Sunday, November 8, 2015

149. BULU ROMA MEMERCIK DARAH



MEMANG kejadian di yang berlaku ketika menembak ayam hutan hinggap pada akar berbelit pada pokok beringin tidak boleh dilupakan sampai bila-bila pun, tetapi Pak Tua Mahat tidak pernah serik. Dia tetap akan galas senapang mengendap di sebalik belukar pinggir hutan harapkan ayam denak mengekas di mana-mana. Dia akan bedek tidak bertangguh laras senapang sebaik sahaja ayam denak galak mengekas di tanah.
Belum pernah tembakan Pak Tua Mahat tidak menyinggahi sasaran setiap kali dia membedek laras senapang. Tatkala letupan bergema nescaya ayam denak tengah mengekas akan terpelanting hingga bulu bertaburan ke udara. Cepat-cepat pula Pak Tua Mahat menghunus parang terus menyembelih tidak bertangguh.
Pantang sahaja Pak Tua Mahat terdengar kokok ayam hutan sayup-sayup di sebalik belukar di pinggir hutan, bila-bila dia akan menerpa ke dalam biliknya. Lantas sahaja dicapai senapang yang disembunyikan di situ terus digalas meranduk belukar. Pak Tua Mahat terhendap-hendap mengesan bunyi kokok ayam hutan yang nyaring. Dia akan pastikan sama ada ayam berkenaan tengah mengekas atau bertenggek pada akar yang berbelit merentang di dahan pokok
Disebabkan menembak ayam hutan bertenggek pada akar merentang dahan itulah Pak Tua Mahat mengalami kejadian anaknya Lajis berumur lima tahun tiba-tiba terkejang tidak sedarkan diri. Belum sempat nenek beritahu Dukun Samid, mereka melihat keadaan Lajis bagaikan mayat terbujur. Sebab itu Dukun Samid bujurkan Lajis Iaksana mayat kaku di tengah rumah.
Tatkala Pak Tua Mahat balik ke rumah menjinjing ayam hutan siap disembelih selepas pagi lagi mengendap di sebalik belukar, tidak bertangguh emak mentuanya Utih Lisah membentak marah. Lantas Utih Lisah tuduh disebabkan ayam denak berpuaka ditembak Pak Tua Mahat badi menimpa Lajis.
Kalau tidak dileraikan oleh Dukun Samid, hampir juga Utih Lisah bercekak dengan nenek. Terkilan juga nenek apabila Utih Lisah ungkit keluarga Pak Tua Mahat disebabkan asyik dengan berburu binatang hutan. Macam-macam mala petaka menimpa apabila badi binatang hutan mencari geruh keluarga mereka.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak bercakap sepatah pun apabila Utih Lisah membentak marah tatkala dia balik menjinjing ayam hutan siap disiap disembelih. Terus sahaja Pak Tua Mahat ke dapur menjerang air untuk merendam ayam berkenaan dengan air panas. Mudah sahaja dicabut bulu ayam siap disembelih itu setelah direndam air panas tengah menggelegak.
Dalam masa yang sama juga dia tanak sampai kering air. Apabila bara kayu ditolak ke bawah periuk biar nasi ditungku cepat masak, Pak Tua Mahat selesai menyiang ayam. Cepat-cepat pula dia meranduk belukar di belakang rumah mencari nenas muda buat rencah gulai ayam berkenaan.
Dia tidak peduli fasal jiran-jiran berkumpul di rumahnya setelah diberitahu mengenai Lajis meninggal dunia. Tiba-tiba sahaja Lajis terjerit sewaktu berlari-lari di tengah halaman bermain gasing. Dia terhuyung hayang memegang lehernya sambil tangan melambai-lambai memanggil emaknya. Ketika dicadung dibawa naik ke rumah, tubuh Lajis sudah lembik tidak bertenaga. Setelah diberitahu pada nenek, memang terkejut juga dia apabila cucunya tengah galak bermain tiba-tiba terkejang tidak sedarkan diri. Sewaktu Dukun Samid menjengah, mereka melihat Lajis sudah terkejang Iaksana mayat.
"Mahat ke mana?" Dukun Samid memerhati keliling apabila Pak Tua Mahat tidak nampak kelibat.
"Mengendap ayam denak di kaki bukit," sahut Mat Tua Yam mengagak disebabkan dia nampak suaminya menggalas senapang sewaktu menuruni tangga. Memang tidak pernah Pak Tua Mahat beritahu apa-apa setiap kali dia turun menggalas laras senapang.
"Emmm, tak sempat nak tunggu dia balik!" keluh Dukun Samid setelah keadaan Lajis kaku tidak bergerak apa-apa.
"Tak habis-habis nak berburu," gerutu Utih Lisah apabila kenang menantunya tidak boleh ditegah asal sahaja membuat keputusan mahu berburu ke hutan.
"Dah kegemaran dia begitu, kita nak cakap ape" ujar Dukun Samid tersengih-sengih mengerling Utih Lisah. Dia tahu perempuan itu sekadar merungut kerana bimbang badi binatang hutan, tetapi setiap kali Pak Tua Mahat balik menjinjing ayam siap disembelih, Utih Lisah juga sama menjamah sampai menghirup kuah.
Tetapi tatkala Pak Tua Mahat balik sewaktu matahari tegak di kepala, tiba-tiba sahaja Utih Lisah memberang. Dia tidak dapat menahan sabar sebaik sahaja diberitahu cucunya Mat Lajis terkejang kaku tidak bergerak. Jiran-jiran sudah membaca Yasin setelah Dukun Samid menyuruh bujurkan di tengah rumah.
Manalah dia dapat menahan sabar apabila jiran-jiran beritahu Lajis mati mengejut disebabkan badi ayam hutan. Tentu Pak Tua Mahat menembak ayam bertenggek pada akar merentang dahan pokok beringin. Tahu sangat Utih Lisah mengenai badi ayam hutan apabila sudah bertenggek pada akar merentang demikian.
Sengaja Pak Tua Mahat diamkan diri apabila emak mentuanya berleter panjang. Siap sahaja dia bertanak nasi segera dihidangkan dalam dulang. Dia senduk gulai ayam hutan masak lemak kuning direncah nenas hutan muda. Hairan juga jiran-jiran melihat Pak Tua Mahat menatang dulang hidangan itu ke sisi Lajis yang terkejang dibujurkan.
Tiga kali dihembusnya ubun-ubun Lajis, dia mengisar duduk tiga kali juga. Kemudian Pak Tua Mahat memanggil anaknya bagaikan mengejut Lajis tengah tidur nyenyak. Memang Lajis bingkas bangun terpisat-pisat mata laksana terkejut tidur hingga terpinga-pinga tidak menentu.
Setelah disuruh ayahnya menjamah hidangan segera Lajis mencedok nasi ke pinggan. Berselera sangat dia menjamah gulai ayam hutan yang dimasak ayahnya. Terkebil-kebil mata Utih Lisah melihat kejadian itu seolah-olah tengah bermimpi. Masakan cucunya terkejang kaku macam mayat dibujur, tiba-tiba sahaja bingkas bangun apabila disuruh Pak Tua Mahat menjamah makan.
"Aku dah cakap, Mahat tahu apa dia nak buat!" ujar Dukun Samid macam mengejek adiknya Utih Lisah gelabah tidak menentu.
"Tapi, kita semua ni cemas," keluh Utih Lisah menggeleng Iemah memerhati Lajis tersengih-sengih menghirup kuah gulai.
"Cemas kita tak sama dengan cemas Mahat," beritahu Dukun Samid disebabkan perempuan itu mudah sangat menuduh menantunya tidak pedulikan anak terkejang kaku.
Tetapi kejadian bertahun-tahun itu memang Lajis tidak tahu apa-apa. Manalah dia boleh ingat sangat kejadian ketika dia berusia lima tahun. Biarlah emak dan neneknya ungkit berulang kali, dia sekadar tersengih-sengih sahaja. Lajis tidak percaya dia sudah jadi mayat terbujur tatkala dikejutkan ayahnya bangun menjamah makanan.
Tentu jiran-jiran terkeliru ketika itu hingga menyangka dia terkejang mati, dalam masa pengsan tidak sedarkan apa-apa. Perkara syaitan mahu mengelirukan tentu mudah memerangkap sesiapa sahaja jika tidak memahami keadaan sebenarnya. Sebab itu Lajis tahu ayahnya tidak mudah mengalah hingga tergamak kebumikan dirinya yang dilihat macam mayat terbujur.
Setiap kali Lajis masuk ke hutan memasang jerat memang emaknya Mak Tua Yam ungkit kejadian bertahun-tahun dulu. Dia tidak mahu Lajis terkena badi binatang hutan hingga mengalami mudarat berterusan.
"Kamu jangan cakap perkara yang kamu tak tahu!" gerutu Pak Tua Mahat apabila isterinya sengaja meleteri Lajis masuk ke hutan. Tentu Lajis juga mampu mewarisi kebolehan dia berburu binatang hutan apabila mengendap tengah belukar.
Tetapi Lajis sama juga macam Pak Tua Mahat. Dia akan berdalih tidak mahu ke hutan asal sahaja saya beritahu mahu ikut dia sama berburu. Memang apabila menjengah balik ke kampung saya akan desak Lajis mahu ikut sama sekiranya dia bersiap-siap mengajak Junoh atau Mat Derih masuk ke hutan.
"Kalau aku nak pergi, nanti aku singgah di rumah Pak Lang panggil Angah," Lajis memberikan janjinya akan memanggil saya ke rumah ayah saya.
Hingga santak petang saya menunggu Lajis tidak akan datang menjengah. Apabila saya jejaki dia ke rumah Pak Tua Mahat, memang saya sudah mengagak dia terus sahaja ke hutan bersama Junoh dan Mat Derih. Esoknya pagi lagi tatkala matahari baru memancar dia akan singgah di tangga rumah ayah saya. Lantas sahaja dihulur seekor pelanduk siap disembelih
  "Lajis kata, kalau ustaz ikut kami tak dapat binatang buruan," tersengih-sengih Mat Derih beritahu dengan tidak mahu naik ke rumah meneguk air. Mereka mahu segera balik rebahkan badan disebabkan mengantuk sangat semalaman tidak tidur langsung.
 'Ustaz jangan kecil hati pula," lantas Junoh pula memujuk kerana menyangka saya berkecil hati tidak dapat ikut sama. Apa sangat saya mahu berkecil hati sekiranya tidak payah berpenat Ielah, tetapi mereka hulurkan juga pelanduk siap disembelih untuk dimasak rendang.
"Buat apa Angah ke hutan, biar kami aje yang berburu," sahut Lajis pula menatap muka saya.
"Kamu percaya dengan perkara tahyol?" sengaja ayah saya menyindir apabila Lajis percaya sangat seekor binatang pun tidak melintas sekiranya saya ikut sama berburu ke hutan.
Lajis tidak menyahut apa-apa. Dia tersengih-sengih sahaja meninggalkan halaman rumah setelah masing-masing mendapat habuan. Memang jarang Lajis masuk ke hutan dengan tangan kosong apabila balik ke rumah. Segala kemahiran ayahnya bagaikan tumpah pada dirinya apabila berburu ke hutan.
Semenjak umurnya belasan tahun lagi Lajis sudah biasa ikut ayahnya berburu meranduk belukar hutan. Dia tahu mengenai kebolehan ayahnya boleh tidur nyenyak sewaktu berjalan di hutan hingga bersenar. Tidak perlu Pak Tua Mahat berhenti menyandar belakang pada banir pokok sekiranya terkuap-kuap menahan rasa mengantuk.
Tetapi dia segera memberi isyarat bersedia sebaik sahaja tercium bau rusa melintas. Dalam masa beberapa minit sahaja mereka akan nampak rusa terjengah-jengah kepala mencari daun pucuk ludai di pinggir Iembah. Belum sempat rusa berkenaan meragut pucuk ludai nescaya dentaman peluru senapangnya menggerutup di tengah malam.
Sekaligus rusa yang ditembak akan terhuyung hayang merempuh belukar, kemudian tergolek di tanah menendang-nendang angin. Lajis tahu sekiranya diganggu badi puaka hutan seperti dialami oleh ayahnya Pak Tua Mahat. Tiba-tiba sahaja rusa ditembak bertukar menjadi lelaki Cina tua berpakain serba hitam merengek-rengek meminta tolong.
Tetapi Pak Tua Mahat tidak mudah dikelirukan puaka hitam yang jelmakan rusa berkenaan menjadi lelaki Cina tua. Lantas Pak Tua Mahat kisar tumitnya ke tanah tiga kali, terus memangkas anak-anak kayu sebesar lengan. Dia menyuruh Junoh cancangkan kayu berkenaan di keliling lelaki Cina tua tergolek hingga empat penjuru. Kemudian Pak Tua Mahat mengisar tapak tangan dengan mem-bacakan:
Bismillahhi masya Allah layasuqul hairu illallah, bismillahhi masya Allah la-yosriful su-i illallah, bismillah-hi masya Allah makana min-ni'matin faminallah, bis-millahhi masya Allah layati bilhasnata bismillahhi masya Allah la-haula wa-la qauwata illa billah.
Apabila Pak Tua Mahat mencapai ikat kepalanya kain berwarna hitam panjang sedepa, lantas dikibas tujuh kali pada tubuh lelaki Cina tua yang merengek-rengek di tanah. Setelah dikibas nescaya lelaki Cina tua itu akan ditumbuhi bulu tegak hingga memercik darah. Ketika ini ianya jadi berbayang-bayang sampai bertukar semula menjadi rusa terkial-kial kaki menendang angin.
Memang Junoh juga mengalami kejadian tatkala ke hutan bersama Pak Tua Mahat apabila rusa yang ditembak bertukar menjadi lelaki Cina tua tergolek berlumuran darah. Tetapi semenjak berkali-kali ikut Lajis ke hutan belum pernah pula Junoh mengalami kejadian demikian. Bukan takat rusa sahaja dibedek Lajis dengan laras senapang, malah kijang yang dituduh lebih keras badi puakanya pun ditembak tidak bersisa. Sebaik sahaja kijang tergolek di tanah tidak boleh angkat kepala segera Lajis hunus parang di pinggang. Dia sendiri sorong mata parang pada leher binatang berkenaan sebelum terkejang mati tidak berguna. Lajis tidak benarkan Junoh sembelih kijang yang ditembak sekalipun lelaki itu lebih berpengalaman daripadanya fasal berburu di hutan.
"Mana nak sama pengalaman ayah kalau bandingkan dengan aku!" tutur Lajis mengerling saya sewaktu saya sampai bersama Pak Tua Mahat di rumahnya. Sebaik sahaja diberitahu Ulung Kamis bapa mentuanya ditemui tidak sedarkan diri di pinggir hutan, lantas sahaja jiran-jiran terkilan kerana Lajis tidak berikhtiar membantu.
Seisi kampung tahu mengenai dirinya mampu mengikuti jejak ayahnya Pak Tua Mahat kalau sesiapa diganggu puaka hutan. Tetapi Pak Tua Mahat sudah tidak galak lagi meranduk belukar hutan berburu setelah Lajis diberikan laras senapang miliknya. Biarlah Lajis masuk ke hutan memanggul laras senapang berkenaan memburu binatang liar.
Apa lagi Ulung Kamis juga gemar ke hutan kalau memasang jerat di mana-mana lorong. Tetapi tidak pernah dia ke hutan bersama dengan menantunya Lajis. Memang Ulung Kamis ke hutan tidak sama dengan Lajis apabila meranduk belukar. Dia masuk ke hutan mencari rotan setelah peraih di tengah menunggu kampung.
Dia akan mencari denai memasang jerat ketika menetak rumpun rotan sebelum dipunggah keluar. Apabila masuk semula ke hutan keesokan paginya cepat-cepat Ulung Kamis menjengah jerat yang dipasang. Kalau jerat mengena sudah tentu pelanduk akan tergantung dengan kepala cecah ke tanah.
Apabila Ulung Kamis cam kijang akan melintas ilunai, dia akan pangkas hujung anak kayu sebesar lengan biar mudah dilentur jadi pelantik. Dawai kasar akan ditanjul pada hujung anak kayu berkenaan sampai empat lima lembar dipilin kuat. Kijang yang terjerut kaki tidak akan terlepas sebaik sahaja jerat menyambar bingkas.
"Memang dia ke hutan gemar seorang diri!" jelas isterinya Mak Sibah memberitahu menatap muka suaminya Ulung Kamis terkejang tidak buka mata sebenang pun.
Kesal juga dia perangai Ulung Kamis tidak mahu berkawan-kawan apabila masuk ke hutan. Hinggalah beberapa orang Gina dari pekan kecil berburu babi terserempak Ulung Kamis tersandar pada banir pokok leban memeluk gelung rotan yang diheret dari hutan. Mulutnya berbuih-buih dengan dagu bertupang pada lutut sewaktu Ah Fook bersama kawan-kawannya menemui Ulung Kamis.
Tidak bertangguh Ah Fook angkat naikkan ke atas basikal, kemudian mengusungnya balik ke tengah kampung. Tetapi Lajis tidak terburu-buru menghantar bapa mentuanya ke hospital sekalipun Ah Fook mendesaknya dalam keadaan cemas. Memang sudah lama juga Ah Fook berkawan dengan Ulung Kamis, disebabkan lelaki itu sering keluar ke pekan kecil terconggok minum di kedai kopi.
"Awak kena hantar cepat ke hospital," desak Ah Fook setelah Ulung Kamis diusung naik ke rumah.
"Tak apalah Ah Fook, kita kena tanya dulu anak-anak dia," sahut Lajis terharu dengan bantuan yang diberikan Ah Fook kepada ayahnya. Kalau tidak Ah Fook bersama kawan-kawannya membantu usung balik ke kampung, tentu sampai santak maghrib bapa mentuanya tidak menjengah balik.
"Ulung Kamis sudah sangat teruk, jangan tunggu lagi," ujar Ah Fook ingatkan Mak Sibah yang terkemamar tidak ketahuan dengan kejadian yang menimpa suaminya.
Kalau tidak kenang keluarga Ulung Kamis menghalang, bila-bila Ah Fook akan bawa Ulung Kamis ke hospital. Memang dia cemas dengan keadaan Ulung Kamis terkejang hingga mulut berbuih-buih.
Setelah dua hari Ulung Kamis terkejang itulah saya datang menjengah bersama Pak Tua Mahat. Sudah berturut-turut dua malam Lajis bacakan Yasin bersama keluarga isterinya setelah melihat keadaan bapa mentuanya semakin tenat. Mereka semua mengambil keputusan tidak mahu membawa Ulung Kamis ke hospital disebabkan orang tua itu sudah tidak boleh diharapkan apa-apa untuk menyelamatkannya.
Dalam masa Ulung Kamis terkejang inilah, Mak Sibah terkejut apabila Maaleh dari Jerantut tiba-tiba menjengah. Maaleh mengaku memang Ulung Kamis ayahnya ketika berkhidmat di Jerantut. Siapa pun tidak tahu mengenai isteri Ulung Kamis di Jerantut hingga Mak Sibah sendiri tidak menyedari dirinya ber-madu. Sekalipun beberapa kali dia ke Jerantut, tetapi Ulung Kamis sekadar beritahu dengan berdalih ke tempat lain.
Satu-satunya yang tahu mengenai isteri Ulung Kamis di Jerantut memang Pak Tua Mahat. Sengaja dia rahsiakan daripada Mak Sibah kerana bimbang perempuan itu akan membentak tidak peduli apa-apa. Tahu sangat dia mengenai perangai Mak Sibah mudah sahaja panas baran hingga sanggup mencapai parang.
Sebab itu ,Ulung Kamis sanggup berahsia tidak mahu beritahu mengenai isterinya di Jerantut. Tatkala Ulung Kamis terkejang tidak bertangguh Pak Tua Mahat beritahu Maaleh supaya segera menjengah. Memang Maaleh tidak bimbang apa-apa mengajak emaknya Andak Leha ikut sama menjengah setelah diberitahu oleh Pak Tua Mahat.
"Maaleh ni anak Kamis yang di Jerantut," Pak Tua Mahat jelaskan pada Mak Sibah biar perempuan itu bersabar sebaik sahaja diperkenalkan pada Andak Leha.
Menggertap bibir juga Mak Sibah apabila menyedari suaminya berkahwin lain. Kalau tidak kenang Ulung Kamis terkejang tidak sedarkan diri, tentu dia akan membentak lepaskan geram yang mendongkol. Tetapi dalam saat demikian apalah gunanya mahu memberang lagi setelah Ulung Kamis tidak mampu memberikan apa-apa penjelasan.
"Patutlah selama ni selalu aje dia bersendirian ke mana-mana!" tutur Mak Sibah kesal apabila kenang suaminya tidak gemar berkawan-kawan kalau ke pekan kecil. Kadangkala tidak batik ke rumah dengan alasan dijemput orang berdukun hingga ke Terengganu.
Mak Sibah tidak syak apa-apa disebabkan Ulung  Kamis memang seringkali dijemput orang. Dia satu-satunya dukun yang diharapkan ubati penyakit sesiapa. Manalah Mak Sibah tahu mengenai Andak Leha dengan anaknya Maaleh juga sudah dewasa.
"Beristeri dua tu perkara biasa, Sibah," ujar Pak Tua Mahat memujuk supaya Mak Sibah tidak ikutkan sangat perasaan. Tetapi saya melihat dia menghembus perlahan ke muka Mak Sibah dengan membacakan:
Yuhibbu nahum kahubbillahhi wallazina a-manu asyaddu hubbanlillahi, zuiyina linnasi hubbusy syahawati minannisa-i walbania wal-qona thiril muqantharah.
Saya tersenyum mengerling Mak Sibah tersipu-sipu mengajak Andak Leha duduk bertimpuh di sisi suami mereka. Tiba-tiba sahaja Mak Sibah lupakan fasal Andak Leha bermadu dengannya. Memang bimbang juga Lajis sekiranya Mak Sibah membentak marah tatkala jiran-jiran berkumpul menghadap bapa mentuanya terkejang tidak sedar apa-apa.
"Nak buat macam mana sekarang ni, ustaz?" segera Mak Sibah mengerling ke arah saya setelah sama-sama duduk bertimpuh di sisi Ulung Kamis.
"Tak tahu saya, eloklah tanya Pak Tua," sahut saya serba salah apabila Mak Sibah sengaja mendesak.
"Angah dah ada, ayah pun dah ada, cubalah ikhtiar sama-sama," Lajis juga tidak sabar dengan keadaan bapa mentuanya termengah-mengah tidak buka mata sebenang pun.
"Maaleh pun ada, cuba-lah Pak Tua Mahat mencuit kepada lutut Maaleh yang terharu akibat sebak menusuk jiwanya.
"Saya ikut aje apa keputusan Abang Lajis," tutur Maaleh merendah sekalipun Pak Tua Mahat tahu mengenai lelaki itu tidak akan mengalah sekiranya didesak.
Sudah beberapa kali Pak Tua Mahat ke Jerantut bersama Ulung Kamis. Sebab itu tahu sangat dia mengenai Maaleh banyak mengetahui cara ayahnya berdukun. Dia tahu fasal membakar kemenyan lantas menyeru jelmaan yang datang tercegat di sisinya. Manala mereka yang terconggok di depannya tahu mengenai jelmaan yang berkeliling sisinya tatkala diseru selepas kemenyan dibakar.
Ketika ini jelmaan yan datang beratus-ratus laksana kain kasa terayun-ayun ditiup angin di udara, akan mematuhi apa sahaja perintah Maaleh. Memang Ulung Kamis turunkan amalannya kepada Maaleh setelah menyedari anaknya itu cekal menempuh apa sahaja ujian yang ditetapkan.
"Kamu seru tu memang kadam-kadam tertentu!" jelas Ulung Kamis apabila turunkan amalannya setelah Maaleh berhasrat sangat tnahu mempelajari.
Bila-bila Maaleh sanggup berpuasa berturut-turut tiga hari, lantas bangun tengah macam solat sunat tahajud. Biarlah bulu romanya meremang apabila bangun solat terasa ramai sangat makmum mengikuti di belakang bersaf-saf. Maaleh tidak bimbang apa-apa sekiranya bergema suara di belakang menuturkan Amin, sebaik sahaja selesai dia membaca aI-Fatihah.
Memang Pak Tua Mahat tahu tentu Maaleh boleh diharapkan dalam saat ayahnya terkejang demikian. Sebab itu dia desak juga Maaleh mara ke hadapan doakan Ulung Kamis tidak bergerak apa-apa, kecuali nafasnya sahaja mengombak-ombak di dada. Masakan Maaleh mahu mara kesisi ayahnya selagi Pak Mahat terconggok di situ. Siapalah dirinya apabila dibandingkan dengan Pak Tua Mahat yang Iebih berpengalaman.
Dia tetap kenang cerita ayahnya mengenai Pak Tua Mahat berburu ayam denak hingga Lajis kelihatan bagaikan mayat terbujur. Kalau tidak disebabkan kesabaran Pak Tua Mahat sudah tentu orang-orang kampung kebumikan Lajis yang mereka sangka sudah terkejang mati. Memang Maaleh tahu ayahnya sendiri pun mengakui tidak mampu menandingi pengalaman Pak Tua Mahat.
Ayahnya Ulung Kamis sekadar menyeru kadam-kadam tertentu menjelma di depannya. Bila-bila sahaja kadam berkenaan akan mematuhi perintah Ulung Kamis tatkala dia memerlukan. Tidak sama dengan Pak Tua Mahat yang lama belajar dengan Tok Aji sekadar berdoa memohon pertolongan Allah semata-mata.
"Kita minta Angah doakan Ulung Kamis ni," segera Pak Tua Mahat mengerling ke arah saya.
Apa sangat yang boleh saya doakan dalam saat Ulung Kamis terkejang sejak dua hari tidak sedarkan diri. Siapa pun tidak tahu bagaimana dia mengalami kejadian demikian. Mereka sekadar diberitahu Ah Fook apabila terserempak Ulung Kamis tersandar pada pokok leban dengan mulut berbuih-buih. Kalau Ulung Kamis diganggu sakit jantung kenapa sampai dua hari termengah-mengah tidak sedar apa-apa?
Ketika itu manalah orang-orang kampung tahu mengenai sakit jantung hingga terkejang tidak sedar diri dengan mulut berbuih-buih. Tentu Ulung Kami berasa dadanya sakit sewaktu mengheret rota banyak berlingkar. Sebaik sahaja nafasnya sesak dia terus bersandar pada banir pokok leban berkenaan.
Hinggalah Ah Fook temui dia tersandar pada banir pokok leban dengan  tubuh lemah di situ. Sebab itu Mak Sibah kesal dengan sikap Ulung Kamis tidak gemar berkawan dengan sesiapa sahaja. Tatkala masuk ke hutan pun dia tidak mahu siapa pun temankan. Mentang-mentang dirinya dukun, Ulung Kamis bagaikan tidak bimbang apa sahaja petaka menimpa.
Setelah Pak Tua Mahat menginsut punggung merapati Ulung Kamis, saya juga menggamit Lajis dan Maaleh biar sama-sama berdoa. Sebaik sahaja saya usap dada Ulung Kamis teru dibacakan:
 La-ilaha illallahh wallahhu akbar soddaqah rabbuhu faqola la ilaha ill ana wa-ana akbaru, wa-iz qola la-flaha illallahhu wah dahu l-syarikalahu faqol yaqulu la-ilaha ifla ana wah la-syarika li.
Ketika ini jiran-jiran mula berbisik akibat terkejut melihat bulu roma Ulung Kamis meremang hingga memercik darah. Apabila Mak Sibah dan Andak Leha lap dengan tuala cepat-cepat ditegah oleh Pak Tua Mahat. Segera dia memberi isyarat supaya Mak Sibah dan Andak Leha berundur ke belakang.
Ombak dada Ulung Kamis yang termengah-mengah mulai reda sebaik sahaja darah memercik laksana berpeluh seluruh badan. Pak Tua Mahat mengisar tapak tangannya hingga darah yang memercik pada bulu roma Ulung Kamis kering bagaikan dikesat dengan tuala.
Saya tidak peduli mengenai darah yang memercik pada bulu roma Ulung Kamis, tetapi terus membacakan:
Wa-iza qola la-ilaha illallahhu lahul-mulku walahul hamdu qola la-ilaha illa ana liyalhamdu waliyal mulku, wa-iza qola la-flaha illallahhu wala haula wala qauwata illa billahhi qola la-ilaha illa ana wala haula wala qauwata lla illabi.
Mengeluh panjang Lajis apabila melihat keadaan bapa mentuanya terkejang bagaikan rusa menggelepar sebaik sahaja dibedek kepala. Setiap kali dia membedek rusa galak melintas di tengah hutan bagaikan dia melepaskan tembakan ke arah kepala bapa mentuanya.
Bimbang juga Lajis kalau dituduh isterinya badi puaka hutan menimpa bapa mentuanya disebabkan dia seringkali berburu ke hutan. Manalah tahu keluarga isterinya akan tuduh sama macam neneknya Utih Lisah marahkan ayahnya.
"Kalau ayah ni diganggu puaka hutan, memang aku yang salah!" ujar Lajis menatap muka bapa mentuanya.
"Puaka hutan tak ada kuasa apa-apa, Abang Lajis," sahut Maaleh menepuk-nepuk bahu abang iparnya. "Perkara yang baik datang-nya dari Allah, yang buruk tu dari kita sendiri," tuturnya perlahan lantas mengerling ke arah saya.
Saya tidak menyahut apa-apa. Tetapi Pak Tua Mahat memberi isyarat supaya dibacakan Yasin. Ketika ini ombak dada Ulung Kamis semakin perlahan, hanya satu-satu sahaja berolak. Tidak bertangguh pula Mak Sibah dan Andak Leha mencapai surat Yasin di hujung kepala Ulung Kamis.

No comments:

Post a Comment