Sunday, March 6, 2016

166. MAYAT MELAWAN KALAU DI BUJUR



MALU yang ditanggung seisi keluarga semakin menyebak dalam dada Resat Tempang akibat perbuatan bapa saudaranya Tok Semilih.  Keluarganya menjadi sasaran sekali pun Tok Semilih menjadi wakil Tok Penghulu di kampung mereka.  Bukan takat orang-orang kampung sahaja tidak sanggup mencegah perbuatan Tok Semilih malah Tok Penghulu sendiri sudah berputus asa untuk menasihatinya.
Masakan Tok Penghulu sanggup gantikan orang lain menjadi wakilnya setelah Tok Semilih satu-satunya yang selamatkan dia daripada menanggung aib.  Siapa yang sanggup menyerbu ke kampung Tok Kumbah apabila anak gadis Tok Penghulu dilarikan oleh anak datuk tersebut, kalau bukan Tok Semilih.
Apabila pinangannya di tolak, Mat Kasan menjadi marah bukan kepalang.  Lantas Mat Kasan menyerbu masuk ke kampung Tok Penghulu melarikan anak gadisnya Suri.  Gelisah sangat Tok Penghulu dengan kejadian anak gadisnya dilarikan Mat Kasan dalam masa Suri sudah ditunangkan dengan Jumbang.
Sebaik sahaja Suri dilarikan oleh Mat Kasan, tidak bertangguh Jumbang menyongsong ke kampung Tok Kumbah.  Siapa lagi yang boleh selamatkan dia daripada aib kalau tunang sendiri dilarikan orang.  Tatkala Jumbang sampai di halaman rumah Tok Kumbah tiba-tiba sahaja dia di serang tebuan beribu-ribu ekor.
Tidak sampai sepuluh minit Jumbang menggelupur di tengah halaman akibat diserbu tebuan.  Apabila mayat Jumbang diusung balik, memang terkejut benar Tok Penghulu bagaimana tebuan tiba-tiba menyerang Jumbang.  Perkara Jumbang mati diserang tebuan di tengah halaman sewaktu mahu selamatkan Suri menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan keluarganya.
Tetapi siapa lagi boleh di harapkan oleh Tok Penghulu melindungkan keluarganya dari aib disebabkan perbuatan Tok Kumbah?  Setelah diberi tahu pada Tok Semilih, marah benar dia apabila Tok Kumbah bersama anaknya Mat Kasan berani tunjuk keras kepala di kampungnya.
Sewaktu Tok Semilih menyerbu masuk ke kampung Tok Kumbah memang dia berdepan dengan tebuan beribu-ribu ekor.  Sebaik sahaja Tok Semilih mengisar tumitnya ke tanah, sekali gus api marak menyala di keliling Tok Semilih.
Belum sempat tebuan beribu-ribu itu menyerbu Tok Semilih, lantas saja api yang marak menyala menyambar ke udara.  Semua tebuan yang berterbangan jatuh bergolek ke tanah.  Seekor pun tidak bersisa akibat disambar api marak menyala.
Setelah tebuan yang beribu-ribu itu bergelimpangan mati di sambar api marak menyala, segera Tok Kumbah keluar ke serambi rumah.  Terkejut juga dia disebabkan tebuan yang diserunya datang membantu habis di sambar api Tok Semilih.  Saat ini Tok Kumbah menyedari kesaktiannya sudah boleh dikalahkan orang dari kampung Tok Penghulu.
Apa lagi yang datang berdepan dengannya wakil Tok Penghulu yang terkenal kerana batang tubuhnya yang kebal.  Tok Kumbah sekadar mendengar dari mulut ke mulut mengenai kekebalan Tok Semilih, tetapi belum pernah menguji kehebatan lelaki itu.
Setelah melihat sendiri tebuan-tebuan sakti yang diserunya mati bergelimpangan,  Tok Kumbah merasakan dirinya sudah dicabar.  Tidak siapa pun di kampung itu berani membantah kerana takutkan kesaktiannya.  Apabila Tok Semilih mampu melepasi halangan tebuan-tebuan sakti itu, sudah tentu dirinya mula dicabar.
“Tok Kumbah, serahkan Suri!”  bentak Tok Semilih bercekak pinggang di tengah halaman rumah Tok Kumbah.
“Tok Semilih, sebenarnya Suri yang ikut anak aku ke sini,”  segera Tok Kumbah berdalih seolah-olah mengejek Tok Semilih sendiri.
“Aku tak peduli, sekarang mahu serahkan cara baik atau aku serbu naik ke rumah?”  Tok Semilih tidak berganjak dari tengah halaman.
Tidak bertangguh Tok Kumbah melompat ke tengah halaman.  Belum pun tubuhnya cecah ke tanah, Tok Kumbah menjelma menjadi seekor harimau belang sebesar lembu tengah naik badan.  Sekaligus Tok Semilih melompat hingga sampai ke pucuk kelapa tersergam.
Apabila dia terjun semula ke tanah, tiba-tiba batu sebesar reban ayam menimpa harimau belang yang mendongak menunggu mangsa.  Tatkala batu sebesar reban ayam itu bergolek, Mat Kasan yang tercegat di kepala tangga melihat kepala harimau remuk hancur.  Ekor harimau itu menggeletek melibas ke kiri ke kanan dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin.
Segera Mat Kasan terjun memangku kepala ayahnya yang masih menyerupai harimau belang.  Setelah dijampi oleh Mat Kasan dengan mengusap-usap tapak tangannya ke muka harimau berkenaan, Tok Kumbah menjelma semula dalam keadaan termengah-mengah menahan sesak nafas.
Beberapa orang anak buah Tok Kumbah segera datang membantu sebaik sahaja diberi tahu kedatangan Tok Semilih menyebabkan kematian ketua mereka.  Siapa pun tidak berani menghalang apabila Tok Semilih membawa balik Suri ke kampungnya, disebabkan mereka menyedari salangkan Tok Kumbah yang sakti boleh ditewaskan apa sangat dengan kebolehan mereka.
“Kampung kita diceroboh!”  Mat Kasan ingatkan penduduk-penduduk kampungnya supaya bangkit menentang Tok Semilih.
Mat Kasan tidak puas hati dengan kematian ayahnya Tok Kumbah.  Sebab itu kampung Tok Semilih mesti dimusnahkan.  Dia akan membakar semua rumah di kampung berkenaan biar mereka semuanya porak peranda.  Tetapi sebelum mereka sampai di kampung Tok Semilih, orang-orang Mat Kasan sudah diserbu tatkala bertahan di sebuah bukit tengah makan durian.
Serbuan orang-orang Tok Semilih ini menyebabkan ramai orang-orang Mat Kasan mati di atas bukit berkenaan dengan meninggalkan biji durian bertaburan di situ.  Tetapi Mat Kasan dapat melarikan diri balik ke kampungnya setelah beberapa kali ditetak dengan parang panjang, namun tubuhnya tidak lut oleh senjata besi.
Setelah diberitahu kepada Tok Semilih mengenai Mat Kasan yang kebal itu, tidak bertangguh dia mencari lelaki berkenaan.  Kalau dibiarkan nescaya lambat laun Mat Kasan akan datang lagi mahu menuntut bela keatas kematian ayahnya Tok Kumbah.  Tentu Mat Kasan juga tidak puas hati disebabkan Suri yang sudah diperisterinya dilarikan semula oleh Tok Semilih.
Tatkala senja mula samar-samar, Tok Semilih sampai di tengah halaman Mat Kasan lantas diserunya supaya turun dari rumah.  Beberapa orang penyokong Mat Kasan menegahnya supaya tidak menentang Tok Semilih, tetapi dia berasa malu setelah dicabar demikian.
“Dengar ceritanya mereka berdua bertikam sampai ke subuh,”  ujar Ali Dengkot memberitahu kejadian di kampungnya bertahun-tahun dulu tatkala saya bersama Cikgu Limin di ajak mengujungi kubur lama dengan batu nesan tumbuh ketinggi berdiri.
“Saya tertarik dengan cerita macam ni, ustaz,”  jelas Cikgu Limin yang gemar bertanyakan kisah-kisah lama semenjak dia datang mengajar di kampung tersebut.
“Saya pun dengar cerita ni dari mulut orang tua-tua dulu,”  Ali Dengkot menambah tetapi terbayang rasa bangga di wajahnya mengenai kehebatan Tok Semilih bertikam sepanjang malam dengan Mat Kasan.
Orang-orang kampung yang melihat pertikaman Tok Semilih dengan Mat Kasan itu sekadar melihat kilat keris di tangannya sahaja.  Dalam kegelapan malam itu mereka hanya mendengar suara Tok Semilih dan Mat Kasan menangkis dan bertempik.
Tidak siapa pun melihat bagaimana mereka memencak di tengah kegelapan malam itu.  Hingga santak subuh barulah mereka mendengar erangan kesakitan merintih.  Apabila di suluh orang-orang kampung melihat Mat Kasan terbaring berlumuran darah.  Ketika ini Tok Semilih sudah meninggalkan kawasan halaman rumah sebaik sahaja dia dapat menikam dada Mat Kasan.
Semenjak Mat Kasan mati dibunuh oleh Tok Semilih tidak ada siapa pun dari kampung Tok Kumbah berani mengganggu kampung Tok Penghulu.  Sebab itu Tok Penghulu berasa terhutang budi pada Tok Semilih yang dapat  pertahankan aibnya.
Tetapi Ali Dengkot diberi tahu oleh arwah datuknya, bukanlah mudah Tok Semilih mahu menewaskan Mat Kasan.  Setiap kali mata kerisnya terbenam di dada Mat Kasan, tidak bertangguh dia bingkas bangun sebaik sahaja badanya rebah ke tanah.  Beberapa kali Mat Kasan rebah akibat ditikam keris Tok Semilih, tetapi dia bingkas semula apabila tubuhnya cecah ke tanah hingga bergelumang pasir.
Beberapa kali juga Mat Kasan dapat menikam dada Tok Semilih, tetapi mata kerisnya sumbing disebabkan tidak lut.  Selepas Mat Kasan mati memang orang-orang kampung melihat mata kerisnya banyak yang sumbing laksana tertusuk ke besi keras.
“Kawan tahu awak kebal, Tok Semilih!”  tempek Mat Kasan tatkala sama-sama memencak di tengah kegelapan malam.  “Tapi, belum tentu awak dapat kalahkan kawan,”  dia mengejek dengan ketawa berdekah-dekah.
“Mata keris awak dah banyak sumbing!”  sahut Tok Semilih mendengus marah disebabkan lawannya terus juga bingkas bangun setelah ditikam sampai mata keris tercacak di rusuk.  “Biar sampai tiga hari tiga malam, kawan takkan mengalah,”  tegasnya memberi amaran mahu membunuh Mat Kasan.
“Kalau ajal kawan memang di tangan awak, apa nak buat,”  Mat Kasan juga tidak mahu mengalah setelah berdepan dengan Tok Semilih.  “Tapi, macam mana kalau ajal awak di tangan kawan?”  sengaja dia mahu menyakiti hati lawannya itu.
Hingga santak subuh baru Tok Semilih dapat mencari petua mahu mengalahkan lawannya.  Tidak bertangguh dia menetak tulang kering Mat Kasan menyebabkan lawannya terjengket-jengket.  Ketika inilah dia menikam pada bahagian ari-ari hingga Mat Kasan tersandar di perdu pokok kelapa.  Tidak sempat lagi Mat Kasan rebahkan badannya ke tanah berpasir.  Dia menggelepar di perdu pokok kelapa dengan kerisnya masih tergenggam di tangan.
Empat puluh empat malam pula orang-orang kampung mendengar erangan kesakitan dari kubur Mat Kasan asal sahaja menjelang subuh.  Mereka mendengar erangan kesakitan menahan pedih tulang keringnya yang ditetak oleh Tok Semilih.
Selepas kematian Tok Kumbah dan Mat Kasan, berulang kali Tok Semilih masuk ke kampung berkenaan.  Asal sahaja dia berkenan perempuan cantik akan dipaksanya ikut balik ke rumah, sekali pun perempuan itu mempunyai suami.  Kalau suami perempuan itu cuba menghalang nescaya akan dibunuh oleh Tok Semilih tidak mengira belas kasihan.
Bukan takat perempuan di kampung Tok Kumbah sahaja di paksa oleh Tok Semilih, malah perempuan di kampungnya juga dipaksa.  Tok Semilih sanggup lakukan apa sahaja tidak mengira saudara sendiri.  Dia manjadi bertambah angkuh setelah dapat membunuh Tok Kumbah dan Mat Kasan.
Apa lagi Tok Penghulu sendiri tunduk dengan kemahunanya disebabkan Tok Semilih satu-satunya yang dapat selamatkan keluarganya dari aib.  Siapa sahaja orang-orang kampung datang mengadu mengenai perangai Tok Semilih lantas sahaja Tok Penghulu menutup pintu rumah.  Dia tidak akan benarkan siapa pun naik ke rumah kalau mahu buruk-burukkan Tok Semilih.
“Tok Semilih menjadi wakil datuk!”  seru Uda Sahun dari tengah halaman apabila Tok Penghulu menutup pintu rumah tidak benarkan dia naik..”Orang tak salahkan Tok Semilih, tapi salahkan datuk,”  tersinggung benar Uda Sahun dengan sikap abangnya yang mahu pertahankan Tok Semilih.
“Kenapa sekarang kamu semua nampak kesalahan Tok Semilih?”  Tok Penghulu masih tidak membuka pintunya sekali pun adiknya tercegat di tengah halaman.
“Saya hanya bawa aduan orang kampung,” ujar Uda Sahun kecewa dengan sikap abangnya tidak hiraukan bantahan penduduk-penduduk kampung mengenai kelakuan Tok Semilih.
Disebabkan Tok Penghulu tidak mahu menghalang, orang-orang kampung terpaksa menemui Uda Sahun.  Satu-satunya yang disegani oleh Tok Penghulu memang adiknya Uda Sahun.  Semenjak adiknya balik belajar agama di Padang Panjang, memang seisi kampung harapkan Uda Sahun tempat bertanyakan hukum hakam.
Setelah didesak oleh Uda Sahun terpaksa juga Tok Penghulu benarkan adiknya naik ke rumah.
Mengeluh panjang dia apabila diberi tahu oleh Uda Sahun mengenai Tok Semilih melakukan perbuatan sumbang dengan isteri orang.  Memang Tok Penghulu menyedari perbuatan wakilnya mengganggu perempuan muda  di kampung, tetapi siapa yang berani menghalangnya?  Kalau Tok Penghulu berani memecat sudah tentu Tok Semilih akan larikan Suri balik ke rumahnya.
Sebelum Suri dinikahkan dengan Resat Tempang sepupu Tok Semilih, memang dia sudah ingatkan Tok Penghulu jangan cuba menghalang.  Bila-bila dia akan melarikan Suri kalau Tok Penghulu berkeras mahu memecatkan semata-mata disebabkan dia memaksa perempuan yang diingininya ikut balik ke rumah.
“Tahu sangat Tok Penghulu ke atas Tok Semilih boleh memaksa siapa sahaja perempuan yang diingininya.  Tok Semilih tidak perlu bersusah payah menyerbu masuk ke rumah.  Cukup dia ikatkan benang pada jari manisnya kemudian disentap-sentap beberapa kali.  Apabila diserbu perempuan itu nescaya tidak bertangguh perempuan berkenaan bingkas bangun kalau tengah nyenyak tidur sekali pun.
Ketika ini perempuan tersebut hanya mendengar namanya diseru oleh Tok Semilih.  Siapa pun tidak dapat menahan langkah perempuan itu terus menapak kerumah Tok Semilih hingga dia dikejutkan dari tidur nyenyak.  Saat ini perempuan tersebut rela mengikut sahaja kemahuan Tok Semilih dengan tidak hiraukan lagi suaminya di rumah.
Siapa lagi mahu disalahkan kalau perempuan itu sendiri datang menyerah ke rumah Tok Semilih?  Tentu Tok Penghulu menerima aib sekirannya menuduh Tok Semilih melakukan perbuatan jahat sumbang mata memandang!  Tidak ada bukti Tok Semilih melakukan perbuatan sumbang kerana perempuan itu sendiri rela menyerahkan diri kepadanya.
Cubalah Tok Penghulu berkeras mahu salahkan Tok Semilih!  Bila-bila Suri akan tinggalkan rumah Tok Penghulu jejak kaki ke rumahnya.  Suri juga rela diperlakukan apa sahaja oleh Tok Semilih dengan tidak menbantah apa-apa.  Disebabkan tidak mahu Suri menjadi mangsalah Tok Penghulu menerima Resat Tempang menjadi menantunya.  Apa lagi Resat Tempang murid yang banyak habiskan masanya di madrasah Uda Sahun.
“Datuk tidak patut biarkan Tok Semilih merosakkan perempuan di kampung ni,”  Uda Sahun kecewa dengan sikap abangnya yang tunduk dengan kemahuan Tok Semilih.
“Dia tinggi ilmu kebatinannya, bukan mudah nak paksa,”  barulah Tok Penghulu dedahkan rahsia kebimbangannya kepada Uda Sahun.  Bagaimana kalau dia menjadi sasaran kemarahan Tok Semilih sekiranya cuba selamatkan orang-orang kampung?
“Datuk jadi penghulu, tergamakkah tengok orang kampung dianiaya?”  Uda Sahun terus mendesak abangnya supaya bertanggung jawab kepada keselamatan orang-orang kampung.
“Kalau kamu berani menegur, cubalah,”  Tok Penghulu memang tidak sanggup mahu berdepan dengan Tok Semilih.
Disebabkan Tok Penghulu sudah bersetuju mahu menghalang perbuatan Tok Semilih, lantas Uda Sahun menemui lelaki itu.  Tersengih-sengih Tok Semilih apabila diingatkan oleh Uda Sahun mengenai mereka yang takbur dengan ilmu di dada.
Berkali-kali Tok Semilih mengejek Uda Sahun supaya mengajar baik-baik di madrasah.  Marah benar dia disebabkan Uda Sahun cuba mengajar dia mengenai hukum hakam, sedangkan dia wakil Tok Penghulu di kampung berkenaan.
“Uda jaga urusan di madrasah, biar saya jaga urusan kampung,”  Tok Semilih mencebek bibir mengejek Uda Sahun.
“Urusan madrasah ada kait mengait dengan urusan kampung juga,”  sahut Uda Sahun tenang berdepan dengan lelaki yang digeruni di kampung berkenaan.  Tidak siapa pun berani menegur Tok Semilih selain dari Tok Penghulu sendiri.  Kalau Tok Penghulu sudah tidak sanggup menegur siapa lagi yang berani berdepan dengan Tok Semilih?
Satu-satunya yang berani mencuba memang Uda Sahun.  Berkali-kali dia ingatkan orang kampung yang perlu ditakuti hanya Allah.  Kalau dia tidak sanggup menegur kelakuan Tok Semilih, mahu harapkan siapa lagi?  Semenjak belajar agama di Padang Panjang dia sudah di ingatkan supaya berani menegur siapa sahaja melakukan kezaliman sesama makhluk.
“Cukuplah, Uda!”  ujar Tok Semilih menggoyang-goyang kepala lutut dalam ketawa memanjang.  “Belajar agama di Padang Panjang, tak sama dengan belajar ilmu kebatinan!”  sengaja dia mahu mengugut supaya Uda Sahun tidak berterusan mahu mengujinya.
Tetapi Uda Sahun tidak berputus asa.  Tiga malam berturut-turut dia solat sunat hajat memohon Tok Semilih mengubah sikapnya.  Kalau sudah tidak boleh ditegur dengan lidah, dia wajib menegur melalui doa di dalam hati sanubari.
Perkara doanya dimakbulkan atau tidak adalah urusan Allah yang tidak siapa pun mengetahuinya.  Dia sudah mencuba menegur perbuatan Tok Semilih yang zalim, tetapi lelaki itu berkeras tidak pedulikan.  Seisi kampung sudah tidak tertahan lagi dengan perbuatan Tok Semilih, menyebabkan ramai yang lari meninggalkan kampung halaman.
Memang hiba juga Tok Penghulu dengan keputusan menantunya meninggalkan kampung halaman semata-mata mahu elakkan diri daripada menjadik mangsa Tok Semilih.  Manalah tahu Tok Semilih masih inginkan Suri sekali pun sudah menjadi isteri sepupu sendiri.  Kalau dia sudah lepaskan cakap didepan Tok Penghulu, masakan dia tidak tergamak merampas dari tangan Resat Tempang.
Berbulan-bulan Resat Tempang meninggalkan kampung halaman, dia balik juga membawa isterinya tatkala hariraya disambut oleh penduduk-penduduk kampung.  Tentulah tidak manis jika dia tidak berkunjung ke rumah ibu bapa di pagi hari raya demikian.
Sempat juga Resat Tempang menemui guru agamanya Uda Sahun apabila diberi tahu oleh orang-orang kampung mengenai Tok Semilih yahng masih tidak boleh melihat perempuan cantik.  Dia akan merayau ke mana-mana kampung mahu memastikan perempuan cantik ditemui di situ.
“Hari baik bulan baik ni, saya nak bunuh Tok Semilih,”  jelas Resat Tempang sebaik sahaja menemui guru agamnya Uda Sahun.
“Perkara membunuh ni, tidak diredzai Allah,”  Uda Sahun memujuknya supaya Resat Tempang tidak ikutkan perasaan sangat.
“Insya Allah, niat saya untuk selamatkan orang kampung,” Resat Tempang sudah nekad membuat keputusan sekali pun Uda Sahun bimbang dia sendiri akan menjadi mangsa.
Menggeleng lemah Uda Sahun disebabkan Resat Tempang juga sudah tidak dapat mengawal perasaan disebabkan terlalu marah dengan perbuatan sepupunya Tok Semilih.  Dia balik menyambut hari raya tidak disambut dengan rasa gembira, tetapi seisi kampung diselubungi ketakutan sekiranya Tok Semilih datang jejak kaki ke rumah.
Keputusan Resat Tempang mahu membunuh Tok Semilih bukan sekadar mahu selamatkan seisi kampung.  Dia sendiri malu dengan perbuatan sepupunya hingga keluarganya menjadi buah mulut di mana-mana.  Sebab itu Resat Tempang tetap mencuba.  Biarlah dia sendiri menjadi mangsa Tok Semilih sekiranya gagal membunuhnya.
Sewaktu sampai di tengah halaman rumah Tok Semilih menggalas senapang ayah mentuanya Tok Penghulu, dia menyeru sepupunya supaya turun ke tengah halaman.  Ketika ini dia nampak Tok Semilih memangku cucu di serambi rumah menunggu tetamu dataang berhari raya.
“Naiklah Resat, mana isteri awak?”  pelawa Tok Semilih menjengah dari tingkap.
“Kawan bukan nak beraya, kawan nak bunuh awak!”  sahut Resat Tempang menunjukkan senapang yang digalasnya.
“Jangan awak cari nahas, Resat,”  terkekeh-kekeh Tok Semilih ketawa mengejek sepupunya.  “Kalau Tok Kumbah kawan kalahkan apa sangat dengan awak?”  semakin angkuh dia apabila ungkit fasal kemampuannya menewaskan Tok Kumbah.
Memang tidak siapa pun berani berdepan dengan Tok Kumbah tatkala Suri dilarikan.  Setelah Suri menjadi isterinya kenapa pula Resat Tempang berani mencabarnya?  Lagi pun tentu Resat Tempang tahu sepanjang malam santak subuh di bertikam dengan Mat Kasan sampai sumbing mata keris lawan apabila ditusuk ke tubuhnya.
Masakan Resat Tempang tidak tahu tubuhnya tidak lut senjata besi. Kenapa tiba-tiba sahaja Resat Tempang berani menentangnya tatkala balik ke kampung menyambut hari raya?  Dia satu-satunya yang dapat menewaskan Tok Kumbah yang digeruni di seluruh pelusuk daerah.
Siapa sahaja cuba menentangnnya nescaya akan diserbu tebuan sakti beribu-ribu hingga lawannya menggelepar tidak sampai sepuluh minit.  Jumbang tunang Suri sendiri menemui ajal akibat diserbu tebuan sakti yang boleh dikerah oleh Tok Kumbah.
Bukan takat tebuan sakti sahaja menjelma, tetapi Tok Kumbah juga boleh menerpa dengan menjelmakan dirinya menjadi harimau belang.  Kesaktian Tok Kumbah itulah yang ditakuti oleh sesiapa sahaja di seluruh pelusuk daerah.  Sebab itu anaknya Mat Kasan berani larikan anak Tok Penghulu sekali pun sudah bertunang dengan Jumbang.
Tetapi kesaktian “Tok Kumbah tidak juga bertahan lama apabila dia dapat ditewaskan oleh Tok Semilih.  Mat Kasan yang mewarisi kesaktian ayahnya juga menerima nasih yang sama, setelah tulang ketingnya ditetak oleh Tok Semilih.  Dapat juga Tok Semilih mencari kelemahan Mat Kasan yang tidak dapat ditewaskan selagi tulang ketingnya tidak ditetak.
“Kalau kebal Tok Kumbah tak kekal, maknanya kebal awak pun tak kekal, Tok Semilih,”  laung Resat Tempang dari tengah halaman terus mencabar sepupunya itu.
“Fikir baik-baik Resat, tak sayang ke, tinggalkan isteri awak yang cantik?”  sengaja Tok Semilih mengejeknya biar Resat Tempang sedar nasib Suri sekiranya tewas.  Dia tahu tentu Resat Tempang membuat kerja sia-sia mahu menewaskan.
Tentu Resat Tampang sekadar mendengar acuman orang lain mengenai kebalnya boleh dilemahkan oleh senjata emas.  Tetapi Tok Semilih dapat mengagak Resat Tempang akan terperangkap.  Kebal yang diamalkan ada bermacam-macam hingga tidak mudah ditewaskan oleh lawan.
Lainlah kalau kebal disebabkan mandi apung, mudah sahaja tewaskan atau dihembat dengan batang keladi.  Kalau kebal susuk besi, Tok Semilih tahu mencari lemahnya dengan menetak tulang keting seperti dialami oleh Mat Kasan.  Kebal susuk emas memang boleh ditewaskan dengan tembakan peluru emas di bahagian pusat sahaja.
Tetapi kebal yang dimilikinya memang raja susuk yang tidak akan lut sekali pun peluru emas ditembakkan ke pusat.  Cubalah, Resat Tempang tembakkan peluru emas itu ke pusatnya sudah tentu akan melantun bagaikan bola getah dihantuk ke dinding.
“Kalau awak fikir kebal awak tu kekal, jauhkan budak di riba awak,”  sambut Resat Tempang nekad mahu menembak Tok Semilih dengan senapang gunakan peluru emas.
Setelah dicabar oleh Resat Tempang memang marah benar Tok Semilih.  Segera dia jauhkan cucunya lantas mara ke kepala tangga di pintu serambi.  Ketika ini sanak saudara bersembunyi di sebalik pokok-pokok dan di balik pintu rumah masing-masing, sebaik sahaja Resat Tempang menggalas senapang ke rumah Tok Semilih.
Sewaktu menjengah ke tengah halaman dia melihat Resat Tempang berdiri di atas tempurung dengan kaki tidak jejak ke bumi.  Belum sempat Tok Semilih menuruni tangga, Resat Tempang melepaskan tembakan peluru emas ke pusat Tok Semilih yang hanya memakai kain sarung tidak berbaju.
Tembakan Resat Tempang yang tepat mengenai sasaran menyebabkan Tok Semilih jatuh terlentang berlumuran darah di kepala tangga.  Dia sedar Resat Tempang tahu kelemahan susuk raja yang dipakainya apabila berdiri di atas tempurung kelapa dengan kaki tidak jejak ke tanah.  Saat ini kebal yang dimilikinya juga tidak kekal dapat bertahan.  Siapa lagi yang membocorkan rahsia kebalnya kalau bukan kawan yang sama seguru?
“Tok Semilih mati juga di tangan Resat Tempang, cikgu,”  Ali Dengkot bersemangat menceritakan pada Cikgu Limin setelah menziarahi kubur lama yang dikatakan milik Tok Semilih.
“Ustaz ni bukan percaya sangat dengan ilmu kebal, abang Ali,”  sengaja Cikgu Limin mengusik spabila mengerling kearah saya.
“Saya hanya dengar cerita orang tua-tua, ustaz,”  jelas Ali Dengkot kerana bimbang saya akan menuduhnya berdusta mengenai kebal susuk raja yang digunakan oleh Tok Semilih.
Saya menunduk tersengih-sengih disebabkan Cikgu  Limin mengusik demikian.  Tidak pernah pula saya beri tahu tidak percaya mengenai ilmu kebal yang diamalkan oleh Tok Semilih.  Tetapi Cikgu Limin sendiri menyedari ilmu kebal berkenaan tidak juga mampu pertahankan diri Tok Semilih atau Tok Kumbah.
Mereka tewas juga di tangan lawan setelah Allah izinkan.  Tidak siapa pun yang boleh menandingi ilmu Allah, hatta amalkan kebal susuk raja yang tidak boleh ditewaskan oleh lawan.  Tentu Resat Tempang tidak berupaya mahu mewaskan Tok Semilih, tetapi Allah izinkan tembakan peluru emasnya melemahkan lawan.
“Saya hanya bergurau, abang Ali,”  segera Cikgu Limin memintas setelah menyedari Ali Dengkot tersinggung juga apabila diberi tahu saya tidak pecaya dengan amalan kebal nenek moyangnya.  Memang dia keturunan Tok Semilih juga.
Sekali pun kematian Tok Semilih disebabkan aib keluarga, namun Ali Dengkot bangga juga dengan kehebatan Tok Semilih.  Dia tidak bimbang mengakui dirinya keturunan Tok Semilih yang menyebabkan seisi keluarga aib.  Perkara Tok Semilih yang melakukan kesalahan, tidak ada kena mengena dengan keturunannya sekiranya mereka tidak melakukan perbuatan mengaibkan keluarga.
“Mayat Tok Semilih pun menggerunkan orang,”  jelas Ali Dengkot kenangkan cerita arwah datuknya mengenai Tok Semilih selepas mati ditembak oleh Resat Tempang.
Sebaik sahaja mayatnya dibujurkan, tiba-tiba saja mayat itu berpusing menelungkup.  Belum sempat dibujurkan semula, kulit belakangnya ditumbuhi bulu belang kuning laksana harimau di tengah hutan.  Terpaksa pula diberi tahu Uda Sahun dan Resat Tempang mengenai perubahan mayat tersebut.  Setelah dibacakan Yasin oleh Uda Sahun, mereka terbalikkan semula mayat Tok Semilih biar terbujur menelentang.
Sebaik sahaja diterlentangkan mayatnya, mereka mendengar kerengkungnya berbunyi seperti harimau menderam.  Pelupuk matanya juga tiba-tiba terbeliak hingga terjegil bagaikan terlalu marah.  Puas dibacakan al-Fatihah oleh Uda Sahun dan diusapkan tangan, namun mata mayat tidak juga tertutup.
Memang mengerunkan mereka mahu uruskan mayat untuk dimandi disebabkan tidak boleh dibujurkan terlentang.  Asal sahaja diterlentang mayat nescaya kerengkungnya berbunyi seperti deram harimau.  Kemudian perlahan-lahan mayat berpusing tertangkup hingga deram harimau dikerengkungnya hilang.  Tetapi bulu di belakangnya meremang tegak sama seperti harimau mati ditembak.
“Tentu kamu yang tahu rahsianya, Resat,”  Tok Penghulu lantas mendesak menantunya.  Disebabkan Resat Tempang yang tahu rahsia kelemahan kebal Tok Semilih, tentulah dia juga yang tahu kenapa mayat berkenaan menggerunkan.
Selagi mayat itu tidak dipulihkan tentu mereka tidak boleh mandi dan kapankan.  Bunyi deram harimau di kerengkung mayat pun sudah cukup menggerunkan, apa lagi mahu mandi dan kapankan mayat.  Cuma Resat Tempang dan Uda Sahun sahaja yang berani menyentuh mayat apabila berpusing menelungkup.
Terpaksa Resat Tempang mengakui dia berpindah ke Pahang setelah meninggalkan kampung halaman.  Di situ dia menemui Itam Bawar yang sama seguru dengan Tok Semilih.  Kalau tidak disebabkan Itam Bawar memberi petua mahu menewaskan Tok Semilih, memang Resat Tempang tidak berani mencabar sepupunya itu.
Setelah Tok Semilih mati ditembak manalah Resat Tempang tahu mahu pulihkan semula mayatnya.  Sebab itu dia terpaksa juga balik ke Pahang menjemput Itam Bawar.  Tidak bertangguh malam itu juga dia balik ke Pahang semata-mata mahu memberi tahu Itam Bawar mengenai perubahan mayat berkenaan.
Sepanjang malam itu pula mereka biarkan sahaja mayat Tok Semilih tertangkup kerana berasa gerun dengan kerengkungnya menderam bagaikan harimau di tengah hutan.  Biarlah mayat itu tertangkup asal sahaja tidak berbunyi kerengkung.
Lagi pun mayat Tok Semilih akan berpusing sendiri dengan mengereng perlahan hingga tertangkup sekiranya dibujurkan terlentang.  Tidak pernah mereka mengalami kejadian demikian menyebabkan terasa gerun dengan keadaan mayat tersebut.  Apa lagi dengan mata terbeliak laksana harimau merenung mangsa.
Hampir matahari tegak di kepala baru Resat Tempang balik semula ke kampung dari Pahang.  Sebaik sahaja Itam Bawar dibawa menatap mayat Tok Semilih perlahan-lahan dia mengesat pelupuk matanya.  Hiba benar dia melihat keadaan kawan baiknya yang menerima nasib mati akibat dibunuh disebabkan kekejamannya.
“Awak salah bawa ilmu tok guru, Semilih,”  keluh Itam bawar setelah membujurkan mayat terlentang.
Ketika ini kerengkung mayat berbunyi kuat mendehem laksana harimau tengah hutan.  Lantas Itam Bawar meminta peluru emas yang ditembakkan ke pusat Tok Semilih.  Memang peluru emas yang ditembakkan oleh resat Tempang hanya butang baju diperbuat daripada emas sahaja.
Setelah dimasukkan peluru emas itu ke mulut mayat barulah kerengkungnya tidak menderam lagi.  Kemudian dia memanggil isteri Tok Semilih sapukan hujung teteknya ke mata mayat yang terbeliak menggerunkan.  Tujuh kali disapukan barulah mata berkenaan tertutup rapat semula.
Sewaktu Itam Bawar memulihkan semula mayat Tok Semilih beristighfar panjang Uda Sahun kerana semuanya memilukan perasaan.  Itam Bawar juga meminta isteri Tok Semilih meniarap ke atas mayat semasa dia membacakan jampi menteranya sehingga bulu belang kuning yang tumbuh di badan mayat luruh ke lantai.
Apabila mayat dapat dipulihkan, barulah Itam Bawar memegang bahagian bahu mayat dengan membacakan: 
Qola haza rahmatum min-rabbi fa-izaja-a wa’du rabbi ja’alahu dukka-a wakana wa’du rabbi haqqo.
Kemudian perlahan-lahan dia mencabut dari bahu berkenaan benang kasar tujuh helai laksana misai harimau,  Setelah benang itu dicabut oleh Itam Bawar seluruh tubuh mayat berubah menjadi lebam.  Tidak bertangguh Itam Bawar menyuruh mandi dan kapankan sahaja mayat sebelum berbau busuk.
“Tidak ada yang mustahil kalau Allah mahu lakukan,”  keluh Uda Sahun setelah urusan mandi dan kapankan mayat Tok Semilih selamat disempurnakan.
Selepas kematian Tok Semilih penduduk-penduduk kampung tidak bimbang apa-apa lagi.  Tetapi Resat Tempang berpindah juga ke Pahang mengikut Itam Bawar.  Dia tidak mahu menetap di kampung halamannya setelah melalui kejadian yang mengaibkan itu.
Sebelum balik ke Pahang memang Itam Bawar mengakui di depan Tok Penghulu dia sama seguru dengan Tok Semilih.  Mereka berdua sama-sama belajar ilmu kebatinan di tengah pulau bertapa dengan berdiri di atas tempurung kelapa biar kaki tidak jejak ke bumi.  Susuk raja seolah-olah benang kasar laksana misai harimau itu ditusukkan sendiri  oleh tok guru ke tubuh Tok Semilih biar menjadi kebal tidak lut oleh senjata besi.
Siapa pun tidak tahu rahsia kelemahan Tok Semilih kecuali Itam Bawar satu-satunya kawan karib dia.  Tetapi Itam Bawar ingatkan dia supaya tidak menganiaya orang lain.  Sekiranya Tok Semilih lakukan perbuatan aniaya nescaya Itam Bawar akan bukakan juga rahsia kekebalannya.
Semasa balik berperahu dari tengah pulau nasib mereka berdua ditimpa malang.  Ribut kencang yang turun menyebabkan kebal mereka diuji oleh Allah Subhanahu Wataala.  Apalah maknanya kebal tidak lut oleh senjata sekiranya mereka tenggelam di tengah ombak laut bergelora.
Apabila terdampar di pantai, Itam Bawar mula menyedari kebal yang dimiliknya tidak bermakna apa-apa kalau tenggelam di tengah air.  Ketika ini mereka berdua sudah dipisahkan oleh kejadian perahu dilambung ombak.  Tok Semilih sudah dapat mengagak kawannya itu mati ditenggelamkan ombak tatkala perahu mereka diserbu rebut kencang.  Dia balik ke kampung halaman dengan tidak pernah mendengar lagi kemana hilangnya Itam Bawar.
Kalaulah Resat Tempang tidak beri tahu Itam Bawar sebab-sebab dia berpindah ke Pahang, memang Itam Bawar juga menyangka kawannya hilang di laut.  Tetapi dia mengambil keputusan tidak mahu menemui Tok Semilih disebabkan kekejamannya sudah melampaui batas.
“Saya memang tertarik cerita macam ni, abang Ali,”  berulang kali Cikgu Limin memberi tahu disebabkan dia gemar kisah-kisah di masa lampau.  “Ustaz ni bukan minat sangat perkara kesaktian macam ni,”  tersengih-sengih dia mengerling saya.
Tahu sangat saya Cikgu Limin akan bertanya kepada orang tua-tua mengenai kisah di masa lalu.  Sengaja dia mengajak saya menemui Ali Dengkot semata-mata mahu mengetahi kisah kekebalan Tok Semilih.  Tetapi saya tetap menyedari padah yang ditanggung oleh Tok Semilih, sekali pun dia dipercayai mempunyai ilmu kebal yang digeruni oleh orang-orang kampung.

SELESAI





No comments:

Post a Comment