KEJADIAN yang berlaku bertahun-tahun lampau hanya sekadar
mendengar cerita sahaja, kerana tidak siapa pun melihatnya ketika itu. Sudah tentu kisah yang berlaku ke atas Tok
Semilih itu sekadar diketahui oleh anak cucunya sahaja.
Perkara kebal yang dimiliki oleh Tok Semilih bukanlah
sengaja diada-adakan, tetapi bertahun-tahun dulu pun masih ada orang yang
amalkan. Seisi kampung tahu mengenai Aki
Alang datuk saudara saya yang tidak lut kalau diradak senjata besi.
Tatkala dia diburu tentera Jepun seisi kampung melihat
dia terjun ke tengah arus sungai. Tiga
hari tentera Jepun menunggu di tebing sungai namun Aki Alang tidak timbul ke
permukaan air. Sebab itu tentera Jepun
percaya dia sudah mati lemas di tengah arus sungai.
Bukan tentera Jepun sahaja menuduh dia sudah mati lemas
akibat terjun ke sungai, malah isterinya Uda Maesah juga tidak percaya Aki
Alang akan balik juga ke rumah. Terpaksa
berbulan-bulan pula dia bersembunyi di hutan, biar tentera Jepun tidak dapat
menjejaknya.
Tahu sangat Aki Alang fasal tentera Jepun juga dapat
mengesan sesiapa yang kebal tidak lut oleh senjata besi. Dia lihat sendiri kawannya Andak Katib diikat
tentera Jepun ke tiang rumah ditetak beberapa kali dengan pedang tetapi tidak
memberi bekas.
Lama Aki Alang meniarap di tengah belukar nenas mengendap
kejadian yang menimpa kawannya Andak Katib.
Kalau dia berkeras menyerbu mahu selamatkan kawannya itu nescaya dia
juga akan diikat sama ke tiang rumah.
Sebab itu Aki Alang hanya bersembunyi sahaja di tengah belukar nenas di
keliling rumah Andak Katib, setelah diberi tahu mengenai kawannya itu ditangkap
tentera Jepun.
Puas ditetak dengan pedang tidak juga memberi bekas,
lantas Andak Katib ditembak berulang kali.
Baju Andak Katib sahaja ditembusi peluru hingga berlubang-lubang laksana
sarang lebah terpokah, namun tubuhnya tidak lut langsung.
Ketika inilah Aki Alang melihat Mat Tugin jiran kawannya
itu berbisik ke telinga tentera Jepun.
Terangguk-angguk ketua tentera Jepun itu sebaik sahaja Mat Tugin bisikkan
kepadanya mengenai Andak Katib tidak lut senjata besi.
Lantas sahaja dia menyuruh orang-orangnya tonggengkan
Andak Katib disebabkan terlalu marah tidak dapat tewaskan lelaki
berkenaan. Kemudian dia tusukkan hujung
benet ke dubur Andak Katib menyebabkan jerit kesakitan melangsing kuat. Menggeletek tubuh Andak Katib akibat mata
benet ditusuk kedubur yang tidak dapat menahan lut kebalnya.
Marah benar Aki Alang dengan kejadian yang menimpa
kawannya itu, hingga dendamnya terlalu membakar apabila Mat Tugin ditemui mati
terselit kepala di celah rekahan buluh pering, tidak semena-mena Aki Alang
dituduh disebabkan dia memang kawan rapat dengan Andak Katib.
Sepanjang hari tentera Jepun menggeledah keliling kampong
mahu menangkap Aki Alang. Tetapi Aki
Alang mengaku dia tidak tahu langsung bagaimana Mat Tugin ditemui mati dengan
kepala terselit dicelah rekahan buluh pering.
“Memang Aki Alang amalkan ilmu kebal,” beri tahu Pak Tua Mahat apabila kenang Aki
Alang tidak lut tatkala ditetak dengan parang oleh Juki Gila di depan surau.
Siapa pun tidak berani menyerbu sebaik sahaja Juki Gila
menerpa neneknya dengan antan pengemping.
Terduduk Uda Libah menahan kepala memercik darah apabila diketuk oleh
Juki Gila dengan antan pengemping yang dicapainya di bawah gelegar.
Tiba-tiba sahaja Juki Gila tinggalkan neneknya lantas
mencapai parang di pelantar menghambat emaknya Saenah. Terpaksa Saenah berlari menuju ke surau
meminta bantuan kerana bimbang gila anaknya bertambah pasang. Sewaktu Saenah termengah-mengah di tengah
halaman, Juki Gila sudah semakin hampir.
Tidak bertangguh Aki Alang terjun ke tengah halaman surau menahan
tangannya sebaik sahaja ditetak oleh Juki Gila.
Beberapa kali ditetak dengan parang tetapi tangan Aki
Alang tidak berbekas apa-apa. Lantas Pak
Tua Mahat pula menerpa terus mengilas tangan Juki Gila hingga parang di
tangannya terlucut dari genggaman. Tiga
kali ditepuk kepalanya oleh Pak Tua Mahat, barulah Juki Gila dapat ditenangkan
semula.
Tetapi Aki Alang tidak mengaku dia tidak lut senjata
disebabkan amalan kebalnya. Dia sekadar
memberi tahu mata parang yang ditetak Juki Gila tidak menyinggahi tangannya,
hanya debus melayang ke udara. Sekalipun
Aki Alang berdalih, memang orang-orang kampung melihat Juki Gila menetak
tanganya dengan parang terhunus.
Kalau Saenah tidak melarikan diri ke surau nescaya dia
menerima nahas tatkala gila anaknya semkin pasang. Ketika ini siapa pun tidak dapat
menghalang. Uda Libah yang selalunya mampu
menghalang Juki Gila sekiranya lelaki itu hilang akal pun dihentak kepalanya
dengan antan pengemping.
Setelah Juki Gila dapat di tenangkan, tidak bertangguh
mereka dapatkan Uda Libah yang tersandar di kaki tangga rumahnya. Darah banyak meleleh di kepalnya hingga baju
yang dipakai basah boleh diperah.
Terpaksa pula Pak Tua Mahat gunakan tasak biar luka di kepala Uda Libah
dapat ditahan darah daripada memercik berterusan.
“Kalau kapala Aki Alang kena pukul, memang tak
berdarah!” sengaja Pak Tua Mahat
mengusik setelah Uda Libah dibawa ke hospital.
“Kepala aku kena pukul, tentu kepala Uda Libah tak
berdarah,” terkekeh-kekeh Aki Alang
ketawa mengerling Pak Tua Mahat. “Tetapi
kepala akulah yang berdarah,” ujarnya
merendah diri sekali pun dalam nada mengusik.
“Hah, siapa tak kenal Aki Alang?” sahut Pak Tua Mahat menyindir kerana Aki
Alang sengaja mahu berdalih sekalipun seisi kampung tahu mengenai amalan
kebalnya.
“Hai,orang ada nama macam aku, memang semua orang
kenal,” Aki Alang tetap juga bergurau
untuk mengelakkan diri dari mengakui memiliki amalan kebal itu.
“Kalau tak ada nama, macam mana pula orang nak panggil
Aki Alang,” tegas Pak Tua Mahat tidak
mahu melayani lagi orang tua itu.
Biarlah Aki Alang berdalih, namun seisi kampung tahu mengenai amalan
kebalnya.
Lama Aki Alang tinggalkan kampung halaman sampai ke
Pontian dan Rengit, semasa bekerja ikut kapal korek. Apabila balik ke kampong Aki Alang membawa
isterinya tinggal menetap di kampung halaman sendiri. Sekali sekala dia balik juga menziarah
keluarga isterinya di Pontian.
Sekiranya dia tidak ditanduk kerbau semasa tengah
mencebak permatang sawah, memang tidak siapa pun tahu mengenai amalan
kebalnya. Terkejut juga mereka yang
berceratuk di tengah sawah apabila kerbau jantan turun minyak hingga menyerbu
ke mana sahaja.
Dalam saat cemas demikian terpaksa juga Aki Alang
selamatkan isterinya Uda Maesah tengah membersihkan rumput di tengah
sawah. Disebabkan kerbau tengah naik
minyak semakin hampir menerpa, tidak bertangguh dia tahankan dada supaya tidak
bahayakan Uda Maesah.
Sebaik sahaja kerbau menanduknya terhumban Aki Alang ke
tengah lopak sawah. Cepat-cepat dia
bingkas bangun menunggu serbuan kerbau berkenaan, lantas menyuruh isterinya
segera berundur. Tetapi Uda Maesah tidak
berundur ke mana. Biarlah dia sama
menjadi mangsa bersama suaminya kalau kerbau tersebut masih berdegil mahu
menyerbu.
Apabila kerbau ganas tengah naik minyak itu menerkam kali
kedua, tidak bertangguh Aki Alang menumbuk kepala binatang berkenaan. Sekali gus pula kerbau itu tersungkur di
tengah selut lumpur. Tidak bertangguh
Aki Alang menghunus parang menyembelih kerbau itu sebelum terkejang mati.
Mereka di tengah sawah menyangka tentu Aki Alang cedera
parah akibat tanduk runcing menyodok ke bawah perutnya. Tetapi Aki Alang tidak cedera apa-apa. Setelah kerbau itu dilapah baru mereka menyedari
tengkorak kepala kerbau itu remuk bagaikan dihentak kayu balak lima enam
pemeluk.
Satu-satunya yang tahu mengenai amalan Aki Alang, memang
Uda Maesah sendiri. Masakan Aki Alang
boleh berbohong, kerana lama dia mengikut ayah Uda Maesah minta turunkan amalan
sebelum menjadi menantu orang tua itu.
Tahu sangat Uda Maesah mengenai
amalan yang diturunkan oleh ayahnya kepada Aki Alang dengan jampi mentera.
Besi berintung besi berani, guli-guli guyur-guyur, air
mengkunung muta, air unung-air unung sari, air beku kuzat, asal mu jadi air
muta titis nama wali, lintuk air mengkunung, batu guruli lawan batu batu putih,
air mengkunung anah nur putih, beraja mendak hati sekalian yang bernyawa, tidak
berisi kehendak lawan diriku.
Bukan takat jampi mentera sahaja, tetapi Aki Alang juga
dimandikan dengan air apung yang dicedok dari tujuh kuala, tujuh jeram dan
tujuh telaga. Semua rahsia kebal Aki
Alang memang diketahui oleh Uda Maesah.
“Memang Aki Alang amalkan ilmu kebal,” jelas Uda Maesah sebaik sahaja saya menjengah
ke hospital setelah diberi tahu mengenai Aki Alang di langgar kereta hingga
terpelanting ke seberang jalan.
Saya melihat bahagian siku Ali Alang calar sedikit,
tetapi badannya tidak mengalami cedera apa-apa.
Bagaimana pun Aki Alang tidak dapat mahu duduk hingga dia
termengah-mengah akibat susah bernafas.
Disebabkan pihak hospital mahu lakukan x-ray, berkeras sangat dia
mendesak supaya dibawa saja balik ke rumah.
“Aku tak mahu lama di hospital!” Aki Alang ingatkan anak-anaknya supaya segera
bawa dia balik ke rumah. Kalaulah dia
boleh bangun melompat tentu dia tinggalkan katil hospital tidak bertangguh. Marah sangat dia disebabkan dimasukkan ke
hospital sebaik sahaja dilanggar kereta hingga terpelanting ke seberang jalan.
“Nasib baik dia pengsan semasa kena langgar,” ujar Ulung Lihun merungut perlahan disebabkan
ayahnya berdegil sangat mahu balik ke rumah.
Tahu sangat Ulung Lihun sekiranya Aki Alang tidak pengsan
nescaya dia membantah dibawa ke hospital.
Biarlah dia terkejang di rumah berhari-hari Aki Alang tidak terkilan
apa-apa. Anak-anak tidak datang
menjengah pun dia tidak peduli, asal sahaja tidak diganggu tatkala dia
terkejang.
Kalau di hospital Aki Alang tidak mahu tubuhnya diperiksa
sampai pakaian juga dibuang habis.
Perkara dia dilanggar kereta tidak penting sangat kerana tidak ada satu
pun bekas cedera parah di kulitnya. Dia
tidak mengalami luka-luka selain dari pengsan sebaik sahaja terpelanting ke
seberang jalan.
Disebabkan Aki Alang berkeras mahu balik ke rumah, siapa
pun tidak dapat menghalang. Dia sekadar
tidak dapat bangun sahaja akibat dilanggar kereta merempuh kuat, tetapi
tubuhnya tidak cedera langsung. Sebab
itu doktor mahu x-ray untuk sahkan sama ada bahagian dalam mengalami cedera
teruk atau pun tidak.
Memang Aki Alang bertambah lemah sekiranya dibiarkan dia
terkejang di katil hospital. Lantas ayah
saya bisikkan pada Ulung Lihun supaya Aki Alang dibawa balik sahaja ke
rumah. Tahu sangat ayah saya tidak
pernah seumur hidup pun Aki Alang mahu ke hospital sekalipun mengidap sakit
teruk.
Kadangkala sengaja ayah saya menyindir sekiranya Aki
Alang enggan berubat ke hospital, tetapi dia tersengih-sengih sahaja. Tatkala belakangnya membengkak tumbuh bisul
sebesar kepala tempurung nyiur, Aki Alang tetap tidak mahu ke hospital. Dia suruh Uda Maesah pupuk sahaja dengan daun inai ditumbuk lumat.
Puas dipujuk ke hospital namun Aki Alang lebih rela bisul
besar di tengah belakangnya membengkak hingga mengangkut nanah. Seelah diberi tahu kepada Tok Aji, dia juga
tidak dapat mendesak Aki Alang supaya ubati bisul besar di belakangnya itu ke
hospital. Terpaksa Tok Aji gunakan
kepala tempurung nyiur pula dijentiknya tiga kali dengan membacakan:
Nun, wal qolami wama yasthurun, ma-anta bini’mati rabbika
majnun, wa-innsa laka la-ajran ghaira mimnun, wa-innaka la’ala khulqin ‘azim,
fasatubsiru wayubsirun,bi-aiyakumul maftun, inna rabbaka huwa a’lamu biman
dhalla ‘an-sabilihi wahuwa a’lamu bilmuhtadin.
Sebaik sahaja jari Tok Aji mengetuk kepala tempurung
nyiur itu, saya melihat nanah bercampur darah memancut keluar dari bisul
berpunat tiga di tengah belakang Aki Alang.
Tiga pagi berturut-turut Aki Alang menemui Tok Aji di
madrasahnya minta doakan barulah bengkak di tengah belakang itu kempis. Kalau tidak minta doa dari Tok Aji pun memang
Aki Alang tidak akan jejak kaki ke hospital semata-mata minta diubati.
Sebab itu dia berkeras juga mahu balik ke rumah setelah
tidak berdaya bangun akibat dirempuh kereta di selekoh jalan. Sampai bila pun Aki Alang tidak rela dia
terkejang di hospital dengan dihadap jururawat atau atendan.
Setelah balik ke rumah, tiga pagi pula Uda Maesah
terpaksa mencari embun di daun biar Aki
Alang usapkan ke seluruh badannya.
Apabila disapukan embun ke seluruh tubuhnya barulah Aki Alang segar
semula. Dia boleh duduk bersila tatkala
menjamah sarapan yang dihidangkan.
“Kebal hanya kulit aje,”
ayah saya ingatkan Aki Alang setelah dia boleh bergerak kuat. “Tapi, di dalam badan tak kebal
apa-apa,” tegasnya supaya Aki Alang
dapatkan juga bantuan hospital biar di x-ray seluruh badan.
Manalah tahu terdapat darah beku di mana-mana semasa
dirempuh kuat oleh kereta yang melalui selekoh jalan. Tetapi berturut-turut hari juga Cina pemandu
kereta menjengah Aki Alang bawakan ubat-ubatan Cina biar dia segera sembuh.
Tapi apa sangat dengan dirempuh kereta kalau bandingkan
dia ditimbus runtuhan batu yang diletupkan di kuari. Hampir tiga jam pekerja-pekerja datang
membantu mahu keluarkan dia dari runtuhan batu kuari selepas diletupkan. Ketika dikeluarkan hanya dia lemah sahaja
tidak bermaya, tetapi tubuhnya tidak cedera apa-apa.
“Macam mana pun dia tak mahu ke hospital,” ujar Uda Maesah seolah-olah pertahankan Aki
Alang. Lagi pun setelah dapat mandi
embun tiga pagi berturut-turut dia sudah semakin segar. Apalah guna lagi jejak kaki ke hospital kalau
tenaganya sudah pulih seperti sedia kala?
Memang Aki Alang juga mengaku di depan saya dia amalkan
amalan kebal dengan mandi apung. Ketika
ikut sesiapa sahaja perlu amalkan amalan yang boleh pertahankan diri, kerana
musuh tidak tahu di mana. Lainlah masa
sekarang amalan kebal tidak penting lagi, disebabkan musuh tidak boleh
melakukan sesuka hati.
Cubalah cederakan orang dengan tidak bersebab, nescaya
akan diheret polis ke balai! Semasa Aki
Alang masih muda musuh boleh lakukan apa sahaja dengan tidak dihalang. Manalah polis mahu mengheret ke balai kerana
kampung mereka jauh di pendalaman.
Kalau musuh cederakan mereka, siapa pun tidak akan
membantu. Tok Penghulu sendiri tidak
berani angkat muka sekiranya diancam oleh musuh yang perkasa. Sebab itu masing-masing perlu amalkan amalan
kebal semata-mata mahu pertahankan diri.
Kejadian yang berlaku semasa Tok Semilih digeruni oleh
orang-orang kampung juga, memang tidak siapa
sanggup menentangnya disebabkan amalan kebalnya. Sia-sia sahaja
berhadapan dengan Tok Semilih kalau tidak cukup amalan di dada. Salangkah Tok Kumbah yang boleh menjelmakan
dirinya menjadi harimau garang pun boleh ditewaskan oleh Tok Samilih, apa
sangat kalau sekadar menghunus golok mahu menentangnya.
Tetapi saya tidak beri tahu pun Aki Alang mengenai Tok
Semilih di kampung tempat saya bertugas.
Tentu amalan mereka berbeza kerana pada masa Tok Semilih keadaan negeri
belum terbuka sangat. Sebab itu amalan kebal
ketika itu semata-mata mahu mengejar kuasa yang boleh menundukkan orang lain
dengan kekuatan sahaja.
Disebabkan siapa pun tidak berani menentang Tok Semilih,
dia bertambah berani merampas perempuan cantik hatta sudah menjadi isteri orang
lain. Asal sahaja cuba melawan nescaya
akan menjadi korban tidak bersisa. Kalau
Resat Tempang tidak lari meninggalkan kampung halaman sampai jauh di perantauan
di Pahang, tentu dia tidak bertemu Itam Bawar.
Hanya Itam Bawar satu-satunya yang mengetahui rahsia
kebal Tok Semilih disebabkan mereka sama seguru. Tetapi Aki Alang tidak ada apa-apa rahsia
yang mahu disembunyikan. Tahu sangat
isterinya Uda Maesah memang amalan kebal Aki Alang diturunkan oleh ayahnya Wak
Rengit di Pontian.
Tidak pernah pula Aki Alang mencekak leher sesiapa pun
semata-mata mahu tunjukkan dia tidak lut senjata besi, kalau tidak diserbu
kerbau jantan tengah naik minyak tatkala tercegat di lopak sawah memang siapa
pun tidak tahu dia amalkan amalan kebal.
“Kebal ni bukannya nak tunjuk kuat,” beri tahu Aki Alang apabila saya desak mahu
mengetahui mengenai amalan kebalnya.
Memang sudah diingatkan oleh Wak Rengit mengenai amalan
kebal itu sekadar mudahkan dia buat kerja.
Kalau kaki terjelantus pada tunggu kayu sewaktu meranduk belukar tidak
akan luka memercik darah. Apa lagi
kepala mudah terantuk pada besi palang tatkala kendalikan kapal korek, tentulah
terbengah hingga berdarah sekiranya tidak amalkan malan kebal.
Kalau turun ke laut pun dia tidak perlu bimbang disengat
duri semilang atau dipatuk ular bias.
Duri semilang atau taring ular tidak akan tembus menusuk kulit akibat
amalan kebalnya. Tentu taring ular akan
terkopak kalau singgah ke kulit Aki Alang hingga menggelepar tidak menentu
menghempas tubuh ke tengah rumput memanjang.
“Kalau ditekan hidung dengan bantal, kebal pun tak
guna!” jelas Aki Alang kenangkan Wak Rengit
selalu ingatkan dia supaya tidak menunjuk-nunjuk sangat dengan amalan kebal
demikian.
Apa sangat dengan kebal yang tidak boleh ditembusi
senjata besi tajam, kerana musuh boleh gunakan helah lain. Bagaimana kalau kepala ditumuskan ke dalam
air hingga lemas tidak dapat bernafas?
Tidak boleh ditusuk dengan senjata besi tajam, musuh boleh himpit muka
dengan bantal sampai termengah-mengah tidak dapat bernafas.
Sebab itu Aki Alang amalkan juga amalan boleh bernafas di
dalam air. Berjam-jam dia menyelam di
dalam air Aki Alang tidak bimbang apa, setelah lama menuntut dengan Kiyai
Maasur di Kukup. Terpaksa pula dia
mematuhi semua pantang larang orang tua itu sehingga amalan tersebut diturunkan
kepadanya.
Memang Wak Rengit sendiri tidak tahu mengenai Aki Alang
lama di Kukup menemui Kiyai Maasur.
Berdebar juga hati Wak Rengit sebaik sahaja diberi tahu Aki Alang terjun
ke sungai apabila diburu tentera Jepun.
Arus sungai yang deras memang tidak siapa pun menyangka Aki Alang balik
semula ke rumah selepas tiga malam ditunggu tentera Jepun di tebing sungai.
Beberapa bulan selepas dia dirempuh kereta di selekoh
jalan itulah Ulung Lihun memberi tahu saya, ayahnya beberapa kali terbatuk
mengeluarkan darah. Aki Alang juga
mengadu sering diganggu sakit dada hingga sukar mahu bernafas. Tetapi dia tetap berkeras tidak mahu dibawa
ke hospital, sekali pun ayah saya sendiri mendesaknya.
“Kalau boleh Angah doakan, Aki ni,” tersengih-sengih Aki Alang apabila saya
kunjungi setelah diberi tahu mengenai dirinya semakin uzur.
“Termakan bisa agaknya,”
lantas sahaja Uda Maesah menuduh disebabkan Aki Alang terbatuk sampai
muntahkan darah.
“Tak mungkin, kalau termakan bisa batuknya lain,” sahut Ulung Lihun tidak percaya ayahnya
termakan bisa sampai terbatuk-batuk sepanjang malam.
“Batuk ayah kamu memang bercampur darah,” beri tahu Uda Maesah bimbang dengan keadaan
Aki Alang bertambah lemah semenjak berhari-hari tidak mahu menjamah nasi.
“Tentu kesan kena rempuh kereta dulu,” segera Ulung Lihun ingatkan emaknya mengenai
kecederaan yang dialami oleh ayahnya mungkin di sebelah dalam tubuhnya. Manalah tahu tulang atau paru-parunya cedera
tatkala dirempuh kuat oleh kereta yang melucur di selekoh jalan, tetapi kulit
badannya tidak luka apa-apa akibat amalan kebalnya.
“Betul juga cakap Lihun tu,” Aki Alang mengangguk lemah setelah Ulung
Lihun menjelaskan demikian.
Tahu sangat dia mengenai Ulung Lihun yang dapat mengesan
amalan kebalnya tidak akan dapat melindungi bahagian dalam tubuh daripada
cedera parah. Rempuhan kuat kerea yang
meluncur laju bukan macam ditusuk keris musuh yang dating meluru. Tentu tulang dadanya retak juga akibat di
rempuh terlalu kuat.
Tetapi kecederaan yang di alaminya tidak terasa sebaik
sahaja tenaganya pulih semula selepas diubati dengan air embun. Lama kelamaan retak di bahagian tulang tidak
dapat bertahan disebabkan gerakan tubuh sentiasa berterusan apabila membuat
kerja di sawah.
Bukan takat Aki Alang sahaja tidak mampu bertahan
dirempuh kereta, kalau Tok Semilih pun akan terhumban jauh. Amalan kebalnya tidak mampu lindungkan dia
sekiranya dirempuh tenaga yang terlalu kuat seperti kereta meluru kencang. Tok Kumbah juga tidak sempat menjelmakan
dirinya menjadi harimau mengaum garang sekiranya rempuhan kereta menyerbu sekali
gus.
Memang masa Tok Semilih hidup jauh bertahun-tahun lebih
dulu dari Aki Alang, tetapi amalan kebal mereka tetap seakan-akan sama. Disebabkan dalam masa Tok Semilih belum ada
kereta meluru laju, namun dia tewas juga setelah petua mengalahkannya diketahui
oleh Resat Tempang.
Apabila kenangkan Tok Semilih bimbang juga saya sekiranya
Aki Alang akan mengalami kejadian yang sama sekiranya sampai ajal. Manalah tahu Aki Alang akan bertukar menjadi
seperti harimau tertiarap dengan kemaluannya mencodak tidak boleh diturunkan.
“Amalan kebal macam ni tak apa,” bisik Ulung Lihun semasa mengajak saya ke
hujung serambi rumah.
Perlahan-lahan dia beri tahu saya mengenai pengalamannya
memindahkan kubur lama ke kawasan baru.
Memang Ulung Lihun satu-satunya yang berpengalaman menggali kubur lama
untuk dipindahkan ketempat lain.
Kadangkala sampai santak tengah malam dia terpaksa mengorek kubur
kumpulkan semua tulang temulang sebelum dipindahkan.
Macam-macam bentuk tulang mayat yang ditemuinya apabila
kubur lama digali semula. Kadangkala
berserakan tidak menentu seolah-olah dikuis orang di tengah padang lapang. Terpaksa Ulung Lihun kaut semula ke dalam
pungkis supaya tidak ada tulang temulang yang tercicir.
Ulung Lihun temui juga tulang yang tersusun baik langsung
terikat kukuh. Apabila dimasukkan ke
dalam pungkis pun tidak satu pun tulang temulang itu tertanggal. Tetapi terkejut juga Ulung Lihun tatkala
menemui tulang siku yang panjang sampai lebih dua hasta.
Lantas sahaja dia mengagak tentu tubuh badan mayat itu
besar bagaikan gergasi semasa hayatnya kalau bandingkan tulang siku lebih dua
hasta. Tetapi yang berdebar Ulung Lihun
menggali apabila melihat tulang temulang yang digali dihurung semut hitam. Dari mana pula semut hitam boleh masuk jauh
ke dalam liang kubur menghurung tulang temulang berkenaan.
Terpaksa dia kikis semula tulang temulang berkenaan
buangkan semut hitam yang bersarang di situ.
Semuanya Ulung Lihun lakukan setelah dia memberi pangakuan kepada ketua
kampung sanggup melakukan kerja menggali semula kubur lama supaya dipindahkan
ke kawasan tunah perkuburan baru.
“Memang aku jumpa mayat tak hancur,” keluh Ulung Lihun menghela nafas kesal. Beberapa kali dia beristighfar apabila
kenangkan kejadian menemui mayat bertahun-tahun dikebumikan tidak hancur
dimamah masa.
Tetapi Ulung Lihun melihat keadaan mayat berkenaan
mengecut dengan kukunya memanjang melilit seluruh tubuh laksana akar ara
menyalut pokok tempat tumbuhnya. Bukan
kuku tangannya sahaja yang tumbuh memanjang malah kuku kaki juga menusuk ke
dalam tebing kubur.
Menggeleng kepala Ulung Lihun apabila diberi tahu oleh
Puyang Malim mayat tidak hancur dililit kuku itu memang amalkan amalan kebal
tahi. Siapa pun tidak boleh tewaskan dia
selagi tubuhnya tidak berendam mandi di sungai berarus deras. Kalau ditembak dengan kaki berjejak di atas
tepurung pun amalan kebalnya tidak boleh ditewaskan. Sebab itu tubuhnhya juga tidak hancur apabila
dikebumikan setelah mati.
“Puyang Malim kata kubur tu, kubur Tok Meguk,” jelas Ulung Lihun setiap kali kenangkan
menggali kubur berkenaan.
Siapa pun tidak tahu kubur Tok Meguk sebenarnya
disebabkan batu nisan kubur lama tidak ada dituliskan nama. Tetapi seisi kampung tahu mengenai Tok Meguk
yang dikatakan menjelma menjadi harimau selepas matinya. Beberapa kali penduduk kampung terserempak
harimau jelmaan Tok Meguk tercangkung di kawasan tanah kubur.
Semenjak bertahun-tahun pula penduduk kampung tidak
pernah lagi melihat jelmaan harimau Tok Meguk, tetapi sekadar melihat bekas
tanah di sondol babi liar. Hanya sekali
sekala penduduk kampung terserempak babi liar di kawasan tanah perkuburan.
Babi liar itu tidak diketahui menghilang ke mana kerana
di sekelilingnya perkampungan yang terputus dari kawasan hutan. Kalau mahu dikatakan bibi hutan itu
bersembunyi di tanah kubur, tidak ada belukar boleh babi berkenaan menyusup.
“Begitulah amalan yang tak baik,” jelas Puyang Malim ingatkan Ulung Lihun
mengenai Tok Meguk yang diketahuinya sejak turun temurun amalkan amalan kebal
tahi. “Mula-mula memang nampak jelmaan
harimau, lepas itu jelmaan babi, tak tahu selepas ini boleh jadi jelmaan biawak
pula!” dia menelan keluhan pendek disebabkan Tok Meguk itu ada hubungan
keluarga dengan keturunannya.
Asal sahaja bangun pagi sebelum basuk muka, Tok Meguk
akan buang air besar terlebih dahulu.
Dia akan sapukan najis ke seluruh badannya dengan merenung matahari
tengah naik sepenggalah. Sehingga
matahari memancarkan kilauan cahaya keras baru dia habiskan amalannya.
Sepanjang hari pula dia tidak akan sentuh air disebabkan
pantang larangnya tidak boleh mandi.
Selagi dia beramal memang Tok Meguk tidak akan mandi sampai bila-bila,
sekali pun tubuhnya berbau busuk.
Sekiranya mahu mandi nescaya dia akan mencari jeram menggolekkan
badannya dari atas hingga terhumban ke bawah.
Tok Meguk akan tersenyum apabila melihat batu-batu jeram
yang ditimpa tubuhnya berderai laksana dihempap batu besar dari atas. Tahu sangat seisi kampung mengenai Tok Meguk
amalkan ilmu kebal, disebabkan jatuh dari pokok tidak memberi kesan apa-apa
kepadanya. Tatkala mereka melihat Tok
Meguk jatuh dari pokok kelapa, hanya tanah di perdu pokok itu sahaja berlubang
hingga retak ditimpa tubuhnya.
Berkali-kali dia diingatkan oleh abangnya mengenai amalan
demikian tidak dierima oleh bumi, namun Tok Meguk tetap berkeras amalkan juga. Dia sanggup tidak mahu jejak kaki ke rumah
abangnya Pawang Sikin disebabkan berani menegur kemahuannya.
“Pawang Sikin tu nenek moyang aku,” ujar Puyang Malim menunduk menahan rasa
terharu dengan kejadian yang menimpa Tok Meguk.
Menyedari tenaganya gagah itulah Tok Meguk tidak peduli
apa. Asal sahaja kemahuannya dihalang
dia akan serbu mencabar lawan. Tetapi
siapa yang boleh berdepan dengan Tok Meguk kalau diradak dengan golok nescaya
mata golok akan terlipat macam timah tidak berguna.
Bukan takat mata golok sahaja berlipat, harimau ganas
tengah hutan juga jangan cuba menerkam dari belakang. Mudah sahaja dia berpusing lantas menyekah
mulut sampai ternganga tidak boleh dikatupkan lagi. Kuku harimau yang mencakar akan luruh laksana
serpih kayu reput.
Sebab itu Tok Meguk berani merampas isteri orang apabila
hatinya mula berkenan. siapa sahaja
mengejek bau badannya busuk bagaikan bau najis, nescaya akan diheret dibawa
balik ke rumah. Biarlah isteri orang
sekalipun Tok Meguk akan paksa juga mengikutnya balik. Suami yang membantah akan ditampar saja
sampai menggelupar tidak boleh bergerak.
Apa sangat dengan menampar muka suami yang cuba melawan,
kalau dia menampar perdu pokok kelapa pun nescaya buahnya akan berguguran
jatuh. Tiga hari sahaja daun kelapa itu
akan layu hingga luruh tidak bertampan.
Tentulah suami yang menjadi mangsa akan terkejang tidak bernyawa setelah
ditamparnya kuat.
Satu-satunya yang ditakuti oleh Tok Meguk memang
abangnya, Pawang Sikin. Sebab itu
penduduk-penduduk kampung harapkan Pawang Sikin lindungkan mereka daripada
ancaman Tok Meguk. Selagi Tok Meguk
tidak dihalau dari kampung halaman, tentu mereka terpaksa menyerah dengan
segala kemahuan lelaki itu.
Dalam keadaan serba salah itulah Pawang Sikin terpaksa
juga menemui adiknya Tok Meguk supaya surut semula ke belakang. Perbuatan Tok Meguk yang sudah melebihi batas
itu memang takbur. Memang Pawang Sikin
tahu bukan mudah mahu menewaskan amalan kebal tahi Tok Meguk, kecuali dia juga
sanggup lakukan amalan yang sama.
Memang loya tekak Pawang Sikin apabila kenang mahu
lumakkan najis ke seluruh badan dengan merenung matahari di tebing sungai.
Kemudian dia akan menunggu sehingga seluruh badannya memercik peluh. Sekali gus pula percikan peluh itu dilurut
dengan tangan dan dipercikkan pula ketengah arus sungai.
Kalau seluruh tubuh sudah dilumakkan dengan najis hingga
berpantang mandi berminggu-minggu, masakan boleh tunaikan solat. Apalah ertinya amal yang tidak disertakan
dengan solat kalau semata-mata mahukan kebal tubuh badan?
Ketika Pawang Sikin menyeru dia dari tengah halaman
disebabkan melarikan isteri Mat Tuman, marah benar Tok Meguk. Tidak patut abangnya mencampuri urusan dia,
selagi dia tidak mengganggu Pawang Sikin.
Kenapa abangnya mahu menjadi pembela Mat Tuman, setelah Lisah isteri Mat
Tuman sendiri menghina dirinya.
Tentu Tok Meguk tidak dapat menahan sabar apabila Lisah
tidak menyahut tatkala di tegur semasa berselisih bahu. Tiba-tiba sahaja Lisah meludah ke tanah
akibat bau busuk badanya menusuk ke hidung.
Loya sangat tekaknya tercium bau najis semasa berselisih bahu dengan Tok
Meguk yang menegurnya ramah mesra.
Tidak bertangguh Tok Meguk mengheretnya balik ke rumah
sekali pun Lisah terjerit-jerit memint pertolongan. Siapa lagi berani memberikan pertolongan
kalau Mat Tumin sendiri terkebil-kebil mata melihat isterinya dilarikan oleh
Tok Meguk.
Sebab itu Mat Tuman berkejar ke rumah Pawang Sikin
merayu-rayu supaya membantunya.
Tersinggung juga Pawang Sikin disebabkan adiknya sudah berjanji di
depannya tidak akan lakukan perbuatan keji.
Kalau tidak disebabkan Mat Tuman merayu-rayu, memang Pawang Sikin juga
tidak akan campur urusan orang lain.
“Ini bukan urusan kamu, Sikin!” sahut Tok Meguk di muka pintu mencebek bibir.
“Bukan urusan aku, tapi urusan masyarakat,” ujar Pawang Sikin bercekak pinggang di tengah
halaman.
“Aku tak mahu lawan kau Sikin,” Tok Meguk tersengih-sengih mengerling Lisah
teresak-esak menangis dengan berkemban di pintu tengah. “Tapi kalau terpaksa, aku lawan juga!” dia berkeras
tidak mahu mengalah sekali pun abangnya cuba menghalang.
“Terpulang pada kau, Meguk,” sahut Pawang Sikin tenang tetapi terharu
dengan nasib yang menimpa Lisah terjelepoh di pintu tengah.
Sewaktu Tok Meguk menuruni tangga, Pawang Sikin mengisar
tumitnya ke tanah dengan makrifatkan menghentak anak tangga hingga patah. Sebaik sahaja kaki Tok Meguk jejak anak
tangga sekali gus patah menyebabkan dia terbolos terkangkang. Ketika telurnya terhanyak pada anak tangga
Tok Meguk menggelupur dengan kankang tersangkut di tangga.
Memang dia terkial-kial menahan kesakitan tersangkut pada
anak tangga dengan kaki terkangkang tidak jejak ke tanah. Ketika inilah Pawang Sikin memberi isyarat
kepada Mat Tumin supaya simbah badan Tok Meguk dengan air yang ditampung dalam
daun keladi. Sebaik sahaja disimbah oleh
Mat Tumin kulit tubuh Tok Meguk bagaikan melecur tidak bertahan.
Di atas tangga itu juga Tok Meguk menemui ajalnya setelah
disimbah oleh Mat Tumin dengan air yang ditampung dengan daun keladi. Selepas kematian Tok Meguk itulah Pawang
Sikin memberi tahu adiknya amalkan kebal tahi.
“Tapi, aku tak nampak kesan melecur pada mayat tu,” jelas Ulung Lihun beri tahu mengenai mayat
yang diemuinya tidak hancur tatkala menggali pindahkan kubur lama.
“Sama juga macam cerita Tok Semilih,” ujar saya apabila kenangkan kejadian yang
belaku ke atas Tok Semilih yang mati ditembak oleh keluarganya sendiri.
“Sama macam mana, Angah?”
hairan juga Ulung Lihun disebabkan saya memberi tahu ada persamaan.
“Mereka sama-sama kebal, tapi mati di tangan keluarga
sendiri,” memang saya mudah terharu
dengan kejadian seperti ini.
“Hanya keluarga sendiri boleh lemahkan kebal tu,” Ulung Lihun mengakui seperti dijelaskan oleh
Puyang Malim.
Siapa sahaja yang amalkan kebal akan menerima ajalnya di
tangan keluarga sendiri, disebabkan pantang larangnnya sudah disuratkan
demikian. Memang Tok Semilih yang tidak boleh ditewaskan oleh sesiapa pun itu
ditembak oleh sepupunya Resart Tempang dengan berdiri di atas tempurung supaya
kaki tidak jejak ke bumi.
Tok Meguk juga menerima nasib yang sama apabila anak
tangga patah hingga telurnya tersangkut di situ semata-mata mahu menyerbu
abangnya Pawang Sikin. Jauh di sudut
hati saya bagaimana pula nasib yang akan menimpa Aki Alang dengan amalan
kebalnya?
Sewaktu saya menziarahinya dia memang sudah bertambah
uzur. Keadaannya bertambah teruk setelah
beberapa bulan sahaja selepas dirempuh kereta.
SELESAI
No comments:
Post a Comment