Sunday, December 13, 2015

154. MAYAT TIMBUL DI PERMUKAAN KUBUR



 BERKALI-KALI sudah diingatkan oleh Tok Aji amalan ilmu dunia memang untuk sementara sahaja. Sebab itulah saya beritahu Lahak mengenai cara dia mendapatkan Saerah menggunakan ilmu pengasih itu menyebabkan rumah tangganya sentiasa tidak tenteram. Ada sahaja yang tidak kena hingga seringkali bergaduh tidak menentu.
Apalah ertinya dapat menundukkan hati perempuan hanya seketika sahaja semasa amalan itu dapat mempengaruhi. Lama kelamaan amalan ilmu pe-ngasih itu akan luntur juga kerana ianya bersifat se-mentara.
Setiap kali saya diberitahu mengenai sikap beberapa orang kenalan mencari bomoh untuk meminta amalan ilmu pengasih ini, seringkali juga saya ingatkan hanya Allah sahaja yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tetapi mereka menganggap saya terlalu kolot sehingga tidak mahu menerima kenyataan yang berlaku sekarang.
Kalau mereka menemui Mat Jubin juga, mereka tetap berkecil hati kerana dia juga tidak akan melayani sesiapa sahaja fasal ilmu pengasih. Lainlah kalau rumah tangga mereka diganggu syaitan sehingga sampai dalam keadaan retak rnenunggu belah. Bila-bila Mat Jubin sanggup berusaha biar rumah tangga mereka kembali aman sentosa.
Sewaktu Ali Kelih tidak balik ke rumah sampai seminggu disebabkan ikut Lisah Janda, memang isterinya Eton Juling tidak bertangguh menemui Mat Jubin. Marah benar Eton Juling sebaik sahaja mendapat tahu fasal Ali Kelih gilakan Lisah Janda sampai lupa tanggungjawab pada rumah tangga.
Bukan takat tidak balik ke rumah sahaja, malah beras tidak ada di tempayan pun Ali Kelih tidak ambil peduli. Kalau Eton Juling tinggikan suara di depannya, tengah malam pun Ali Kelih akan turun tinggalkan rumah. Hingga seminggu dia tidak jejak kaki ke rumah jengah anak isteri.
"Dia gilakan janda di Jerantut," beritahu Eton Juling terharu menahan sebak di dada di hadapan Mat Jubin. "Cubalah Pak Mat tolong, biar Ali lupakan janda tu," katanya macam mendesak.
"Awak tak pandai jaga hati Ali agaknya," sengaja Mat Jubin mengejek sekalipun dia tahu perempuan itu dalam keadaan rusuh.
"Nak jaga macam mana lagi Pak Mat," keluh Eton Juling tersinggung juga dengan ejekan Mat Jubin. "Dah bertahun saya dengan dia, kalau tak kerana janda tu, dia tak berubah hati macam ni..." ujarnya meluahkan rasa yang mendongkol lama di hatinya.
Mat Jubin tersengih-sengih. Memang dalam keadaan demikian Eton Juling tidak akan mahu mengakui kelemahan dirinya. Dia tetap bertahan dengan menyalahkan janda tersebut.
Tentulah ada keistimewaan pada diri Lisah Janda menyebabkan Ali Kelih mudah tertarik hati. Kalau takat cantik sahaja apalah kurangnya dengan Eton Juling? Calang-calang berhias dan berdandan memang tidak siapa pun menyangka Eton Juling sudah beranak tiga.
Tetapi Mat Jubin sanggup membantu bukan disebabkan Eton Juling mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya. Dia sekadar mahu menyelamatkan rumah tangga Ali Kelih supaya anak-anaknya tidak simpang perinang. Biarlah dia pisahkan lelaki itu dengan Lisah Janda asal sahaja rumah tangga mereka tidak musnah.
Mat Jubin hanya bekalkan kelongsong kertas yang dibubuh sedikit kemenyan kepada Eton Juling. Kelongsong kertas itu ditulisnya:
Yuhibbu nahum kahubbillahhi wallazina amanu asyaddu hubban-lillahhi, zui-yina linnasi hubbusy syahawati nilna-nnisa-i walbanina walqa-nathiril muqantharah,
dan digulung sebanyak tiga kelongsong.
Tiga malam berturut-turut Eton Juling bakarkan kelongsong kertas itu di bawah tangga rumah, satu kelongsong tiap-tiap malam. Malam yang kelima Ali Kelih balik ke rumah bagaikan orang terbangun dari tidur. Dia tidak bercakap apa pun, tetapi terus bermain dengan anak-anaknya.
Semenjak itu Ali Kelih tidak lagi menjengah Lisah Janda di Jerantut. Tetapi Eton Juling juga diingatkan supaya tidak ungkit-ungkit mengenai Lisah Janda sekiranya Ali Kelih balik ke rumah. Dia pegang kukuh-kukuh pesanan Mat Jubin itu supaya tidak cabuh pantang larang yang ditetapkan.
Selagi dia tidak ungkit-ungkit mengenai Lisah Janda, sampai bilapun Ali Kelih tidak ingat lagi megenai janda berkenaan. Setelah berbulan-bulan pun ditinggalkan Ali Kelih langsung tidak teringin mahu menjengah Lisah Janda di Jerantut.
"Tak tahulah saya macam mana dibuat oleh Pak Mat Jubin tu, ustaz," beri-tahu Eton Juling tersenyum simpul memberitahu tatkala saya berkunjung ke rumahnya bersama Kadir Misai.
Memang Kadir Misai juga tahu mengenai sepupunya Ali Kelih gilakan Lisah Janda semasa dia bertugas di Jerantut. Lama juga Eton Juling melilau tidak tenteram hati setelah mengetahui suaminya gilakan janda beranak satu itu. Tetapi Kadir Misai tidak peduli sangat selagi Eton Juling tidak memberitahu apa-apa.
Tentu Eton Juling tidak percayakan dia disebabkan Ali Kelih sepupunya. Masakan dia mahu menyebelahi Eton Juling kalau yang membuat angkara itu Ali Kelih sendiri. Kalaupun perempuan itu mengadu kepadanya memang serba salah juga Kadir Misai mahu mencampuri urusan rumah tangga orang.
Hanya setelah diberitahu mengenai Ali Kelih sakit sejak beberapa bulan, terpaksa juga Kadir Misai menjengah. Apalagi emaknya ingatkan dia fasal Ali Kelih menjadi seperti orang bingung yang sudah hilang ingatan.
"Macam mana punca Ali kena macam ni?" soal Kadir Misai memegang pergelangan Ali Kelih yang terbaring semenjak kakinya membengkak tidak boleh berjalan.
"Tak perasan puncanya," jelas Eton Juling mengerling anak gadisnya Raunah yang keluar dari dapur menatang dulang minuman. "Mulanya ayah marah-marah, sampai beberapa hari dia marah," sahut Raunah lantas menghulurkan dulang ke hadapan emak-nya. "Lepas itulah dia suka termenung dan merungut-rungut seorang diri," beritahunya apabila kenangkan kejadian yang menimpa ayahnya.
"Agaknya kerja janda tu!" cepat sahaja Eton Juling menuduh setiap kali hati-nya rusuh melihat keadaan suaminya. "His, tak baik rnenuduh macam tu," tutur Kadir Misai mencemik muka tidak bersetuju dengan sikap Eton Juling.
Tatkala dia menyingkapkan kain Ali Kelih, memang buku lalinya membengkak hingga hitam lebam. Kulit buku lalinya juga keras laksana belulang jangat dijemur. Apabila disingkapkan hingga ke betis, saya melihat kulit betisnya juga retak-retak bagaikan tanah sawah merekah di musim kemarau.
Beberapa kali saya beristighfar menahan keluhan setelah melihat keadaan kaki Ali Kelih demikian. Sukar juga mahu diramalkan apakah penyakit yang dihidapinya sampai ingatan hilang menjadi orang bingung. Kulit kaki sampai ke betis retak-retak sekalipun tidak memercik darah di situ.
"Macam mana ustaz?" ujar Kadir Misai menggeleng-geleng kepala menatap muka saya. Dia sendiri gelisah dengan keadaan sepupunya yang menghidap penyakit demikian.
"Dah tanya pada Mat Jubin?" soal saya berpaling pada Eton Juling. "Pak Mat tu bukan tetap di rumah," gerutu Eton Juling semacam hampa. Sudah berapa kali dia pesankan kepada isteri Mat Jubin, tetapi bapa saudaranya itu tidak juga jengah muka.
Setiap kali dia ke rumah Mat Jubin, bapa saudaranya itu sudah ke Segamat di Johor. Kadangkala terus sampai ke Pontian hingga berhari-hari tidak balik ke rumah. Apabila balik ke Temerloh, belum sempat isterinya Maisah memberitahu pesan Eton Juling, dia sudah ke Terengganu pula.
Kalaulah tidak disebabkan Raunah berikhtiar memberitahu emak Kadir Misai di Lancang, memang Kadir Misai juga tidak tahu mengenai Ali Kelih yang terlantar sakit. Berdetak juga hati Mak Tiamun, tentu anak saudaranya itu dianiaya dengan ilmu hitam. Siapa lagi yang gunakan ilmu hitam kalau bukan Lisah Janda yang berdendam?
Dia percaya tentulah Lisah Janda kecewa dengan keputusan Ali Kelih meninggalkannya. Masakan janda itu boleh berdiam diri setelah mereka berdua sudah berjanji mahu berkahwin, sekalipun sanggup bermadu. Tentulah janda itu carikan bomoh mahu membalas dendam, biar sama-sama berputih mata.
Kalau tidak disebabkan ilmu hitam, tentulah Ali Kelih tidak menghidap pe-nyakit ganjil demikian. Dia hanya terkebil-kebil mata sahaja semasa Mak Tiamun datang menziarah. Menitik juga air mata Mat Tiamun menatap keadaan yang ditanggung oleh anak saudaranya itu.
"Kau kenapa ni, Ali?" sengaja Kadir Misai mahu menguji.
"Tak guna, Ali ni tak berguna lagi," tersengih-sengih Ali Kelih membeliakkan matanya. Kemudian dia ketawa berdekah-dekah sambil bertepuk tangan dengan matanya tajam merenung kasau atap.
"Kau mesti kuatkan iman," pujuk Kadir Misai sekalipun dia sedar Ali Kelih tidak memahami apa jua pertuturannya lagi.
"Nak minum," Ali Kelih mengangakan mulutnya meminta minuman. Tetapi Eton Juling tahu benar apabila suaminya meminta air dia terpaksa sorongkan botol berputing laksana menyusukan bayi dalam buaian.
Memang saya juga merasa hiba dengan keadaan Ali Kelih tatkala disorongkan botol berputing ke mulutnya. Dia menyonyotnya seperti bayi laparkan susu apabila disuapkan oleh Eton Juling.
Keadaan yang menimpa Ali Kelih bukanlah ganjil sangat apabila Allah sudah menetapkan demikian. Apa sangat keadaan Ali Kelih sama seperti bayi kalau dibandingkan dengan kejadian alam yang terbentang apabila ditentukan Allah langit tiada bertiang, gunung-gunung tersergam kukuh tidak runtuh laksana pasir dan laut berombak yang kadangkala pasang, kadangkala surut.
Semuanya dikawal mengikut aturan yang ditetapkan Allah. Tentulah perkara penyakit Ali Kelih tidak sampai sebesar hama keganjilannya kalau bandingkan dengan penciptaan Allah yang tiada tolok bandingnya itu.
Memang tatkala melihat keadaan penyakit Ali Kelih, saya tidak lupa kepada arwah Ucu Labat yang menghisap puting susu apabila meminta air. Lama juga dia menghidap penyakit demikian sehingga merengek-rengek sekiranya lapar mahu makan. Dia berkelakuan seperti anak-anak kecil yang tidak bermaya langsung.
"Ikhtiarkanlah, biar Labat tu pulih," rungut nenek aji setelah diberitahu mengenai adiknya yang bongsu itu. Harapkan Aki Alang, dia sendiri sudah mengaku tidak boleh membantu apa-apa.
"Orang gila betina, tanggunglah!" Aki Alang mencebik bibir meluahkan rasa hampa apabila didesak oleh nenek aji.
"Kau pun apa kurangnya," nenek aji tersinggung dengan sikap Aki Alang yang mahu berlepas tangan sahaja setelah diberitahu dengan keadaan penyakit Ucu Labat.
"Hah, kalau nak gila betina, kuatkanlah pendinding diri," sahut Aki Alang bangga dengan kemampuan dirinya selama ini.
"Jangan takbur, alang..." cepat sahaja Tok Aji ingatkan dia disebabkan terlalu membanggakan diri itu. Terdiam Aki Alang ditegur abang iparnya. Memang dia tidak berani angkat muka kalau berdepan dengan Tok Aji. Tahu sangat dia fasal adiknya Ucu Labat yang tidak mahu lagi mendengar nasihat Tok Aji, sebaik sahaja berkahwin dengan Saenah Janda.
Tidak siapa menduga Ucu Labat yang mampu meniup serunai batang padi untuk memikat gadis-gadis di dalam kampung tiba-tiba jatuh hati dengan Saenah Janda yang boleh dijadikan emak. Sudah dua tiga kali dia berkahwin disebabkan gadis-gadis itu mengejeknya badan berbau busuk. Besoknya pagi-pagi lagi perempuan berkenaan menunggu di tangga tidak mahu berenggang dengan Ucu Labat. Tetapi tidak sampai dua bulan mereka berkahwin, Ucu Labat ceraikan juga.
Siapalah yang sanggup menjadi isteri Ucu Labat, kalau mereka sahaja terpaksa bertekun di tengah sawah. Ucu Labat habiskan masa di kedai majong bersama kawan-kawan Cinanya di kawasan estet. Kadang-kala sampai dua tiga hari tidak balik ke rumah; bermakna dua tiga hari juga tidak mandi hingga badan berbau hapak.
Memang tersinggung juga Ucu Labat apabila dileteri oleh Saenah Janda tatkala berselisih jalan. Terasa loya tekak Saenah Janda berselisih jalan semasa Ucu Labat balik dari bermain majong disebabkan tiga hari tidak mandi langsung.
"Berhentilah main majong tu Labat," ujar Saenah Janda menggalas tajak ke sawah sebaik sahaja matahari naik segalah.
"Saya bukan menyusahkan orang, Kak Nah," sahutnya tersengih-sengih sekalipun hatinya mendongkol.
"Tak menyusahkan orang memanglah, tapi bau badan kau tu hapak, nak loya tekak aku!" gerutu Saenah Janda menjeling marah. Benci sangat dia dengan perangai Ucu Labat yang tidak lekang di meja majong asal sahaja ada duit selepas menjual getah.
"Buat apa Kak Nah sibuk, saya bukan laki Kak Nah," lantas sahaja Ucu Labat mengejeknya apabila beberapa orang melintas untuk turun ke sawah.
"Kalau kau tu laki aku, tahulah kau langit ni tinggi laut tu dalam!" Saenah Janda mencebek bibir kerana terasa malu dihina oleh Ucu Labat di hadapan orang-orang kampung.
Tetapi Ucu Labat juga terasa malu dimarahi oleh Saenah Janda di hadapan orang-orang kampung mahu turun ke sawah. Sepanjang malam Ucu Labat tidak dapat lelapkan mata disebabkan terlalu marah dengan sikap Saenah Janda. Kalau tidak kenangkan usia perempuan itu sudah tua hampir sebaya dengan emaknya, memang bila-bila dia akan uji biar sampai melutut meminta dikahwini.
Lama juga dia berfikir sebelum membuat keputusan. Apalah salahnya membalas dendam biar Saenah Janda merayu-rayu meminta dijadikan isteri. Setidak-tidaknya dia boleh meminta wang dari Saenah Janda untuk duduk bertunggu hari main majong bersama kawan-lawan Cinanya. Saenah Janda mesti diajar juga supaya mulutnya tidak celupar sangat mengejek dia.
Setelah hatinya bertekad mahu mengambil Saenah Janda menjadi isteri buat sementara sahaja dalam masa dua tiga bulan, Ucu Labat lantas mencapai bantal tidurnya. Ditepuknya bantal itu tiga kali terus dia membacakan jampi serapahnya:
Hai, insan wah-di insan, hai wandi mani manikam, aku tahu asal kau jadi, masuk ke batang tubuh aku, kembali kepada dia, Qul-inquntum tuhibunal-lahha fatab-'uni yuhhibbu qumullah hu...
Selepas itu dilambungnya bantal tersebut tiga kali, sebelum diletakkan dan ditepuk lagi tiga kali. Kemudian barulah dia rebahkan kepala ke situ hingga berdengkur tidur tidak peduli apa-apa lagi.
Ketika bangun solat subuh nenek aji tidak peduli sangat adiknya yang tidur berselubung di hujung serambi. Memang sejak menjadi duda, Ucu Labat menumpang di rumah nenek aji. Tok Aji juga tidak peduli sama ada dia mahu menoreh getah ataupun tidak, kecuali sekali sekala Tok Aji tegur juga menyuruhnya tunaikan solat.
Ucu Labat sekadar mengangguk sahaja. Dia akan solat berjemaah sekiranya tidak ke kawasan estet bermain majong. Tahu sangat saya Ucu Labat memang tidak menemui kawan-kawan Cinanya kalau dia tidak berduit langsung. Kerat sepuluh pun dia tidak berani meminta dari nenek aji sampai bila-bila.
Selesai sahaja tunaikan solat subuh bersama Tok Aji itulah, nenek aji mendengar suara perempuan memanggil Ucu Labat dari tengah halaman. Sudah diduga oleh nenek aji memang perempuan tersebut sudah dikenakan oleh adiknya Ucu Labat.
Nenek aji mati akal kalau dengan adiknya yang seorang itu. Ditegah macam manapun dia tidak pernah serik. Apalagi dengan Tok Aji, memang dia tidak mahu campur urusan adik iparnya. Cuma sekali-sekali dia menyindir juga supaya saya tidak mengikuti jejak Ucu Labat.
Sebaik sahaja nenek aji membuka pintu terkejut dia melihat Saenah Janda tercegat di tengah halaman. Tersipu-sipu malu Saenah Janda apabila mendongak ke pintu melihat nenek aji di situ. Tidak segan-segan Saenah Janda bertanyakan Ucu Labat.
Tetapi nenek aji sudah memahami asal sahaja perempuan datang terjongol tatkala pagi sebelum matahari naik segalah, sudah tentulah dikenakan ilmu pengasih amalan Ucu Labat. Di mana Ucu Labat belajar hingga mujarab sangat amalannya, nenek aji juga tidak tahu.
Dua minggu selepas berkahwin dengan Saenah Janda itulah Ucu Labat tidak lagi bermain majong. Dia sanggup sama-sama menggalas tajak turun ke sawah bersama Saenah Janda. Hairan juga nenek aji dengan perubahan adiknya itu, yang mahu bekerja untuk menyara hidupnya.
Lebih sebulan Ucu Labat bersama Saenah Janda tidak siapa pun menyangka perubahannya itu. Aki Alang sendiri gembira kerana adiknya itu sudah menyedari tanggungjawab bersuami isteri. Dia memuji-muji Saenah Janda kerana dapat mengawal perangai Ucu Labat yang tidak tahu tanggungjawab itu.
Hanya masuk bulan kedua barulah nenek aji menyedari keadaan Ucu Labat terlantar sakit hingga tidak tahu melakukan apa-apa. Dia sekadar duduk sahaja di rumah dan menangis merengek-rengek apabila perut terasa lapar. Saenah Janda akan letakkan pinggan nasi dibubuhkan lauk ikan bilis sahaja.
Apabila keadaannya bertambah tenat Ucu Labat tidak lagi mampu menyuap nasi ke mulut. Dia hanya menunggu sahaja mulutnya disuapkan botol susu berputing untuk dinyonyot. Tidak pernah Saenah Janda memberitahu nenek aji keadaan yang ditanggung oleh Ucu Labat itu.
Hanya tergerak sahaja hati nenek aji mahu menjengah adiknya itu disebabkan lama sangat Ucu Labat tidak jejak kaki ke rumahnya. Jarang Ucu Labat tidak balik menemuinya sekalipun sudah beristeri. Memang sejak kecil dialah yang memelihara Ucu Labat, seolah-olah dialah emak yang mengasuhnya. Masakan Ucu Labat tidak mahu balik menemuinya kalau tidak disebabkan gangguan lain.
"Kau buat apa Labat ni, Saenah?" gerutu nenek aji sebaik sahaja melihat keadaan adiknya yang merengek-rengek laksana bayi di dalam buaian.
"Entahlah kak aji, tiba-tiba aje dia jadi macam tu," sahut Saenah Janda mencemik muka.
"Kenapa kau tak beritahu Labat ni sakit?" tersinggung juga nenek dengan sikap Saenah Janda seolah-olah mahu mencabar dia.
"Nak kata sakit dia tak sakit, tapi keadaannya macam orang sakit," ujar Saenah Janda masih berpura-pura.
Setelah menjengah Ucu Labat inilah, nenek aji memanggil Aki Alang ke rumahnya. Dia meminta Aki Alang dan Tok Aji cuba selamatkan juga Ucu Labat. Kalau jahat pun Ucu Labat, dia tetap adik juga kepadanya. Macam manapun nenek aji perlu berusaha selamatkan adiknya itu.
Tetapi Aki Alang mudah sahaja panas baran. Mahu sahaja dia menampar muka Saenah Janda biar perempuan itu mengaku apa yang telah diperlakukannya terhadap Ucu Labat. Tentu dia gunakan ramuan makan sampai Ucu Labat menjadi bodoh seperti bayi dalam buaian.
Aki Alang menuduh Saenah Janda hidangkan nasi kangkang berwap kepada Ucu Labat sebaik sahaja mereka berkahwin. Sebab itulah Ucu Labat menjadi bodoh tidak boleh berfikir langsung. Kalau tidak diberi nasi kangkang berwap tentu Ucu Labat mudah tinggalkan Saenah Janda.
Tentu Saenah Janda tidak mahu lepaskan lagi Ucu Labat, biar lelaki itu tidak sombong dengan amalan ilmu pengasihnya selama ini. Disebabkan amalan ilmu pengasih itulah Ucu Labat merasakan semua orang perempuan macam barang mainan sahaja. Apabila diperlukan dia akan menyeru sampai perempuan itu melutut, dalam masa beberapa minggu pula dia akan halau perempuan itu bagaikan anak tidak ber-keluarga.
"Jangan kau nak tunjuk panas baran," Tok Aji ingatkan Aki Alang supaya tidak terburu-buru menyalahkan orang lain. Kenapa tidak salahkan adik sendiri yang menganiaya orang dengan amalan ilmu pengasihnya itu?
"Pandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah," gerutu nenek aji apabila kenangkan nasib yang menimpa Ucu Labat. "Kau pun, kalau takbur sangat, akan jadi macam Labat juga!" tegas nenek melepaskan rasa geram kepada Aki Alang.
"Takkan sama saya dengan Labat," ujar Aki Alang tersinggung dengan ejekan kakaknya. Perkara kesalahan Ucu Labat tidak patut disangkutkan kepadanya pula. Biarlah urusan Ucu Labat dipikul ke atas bahunya sendiri, supaya dia insaf akan kesalahannya selama ini.
 "Kalau benar Saenah lakukan, biar urusan Allah tentukan," beritahu Tok Aji perlahan. Perkara menganiaya suami memang dosa yang perlu ditanggung oleh isteri, tidak perlu sesiapa pun campur urusan Allah.
Tok Aji hanya meminta izin daripada Saenah Janda membawa Ucu Labat balik ke rumahnya untuk diubati. Seminggu Ucu Labat dibawa balik ke rumah nenek aji, tidak pernah Saenah Janda datang menjengah. Memang berkeras juga dia pada mulanya tidak benarkan Ucu Labat dibawa balik ke rumah nenek aji. Kalau mahu diubati apa salahnya di rumah dia sahaja.
Tetapi dia terpaksa lepaskan juga kerana bimbangkan Aki Alang. Manalah tahu lelaki itu tidak dapat menahan sabar sampai menerpa tidak bertangguh. Cepat sahaja tangan Aki Alang merentap rambutnya sambil melepaskan tamparan ke muka macam harimau lapar di tengah rimba.
Tahu sangat dia sekiranya Aki Alang tengah panas baran. Kasim Pagan guru silatpun diheretnya ke tengah gelanggang tidak berani bercakap apa-apa. Terpinga-pinga Kasim Pagan apabila Aki Alang menghunus parang mengajaknya memencak tunjukkan ketangkasan membuka langkah.
Belum sempat Kasim Pagan menerpa kaki Aki Alang pantas membuka langkah mengelak. Dia terus menyiku ke bawah rusuk sampai Kasim Pagan terlentang jatuh tidak bertampan. Memang Kasim Pagan tidak mampu menyaingi ketangkasan Aki Alang kalau mahu membuka langkah di tengah gelanggang.
Apalagi memang salah dia menuduh Aki Alang gunakan ilmu pengasih memikat isterinya. Kalau tidak kenangkan isteri Kasim Pagan itu sepupunya sendiri, memang tergamak juga dia hayunkan limau di tengah malam biar Jeliyah datang tersepuk di depannya. Marah benar dia dengan cemburu Kasim Pagan tidak bertempat. Belum tergamak dia mahu memikat Jeliyah dengan amalan ilmu pengasihnya. Kasim Pagan tidak perlu cemburukan dia sekiranya Jeliyah melayaninya berbual-bual. Masakan dia mahu mencemarkan sepupunya sendiri!
Sebab itu siapapun di kampung tidak berani sangat mahu mengajak Aki Alang berkeras sampai dia panas baran. Satu-satunya yang boleh menyabarkan dia cuma Tok Aji. Dalam suaranya yang lembut, Aki Alang tidak akan angkat muka mahu menatap muka Tok Aji.
Setelah Ucu Labat dibawa balik, tiga hari Tok Aji berpuasa untuk tunaikan solat tahajud. Tengah malam dia bangun bersolat hingga terpaksa bersekang mata untuk memantapkan zikir yang bergema jauh di lubuk hati. Selepas berturut-turut tunaikan solat tahajud inilah Tok Aji menyuruh Ucu Labat dimandikan di dalam kain nenek aji dengan dikangkangkan kepalanya. Dia mandikan Ucu Labat di kaki tangga dengan membacakan doa:
Fat-tahazat min dunihim hijaban paarsalna ilaiha rohana fatamassala laha basyaran sawiyan
dan diulangi sepuluh kali.
Tiga pagi berturut-turut dia mandikan Ucu Labat, hingga tubuhnya kelihatan segar semula, sekalipun keadaannya masih bingung lagi. Apabila dimarahi oleh nenek aji, Ucu Labat mula memahami pertuturan orang lain. Dia tahu mencapai cawan untuk meneguk air. Setelah seminggu dimandikan itu Tok Aji menyuruh nenek aji memberi minum air hujan yang ditadah di tengah padang dengan didoakan:
Ya qadim, ya daim, ya Ahad, ya Wahid, ya Samad, Allahhumma inni as-alaka bismika al-ahadal 'aza-wada'waka, Allah-humma bismikal ahadal-samada wada'waka, Allah-humma bismikal 'azimil witri wada'waka, Allah-humma bismikal kabiral muta'alallazi mala-al arkana kullaha an-tak'afa 'inni ma-asbahata wama amsita-fihi
Dengan air yang didoakan oleh Tok Aji itu, di samping nenek aji sendiri membimbingnya, lebih sebulan barulah keadaan Ucu Labat mula berubah. Dia boleh makan bersuap semula, dan tahu keadaan alam keliling. Bagaimanapun pertuturannya masih pelat juga seolah-olah lidahnya kelu sejak menghidap penyakit ganjil itu.
Sebaik sahaja keadaan Ucu Labat pulih, dia tidak mahu balik semula ke rumah Saenah Janda. Sekali-sekala Aki Alang mengusiknya menyuruh dia balik menemui isterinya, dia tersengih-sengih sahaja. Terasa macam ada rahsia yang terpendam di lubuk hatinya sehingga tidak mahu lagi jejak kaki di rumah Saenah Janda.
Tetapi Tok Aji tahu rahsia yang disembunyikan oleh Ucu Labat. Tiga malam dia berturut-turut tunaikan solat sunat tahajud dengan berzikir panjang sampai santak subuh, dia melihat seolah-olah di hadapannya menjelma Saenah Janda mengejek dia.
Sengaja Saenah Janda tunjukkan di hadapannya bagaimana dia memakan pucuk gelenggang hingga buang air besar keluarkan cacing gelang bersama najisnya. Cacing gelang itulah dijemur hingga kering seperti tali perut ayam. Setelah cukup kering cacing gelang itu disalai pula sebelum digoreng di kuali sehingga garing.
Selepas itu ditumbuknya halus dijadikan seperti serbuk kopi. Serbuk cacing gelang yang diteran dari perutnya itulah ditapakan di atas busut sampai tiga malam. Hanya secubit sahaja serbuk cacing gelang itu dicampurkan ke dalam air minuman Ucu Labat, bila-bila sahaja Saenah Janda boleh mempengaruhi dia.
Amalan ilmu pengasih yang dibanggakan oleh Ucu Labat selama ini tidak mampu menyelamatkan dia daripada serbuk cacing gelang yang keluar bersama najis Saenah Janda. Kalau Ucu Labat berbangga dengan amalannya sampai dapat menawan hati Saenah Janda, perempuan itu juga tidak kurang dengan pengalamannya.
Perkara ilmu pengasih ini memang sudah menjadi amalan Saenah Janda hingga semua suaminya tunduk mengikut telunjuknya. Belum pernah mana-mana suaminya berani angkat muka setelah berkahwin dengannya. Tetapi tidak pernah pula berlaku seperti Ucu Labat sampai terlantar sakit menjadi seperti bayi baru dilahirkan.
Bukan sekali dua Saenah Janda sudah menjadi janda. Masuk Ucu Labat sudah enam orang suaminya. Masakan dia tidak berpengalaman menghadapi kerenah lelaki yang cuba memperdayakan dirinya. Apalagi dia memang menyedari Ucu Labat menggunakan amalan ilmu pengasih hingga dia tidak dapat lelapkan mata sepanjang malam.
Asal sahaja dia mahu lelapkan mata nescaya Ucu Labat akan tercegat di hadapannya melayani dia sepanjang malam. Ucu Labat akan memicit-micit tubuhnya hingga terasa segar. Sebab itulah terbangun pagi sahaja dia tidak segan-segan ke rumah nenek aji mahu menatap wajah Ucu Labat. Kalau dia tidak dapat menatap wajah Ucu Labat, memang hatinya berdebar-debar sepanjang hari.
Setiap detik dia merasakan dirinya bersalah terhadap Ucu Labat kerana mengejeknya berbau busuk. Selagi tidak dapat bersua muka meminta maaf, rasa bersalahnya itu terus menyelubungi dirinya. Selepas meminta maaf terpulanglah pada Ucu Labat sama ada mahu mengambilnya menjadi isteri atau tidak. Dia tidak akan terkilan setelah Ucu Labat sanggup memaafkan dirinya yang telah bersalah.
Tentu amalan ilmu pengasih Ucu Labat yang menyebabkan dia bagaikan orang gila sentiasa teringatkan lelaki itu. Sebab itulah Saenah Janda tidak boleh diamkan begitu sahaja. Kalau Ucu Labat boleh perdayakan dirinya, dia juga tidak akan lepaskan lelaki muda seperti Ucu Labat sengaja mahu mempermainkan dia.
Satu-satunya yang boleh tundukkan Ucu Labat memang serbuk cacing gelang yang keluar bersama najisnya. Suaminya yang terdahulu memang tidak pernah membantah apa sahaja kemahuannya setelah diberi serbuk cacing gelang. Kalau suaminya berani jatuhkan talak, hanya dalam masa seminggu sahaja lelaki akan datang semula mencarinya. Menangis-nangis suaminya merayu supaya menerimanya semula.
"Macarn mana pun Labat tetap suami kau, sekalipun usianya muda," tutur Tok Aji mengingatkan.
“Memang aku tahu dia suamiku," sahut Saenah Janda seolah-olah menunjukkan keangkuhan dirinya.
"Kalau tahu suami, kenapa kau derhaka?" soal Tok Aji mengejeknya.
"Dia buatkan aku dulu," tegas Saenah Janda berang dengan ejekan Tok Aji itu.
"Kalau dia berdosa, kaupun nak berdosa?" Tok Aji merenung tepat ke mukanya dengan membacakan Fatihah tiga kali.
Terkejut Saenah Janda apabila merasakan mukanya ditiup angin kencang. Tetapi dia kembali berdiri tegak bagaikan mahu mencabar Tok Aji di dalam kabus tebal yang memutih.
"Oh, abang aji nak menangkan adik ipar sendiri!" marah benar Saenah Janda apabila tubuhnya hampir melayang ditiup angin kencang.
 "Aku tak mengetahui urusan Allah, terpulanglah pada kau sendiri," jelas Tok Aji sehingga dia merasakan seluruh bulu romanya tegak meremang dengan peluh memercik sekalipun wap pagi terlalu dingin dengan hembusan angin segar.
Tidak lama selepas Ucu Labat beransur pulih, Tok Aji diberitahu mengenai Saenah Janda meninggal dunia akibat sesak nafas sewaktu tidur. Berkali-kali dia menyebut nama Ucu Labat sebelum menghembuskan nafas, tetapi anaknya melarang diberitahu kepada bapa tirinya itu.
Hanya selepas Saenah Janda meninggal dunia, barulah anaknya Maaris bersetuju diberitahu kepada bapa tirinya yang lebih muda usia daripadanya iaitu Ucu Labat. Disebabkan mereka tidak pernah bercerai, Tok Aji nasihatkan dia menjengah jenazah isterinya itu.
 Serba salah juga Ucu Labat setelah didesak oleh Tok Aji. Setelah menatap jenazah isterinya, dia terus sahaja balik ke rumah. Ucu Labat tidak ikut sama menghantar jenazah ke kubur. Hatinya seolah-olah luka dengan pengalaman bersama isterinya itu.
Senja selepas Saenah Janda dikebumikan, mereka seisi kampung mendengar jeritan halus dari arah tanah perkuburan, tetapi tidak siapa pun berani menjengah. Maaris sendiri enggan ke tanah perkuburan sekalipun jiran-jiran percaya suara jeritan itu datangnya dari arah kubur emaknya.
Paginya sebelum mata-hari naik segalah, Sahak Genyeh adik Saenah Janda sendiri mahu memastikan jeritan halus dari tanah perkuburan itu. Sebaik sahaja dia menjengah kubur Saenah dia terkejut kerana kepala mayat tertimbul di permukaan bumi. Kayu daka yang ditandakan pada bahagian kepala tercacak keras di kepala mayat.
Termengah-mengah Sahak Gengeh memberitahu anak saudaranya Maaris mengenai kejadian itu. Mereka tidak bertangguh memberitahu orang kampung apabila mayat Saenah Janda ditolak ke permukaan kubur. Mahu tidak mahu Maaris terpaksa juga menjemput Tok Aji meminta nasihatnya mahu uruskan semula mayat emak.
Saya masih lagi berusia belasan tahun ketika itu, sampai ke tanah perkuburan sewaktu mayat Saenah Janda sudah dikebumikan semula. Kejadian sedih ini bukan sahaja menyayat perasaan Maaris, tetapi saya juga disebabkan Saenah sudah menjadi nenek ucu kepada saya, selepas dia berkahwin dengan Ucu Labat.
Kejadian mayat Saenah Janda yang dikebumikan dua kali ini memang diketahui sangat oleh penduduk kampung, sekalipun saya tidak sempat melihat kepalanya yang timbul di permukaan kubur dan tercacak pada kayu daka. Tetapi, setelah mayat dikebumikan semula memang sempat juga saya duduk di situ sama-sama aminkan doa Tok Aji.
Selepas itu pula Maaris meninggalkan kampung halaman hingga tidak di-dengar khabarnya. Cuma saya mendengar khabar dia mengikut orang menyelam mutiara di Australia. Bukan Maaris sahaja, meninggalkan kampung halaman, malah Ucu Labat juga terus berhijrah jauh sampai ke Melaka. Sebab itulah saya rasakan kejadian yang menimpa Ali Kelih itu tidak seberapa kalau bandingkan dengan Ucu Labat. Tetapi saya sendiri memang tidak berupaya mahu melakukan apa-apa-pun untuk membantunya.
"Macam mana kita nak buat dengan Ali ni, ustaz?" ujar Kadir Misai mendesak. Kemudian dia berpaling memandang Eton Juling yang tersengguk-sengguk menahan rasa terharu yang sekian lama terpendam di hatinya.
Bersambung………


No comments:

Post a Comment