalau tidak ada aral memang dia akan turun juga ke sawah di sebelah petang.  Sampai santak maghrib dia habiskan masa di tengah sawah tentu rumpun anak padinya bersih tidak diganggu rumput.

Siapa lagi diharapkan buat kerja di sawah kalau tidak dirinya sendiri?  Kalau harapkan Malim Bilin sampai orang lain habis menuai pun, sawahnya akan terbiar tidak dicebak langsung.  Sebab itu Uda Siah sanggup menggalas rimbas turun ke sawah sekali pun suaminya habiskan masa di kedai kopi Ah Hong sampai santak tengah hari.  Uda Siah akan menabur benih, menanam anak padi, merumput lopak sawah, menjaga burung tatkala padi berbuah muda, menuai itu memungah balik ke kepuk.

Sudah bertahun-tahun memang Uda Siah yang lakukan.  Kadang kala marah juga emaknya Embah Soyah di sebabkan dia bersusah payah sangat ke sawah,  sedangkan suaminya Malim Bilin tidak ambil peduli apa-apa.  Memang merungut Embah Soyah di depan Malim Bilin apabila ungkit fasal Uda Siah teruk buat kerja di tengah sawah.

Tetapi takat dua tiga hari sahaja Malim Bilin akan bantu isterinya.  Selepas itu dia akan terkejang di hujung serambi menarik selimut terketar-ketar demam sekali pun tatkala matahari tengah rembang.  Tahu sangat Embah Soyah menantunya sengaja berpura-pura demam disebabkan mahu mengelak tidak mahu turun ke sawah.

“Kamu tu memang pemalas, Bilin!”  rungut Embah Soyah dari tengah halaman apabila menyedari Malim Bilin menarik selimut terkejang di hujung serambi.  “Tergamak kamu makan titik peluh isteri, sampai pura-pura demam!”  sengaja Embah Soyah melepaskan geram dengan sikap menantunya.

Masakan dia tidak tahu perangai Malim Bilin disebabkan rumah mereka sempadan halaman.  Lagi pun rumah Malim Bilin ditegakkan di atas tanahnya juga,  disebabkan dia tidak mahu Uda Siah ikut suaminya ke mana-mana.  Biarlah susah senang Uda Siah tetap bersama dengannya di atas tapak tanah peninggalan nenek moyangnnya.

Semakin berterusan Embah Soyah merungut, kian galak Malim Bilin terketar-ketar kesejukan di hujung serambi.  Terpaksa pula Uda Siah menjengah suaminya yang lingkup berselimut sekali pun matahari tengah rembang.  Sebaik dia letakkan tapak tangan ke dahi Malim Bilin terasa panas membahang macam pisang muda dibembam ke dalam api bara.

Berdebar juga Uda Siah dengan keadaan demam suaminya yang panas membahang.  Tidak patut emaknya Embah Soyah meleteri suaminya tengah demam terketar-ketar.  Tentu Malim Bilin diserang demam kepialu menyebabkan seluruh tubuhnya panas membahang sampai berwap-wap.

Tidak bertangguh Uda Siah ambil daun pulasan di hujung halaman diramas ke dalam air.  Dia mesti jaramkan air pulasan  itu ke kepala suaminya biar suhu panas di kepala sejuk semula.  Tetapi Embah Soyah tidak percaya dengan tipu helah menantunya yang sengaja mahu bimbangkan Uda Siah dengan demam yangdibuat-buatnya.

“Panas badan Malim ni, mak,”  beri tahu Uda Siah tatkala mengambil daun pulasan untuk dijaram ke kepala Malim Bilin.

“Dia baru balik dari kedai kopi Ah Heng,  tak kan tiba-tiba demam,”  sahut Embah Soyah mencebek bibir macam mengejek.

“Cuba mak tengok ni!”  lantas Uda Siah memanggilnya setelah melihat bibir Malim Bilin juga pecah-pecah mengeluarkan darah.

 Tatkala Embah Soyah menjengah naik keserambi, memang terkejut juga dia melihalt bintik-bintik merah di seluruh muka Malim Bilin.  Lantas dia menuduh Malim Bilin bukan diganggu demam kepialu tetapi demam cecair yang lebih buruk.  Cepat-cepat  dia melarang Uda Siah supaya tidak jaramkan kepala Malim Bilin dengan air daun pulasan.

“Hah, ni bukannya demam kepialu, Siah,”  segera Embah Soyah buangkan selimut Malim Bilin.  Dia menyuruh Uda Siah tetak pucuk pisang masih bulat buat alas tidur menantunya.

Tidak bertangguh Uda Siah tetak pucuk pisang yang masih bulat, terus di bentangkan di atas lantai.  Malim Bilin disuruh tidur di atas pucuk pisang itu biar suhu badan tidak panas membahang sangat.  Apabila  dia baring di atas pucuk pisang bertambah cemas Embah Soyah apakala melihat kulit Malim Bilin merekah hingga memercik darah.

Kesal juga dia kerana meleteri menantunya dengan menuduh malas membantu Uda Siah turun ke sawah.  Kalau dia tahu Malim Bilin demam hingga kulitnya merkah memercik darah, memang Embah Soyah tidak akan berleter panjang.  Masakan dia mahu mendesak menantunya turun ke sawah tatkala tengah terkejang sakit memerlukan rawatan.

“Sakit apa pula kamu ni, Malim?”  sayu suara Embak Soyah melihat keadaan menantunya mengerang-erang tidak menentu.

Malim Bilin tidak menyahut, hanya bibirnya yang pecah-pecah itu bergerak terketar-ketar.  Cepat-cepat Uda Siah mengelap darah yang memercik di bibir suaminya yang pecah-pecah itu.  Bau hanyir meruap-ruap dari bibir pecah-pecah yang memercik darah hingga terasa meloyakan Uda Siah.

Tetapi dia terpaksa juga merawat suaminya yang terkejang dengan mengerang-erang berterusan.  Seluruh badannya juga kulit merekah menyebabkan darah memercik.  Sekalipun berbau hanyir meloyakan terpaksa juga Uda Siah lap supaya tidak meleleh sampai ke pucuk pisang alas tidurnya.

“Nak buat macam mana ni, mak?”  tidak sabar lagi Uda Siah dengan keadaan penyakit suaminya yang semakin mencemaskan.

“Biar aku beri tahu Haji Maarit,”  lantas Embah Soyah membuat keputusan.

“Buat apa Haji Maarit, bukankah lebih baik panggil Dukun Maskun,”  hairan juga Uda Siah dengan keputusan emaknya mahu memanggil guru agama di kampung itu.  Seisi kampung tahu sekiranya diganggu penyakit demikian mereka akan serbu ke rumah Dukun Maskun sahaja, kenapa pula emaknya ambil keputusan menjemput Haji Maarit.

“Biar dia buat keputusan,”  sahut Embah Soyah tercegat di muka pintu serambi.  Tahu sangat dia sekiranya menghadapi masalah memang bertumpu pada sepupunya Haji Maarit.  Kalau Haji Maarit benarkan menjemput Dukun Maskun, dia sendiri akan ke rumah dukun itu menjemputnya supaya mengubati penyakit Malim Bilin.

Lagi pun Dukun Maskun tidak akan datang menjengah sekiranya tidak dibenarkan oleh Haji Maarit.  Sudah beberapa kali Malim Bilin menyinggung perasaan Dukun Maskun dengan mempermainkan pantang larangnya.   Masakan dukun Maskun mahu datang menjengah sekiranya tidak dipujuk oleh Haji Maarit.

Tatkala Dukun Maskun ingatkan orang-orang kampung supaya tidak menyentuh puntung kayu yang dihanyutkan ke sungai apabila dia membuang penyakit,  Malim Bilin satu-satunya yang mencapai puntung kayu itu lantas dicacakkan ke tebing.  Tidak ada apa-apa geruh menimpa Malim Bilin setelah dia cacakkan puntung hanyut yang dibuang oleh Dukun Maskun itu.

Sekiranya Dukun Maskun mahu berubat besar dengan menyeru jin atau apa-apa pun, dia tidak benarkan siapa pun tercegat di tengah halaman dalam gelap malam. Tetapi Malim Bilin satu-satunya yang sanggup tercangkung di bawah rumah menunggu Dukun Maskun membakar kemenyan.

Memang Dukun Maskun tahu Malim Bilin mengganggunya sampai jin yang diseru tidak datang menjelma.  Tahu sangat Dukun Maskun sampai bila pun jin pendampingnya tidak akan datang menjelma apakala di halang oleh Malim Bilin.  Sebab itu marah benar dia dengan sikap Malim Bilin seolah-olah mahu menguji dirinya.

Beberapa kali Dukun Maskun ingatkan Embah Soyah dia tidak akan datang menjengah sekiranya Malim Bilin ditimpa geruh jin pendampingnya selama ini.  Dukun Maskun tidak akan dapat mengawal jin pendampingnya kalau tengah marah apabila diganggu.  Kalau Malim Bilin berani mengganggu biarlah dia sendiri menanggung geruh setelah jin pendamping itu memberang marah.

Embah Soyah sudah dapat mengagak tentu Malim Bilin ditimpa geruh akibat kemarahan jin pendamping Dukun Maskun.  Bukan seorang berdua pernah melihat Dukun Maskun tertunggang di atas tengkuk harimau apabila dia menyeru jin pendampingnya, malah Embah Soyah sendiri melihatnya apabila terserempak Dukun Maskun melintas di hadapan halaman rumahnya.

Berdebar benar hati Embah Soyah apabila mendengar bunyi lembu mengibas-ngibas ekor di halaman rumahnya.  Cepat-cepat dia mencapai pelita ayan lantas membuka tingkap serambi.  Sebaik sahaja menyuluh ke tengah halaman dia melihat Dukun Maskun bertunggang di atas tengkuk harimau belang sebesar bapak lembu.

Terkaku Embah Soyah apabila melihat Dukun Maskun di atas tengkuk harimau berkenaan.  Setelah harimau berkenaan hilang di dalam gelap malam bersama Dukun Maskun, baru dia teringatkan pantang larang dukun itu yang tidak benarkan orang-orang kampung menjengah keluar pada waktu malam sekiranya mendengar bunyi ganjil di mana-mana.

Tetapi Embah Soyah sengaja mahu memastikan bunyi lembu mengibas-ngibas ekor di tengah halaman rumahnya.  Lembu siapa pula terlepas dari kandang tengah kegelapan malam hingga menyerbu ke tengah halamannya.  Bimbang juga sekiranya lembu berkenaan meninggalkan tahi bertepek-tepek di sekeliling halaman rumah.

Sebab itu dia jengah juga keluar dengan menyuluh kearah halaman.  Kalau dia kenangkan pantang larang Dukun Maskun, kerat sepuluh pun Embah Soyah tidak akan membuka tingkap.  Seminggu juga dia demam akibat ketakutan setelah melihat Dukun Maskun bertunggang di atas tengkuk harimau.

Memang Dukun Maskun dijemput oleh Uda Siah fasal emaknya demam terkejut harimau belang terconggok di tengah halaman.  Tiga petang pula Dukun Maskun terpaksa datang memulihkan semula semangat Embah Soyah akibat terkejut. Memang Embah Soyah mengaku di depan Dukun Maskun telah melanggar pantang larang.

“Orang tua tu, nak jaga kampung halaman kita,”  beri tahu Dukun Maskun mengenai jelmaan harimau yang dilihat oleh Embah Soyah.  “Sebab itu saya tak benarkan menjengah keluar kalau terdengar bunyi ganjil,”  katanya ingatkan sesiapa sahaja setelah Embah Soyah mengalami geruh akibat terkejut itu.

“Kalau kuat semangat tak apa,”  tersengih-sengih Malim Bilin mencelah mengerling emak mertuanya yang masih terkejang hingga lemah tenaga.

“Hah, orang tua tu jangan buat main,”  Dukun Maskun tetap tidak benarkan siapa pun menjengah keluar apabila tersengar bunyi ganjil demikian.

Dia ingatkan orang-orang kampung harimau berkenaan tidak akan menjelma sekiranya kampung mereka tidak diganggu sesiapa.  Tetapi apabila pencuri galak menyusup masuk ke dalam rumah menyelongkar barang-barang kemas di dalam almari, memang harimau pendamping Dukun Maskun akan berkeliaran.

Pencuri akan tergamam apabila harimau berkenaan menunggu di tengah halaman sebaik sahaja dia turun mahu larikan barang-barang kemas.  Tahu sangat Dukun Maskun pencuri yang galak menceroboh memang gunakan pukau sampaikan mangsa seisi rumah terkapar tidur tidak sedar apa-apa lagi.  Tatkala inilah pencuri akan menyelongkar habis semua barang-barang kemas yang di simpan di dalam almari.

Bukan takat pencuri gunakan pukau sahaja mengganggu kampung mereka, malah toyol juga kerapkali menyusup masuk.  Hantu raya juga akan membolos ikut bilik air rumah terus meragut apa sahaja harta benda.  Dipasang perangkap pun mereka akan membolosi juga.  Sebab itu mereka meminta Dukun Maskun membakar kemenyan menyeru jin pendampingnya menjelma menjaga kampung halaman.

Ketika inilah harimau pendamping Dukun Maskun akan berkeliaran mengawal setiap penjuru kampong. Jin yang di seru oleh Dukun Maskun akan menjelma seperti harimau garang tersergam sebesar bapak lembu tengah galak mengawan. Cubalah hantu raya atau toyol menyusup masuk mencuri, tentu jin pendamping Dukun Maskun yang menjelma menjadi harimau akan menghambat ke mana sahaja.

Bila-bila hantu raya akan dicekak leher apabila terserempak jin pendamping Dukun Maskun sampai terkial-kial mahu lepaskan diri.  Siapa lagi yang boleh berdepan dengan hantu raya yang tidak boleh dilihat dengan mata,  kalau bukan jin pendamping demikian?  Tentu hantu raya akan dikerenyuk tidak bersisa sekiranya tengkuk dicekak oleh jin pendamping Dukun Maskun.

Kadangkala jin pendamping Dukun Maskun akan menjelma bagaikan seekor harimau belang sebesar bapak lembu.  Sekali sekala bagaikan asap hitam berbentuk lembaga besar hingga kepala cecah ke awan.  Sebab itu Embah Soyah tahu sangat mengenai Dukun Maskun boleh mengubati penyakit ganjil seperti dialami oleh menantunya Malim Bilin.

Tetapi Dukun Maskun tidak akan jejak kaki menjengah ke rumah Malim Bilin kalau takat dipelawa mengubati lelaki itu.  Marah benar dia pada sikap Malim Bilin seolah-olah mahu perolokkan jin pendampingnya hingga sanggup melanggar pantang larang.

Satu-satunya yang boleh memujuk tentu Haji Maarit.  Asal sahaja Haji Maarit yang mendesak serba salah juga Dukun Maskun mahu mengelak. Bagimana pun belum pernah Haji Maarit mendesak Dukun Maskun, kerana dia sendiri akan doakan sahaja sesiapa yang menemuinya.  Cuma Dukun Maskun yang serba salah apabila berhadapan dengan Haji Maarit.

Sewaktu Dukun Maskun mengalami demam panas sampai terasa sesak nafas memang dia sendiri merasa bimbang.  Lantas sahaja Dukun Maskun menuduh jin pendampingnya menuntut sediakan ancak diisi dengan ayam panggang mentah dihantar ke kaki bukit letakkan atas batu tiga kepala.  Meracau-racau Dukun Maskun seolah-olah dirasuk jin pendampingnya yang marah kerana tidak menunaikan janjinya hantarkan ancak dengan ayam panggangn mentah itu ke kaki bukit.  Di situ tersergam batu tiga kepala yang mencodak macam anak merbah lapar.  Dukun Maskun mesti letakkan ancak tersebut di atas batu tiga kepala.

Tatkala Haji Maarit datang menjengah dia ingatkan Dukun Maskun supaya tidak hantarkan ancak dengan ayam panggang mentah itu.  Setelah dimintanya air satu jag dengan dibubuh beras dua tiga butir,  Haji Maarit berdoa perlahan:

Bismillahhil kabirhu na’uzubillahhil azim minni syarrikulli’ rannahari wamin syarri hassarannar.

Tiga pagi dia meneguk air yang didoakan oleh Haji Maarit dengan disapukan ke badan bagaikan mengambil wuduk, suhu panas badan Dukun Maarit berubah serta merta.  Dia tidak menggelepar lagi meracau-racau tidak menentu.

Bukan Dukun Maskun sahaja terhutang budi pada Haji Maarit, malah isterinya Itam Nah juga berbulan-bulan mengidap batu karang hingga tidak tus buang air.  Sebaik sahaja di beri tahu oleh pihak hospital mahu dibedah, lantas sahaja Itam Nah mengambil keputusan tidak mahu jejak kaki ke hospital.

Puas pula Dukun Maskun menyeru jin pendampingnya biar buangkan batu karang yang menyendal ari-ari isterinya hingga sukar mahu buang air.  Kadangkala terjerit-jerit dia menahan sakit disebabkan kencing tidak boleh tus.

Tatkala Haji Maarit datang menjengah segera dia menuyuiruh Dukun Maskun carikan buah betik tengah masak ranum.  Haji Maarit doakan pada buah betik itu:

Rabbanallahhul lazi fis sama-I taqaddo man-ismaka amwata fis-sama-i wal-arsi kamarahmatuka fis-sama-I faj’ala rahmataka fil-ardhi waghfirlana haubana wak-hothayana anta rabbat thaiyibina fa-u-nazil syafa-an min-syifa-ika birahmatan min rahmatika alaiya hazal-waji’.

Sengaja Haji Maarit mendesak Itam Nah habiskan sebiji betik itu sekali makan sahaja.  Tiga hari berturut-turut Itam Nah terasa lawas buang air, hingga dia dapat melihat ketul halus sebesar garam kasar keluar bersama kencingnya.

Semenjak didoakan oleh Haji Maarit memang Itam Nah tidak pernah lagi mengalami gangguan batu karang yang menyeksakan itu.  Sebab itu dukun Maskun tidak tergamak mahu menyinggung perasaan Haji Maarit.  Kalau didesak juga menjengah Malim Bilin yang terkejang mengidap penyakit ganjil, dia tetap mematuhi kemahuan guru mengaji al-Quran itu.

“Tak payah diubati.”  Beri tahu Haji Maarit sebaik sahaja Embah Soyah menemui  dia fasal penyakit yang dihidapi oleh Malim Bilin sampai seluruh badan pecah kulit hingga memercik darah.

“Teruk sakitnya Abang Aji,”  Embah Soyah terus mendesak dalam leadaan cemas.

“Sakit apa pula,  Malim Bilin tu tahu jaga dirinya,”  tersengih-sengih Haji Maarit kerana dia dapat mengagak Malim Bilin sekadar mahu permainkan mertuanya.

“Dia betul-betul sakit, Abang Aji,” sayu sangat hati Embah Soyah apabila kenangkan penyakit yang dideritai oleh menantunya.  Cepat sahaja dia menuduh tentu penyakit Malim Bilin disebabkan melanggar pantang larang Dukun Maskun.

“Kau balik dulu, nanti aku datang,”  lantas Haji Maarit memujuk adik sepupunya supaya bertenang kalau pun Malim Bilin terkejang sakit.

“Biar aku panggil Dukun Maskun, Abang Aji,”  ujar Embah Soyahg masih cemas tidak keruan.

“Kau ni cepat gelabah, nak buat apa panggil Dukun Maskun?”  marah juga Haji Maarit apabila kenangkan Embah Soyah terlalu mengharapkan orang membantunya.  Kalau belum tentu lagi Malim Bilin dapat diselamatkan.

Tatkala Embah Soyah balik semula ke rumah dia mendengar Malim Bilin berdekah-dekah ketawa.  Sekali gus pula Uda Siah memarahinya kerana memperolok-olokkan dia hingga Embah Soyah juga ikut cemas.  Sebaik sahaja Embah Soyah terjongol di muka pintu, memang Malim Bilin tidak sakit apa-apa.  Bibirnya yang pecah-pecah memercik darah itu bersih tidak ada kesan apa-apa.

Menghela nafas panjang Embah Soyah disebabkan Malim Bilin boleh menukar dirinya bagaikan terkejang sakit.  Siapa tidak cemas apabila melihat menantu dalam keadaan menderita hingga seluruh badan kulitnya merekah memercik darah?  Manalah dia tahu Malim Bilin boleh melakukan demikian menyebabkan dia terpedaya.

Lantas dia dapat mengagak kenapa Haji Maarit tidak cemas pun sebaik sahaja diberi tahu mengenai keadaan penyakit Malim Bilin.  Sampai santak asar pun Haji Maarit tidak jengah ke situ.  Tahu sangat dia kebolehan Malim Bilin menperdayakan sesiapa pun hingga menyangka dia benar-benar terkejang sakit tenat.

Disebabkan Malim Bilin selalu mencari helah di depan emak mertuanya dengan menukarkan dirinya dalam keadaan sakit tenat,  Embah Soyah langsung tidak percaya apabila diberi tahu betis Uda Siah membengkak sampai sebesar paha.

Sewaktu ikan haruan yang ditangkapnya di tengah lopak sawah itu terlepas dari tapak tangan,  memang Uda Siah terasa pangkal pahanya sengal apabila terdorong hingga lutut tertumpu ke permatang.  Dia terus sahaja balik ke rumah setelah kecewa tidak dapat menangkap ikan haruan tersebut.

Sakit di pangkal paha itu berlarutan hingga ke malam menyebabkan Uda Siah tidak dapat melelapkan mata.  Ketika inilah dia melihat perubahan pada betisnya kian membesar.  Cepat-cepat dia memberi tahu suaminya Malim Bilin mengenai kakinya sakit hingga betis membengkak sebesar paha.

“Kau jangan nak main-mainkan aku, Malim.”  Gerutu Embah Soyah  tidak percaya anaknya menanggung kesakitan akibat betis membengkak sebesar paha.  Dia tetap menuduh Malim Bilin sengaja persendakan dirinya dengan menukar betis Uda Siahseolah-olah bengkak membesar.

“Saya betul-betul sakit mak,”  beri tahu Uda Siah meyakinkan emaknya kejadian yang menimpa dirinya bukan permainan Malim Bilin.

“Kau pun sama dengan suami kau,”  sahut Embah Soyah tidak percaya langsung dengan helah menantunya.  Tentu ada yang diperlukan oleh Malim Bilin darinya hingga sanggup gunakan ilmu kebatinannya biar betis uda Siah kelihatan bengkak sebesar peha.

“Saya tak buat apa-apa pada Siah, mak,”  Malim Bilin menjelaskan dalam tersengih-sengih bagaikan tidak bimbang apa-apa. Sebab itu Embah Soyah tidak percaya langsung Uda Siah mengidap penyakit demikian.

Apa sangat dengan betis Uda Siah membengkak kalau bandingkan tangan Malim Bilin tercabut di pangkal bahu semasa dia merentapnya.  Disebabkan Embah Soyah marah benar dia diperolok-olokkan oleh menantunya lantas direntapnya tangan Malim Bilin.  Tiba-tiba saja tangannya tercabut hingga ke pangkal bahu menyebabkan Malim Bilin terjerit-jerit kesakitan dengan darah membuah-buak keluar.

Sebaik melihat tangan menantunya tercabut dalam genggamannya Embah Soyah tergamam.  Pandangannya berputar akibat pitam tidak dapat menahan ketakutan.  Dia terhuyung hayang lantas jatuh terjelepoh di lantai tidak sedarkan diri.  Semasa Uda Siah memangku kepala emaknya dia melihat hanya bantal guling sahaja yang didakap oleh Embah Soyah.  Ketika ini Malim Bilin sekadar tersengih-sengih dengan tangannya tidak pun tercabut sampai ke pangkal bahu.

Setelah dijampi oleh Malim Bilin barulah Embah Soyah pulih semula. Puas direnungnya lengan Malim Bilin, tetapi menantunya tidak cacat apa-apa.  Tangannya yang tercabut di pangkal bahu itu masih kukuh tidak berganjak sedikit pun.

“Apa kau mahu cakap aje,  jangan buat helah macam ni,”  rungut Embah Soyah mengalah.  Dia tidak mahu berkeras sangat dengan Malim Bilin yang boleh mengelirukan dirinya dengan kebolehan luar biasa.  Sampaikan Dukun Maskun yang disegani di dalam kampung pun boleh di perolok-olokkannya.

Saat ini terbayang juga kesal di dalam hati Malim Bilin, apabila Uda Siah benar-benar menanggung kesakitan tetapi siapa pun tidak mempercayainya.  Embah Soyah sendiri tidak percaya anaknya mengidap bengkak betis sekali pun dia melihat sendiri keadaan kaki Uda Siah. Tentu Malim Bilin sengaja gunakan kepandaiannya memyebabkan siapa sahaja melihat kaki isterinya mengidap bengkak betis sampai sebesar paha.

Memang Malim Bilin tidak dapat bercakap apa-apa setelah Embah Soyah tidak percaya Uda Siah benar-benar sakit.  Embah Soyah tetap menuduh hanya sekadar helah Malim Bilin sahaja.  Tentu Malim Bilin tengah tidak berduit hingga memerlukan dia membantu.  Sebab itulah sengaja dia gunakan kepandaiannya biar kaki Uda Siah kelihatan bengkak betis hingga tidak dapat diangkat.

“Siapa pun tak percayakan saya lagi, Pak Utih,”  tertunduk Malim Bilin memberi tahu Haji Maarit mengenai kejadian yang menimpa isterinya.

“Hah, sebab itu jangan salah gunakan kepandaian!”  lantas Haji Maarit ingatkan dia mengenai perbuatannya yang boleh memperdayakan emak mertuanya selama ini.

“Memang salah saya, Pak Utih,”  ujar Malim Bilin kesal dengan perbuatannya selama ini.

“Malim Bilin ni banyak kepandaiannya, ustaz,”  tersengih-sengih Haji Maarit memandang saya yang kebetulan menjengah dia di kampungnya. “Tapi, terkena pada isterinya tak dapat dia ubatkan,”  dia menambah dengan menyindir lelaki itu.

Malim Bilin tunduk tidak menyahut sepatah pun.  Dia tahu dirinya telah membuat kesilapan hingga emak mertuanya sendiri tidak mempercayai Uda Siah mengidap sakit bengkak betis.  Bagaimana kalau dia sendiri benar-benar terkejang sakit,   tentu siapa pun tidak akan percaya lagi?

Memang Haji Maarit sendiri mengakui Malim Bilin boleh menukarkan dirinya menjelma bagaikan terlantar sakit semata-mata mahu memperdayakan isterinya.  Disebabkan Malim Bilin mengelak tidak mahu turun ke sawah,  dia akan berpura-pura demam hingga terkejang di hujung serambi.  Apabila Uda Siah menjengah,  lantas dilihat seluruh tubuh Malim Bilin terbintat-bintat meruam merah bagaikan dihinggapi demam cecair.

Apabila Uda Siah turun ke sawah dia akan bingkas bangun terus ke kedai kopi Ah Heng.  Sebaik sahaja matahari tegak di kepala cepat-cepat dia balik ke rumah sebelum isterinya jejak kaki di tangga.  Dia akan terkejang semula dengan seluruh badannya berbintat-bintat meruam merah.

Tetapi semenjak emak mertuanya merentap tangan dia hingga tercabut sampai ke pangkal bahu,  Uda Siah sudah dapat menangkap suaminya gunakan ilmu penggelap menyebabkan orang melihatnya seperti benar-benar sakit terlantar.  Kalaulah tidak disebabkan Embah Soyah pitam tidak sedarkan diri selepas melihat tangan menantunya tercabut,  memang Uda Siah sendiri tidak tahu mengenai helah suaminya selama ini.

“Cuba amalkan ilmu yang diredzai Allah,”  Haji Maarit ingatkan dia setelah mengajak saya ikut sama ke rumah Malim Bilin.  “Ilmu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat!”  ujarnya tidak bersetuju dengan sikap Malim Bilin menperdayakan isteri dan emak mertua sendiri.

“Saya berjanji tak buat lagi, Pak Utih,”  sahut Malim Bilin tersengih-sengih disebabkan malu tembelangnya diberi tahu oleh Haji Maarit kepada saya.

Sewaktu saya bersama Haji Maarit jejak kaki ke rumahnya.  Uda Siah mengerang-ngerang kesakitan.  Embah Soyah tetap tidak datang menjengah sekali pun erangan Uda Siah boleh di dengar dari dapur rumahnya.  Setelah kami naik ke rumah barulah Embah Soyah datang menjengah muka.

“Jangan percaya Abang Aji,”  lantas sahaja Embah Soyah mencebek bibir sebaik naik ke rumah.  “Malim ni tengah tak berduit, fasal nak minta duit dia buat helah,”  dia menambah melepaskan rasa geram yang mendongkol di hati.

“Usah terburu-buru, Soyah!”  segera Haji Maarit memujuk lantas memuncungkan bibir kearah saya. “Tak malukah dengan ustaz ni,  dia tetamu kita,” tuturnya perlahan meminta Embah Soyah bertenang.

Tersipu-sipu Embah Soyah memandang saya setelah menyedari belum pernah terserempak saya sebelum itu.  Tentulah tidak manis menuduh anak menantu di depan tetamu yang belum pernah datang berkunjung.  Tetapi saya tidak ambil hati sangat dengan sikap Embah Soyah yang sudah sekian lama memendam perasaan marah dengan perbuatan Malim Bilin.

Kemudian Haji Maarit menyuruh Embah Soyah ambilkan air di bubuh di dalam besen.  Setelah besen berisi air itu dibawa ke hadapannya dia menyuruh Uda Siah masukkan kaki ke dalam besen.  Haji Maarit meletakkan telunjuk pada betis Uda Siah yang membengkak lantas menepuk kepala lututnya sendiri tiga kali.  Haji Maarit perlahan membacakan doa:

“Nun, walqolami wama yasthurun, ma-anta bini’mati rabbika majunun, wa-innalaka la-ajran ghaira mimnun, wa-innaka la’ala khulqin ‘azim, fasatub siru wayubsirun, bi aiyakumul maftan, inna rabbaka huwa a’lamu biman dhalla ‘an-sabilihi wahuwa a’lamu bilmuhtadin.



Bersambung







 

No comments:

Post a Comment